Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Januari 18, 2012

Budak SMART (Bab 5)

LOCENG waktu pertama telah berdering. Para pelajar bergegas ke kelas masing-masing. Namun tiga orang pelajar lelaki itu masih leka bersembang di kantin. Melihatkan keadaan itu, seorang pengawas perempuan menghampiri mereka bertiga.

“Azrizal, Shafik, Iqbal, kenapa tak masuk kelas lagi? Awak bertiga kena masuk kelas sekarang. Kelas dah nak mula,” pengawas perempuan itu memberi arahan. Dia mesti tegas dengan tiga orang pelajar itu. Bukan boleh beri muka sangat dia orang ni.

“Sabarlah, sayang. Sekejap lagi kita orang masuklah. Sayang masuk kelas dulu ya. Sekejap lagi abang datang.”

Merah padam muka pengawas perempuan itu apabila mendengar panggilan sayang Azrizal kepadanya.

Azrizal tersengih melihat reaksi pengawas perempuan itu. Dia tahu benar kelemahan pengawas perempuan itu.

Pengawas perempuan itu cuba bertegas. “Baik awak bertiga masuk ke kelas sekarang. Kalau tak…”

“Kalau tak, apa sayang?”

“Riz!” Dia tidak tahan mendengar panggilan itu lagi. Berbulu telinganya.

Memang sejak dari dulu dia membantah keras hasrat ibunya untuk menghantarnya belajar di sekolah ini. Pernah dia menyuarakan hasrat hatinya untuk bersekolah di Sekolah Menengah Tengku Afzan yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Mudah untuknya berulang-alik ke sekolah. Hanya berjalan kaki. Tambahan pula, ramai kawannya yang belajar di situ. Jadi tidaklah dia berasa sunyi.

Namun ibunya tetap berkeras mahu menghantarnya belajar di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib ini. Alasannya agar mudah bagi ibunya untuk melihat dia kerana ibunya mengajar di sekolah ini.

Walaupun sekolah ini merupakan antara sekolah yang terbaik di seluruh negeri Pahang, namun apa yang dia lihat pelajar-pelajarnya sama sahaja dengan pelajar-pelajar sekolah lain. Nama sahaja sekolah bestari, tetapi mengapa pelajar yang tidak menunjukkan ciri-ciri bestari juga diterima untuk belajar di sini?

“Cikgu-cikgu tak boleh nak buat apa-apa sebab ibu bapa dia orang merupakan penyumbang terbesar dalam PIBG sekolah,” ujar ibunya apabila soalan itu diajukan.
Mentang-mentanglah ibu bapa mereka penyumbang terbesar dalam PIBG sekolah, mereka fikir mereka boleh buat sesuka hati mereka? Kalau hendak buat sesuka hati, suruhlah ibu bapa mereka bina sekolah sendiri. Peraturan tetap peraturan. Semua pelajar harus mematuhinya.

“Baiklah, sayang. Abang masuk ke kelas sekarang ya.” Azrizal mengajak Shafik dan Iqbal masuk ke kelas.

Laily menghantar langkah mereka bertiga dengan anak matanya. Yalah tu. Ingat aku tak tahu kegiatan kau orang? Bukan dia tidak tahu tabiat mereka bertiga yang suka ponteng sekolah terutamanya waktu mata pelajaran Sejarah. Tetapi ke mana, dia sendiri tidak dapat menjawabnya.



“ORANG dah masuk kelas ni. Jom kita cabut.” Shafik melihat sekeliling.

Kawasan sekolah itu telah sunyi memandangkan para pelajar berada di kelas masing-masing pada waktu itu.

“Jom.” Mereka bertiga melangkah ke pagar depan.

“Ada orang tak?”

Mereka bertiga melihat-lihat sekeliling bagi memastikan tiada sesiapa yang nampak mereka. Line clear!

“Kau orang buat apa di sini, hah?” Suara itu menyertakkan mereka bertiga. Serentak mereka memandang ke arah suara itu.

“Eh, kalau kau nak belajar lama di sekolah ni, lebih baik kau jaga hal kau sendiri,” Azrizal memberi amaran kepada pelajar lelaki itu. “Jangan sibuk hal kita orang. Dah, pergi masuk kelas. Belajar rajin-rajin.”

“Riz, boleh percaya ke budak baru tu?” Shafik mula tidak sedap hati.

“Yalah, Riz. Kalau dia beritahu pengetua, macam mana?” tanya Iqbal pula.

“Dia takkan berani punya,” ujar Azrizal yakin walaupun sebenarnya dia sendiri tidak pasti apa yang akan dilakukan oleh pelajar baru itu.

“Tapi kalau dia lapor pada pengetua?”

“Tahulah aku ajar dia.” Azrizal sudah pun melepasi pagar batu itu.

Shafik mengikut jejak Azrizal, namun Iqbal masih tidak berganjak di situ. Dia masih ragu-ragu.

“Ball, kau nak ikut ke tak?” Azrizal pelik apabila Iqbal masih berdiri di situ.

“Aku ikut.” Iqbal memanjat pagar itu mengikut teman-temannya ke seberang jalan.



APA lagi masalah budak bertiga ni? Setiap hari kerjanya menambah kedutan pada muka orang sekeliling. Aku yang baru berusia lewat 40-an ini pun sudah nampak tua daripada usia yang sebenar. Budak bertiga ini memang tidak serik. Suka sangat menjadi tetamu kehormat Cikgu Mohamad. Sudah beratus kali keluar dan masuk bilik guru disiplin pun tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Dalam banyak-banyak peraturan sekolah, peraturan mana yang mereka belum langgar? Datang dan balik sekolah sesuka hati, ponteng kelas, tidak membuat kerja rumah, menyakat pelajar perempuan, buat bising, bergaduh... semuanya mereka sudah lalui. Cuma tinggal tidak bakar sekolah saja. Ops! Kalau bakar sekolah, tidak dapatlah mereka hendak ponteng kelas, ya tak?

Puan Hajah Rubiah pening kepala mengenangkan sikap budak bertiga itu. Sebentar tadi, dia mendapat laporan daripada seorang pelajar. Katanya Azrizal dan kawan-kawannya merancang untuk ponteng sekolah. Ke mana pula dia orang nak pergi? Ke mana lagi? Mesti ke tempat itu!



“RIZ, kau main dah lama. Bagilah aku pula.” Iqbal menolak Azrizal yang sedang ralit bermain permainan komputer di sebuah komputer.

“Nantilah. Aku tengah syok main ni. Kau mintalah dengan Chap.” Azrizal masih tidak berganjak dari komputer di hadapannya.

“Bosanlah macam ni.” Iqbal melihat sekitar kafe siber itu. Semua tempat telah diisi.
Jika tidak masuk ke sekolah, itulah destinasi mereka. Kafe siber yang terletak di seberang jalan itu berhadapan dengan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar yakni sekolah di hadapan sekolah mereka. Kedua-dua sekolah itu memang selalu bersaing baik dari segi pelajaran mahupun ko-kurikulum.

“Seronok nampak?”

Mereka tersentak mendengar suara itu. Suara itu sudah tidak asing lagi kepada mereka. Pengetua? Perlahan-lahan mereka menoleh ke belakang. Kelihatan Puan Hajah Rubiah tersenyum memandang mereka. Gulp! Ketiga-tiganya menelan liur.



AZRIZAL, Shafik dan Iqbal dibawa ke bilik pengetua. Teruk mereka dimarahi oleh pengetua. Namun semua itu tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap mereka. Lagipun ini bukanlah kali pertama mereka ditangkap kerana ponteng sekolah. Sudah berpuluh-puluh kali. Mereka pun sudah lali.

Mereka terus berlalu ke kelas apabila diizinkan oleh pengetua. Sesampai sahaja di kelas, mereka bertiga terus mencari pelajar baru itu dengan perasaan marah yang membuak-buak. Sikap pelajar baru yang dianggap penyibuk itu benar-benar mencabar mereka. Memang pelajar baru itu perlu diajar! Biar dia tahu siapa mereka.

Pelajar baru itu telah bersedia apabila melihat tiga pelajar itu melangkah ke arahnya. Dia tahu yang mereka pasti tidak berpuas hati dengannya.

“Kau apa hal, hah?” marah Azrizal.

“Kenapa? Kau tak puas hati?” Pelajar baru itu menentang pandangan mata Azrizal. Dia tidak gentar langsung dengan mereka bertiga.

“Memang aku tak puas hati!” Azrizal mula meninggikan suara. “Yang kau sibuk-sibuk sangat pasal kita orang ni, kenapa? Dah tak ada kerja lain?”

“Aku cuma buat apa yang aku rasa betul.” Pelajar baru itu mempertahankan diri. Baginya, mereka bertiga langsung tidak tahu bersyukur. Sudah diberi peluang untuk bersekolah, disia-siakan pula. Masih ramai lagi remaja di luar sana yang ingin bersekolah tetapi tidak dapat bersekolah kerana kesempitan hidup.

“Macamlah kau tu baik sangat!” Azrizal tidak puas hati dengan jawapan itu.

“Riz, kau kan penolong ketua kelas. Sepatutnya kau tunjukkan contoh yang baik,” nasihat pelajar baru itu walaupun dia tahu sebenarnya Azrizal tidak layak memegang jawatan itu. Daripada cerita yang dia dengar, Azrizal dipilih sebagai penolong ketua kelas kerana semua pelajar di dalam kelas itu sudah sedia maklum akan hubungannya dengan Athira. Jadi, mereka sengaja memilihnya.

Azrizal, Shafik dan Iqbal saling berpandangan mendengar nasihat pelajar baru itu. Kelas yang tadinya hingar-bingar sunyi serta-merta. Semua mata tertumpu ke arah mereka.

“Kau ni siapa? Sibuk nak mengajar orang. Tak payahlah kau sibuk-sibuk nak jaga hal kita orang. Kau jagalah diri kau tu sendiri,” ujar Azrizal sambil menyucuk-nyucuk badan pelajar baru itu dengan jari telunjuknya.

“Riz…” Suara lembut itu membuatkan Azrizal tidak jadi meneruskan kata-katanya.

“Husy, bengang betul aku dengan budak baru tu!” Shafik menghentak gelas plastik di meja kantin itu. Melepaskan geramnya.

“Yalah, aku pun bengang tengok budak Shamsul tu. Baru seminggu di sini, dah nak tunjuk lagak!” sokong Iqbal. Dia fikir dia dari KL, dia hebat sangatlah tu? Boleh jalanlah!

“Apa kita nak buat dengan dia sekarang?” Shafik meminta pendapat. Mereka perlu berbuat sesuatu agar pelajar baru itu tidak mencampuri urusan mereka bertiga lagi.

“Kita ajar dia sikit. Biar dia tahu,” Iqbal memberikan cadangan.

“Nak ajar macam mana?” Shafik dan Iqbal memandang Azrizal. Mereka saling berpandangan. Hairan dengan sikap berdiam diri teman mereka yang seorang itu.

“Riz, kenapa kau diam saja?” Shafik menyiku Azrizal. Dari tadi mereka sibuk berbincang, dia boleh buat dek saja?

“Tak ada apalah. Aku tengah berfikir ni,” ujar Azrizal. Memang dia geram. Kalau Athira tidak ada tadi, sudah lama budak Shamsul itu makan penumbuknya. Mengapalah budak baru itu suka sangat hendak menyibuk halnya? Adakah dia pernah menyakitkan hati budak baru itu tanpa sengaja? Tidak ada rasanya. Kenal pun tidak. Entah apa masalah budak baru itu.

“Fikir macam mana nak ajar dia?” Shafik mengagak.

“Habis tu, kau ingat aku nak lepaskan dia macam tu saja?”

“Jadi, apa rancangan kau?”

“Rancangan aku...” Azrizal tersenyum penuh makna.



Dapatkan novel ini di Kinokuniya (KLCC) dan MPH

Tiada ulasan: