Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, September 28, 2014

Bukan Tak Suka - Bab 3


“ANGGAP ajelah ini semua takdir. Mana tahu dia jodoh kau ke, kan? Daripada pasangan kerja terus jadi pasangan hidup,” usik Fauziah atau lebih akrab dipanggil Gee merangkap teman sebilik Elfira apabila Elfira menceritakan perihal Danish kepadanya.

Sejurus kemudian, sebiji bantal melayang dan mengenai muka Fauziah.

            “Banyaklah jodoh kau! Tak nak aku berjodoh dengan orang yang pendiam macam tu. Nanti sunyi sepi rumah tangga aku tau,” bantah Elfira.

            Fauziah tergelak.

“Pendiamlah bagus, tak banyak cakap. Nanti tak adalah rimas. Asyik pot pet pot pet 24 jam.” Fauziah masih giat mengusik.

            “Tak naklah, aku nak orang yang bertentangan dengan aku,” luah Elfira.

“Yalah, aku tahu taste kau macam mana,” ujar Fauziah sambil memeluk bantal yang dibaling oleh Elfira tadi.

            Elfira tersengih. “Tahu tak apa.”

Dari mula lagi dia sudah dapat merasakan yang dia dengan Danish pasti tidak akan ngam. Dia tidak suka orang pendiam kerana dia tidak pandai berbual dengan orang yang pendiam memandangkan dia sendiri tidak begitu peramah. Dia perlukan masa yang agak lama untuk mesra dengan seseorang itu.

Ada juga yang mengatakan dia sombong kerana tidak bertegur sapa dengan mereka. Kalau orang yang betul-betul kenal dengannya, pasti mereka tahu yang dia bukan sombong. Cuma dia tak pandai bergaul dan memulakan perkenalan. Tapi bila sudah biasa, mulutnya tak reti pula hendak diam.

Waktu dia mula-mula menjadi rakan sebilik Fauziah pada semester pertama dulu pun, hubungan mereka agak hambar. Hanya setakat berbalas senyuman dan soalan-soalan biasa yang mengisi perbualan mereka.

“Dah makan?”

“Nak pergi kelas dah ke?”

“Tak ada kelas ke?”

“Baru balik?”

Hari-hari tanya soalan yang sama pun bosan juga, kan? Kalau tak sebab Fauziah yang memulakan perbualan, entah sampai bila mereka tak bercakap. Pasti hubungan mereka tidak menjadi serapat ini.

Jadi, bila dia berhadapan dengan orang pendiam seperti Danish, dia jadi mati kutu. Saat ini dia cuma berdoa tugasan yang dibuat bersama Danish dapat disiapkan dengan secepat mungkin supaya dia tidak perlu lagi berjumpa dengan Danish. 

            “Tapi kalau betul-betul dia jodoh kau, kau kenalah terima!” usik Fauziah lagi lantas terus berlari keluar dari bilik itu sambil tergelak. Suka benar dia dapat menyakat Elfira.

            Tindakan Fauziah yang tidak disangka-sangka itu membuatkan Elfira tergamam. Sudahnya dia hanya menggeleng melihat telatah teman sebiliknya itu. 

Walaupun berlainan jurusan tetapi mereka sangat serasi tinggal sebumbung. Disebabkan itulah sudah lima semester mereka tinggal sebilik. Masing-masing sudah memahami antara satu sama lain. Justeru, dia tidak pernah mengambil hati dengan kata-kata Fauziah. 

Malah, hal-hal yang berlaku di kelas pun dia bercerita kepada Fauziah. Sampaikan Fauziah sudah mengenali nama pelajar-pelajar kelasnya walaupun dia tak kenal orangnya termasuklah hal Danish yang baru ditemuinya tadi.

            Elfira menghidupkan komputer ribanya. Dia mahu menyiapkan tugasan yang diberi oleh Dr. O secepat mungkin. Lagi cepat, lagi bagus. Jadi, tak perlulah dia berjumpa dengan Danish lagi. 

            Kata Irwan, dia beruntung sebenarnya dapat partner dengan Danish kerana Danish sememangnya seorang yang hebat dalam multimedia. Hasil kerjanya selalu sahaja gempak. Malah, hasil kerjanya sudah seperti orang yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam bidang multimedia. Pasti Danish tidak sukar mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar kelak.

            “Kalau hebat sangat, kenapa boleh repeat pulak?” sindir Elfira.

Kalau Si Danish tu betul-betul hebat, pasti dia tidak perlu mengulang subjek tersebut. Kalau sampai mengulang subjek, pastinya dia tidak sehebat mana.

            “Dia repeat bukan sebab tak buat assignment tapi sebab dia selalu tak datang kelas,” terang Irwan, cuba mengubah tanggapan Elfira terhadap Danish.

            “Tak kisahlah sebab apa pun, yang aku tahu, aku nak siapkan assignment ni cepat-cepat.”

            Walau apa pun alasannya, kenyataan tetap kenyataan. Danish tetap mengulang subjek. Yang penting sekarang, dia harus memastikan yang dia tidak akan menjadi seperti Danish. Dia harus menyiapkan assignment yang diberi mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.

            Memandangkan Danish tidak banyak kerenah, jadi dia telah mencadangkan agar mereka membuat bahagian masing-masing. Seminggu dari sekarang, mereka akan bertemu untuk menggabungkan hasil kerja kedua-duanya dan seterusnya menghantarnya kepada Dr. O. Jadi, mereka tidak perlu bertemu selalu.

Bijak kan dia?

            Elfira tersenyum sendiri.

 

1 ulasan:

yassirwaddey berkata...

CASINO BETTING TIPS AND PROMOTIONS
Learn 과천 출장안마 what is a Vegas style bet from professional handicappers who can help you decide what 김포 출장샵 is a Vegas style bet. Learn all you 전라남도 출장마사지 need 서울특별 출장샵 to know. 양주 출장샵