Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Mei 22, 2010

Pemuja Rahsia (Bab 1)

Tangannya pantas mencari frekuensi siaran radio kegemarannya sebaik-baik saja punggungnya mendarat di dalam perut kereta MyVi hitam itu. Seketika kemudian, kedengaran suara ceria juruhebah yang bertugas pada pagi itu.

“Hiburan bergerak terus dengan rangkaian lagu-lagu popular yang telah disusun bagi menceriakan pagi anda. Sebentar saja lagi, anda akan dihiburkan oleh seorang pelakon yang berbakat besar dan sekarang mula melebarkan sayap sebagai penyanyi iaitu Liyana Jasmac dengan lagunya, ‘Aku Tak Peduli Cinta’. Tapi sebelum tu, kita dengarkan dulu lagu daripada kumpulan Petir dengan lagu yang telah melonjakkan nama mereka, ‘Pagi Yang Gempar’. Mudah-mudahan pagi anda sentiasa tenang dan tak gempar-gempar, ya. Teruskan bersama kami hanya di Segar fm.”



Lebih muda dariku
Harap tenang mengawal
Kekecohanmu…




Belum pun sempat rangkap pertama lagu itu habis dinyanyikan, siaran telah beralih ke radio lain.

“Abah ni, orang baru aje nak layan lagu tu,” rungut Krisya Norsabrina, anak gadis Encik Khalid yang berada di sebelahnya yang sedang memandu. Pagi-pagi macam ni dengar lagu Petir barulah ada semangat nak pergi sekolah. Abah pula kacau daun.

“Tak sedaplah lagu tu,” balas Encik Khalid. Mungkin bukan jiwanya mendengar lagu-lagu sebegitu. Kebanyakan lagu-lagu sekarang kedengaran bingit di halwa telinganya. Dia sendiri tidak faham cita rasa muzik anak-anak muda zaman sekarang. “Lagu macam nilah baru sedap nak dengar,” Encik Khalid kelihatan terbuai dengan kemerduan lagu irama tradisional yang berkumandang di ruang udara Radio Malaysia Pahang.

“Abah, zaman sekarang orang dah tak layanlah lagu-lagu macam ni. Sekarang orang layan lagu Petir, Bittersour, Coupon, Meet Uncle Hisyam, Exchange, Missing Coin…” Krisya Norsabrina menyebut nama beberapa kumpulan muzik yang sedang popular di Malaysia pada ketika itu.

“Siapa tu?” Encik Khalid berkerut mendengar nama-nama itu. Satu pun dia tidak kenal. Sudahlah kesemuanya menggunakan nama Inggeris kecuali Petir.

“Abah ni tak ikut perkembangan muzik betullah. Kalau abah nak tahu, band-band ni tengah hangat kat Malaysia sekarang tau.”

Dulu, nama-nama ini seakan asing di telinga pendengar muzik tempatan. Jika ditanya, pasti ramai yang menggelengkan kepala tanda tidak mengenali nama-nama ini melainkan peminat muzik underground ataupun kaki gig. Namun apabila stesen radio mula memainkan lagu-lagu mereka, nama-nama ini mula mendapat perhatian pendengar muzik tempatan.

Populariti band-band indie ini turut melonjak naik. Pendengar tempatan mula menyedari kewujudan band-band indie ini walaupun pada hakikatnya band-band ini sudah bertahun-tahun bertapak dalam industri. Ekoran itu juga, pendengar tempatan mula menghargai kehebatan karya-karya tempatan.

Ternyata media massa memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan memberi publisiti kepada band-band indie ini yang sekali gus mencetuskan fenomena di kalangan penggemar muzik tanah air. Begitu jugalah dengan Krisya Norsabrina. Daripada mendengar aliran muzik band seberang, dia kini beralih ke aliran muzik band indie tempatan. Daripada tergila-gilakan Sheila on Stage, dia kini menggilai Petir.

Pertama kali dia mendengar nama Petir adalah di Internet. Ketika itu dia melihat profil Petir di facebook seorang kenalannya. Daripada kenalannya itulah, dia mula mengenali Petir. Petir adalah sebuah band indie yang dianggotai oleh empat orang anak muda yang mengetengahkan konsep muzik alternatif rock.

Kali pertama mendengar lagu Petir iaitu ‘Aku Struggle’, hati Krisya Norsabrina sudah tertarik apatah lagi apabila mendengar lagu-lagu Petir yang lainnya seperti ‘Pagi Yang Gempar’, ‘Bila Aku Sudah Tenggelam’, ‘Gula’, ‘Empanganku’ dan lain-lain. Ternyata lagu dan muzik Petir mempunyai karakter dan identiti tersendiri selain liriknya yang mudah difahami.

Selain itu, keramahan dan kemesraan anggota Petir iaitu Nan (vokalis), AK (gitaris), Doni (pemain bass) dan Ad (pemain dram) yang rajin melayani setiap pertanyaannya di facebook juga membuatkan hatinya semakin terpaut kepada band itu. Layanan mereka membuatkannya berasa dekat dengan ahli kumpulan itu.

Tapi itu dulu, sebelum nama Petir dikenali ramai. Sekarang, mereka pun sudah jarang-jarang membalas mesej Krisya Norsabrina di Internet. Adakalanya pertanyaan Krisya Norsabrina langsung tidak dijawab. Sibuk sangatlah agaknya. Orang sudah popularlah katakan.

“Nilah sikap anak-anak muda zaman sekarang. Muzik luar diagung-agungkan tapi nilai seni budaya sendiri dilupakan,” Encik Khalid seolah-olah kecewa dengan sikap segelintir masyarakat Malaysia yang seolah-olah meminggirkan khazanah muzik sendiri. Ops, anaknya sendiri pun termasuk dalam kumpulan itu!

Band-band ni artis Malaysialah, bah.”

“Artis Malaysia ke? Tapi kenapa namanya macam nama orang putih aje?”

“Tulah trend namanya. Nanti kalau dia orang nak masuk pasaran antarabangsa, tak adalah susah orang putih tu nak sebut nama band dia orang.”

“Pandailah Rina.”

Krisya Norsabrina cuma tersengih. Dia sendiri mengakui kebanyakan kumpulan muzik di Malaysia lebih suka menggunakan nama Inggeris. Tak macam kumpulan muzik Indonesia yang lebih bersifat kemelayuan seperti Ais, Cendawan, Dadu, Gusi, Pasir, Radio, Ulam dan Wangi. Sebab itulah dia lebih menggemari Petir berbanding kumpulan muzik yang lain.

Nama kumpulan nama Melayu. Lagu-lagunya berbahasa Melayu. Orangnya pun berbangsa Melayu. Jadi, terasa lebih dekat di hati… chewah!

“Rina ingat dia orang mampu ke nak bersaing dengan artis luar? Kalau setakat lagu rock ataupun hip hop, kat luar sana pun ada sebab asal lagu-lagu macam tu memang dari luar. Tapi lagu-lagu tradisional ni cuma dapat didengari eksklusif kat Malaysia aje tau. Nilah akar umbi muzik kita. Muzik macam nilah yang patut kita ketengahkan,” ujar Encik Khalid namun kata-katanya itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi kerana Krisya Norsabrina sedikit pun tidak berminat hendak mendengar ceramah pagi ayahnya itu.

Tiap-tiap hari dia terpaksa menadah telinga mendengar lagu-lagu yang bukan saja judulnya yang dia tidak tahu bahkan nama penyanyinya pun entah siapa-siapa. Entah zaman bila punya lagu. Zaman abah muda-mudalah agaknya. Sebab tulah abah minat sangat.

Krisya Norsabrina memandang ayahnya yang sedang memandu di sebelah. Senyum-senyum. Ingat kisah lamalah tu! Isy… tak sedap langsunglah lagu ni! Bosan! Ah, bilalah nak sampai sekolah ni? Kenapa aku rasa macam lambat aje nak sampai sekolah pagi ni? Getus Krisya Norsabrina dalam hati.


* * *


“Mon, apa cerita?” Krisya Norsabrina mendapatkan teman baiknya yang sedang khusyuk menatap sebuah buku komik ketika kakinya menapak di kelas 5 Sains Berani.

Mon adalah singkatan kepada montel, gelaran yang diberikan oleh kawan-kawan mereka kepada Jasmin gara-gara tubuhnya yang montel. Pada mulanya, Jasmin kurang senang dengan gelaran itu kerana dia berasa dipermainkan. Namun, lama-kelamaan dia sudah terbiasa lalu gelaran itu terus melekat hingga ke hari ini.

“Gosip panas… Jom kita cerita kat kantin. Aku laparlah. Tak sempat nak sarapan tadi,” Jasmin memaut lengan sahabatnya itu menuju ke kantin. Sengaja dia membiarkan Krisya Norsabrina ternanti-nanti.

Walaupun cuti sekolah cuma dua hari iaitu hari Sabtu dan Ahad, namun mereka berdua tetap mempunyai banyak cerita untuk dikongsi bersama apabila berjumpa. Krisya Norsabrina dan Jasmin memang berkawan rapat sejak di Tingkatan Empat lagi memandangkan mereka duduk bersebelahan di dalam kelas.

Persahabatan mereka sangat akrab sehinggakan ke mana-mana saja mereka pergi, mereka pasti berdua. Jika salah seorang daripada mereka tidak hadir ke sekolah pula, yang seorang lagi turut tidak hadir. Disebabkan itu kawan-kawan mereka menggelarkan mereka kembar tidak seiras.

Perangai mereka lebih kurang. Tabiat mereka serupa. Minat mereka juga sama. Cuma wajah dan fizikal mereka yang berbeza. Ada juga yang membuat andaian yang mereka berdua adalah kembar yang terpisah. Namun Krisya Norsabrina dan Jasmin tidak pernah mengambil serius akan tanggapan kawan-kawan mereka.

Hubungan mereka memang sudah seperti adik-beradik. Krisya Norsabrina anak tunggal dalam keluarganya manakala Jasmin pula tidak mempunyai adik-beradik perempuan. Jadi, mereka tidak kisah jika orang menganggap mereka adik-beradik.

“Gosip apa yang kau kata panas tadi?” soal Krisya Norsabrina sebaik-baik saja mereka mengambil tempat di sebuah meja seusai membeli makanan.

Krisya Norsabrina membeli nasi lemak dan Milo ais manakala Jasmin cuma membeli tiga ketul karipap. Walaupun saiz badannya lebih kurus daripada Jasmin, namun siapa sangka selera makan Krisya Norsabrina dua kali ganda daripada temannya itu. Mana taknya, di rumah tadi dia sudah bersarapan empat keping roti!

Keadaan di kantin itu lengang. Masih ramai pelajar yang belum tiba. Jasmin pula antara orang terawal yang tiba di sekolah memandangkan dia perlu keluar dari rumah sekali dengan ibunya yang berniaga di pasar. Jadi, sebelum pintu pagar sekolah dibuka lagi dia sudah terpacak di hadapan sekolah.

Selepas pintu pagar dibuka, dia akan menghabiskan masanya dengan membaca di dalam kelas tapi bukan buku pelajaran yang dibacanya sebaliknya buku komik yang menjadi santapan paginya. Tidak menjadi larangan bagi pelajar membawa buku komik ke sekolah memandangkan di koperasi sekolah mereka sendiri ada menjual buku komik.

Namun, buku komik itu haruslah bercirikan ilmiah dan tidak mengandungi unsur-unsur yang tidak elok selain menggunakan tatabahasa yang betul. Pendek kata, buku komik itu haruslah diluluskan oleh pihak PIBG terlebih dulu yakni ibu, bapa dan guru. Yang ajaibnya, apabila setiap kali ujian, Jasmin tetap mendapat tempat sepuluh teratas.

“Kau nak tahu, ada sorang artis wanita ni tayang gambar dia bercium dengan pakwe dia kat facebook. Ada orang curi gambar tu. Lepas tu, sebarkan kat Internet,” cerita Jasmin ala-ala wartawan hiburan. Siapa kata pelajar cemerlang tak kenal artis? Walaupun cemerlang dalam pelajaran, tapi Jasmin juga mengambil tahu perihal dunia hiburan!

“Lepas tu, apa jadi?” soal Krisya Norsabrina penuh minat sambil mulutnya tak berhenti mengunyah. Bahaya juga Internet ni, ya. Tapi salah artis tu sendirilah. Siapa suruh letak gambar tak senonoh kat Internet? Kan orang dah buat khianat?

“Apa lagi? Mengamuklah artis tu. Yang syoknya, kau tahu apa dia cakap kat wartawan?”

“Apa?”

“Kita orang bukan buat maksiat. Kita orang cuma bercumbu,” Jasmin mengajuk kata-kata artis wanita itu. “Kau bayangkan betapa ceteknya pemikiran artis tu. Dia ingat bercumbu tu tak salah ke? Entah mazhab mana yang dia ikut?”

“Siapa artis tu?”

“Pelakon baru. Kalau aku sebut pun, kau bukannya kenal. Baru aje berlakon satu filem tapi filem tu pun tak siap-siap lagi. Asyik tertangguh aje. Tak tahulah jadi terbit ke tak. Macam tak jadi aje. Buat gimik bukan main lagi tapi sampai sekarang habuk pun tak ada.”

“Oh, filem tu,” Krisya Norsabrina mula teringat akan filem yang dimaksudkan itu. Filem yang dikatakan bakal mencetuskan fenomena dalam industri perfileman tempatan. Tambahan pula, pengarah filem itu adalah orang yang berpengaruh dalam industri selain tarikan pelakon utamanya yang pernah tercalon dalam kategori Artis Baru Meletup, Anugerah Bintang Meletup Berita Hangat.

“Sampai sekarang pun tak siap lagi ke?” tanya Krisya Norsabrina. Setahunya sudah lama filem itu diuar-uarkan kepada orang ramai. Satu Malaysia dah tahu. Susah sangat ke nak buat filem tu?

“Mana siapnya. Dah nak masuk dua tahun. Aku rasa filem tu tak jadi kut,” Jasmin membuat andaian sendiri.

“Takkan tak jadi? Bukan ke semua orang dah tahu pasal filem tu? Kalau tak jadi, malulah.”

“Alah, yang malu pun bukannya kita,” ujar Jasmin.

“Tapi kesianlah.”

“Biarlah dia orang. Ada satu gosip lagi yang akan buat kau menjerit satu sekolah ni. Pasal Petir,” cerita Jasmin bersemangat.

“Kenapa dengan Petir?” Krisya Norsabrina tercengang.

“Kau tak baca surat khabar semalam ke?” Jasmin berasa hairan. Biasanya, kalau cerita yang membabitkan Petir, pastilah Krisya Norsabrina yang terlebih dulu tahu. Peminat nombor satulah katakan.

“Surat khabar apa? Bintang Meletup ke Pancawarna?”

“Dua-dua surat khabar pun ada pasal Petir kau tu.”

“Cerita pasal orang kata Petir bodoh sombong tu ke?”

“Kau dah tahu ke?”

“Kalau pasal Petir, mestilah aku tahu. Aku kan peminat nombor satu Petir. Semua berita pasal Petir, baik ke buruk, semua aku tahu.”

“Kau percaya ke cerita tu?”

“Mestilah tak,” ujar Krisya Norsabrina yakin.

“Alah, sebab kau suka. Mestilah kau bela Petir, kan?”

“Tak juga. Lagipun kita tak boleh dengar cerita daripada sebelah pihak aje. Nampak sangat wartawan yang tulis cerita tu berat sebelah. Dia cuma tulis apa yang kakitangan stesen TV tu bagi tahu tapi dia tak dengar cerita daripada pihak Petir. Yang aku geram sebab wartawan tu cakap Petir tak tahu apa-apa pasal royalti padahal semua anggota Petir dah pernah buat album dengan syarikat rakaman. Mestilah dia orang tahu. Aku rasa wartawan tu sengaja nak buruk-burukkan nama Petir,” Krisya Norsabrina meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Kenapa pula wartawan tu nak buat macam tu?”

“Sebab dia dengki dengan Petir agaknya. Biasalah, bila Petir tak popular, orang tak pandang. Bila Petir dah popular, barulah orang nak pandang. Tapi bila tawaran dia orang kena tolak, mulalah buat cerita yang bukan-bukan,” balas Krisya Norsabrina.

“Macam mana kalau apa yang wartawan tu tulis betul? Kau masih nak sokong Petir ke?”

“Mungkin apa yang wartawan tu tulis betul tapi bukan sepenuhnya. Aku takkan percaya cerita tu kalau aku tak dengar cerita daripada pihak Petir dulu. Tak adil kita menghukum orang tanpa beri peluang kat orang tu untuk bela diri dia. Lepas dengar cerita daripada kedua-dua belah pihak, baru kita dapat menilai siapa yang betul dan siapa yang salah.”

“Kau ni dah macam peguamlah pula,” seloroh Jasmin.

“Bukan peguam tapi hakim,” Krisya Norsabrina tersengih.

“Yalah. Kalau apa-apa yang berkaitan dengan Petir, kau memang pandai berdebat. Kalau Cikgu Fatimah tengok, mesti dah lama dia ajak kau masuk kumpulan debat sekolah tau.”

Sengih Krisya Norsabrina semakin melebar. Kumpulan debat? Aku? Hancur! Aku ni kan pemalu dan darah gemuruh. Mahu ketar lutut aku dibuatnya bila bercakap kat depan orang ramai. Bukan macam Mon ni. Dahlah tersenarai dalam carta sepuluh pelajar paling cemerlang SMK Abdul Rahman Talib, ahli kumpulan debat sekolah pula tu!

“Eh, dah pukul 7.30 ni,” Jasmin melihat jam yang tersarung kemas di tangan kirinya. “Hari ni ada perhimpunan, kan? Jom cepat. Nanti tak pasal-pasal kena denda pula.”

“Jom!”


* * *


Tepat pukul 7.30 pagi pada setiap hari Isnin, semua pelajar dikehendaki berada di tapak perhimpunan yang terletak berhampiran dengan kantin. Krisya Norsabrina dan Jasmin yang sememangnya berada di kantin terus menyelit di celah-celah barisan pelajar perempuan tapi mestilah di barisan belakang. Senang dia orang nak bersembang nanti.

Setiap kali perhimpunan, pelajar lelaki dan pelajar perempuan akan diasingkan. Pelajar lelaki di sebelah kiri dan pelajar perempuan di sebelah kanan. Dalam barisan itu pula, para pelajar akan disusun mengikut tingkatan. Para pengawas pula akan berdiri di tepi mengelilingi pelajar-pelajar ibarat pihak berkuasa yang sedang mengawasi pendatang tanpa izin bagi memastikan pelajar-pelajar tidak membuat bising ketika perhimpunan dijalankan.

Selepas para guru dan pelajar mengambil tempat masing-masing, lagu ‘Negaraku’ dimainkan diikuti oleh lagu ‘Negeri Pahang’ dan seterusnya lagu sekolah. Semua pelajar diminta berdiri tegak bagi menghormati lagu-lagu tersebut. Selesai nyanyian itu, pengawas yang bertugas sebagai pengerusi majlis memberi ucapan pembukaan bagi majlis perhimpunan pada pagi itu. Semua pelajar tekun mendengar ucapannya terutamanya pelajar-pelajar perempuan.

“Alah, dia ke yang bertugas hari ni? Menyesal pula aku tak berdiri kat barisan depan,” ujar Jasmin sambil matanya tidak berkelip memandang pengawas yang merangkap pengerusi majlis itu.

“Aku tak faham. Kenapa semua pelajar perempuan minat sangat dengan Che Wan tu?” soal Krisya Norsabrina sambil memandang sekilas jejaka yang menjadi pujaan ramai pelajar perempuan sekolah itu termasuklah sahabat baiknya yang seorang ini.

“Kau tak rasa dia cute ke?” mata Jasmin masih tidak lepas menatap wajah sang pujaan.
Siapa yang tidak kenal dengan Che Wan Safuan? Satu sekolah kenal dia! Walaupun dia bukan ketua pengawas dan hanya pengawas biasa tapi popularitinya adakalanya mengalahkan ketua pengawas malah boleh dikatakan sama popularnya dengan pengetua.

Cute?” Krisya Norsabrina mengamati wajah Che Wan Safuan. “Biasa aje aku tengok. Cute lagi Nan aku.”

Jasmin mencebik.

“Memanglah kau tak rasa dia cute sebab mata kau tu dah dibayangi dengan wajah Nan aje,” bantah Jasmin. Hanya perempuan yang rabun yang tidak tertarik dengan muka cute Che Wan Safuan itu. Kalau buta tu, lainlah sebab dia orang tak nampak!

“Yalah, cute tu subjektif. Pada kau, cute itu macam Che Wan tapi pada aku, cute tu macam Nan,” Krisya Norsabrina cuba menyejukkan hati sahabat baiknya itu. Takkan sebab semua orang cakap dia cute, aku pun kena cakap dia cute? Takkan sebab aku sorang aje tak minat apa yang majoriti minat, aku dianggap pelik? Cita rasa setiap orang tu kan berbeza-beza. Kalau semua orang minat Maleeq, artis yang tengah popular sekarang ni, takkan aku pun kena minat dia juga? Tu tak ikhlas namanya. Minat ikut orang!

“Ada-ada aje jawapannya. Aku rasa andaian aku betullah. Kau memang berbakat dalam perbahasan. Aku calonkan nama kau kat Cikgu Fatimah nak?” seloroh Jasmin.

“Boleh tapi kau jangan salahkan aku pula nanti.”

“Kenapa?”

“Manalah tahu nama aku lebih popular daripada kau.”

“Oho, ada hati nak lawan populariti aku, ya!”

“Awak berdua nak bercakap kat depan ke?”

Krisya Norsabrina dan Jasmin terdiam apabila seorang pengawas perempuan berdiri di sebelah mereka. Pantas mereka menggeleng tanda tidak mahu. Krisya Norsabrina dan Jasmin tersengih sesama sendiri selepas pengawas perempuan itu berlalu. Kemudian mereka kembali menumpukan perhatian kepada guru yang sedang berucap di hadapan.

Selepas seorang, seorang guru yang mengambil giliran berucap. Tidak seperti selalu, bilangan guru yang berucap pada pagi itu dirasakan lebih ramai daripada biasa sehingga melebihi masa yang diperuntukkan untuk waktu perhimpunan. Para pelajar yang tadinya berdiri sudah mula melabuhkan punggung di atas jalan tar yang dijadikan tempat berhimpun itu. Kaki mereka sudah naik lenguh selepas hampir satu jam berdiri.

“Lamanya… Bila nak habis ni?” Beberapa orang pelajar merungut apabila pengerusi majlis menjemput pengetua pula untuk memberi ucapan.

“Terima kasih pengerusi majlis. Baik, saya takkan bercakap lama. Saya tahu awak semua dah penat berdiri,” Puan Hajah Rubiah selaku pengetua SMK Abdul Rahman Talib meringkaskan ucapannya. “Saya cuma nak sentuh pasal rombongan pelajar-pelajar Tingkatan Lima ke Kuala Lumpur pada hujung bulan depan. Saya harap semua pelajar Tingkatan Lima dah sedia maklum pasal perkara ni. Jadi, sila beri nama sebelum akhir bulan ni. Okey, tu aje.”

“Dengan berakhirnya ucapan daripada pengetua tadi, maka berakhirlah sudah perhimpunan kita pada pagi ini...” Sebelum sempat pengerusi majlis menghabiskan ayatnya, para pelajar sudah pun berdiri untuk kembali ke kelas masing-masing. Namun sebelum mereka dibenarkan kembali ke kelas, mereka perlu melalui pemeriksaan sahsiah rupa diri oleh para pengawas yang bertugas.

“Alamak, Sya! Aku tak pakai kain dalam,” bisik Jasmin.

“Hah? Kenapa kau tak pakai? Bukan ke hari ni hari Isnin?” Krisya Norsabrina hampir menjerit. Sepatutnya Jasmin tahu pakaian mereka akan diperiksa pada setiap hari Isnin termasuklah pakaian yang dalam-dalam.

Mungkin peraturan sebegini dianggap remeh dan menyusahkan bagi sesetengah pelajar namun hakikatnya peraturan itu dibuat bukan untuk menyusahkan mahupun menyiksa mereka tetapi sebaliknya bagi mendidik dan mendisiplinkan diri mereka. Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, mereka harus dididik sejak di bangku sekolah lagi.

Namun sudah menjadi adat, ada di kalangan pelajar yang seakan sengaja melanggar peraturan sekolah. Maklumlah jika mereka terlalu patuh dikhuatiri akan dicop sebagai skema pula oleh kawan-kawan.

“Aku lupa…”

“Habis, macam mana sekarang?”

“Kita tunggu pelajar lain diperiksa dululah,” ujar Jasmin. Dapatlah aku tengok muka Che Wan aku puas-puas sebelum balik kelas. Dari tadi mata Jasmin seakan sudah digam pada jejaka itu. Sedikit pun tidak berkalih.

Krisya Norsabrina menggeleng-geleng melihatkan tabiat Jasmin yang satu itu. Pantang nampak jejaka yang bernama Che Wan Safuan itu, mata Jasmin pasti akan terus melekat pada wajah itu selagi wajah itu tidak hilang daripada pandangannya.

Penyakit Jasmin itu memang agak kronik. Apabila ternampak Che Wan Safuan saja, dia jadi kaku. Cuma anak matanya yang bergerak memerhatikan wajah dan tubuh itu. Pernah sekali ketika mereka sedang belajar di dalam kelas, tiba-tiba Jasmin yang duduk di sebelahnya itu jadi kaku. Ingatkan kenapa, rupa-rupanya Che Wan Safuan sedang berjalan melintasi kelas mereka.

Tetapi yang peliknya, Jasmin seakan peka dengan kehadiran Che Wan Safuan. Seolah-olah ada suatu kuasa di dalam dirinya yang dapat memberitahunya tentang kehadiran jejaka itu. Kat mana-mana aje, mesti dia perasan kelibat jejaka tu. Kalau dah angau tu, angau juga!

“Dah, dia dah pergi. Jom balik kelas,” Krisya Norsabrina menarik lengan Jasmin apabila terlihat Che Wan Safuan sudah berlalu dari situ. Takut nanti Jasmin lupa diri dan mengikut Che Wan Safuan ke kelasnya pula.

Seakan baru terjaga daripada mimpi, Jasmin mengekor langkah Krisya Norsabrina tanpa banyak soal.

Tiada ulasan: