Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Mei 25, 2010

Pemuja Rahsia (Bab 2)

KELAS 5 Sains Berani riuh-rendah tatkala Krisya Norsabrina dan Jasmin menapak di kelas itu. Cikgu Fatimah, guru Bahasa Melayu mereka pula masih belum masuk. Kebiasaannya waktu pertama selepas perhimpunan akan bermula agak lewat sedikit memandangkan guru-guru akan mengadakan mesyuarat mingguan di bilik guru.

Ekoran itu, peluang itu akan digunakan sebaik-baiknya oleh para pelajar untuk berbual-bual sesama mereka. Bagi yang belum menyiapkan kerja rumah pula, inilah masanya untuk mereka meniru kerja rumah kawan-kawan mereka dan selalunya buku pelajar yang paling cemerlanglah yang menjadi mangsa.

“Mon, pinjam kerja rumah Fizik Jumaat lepas,” ujar salah seorang pelajar lelaki apabila terlihat Jasmin, pelajar paling cemerlang 5 Sains Berani. Semua jawapannya mesti betul!

“Eh, suka hati kau aje! Buatlah sendiri,” Krisya Norsabrina menyampuk. Ingat kawan aku ni apa? Kilang kerja rumah?

“Sibuklah kau ni, Sya. Aku mintak dengan Mon, bukan dengan kau. Kau Mon ke?”

“Aku tahulah aku bukan Mon tapi Mon ni kawan aku. Aku takkan biarkan kau pergunakan dia,” balas Krisya Norsabrina. Orang lain penat-penat perah otak, dia sedap-sedap tiru jawapan. Banyak cantik?

“Mon, pinjamlah. Takkan kau sanggup tengok aku kena marah dengan Cikgu Rosmawati?” Pelajar lelaki itu cuba meraih simpati Jasmin.

Jasmin serba salah. Dia kasihan melihat wajah pelajar lelaki itu yang penuh berharap kemudian memandang Krisya Norsabrina.

“Jangan bagi, Mon,” tegas Krisya Norsabrina. Siapa suruh tak siapkan awal-awal? Sendiri tanggunglah akibatnya.

Walaupun Krisya Norsabrina berkeras menghalangnya, namun Jasmin tetap memberikan kerja rumahnya kepada pelajar lelaki itu. Zulhelmi terus menyambar buku itu dari tangan Jasmin lalu kembali ke tempat duduknya sambil tersenyum sinis kepada Krisya Norsabrina. Krisya Norsabrina mengetap bibir.

“Mon, kenapa kau bagi dia?” Krisya Norsabrina tidak berpuas hati dengan tindakan temannya itu. Baginya, tindakan Jasmin membenarkan kawan-kawannya meniru kerja rumahnya hanya akan merosakkan mereka.

Memanglah semua pelajar mengharapkan tanda right pada setiap jawapan mereka namun tujuan sebenar mereka belajar bukan sebab hendak dapat tanda right semata-mata tetapi juga memahami apa yang diajar oleh para guru. Apalah gunanya semua tanda right itu jika hanya sekadar di atas sehelai kertas!

“Biarlah.”

“Biar, biar, biar! Sampai bila? Kau sedar tak yang dia orang tu cuma pergunakan kau?”

“Sya, takkan kau sanggup tengok dia orang kena marah dengan Cikgu Rosmawati? Kau pun tahu kan Cikgu Rosmawati tu macam mana orangnya?” terang Jasmin. Entah kenapa bibirnya sukar mengatakan tidak apabila kawan-kawannya meminta sesuatu daripadanya.

Cikgu Rosmawati adalah guru Fizik mereka dan merupakan guru yang paling garang di sekolah itu. Disebabkan itu, ramai pelajar yang gerun dengannya. Justeru, tidak ada sesiapa pun yang berani tidak menyiapkan kerja rumah Fizik walaupun mereka terpaksa meniru.

“Yalah tapi dia orang tak pernah pun nak siapkan kerja rumah sendiri. Asyik tiru kerja orang lain. Kalau Cikgu Rosmawati tahu dia orang tiru kerja rumah kau, kau ingat Cikgu Rosmawati tak marah?”

“Dahlah, Sya. Aku tak nak gaduh dengan kau,” Jasmin melabuhkan punggung ke kerusi. Dia tidak mahu perkara remeh sebegitu menjejaskan hubungan mereka berdua.

“Yalah, siapalah aku ni. Aku ni kan tak pandai macam kau,” Krisya Norsabrina seakan merajuk. Dalam soal pelajaran, mungkin Jasmin lebih cemerlang daripadanya tapi itu tidak bermakna Jasmin juga bijak dalam semua perkara.

Krisya Norsabrina dan Jasmin masing-masing membuat hal sendiri. Untuk seketika, mereka tidak bertegur sapa.

“Pagi yang gempar kini sudah tenang…” Tiba-tiba seorang pelajar lelaki bernyanyi bagi menghilangkan kebosanannya.

“Apa yang kau nyanyi tu? Lagu ke sampah?” Seorang pelajar lelaki lain pula menyampuk.

Mendidih darah Krisya Norsabrina apabila mendengar kata-kata teman sekelasnya itu. Berani dia kata lagu Petir sampah?

Jasmin yang perasan akan perubahan air muka Krisya Norsabrina tidak sempat menahannya apabila sekelip mata saja Krisya Norsabrina sudah pun berada di hadapan pelajar lelaki itu.

“Woi, Azan! Apa kau cakap tadi? Kau cakap lagu Petir sampah?” marah Krisya Norsabrina. Sesedap mulut dia aje kata lagu Petir sampah. Lagu dengan sampah pun tak tahu nak beza ke?

“Kenapa? Kau ada masalah ke?” pelajar yang dipanggil Azan tadi menentang Krisya Norsabrina. Apa hal pula minah ni? Tiba-tiba aje nak marah. Petir tu abang dia ke?

“Lagi sekali aku dengar kau kutuk Petir, siap kau!” tegas Krisya Norsabrina.

“Suka hati akulah. Mulut aku. Kau sibuk kenapa?” balas Azan. Aku ada mulut. Suka hati akulah nak cakap apa pun.

“Mestilah aku sibuk sebab kau kutuk Petir aku.”

“Kau ingat Petir tu bagus sangat ke?”

Baru ada nama sedikit, dah berlagak bagus padahal tak adalah hebat mana pun. Muka pun tak semegah. Entah apalah yang peminat dia orang suka sangat.

“Memang dia orang bagus pun. Hanya orang yang buta muzik macam kau yang tak pandai nak bezakan lagu dengan sampah. Kesian… ada otak tapi tak pandai berfikir. Nama aje sedap tapi perangai macam setan,” Krisya Norsabrina sudah mula menunjukkan taringnya. Memang silaplah siapa yang mengutuk Petir di hadapannya.

Entah kenapalah manusia ini suka sangat dengki pada orang. Pantang tengok orang lain berjaya, mulalah diri itu rasa tidak senang duduk lalu dicari jalan untuk menjatuhkan orang yang dicemburuinya. Sepatutnya dia orang berbangga dengan kejayaan bangsa sendiri. Ini tak, lagi dihentamnya adalah. Entah apalah yang dia orang nak.

Krisya Norsabrina sangat terkilan apabila ada segelintir pihak yang sanggup bersusah payah bagi memastikan kejatuhan Petir. Siap buat kumpulan ‘boikot petir lagi kat laman facebook. Entah-entah Azan pun salah seorang daripada dia orang. Banyak betul masa dia orang nak buat benda-benda ni, ya. Dah tak ada kerja lain agaknya. Kalau tak minat, tak payahlah nak kutuk. Diam-diam dahlah. Buat malu bangsa sendiri aje.

Daripada buat perkara tak ada faedah tu, bukan ke lebih baik kalau dia orang manfaatkan masa dia orang yang banyak sangat tu dengan kerja-kerja amal. Sekurang-kurangnya dapatlah juga pahala.

“Kurang asam punya perempuan! Kau kata aku setan?” Azan mengepal penumbuk. Kalau kau lelaki, dah lama aku debik!

“Kenapa? Kau nak pukul aku? Pukullah! Kau ingat aku takut dengan kau?” Krisya Norsabrina berlagak berani walhal hatinya sudah kecut. Bimbang sekiranya Azan benar-benar memukulnya. Kalau dia pukul aku betul-betul macam mana? Ah, biarlah! Kalau dia pukul aku, memang dia tak patut.

“Kau ingat kau perempuan, aku tak berani pukul kau?” Azan sengaja mengertak Krisya Norsabrina. Dia berasa tercabar. Minah ni nampak aje pendiam tapi bila bersuara, mak aih! Boleh tahan juga pedasnya.

“Tunggu apa lagi? Pukul ajelah!”

“Minah ni memang nak kena dengan aku.”

Pelajar lain yang tadinya ibarat menonton adegan dalam drama mula bersorak. Adakah Azan betul-betul akan memukul Krisya Norsabrina? Takkanlah kut? Krisya Norsabrina tu kan perempuan. Tak pun, entah-entah Krisya Norsabrina yang membelasah Azan. Macam mana?

“Kenapa bising sangat ni?”

Semua mata tertumpu ke arah suara itu. Di muka pintu, kelihatan seorang guru yang berbadan kurus sedang merenung tajam ke arah mereka. Melihatkan itu, semua pelajar bergegas ke tempat duduk masing-masing. Krisya Norsabrina sempat menjeling kepada Azan sebelum dia kembali ke tempat duduknya di belakang.

“Geram betul aku,” marah Krisya Norsabrina masih bersisa.

“Dahlah. Yang kau pergi layan dia tu kenapa?” Jasmin seolah-olah terlupa dengan pertengkaran antara mereka sebentar tadi.

Begitulah persahabatan antara Krisya Norsabrina dengan Jasmin. Mereka berdua jarang-jarang bergaduh. Tapi kalau bergaduh pun cuma sebentar. Tak sampai lima minit, mereka sudah berbaik-baik semula.

“Habis, kau ingat aku nak biarkan aje dia kutuk Petir aku?” Krisya Norsabrina memang pantang apabila ada sesiapa yang mengutuk Petir. Petir tak buat salah dengan dia orang tapi kenapa dia orang tak suka Petir? Dengkilah tu!

“Tak payah layanlah,” nasihat Jasmin. Dia masak benar dengan sikap Krisya Norsabrina yang tidak boleh dengar orang kutuk pasal band kesayangannya itu. Kadang-kadang Jasmin juga berasa pelik dengan sikap Krisya Norsabrina nan satu itu. Daripada seorang yang pendiam, Krisya Norsabrina boleh bertukar menjadi seorang yang pandai berdebat apabila sesuatu perkara itu membabitkan Petir.

Dia sendiri tidak faham atas sebab apa Krisya Norsabrina boleh jadi sebegitu emosional dengan tiba-tiba jika disebut tentang Petir. Mungkin begitulah sikap sesetengah peminat fanatik yang terlalu taksub dengan artis pujaan mereka. Pantang artis pujaan mereka dikritik, maka akan melentinglah peminat-peminat ini.

Macamlah artis tu hargai apa yang dia orang buat. Macam mana artis tu nak hargai kalau kewujudan dia orang pun artis tu tak tahu? Apa yang dia orang dapat kalau memuja seseorang artis tu?





KEADAAN di kamar tidur itu kelihatan tenang. Kipas di siling berputar ligat. Lagu dari winamp di komputer riba yang diletakkan di atas katil juga dibiarkan berkumandang kuat.

Dengan baju kurung sekolah yang masih tersarung di tubuhnya, Krisya Norsabrina duduk di atas katil sambil tangannya lincah menggunting sesuatu dalam surat khabar Pancawarna semalam. Pada waktu yang sama juga, mulutnya terkumat-kamit bernyanyi kecil mengikut bait lirik lagu ‘Cubaan-Nya’.

“Ini semua cubaan-Nya… Semua cubaan…”

Main hentam saja nyanyinya. Langsung tak ikut tempo! Selesai menggunting, Krisya Norsabrina bangkit ke meja belajarnya di tepi tingkap. Bekas pensel di atas meja diselongkar.

“Mana pula ni? Takkan tertinggal kat kelas kut?” Krisya Norsabrina tidak berpuas hati lalu semua barang di dalam bekas pensel itu dikeluarkan. Namun barang yang dicari masih tidak ditemui.

Beg sekolah berwarna hijau yang tersangkut di kerusi pula diselongkar. Dari zip besar hinggalah zip yang paling kecil. Tak ada juga!

“Manalah perginya?” Krisya Norsabrina baru saja hendak melangkah ke katil semula apabila kakinya terpijak sesuatu. Krisya Norsabrina memandang ke lantai. “Ha, ni pun dia! Kau nak main nyorok-nyorok dengan aku, ya?”

Krisya Norsabrina mengutip botol gam yang bergolek di atas lantai. Mungkin terjatuh dari atas katil tadi. Krisya Norsabrina menyapu gam pada kepingan surat khabar yang diguntingnya tadi dan kemudian dilekatkan pada polistrin yang dibuat seperti papan kenyataan di meja belajarnya.

“Barulah ada semangat nak belajar,” Krisya Norsabrina tersenyum melihat gambar Petir yang sudah siap digunting dan ditampal itu.

Seketika kemudian, pintu bilik itu diketuk dari luar. Seorang wanita berusia hampir 40-an menjenguk di muka pintu.

“Astaghfirullah… Rina, kenapa sepah-sepah ni?” Puan Nadhira terkejut melihat keadaan bilik itu. Majalah dan surat khabar bertaburan di atas lantai. Ada juga serpihan-serpihan kecil kertas yang sudah digunting. Tudung sekolah dan beberapa helai baju berselerakan di atas katil. Ni bilik anak dara ke anak teruna? Semak betul! Dengan suara dari komputer riba yang kuat macam ada konsert.

“Kejap lagi Rina kemaslah,” balas Krisya Norsabrina.

“Kejap lagi, kejap lagi,” Puan Nadhira faham benar dengan tabiat anaknya itu. Suka bertangguh! Keadaan bilik anak daranya itu benar-benar menyemakkan pandangan matanya. “Perlahankan sikit suara laptop tu. Marah jiran sebelah nanti.”

Krisya Norsabrina menurut. Suara komputer riba direndahkan.

“Kawan Rina telefon.”

“Okey,” Krisya Norsabrina bingkas ke ruang tamu yakni tempat telefon rumah itu diletakkan. Siapa lagi yang akan menelefonnya kalau bukan kawan baiknya itu. Gagang telefon dilekapkan ke telinga.

“Helo, Mon.”

“Sya, kau tengah buat apa?”

“Tak buat apa-apa. Rehat-rehat aje.”

“Kau dah buat ulang kaji untuk ujian esok?”

“Belum. Satu apa pun aku tak baca lagi.”

“Lebih baik kau mula baca sekarang. Banyak juga yang nak kena baca.”

“Aku mudah lupa kalau baca awal-awal. Malam nanti baru aku baca,” ujar Krisya Norsabrina.

”Sempat ke nak baca semua? Nak buat kerja rumah lagi. Aku dah semak kerja rumah hari ni. Banyak gila,” keluh Karina Jasmin. Hampir setiap mata pelajaran ada kerja rumah. Sempat ke nak siapkan semuanya dan buat ulang kaji untuk ujian esok?

“Ya ke? Aku tak semak pun lagi. Tapi bukan semuanya nak kena hantar esok, kan?”

“Memanglah tapi banyak juga yang nak kena siapkan. Tak tahulah sempat ke tak nak siapkan semua sebelum malam ni.”

“Insya-Allah sempat,” ujar Krisya Norsabrina penuh yakin. “Mon, kau tengok tak cerita tadi?”

“Alamak, aku lupa! Tulah khusyuk sangat buat kerja rumah dan buat ulang kaji untuk ujian esok. Apa jadi kat heroin dia tu, ya?”

“Rahsia dia dah terbongkar!” Krisya Norsabrina rancak berbual-bual dengan Jasmin di hujung talian hingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Daripada perihal kerja rumah berlanjutan tentang rancangan drama di televisyen, aktiviti sekolah dan lain-lain.

“Rina, apa lagi yang disembangkan tu? Dari tadi mama tengok Rina asyik bergayut aje. Kerja rumah dah siap?” Puan Nadhira menegur sikap anak gadisnya. Kat sekolah dah jumpa, balik sekolah pun masih nak bersembang? Nak kata kawan yang telefon tu pakwe Rina, mustahil pula sebab yang telefon tu pun perempuan. Entah apa yang disembangkannya? Tak faham aku.

“Belum,” Krisya Norsabrina mengalih gagang telefon dari telinganya.

“Bila nak buatnya?”

“Kejap lagi.”

“Tulah jawapannya. Kejap lagi, kejap lagi. Cuba kalau mama cakap, jangan bertangguh,” tegas Puan Nadhira. Dia tidak mahu anaknya mengamalkan sikap suka bertangguh itu.

“Yalah, yalah. Rina buat sekarang,” Krisya Norsabrina melekapkan kembali gagang telefon ke telinganya. “Mon, kita sambung esok, ya? Mak aku dah bising. Okey.”

Krisya Norsabrina segera berlalu ke biliknya sejurus gagang telefon diletakkan. Namun di bilik, Krisya Norsabrina tidak berbuat seperti apa yang disuruh oleh ibunya tadi. Sebaliknya dia mencapai broadband di atas meja lalu dicucuk ke komputer ribanya.

Baru pukul 5.00 petang. Banyak masa lagi. Main Internet dululah. Pukul 8.00 malam nanti baru buat kerja rumah. Lepas tu, baru buat ulang kaji. Getus hati kecil Krisya Norsabrina.

Sebaik-baik saja talian Internet disambung, Krisya Norsabrina segera menaip nama akaun dan kata laluan di Yahoo Messenger. Begitulah rutin Krisya Norsabrina setiap hari selepas pulang dari sekolah. Berkurung di dalam bilik. Mendengar lagu sambil melayari Internet.

Jika sudah layan Internet, buat apa lagi? Mestilah bersembang di ruangan sembang siber selain membaca komen daripada kawan-kawannya di facebook. Apabila sudah puas melayari Internet, barulah nak buat kerja rumah. Waktu itu pun mesti sudah malam.

Namun, Krisya Norsabrina tidak kisah walaupun terpaksa berjaga malam asalkan ada yang menemani. Siapa lagi kalau bukan lagu-lagu di winamp komputer ribanya. Itulah tabiat Krisya Norsabrina yang tidak dapat ditinggalkannya. Sehari tak dengar lagu memang tak sah.

Lebih-lebih lagi sejak dia sudah ada komputer riba. Lagi keraplah dia dengar lagu. Kalau dengar lagu pula, dia suka buka kuat-kuat. Inilah cara Krisya Norsabrina merehatkan minda dan melupakan masalah walaupun dia pernah gagal mata pelajaran Muzik ketika Darjah Enam dahulu. Tapi bila peperiksaan akhir tahun, dia dapat A pula!

Jenis muzik yang selalu didengarinya pula bergantung pada emosinya ketika itu. Bila dia tengah marah, dia akan dengar lagu yang dapat melepaskan kemarahan macam lagu-lagu yang berentak rancak dan agresif. Bila dia tengah sedih, dia akan dengar lagu yang dapat menggambarkan perasaannya waktu itu macam lagu-lagu yang melankolik dan berentak perlahan.

Muzik seakan-akan sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Tanpa muzik, terasa macam harinya tak lengkap. Di bilik, bila nak buat kerja sekolah, dia pasti dengar lagu. Di dapur, bila nak makan pun, dia pasang radio. Adakalanya dia bukannya nak dengar sangat lagu tu tapi sengaja dia nak ada bunyi. Dia memang tidak betah apabila suasana sunyi sepi. Bahkan Krisya Norsabrina menghidapi sejenis penyakit sukar tidur jika suasana terlalu sunyi. Disebabkan itu, Krisya Norsabrina akan membuka radio setiap kali dia nak tidur.

Pernah pada suatu malam, matanya enggan lelap walaupun sudah puas dipejamnya. Ketika duduk di meja belajar, sudah berpuluh-puluh kali mulutnya menguap tapi apabila dia baring di katil matanya tidak pula mahu lelap. Justeru, Krisya Norsabrina sengaja membuka radio untuk menemaninya. Namun tak sampai beberapa saat, matanya terus lena dibuai mimpi.

Makanya sekarang, jika dia berhadapan dengan masalah sukar tidur, dia sudah ada ubatnya! Tidak perlu minum susu ataupun membaca buku. Cuma pasang lagu, maka tidurlah dia. Jika dulu tidurnya bertemankan lagu-lagu Sheila on Stage tapi sekarang tidurnya bertemankan lagu-lagu Petir yang mana kesemuanya adalah ciptaan anggota Petir sendiri.





HUAARGH... Mulutnya yang ternganga luas itu ditutup dengan tangan. Masuk kali ini, sudah hampir lima puluh kali dia menguap. Namun, dia masih gagah bersekang mata demi menyiapkan kerja rumahnya meskipun jam sudah melewati 12.00 tengah malam. Sangkanya cuma sedikit, jadi dia pun sempat lagi menonton cerita kartun kegemarannya di televisyen selepas makan malam tadi.

Rupa-rupanya jumlah muka suratnya saja yang sedikit tapi jumlah soalannya lebih daripada 20 soalan dan memerlukan berhelai-helai kerja kajang bagi membuat jalan kira-kira. Sudahlah soalannya susah! Tatkala itu, dia berasa menyesal tidak menyiapkan kerja rumah itu pada petang tadi. Jika tidak, pasti sekarang dia sudah terlena diulit mimpi indah.

Mengantuknya... Dia berhenti menulis seketika. Main games kejaplah. Baru saja dia hendak bangkit menuju ke arah komputer riba yang sedang memainkan lagu ‘Aku Struggle’ daripada Petir di atas katil, ada suatu suara menegahnya. Jangan, Krisya! Tak boleh! Siapkan kerja rumah dulu! Tapi aku dah mengantuk...

Krisya Norsabrina memandang komputer ribanya di atas katil. Komputer riba itu seolah-olah menggamitnya. Pandangannya kemudian ditala ke buku latihan di atas mejanya. Banyak lagi ni. Dapat siap ke? Jam di atas meja dilihat. Hampir pukul 2.00 pagi. Dia menguap lagi. Tak laratnya...

Tak apa, Krisya! Kita orang setia menemani awak. Berusaha! Gambar Petir pada papan kenyataan di hadapan mejanya seakan mengembalikan semangatnya. Bertahan, Krisya! Sikit aje lagi. Krisya Norsabrina membuat sedikit senaman ringan sebelum menyambung kerja rumahnya. Namun, semangatnya itu tak lama. Seminit kemudian, terhuyung-hayang dia berjalan ke arah katil lantas terus terlelap.

Tiada ulasan: