Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Jun 24, 2012

Cinta Gantung (Bab 1)

TELEFON BIMBIT berwarna silver itu direnung entah buat kali yang ke berapa. Kalau renungannya itu ada kuasa, pasti telefon bimbit itu sudah hancur lebur. Selebur tahap kesabarannya waktu itu.
Sudah berpuluh-puluh pesanan ringkas yang dikirim dalam masa 24 jam tetapi tiada satu pun yang berbalas. Dia mula hilang sabar. Entah apa yang dibuat oleh orang di sana sehingga tiada masa langsung hendak membalas pesanan ringkasnya.
Nak kata sibuk dengan kerja, bukankah hari itu hari Sabtu? Nak kata belum bangun tidur, sekarang dah masuk waktu asar. Nak kata habis kredit, takkan tak top up dari semalam?   
Dulu masa nak mengurat, bukan main lagi. Tiap-tiap malam hantar ucapan selamat malam. Hampir setiap saat ada-ada sahaja perkara yang nak diceritanya. Malah, sanggup tak tidur malam gara-gara leka berbalas pesanan ringkas.
Tapi kenapa tatkala dia sudah serahkan hatinya bulat-bulat, layanan yang diterimanya semakin dingin padahal baru sahaja sebulan mereka rasmi bercinta?
Sudah puas dia mengalihkan perhatian dengan membuat tugasan-tugasan kuliah namun tidak berhasil. Matanya tetap juga terarah pada telefon bimbit yang diletakkan di atas katil itu. Sudah puas juga dia memujuk hati agar berfikiran positif namun tidak menjadi.
Manakan tidak, inilah kali pertama Asyraf tidak membalas pesanan ringkasnya dalam masa sehari. Tidak pernah Asyraf membuat hal seperti ini. Paling lambat Asyraf membalas pesanan ringkasnya pun dalam tempoh sejam sahaja.
Ah, hatinya mula berasa tidak enak. Bagaimana jika berlaku sesuatu yang buruk kepada Asyraf?
Afia mencapai telefon bimbit itu lalu suatu nombor yang sudah tersimpan dalam telefon bimbit itu didail. Dia sudah tidak betah lagi duduk menunggu begitu. Benarlah kata orang, penantian itu suatu penyiksaan. Namun, jiwanya semakin tersiksa apabila panggilannya tidak berjawab. Dia berasa seperti hendak menjerit!
“Isy, mana pula dia ni pergi?” marah Afia sendiri. Hendak dibaling telefon bimbit itu, telefon bimbit itu tidak bersalah. Lagipun sekiranya telefon bimbit itu rosak, dia sendiri juga yang susah.
Afia menutup komputer riba dan menarik selimut. Dia cuba memejamkan mata. Namun tidak sampai lima minit, matanya celik semula. Dia melihat telefon bimbitnya kembali. Manalah tahu kut-kut dia tidak mendengar bunyi pesanan ringkas atau ada panggilan masuk. Namun hampa. Hatinya semakin resah. 


SUASANA warung yang terletak di belakang asrama UiTM kampus Puncak Perdana itu agak malap tetapi cukup meriah dengan kunjungan pelajar-pelajar kolej itu. Maklumlah, malam minggu. Kesemuanya mengambil kesempatan untuk makan di luar bersama kawan-kawan. Ada juga yang meluangkan waktu untuk berdating. Dapatlah merasa ala-ala candle light dinner memandangkan setiap meja diletakkan lilin. Tetapi lilin aroma terapi sahajalah.
            Di sebuah meja, Afia dan kawan-kawannya masih menantikan pesanan makanan mereka sampai. Mungkin kerana ramai orang, jadi makanan mereka agak lambat sampai.
            Kalau diikutkan hati, Afia tidak mahu makan di situ. Dia lebih suka makan di dewan makan asrama. Tetapi Ezlyn dan Noni berkeras mahu makan di situ. Dua lawan satu, pastilah dia kalah.
Adakalanya dia geram dengan sikap kawan-kawannya itu. Bukannya mereka tidak tahu sebab apa dia tidak suka ke situ tetapi kedua-dua temannya itu seolah-olah tidak mengendahkan langsung perasaannya. Disebabkan itu, dia tiada hati mahu bersuara ketika itu.
            Ezlyn sedang berbual mesra di telefon bimbit manakala Noni pula leka berbalas pesanan ringkas. Pastilah kedua-dua teman baiknya itu sedang berhubungan dengan teman lelaki masing-masing. Dia?
            Afia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar. Kut-kutlah ada pesanan ringkas atau panggilan yang dia tidak sedar. Namun hampa. Telefon bimbit itu masih sepi.
            Jari-jemarinya mula bermain pada keypad telefon bimbit itu. Berkira-kira mahu menghantar pesanan ringkas namun hatinya pantas menegah.
Bukankah dia perempuan? Sepatutnya dia hanya menunggu si lelaki yang menghubunginya, ini terbalik pula. Nanti nampak macam dia pula yang terhegeh-hegeh. Dia perlu kuatkan hati. Telefon bimbit itu disimpan semula ke dalam poket seluar.
            Tidak lama kemudian, seorang pemuda yang menatang dulang menghampiri mereka. Pemuda itu tersenyum memandangnya namun dia berpura-pura tidak nampak. Sungguh dia tidak selesa apabila lelaki itu tidak berkelip merenungnya. Dalam hati, dia berdoa mudah-mudahan lelaki itu cepat beredar.
Namun lelaki itu seolah-olah sengaja melengah-lengahkan masa. Lambat-lambat lelaki itu meletakkan pinggan dan gelas minuman yang dipesan oleh mereka bertiga di atas meja itu satu demi satu.
            Selepas pemuda itu beredar, Afia terus menjamah makanannya. Dia mahu balik cepat. Tidak sanggup lagi berlama-lama di situ.
            “Okeylah, pa. Ma nak makan ni. Bye, I love you.” Ezlyn mengakhiri perbualan dengan teman lelakinya dan mula menumpukan pada makanan di hadapannya. Namun, dia hairan apabila makanan itu tidak sama dengan apa yang dipesannya tadi.
“Eh, aku rasa aku order nasi goreng USA tadi, kan?” Ezlyn melihat ke pinggannya. Nasi goreng itu dibalut dengan telur. “Ni nasi goreng pattaya. Kau punya betul, Noni?”
            “Salah juga,” jawab Noni.
            Ezlyn dan Noni melihat ke arah Afia yang sedang enak menjamu selera tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Kemudian, mereka berbalas pandangan.
            “Dia buat lagi,” rungut Ezlyn. Ini kali kedua makanan mereka salah dan makanan Afia seorang sahaja yang betul.
            “Habis tu, nak tukar ke?” tanya Noni.
            “Tak payahlah. Nanti entah berapa lama pulak kita kena tunggu. Makan ajelah,” usul Ezlyn lantas ketiga-tiganya makan tanpa sepatah kata lagi.


PUKUL 11.00 malam. Ketika matanya sudah hampir terlelap, barulah telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk.
Lambat-lambat dia mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di sebelah bantal. Nama pengirim dan kandungan pesanan ringkas itu dibaca sekilas. Kemudian, telefon bimbit itu diletakkan kembali di sebelah bantal tanpa membalas pesanan ringkas itu.
Dia sudah tiada hati mahu melayan pesanan ringkas daripada Asyraf. Punyalah banyak pesanan ringkas yang dihantar siang tadi tetapi Asyraf cuma menghantar pesanan ringkas ucapan selamat malam? Manalah dia tidak terasa hati.
Bukannya nak tanya apa yang dialaminya hari ini. Sakit ke, sihat ke. Hidup ke, mati ke. Agaknya kalau dia mati sekalipun, Asyraf takkan tahu.
Huh! Jangan harap dia hendak membalas pesanan ringkas itu. Biar Asyraf rasa apa yang dia rasa sepanjang hari ini. Dia memejamkan mata. Cuba melelapkan diri.
Namun tidak sampai lima minit, dia membuka mata semula. Entah mengapa dia tidak sanggup membiarkan Asyraf tertanya-tanya sepertinya lantas dia segera membalas pesanan ringkas itu. Tetapi jangan haraplah dia hendak bercakap baik-baik selepas apa yang Asyraf buat kepadanya.

Kenapa baru sekarang awak nak balas mesej saya?

Satu hari suntuk dia menunggu balasan pesanan ringkas daripada Asyraf. Sepanjang hari hatinya berasa tidak tenang. Bimbang juga dia sekiranya terjadi apa-apa yang tidak diingini kepada Asyraf. Tetapi daripada gaya bahasa pesanan ringkas Asyraf itu, rasanya keadaannya lelaki itu baik-baik sahaja. Sia-sia sahaja dia bimbangkan Asyraf sedangkan orang itu sihat walafiat.

Sorry, saya ada hal tadi. Awak dah makan?

            Sakit benar hatinya apabila Asyraf cuba mengalih topik. Asyraf langsung tidak mengambil tahu tentang perasaannya. Hal apa sehingga langsung tidak sempat membalas pesanan ringkasnya?
            Afia semakin pantas menaip pesanan ringkas seterusnya. Lantaran tidak berpuas hati dengan jawapan Asyraf, dia menghamburkan segala kemarahan yang sudah terkumpul dalam hatinya.

Buat apa awak nak ambil tahu pasal saya lagi? Kalau awak dah bosan dengan saya, awak cakap ajelah!

Beberapa saat kemudian, pesanan ringkasnya berbalas. Afia segera membacanya.

Kenapa cakap macam tu? Kan saya dah cakap tadi, saya ada hal.

Afia tidak dapat menerima alasan Asyraf. Orang lain pun sibuk juga tetapi tidak adalah sampai tidak ada masa hendak menghantar pesanan ringkas kepada teman wanita sendiri.
Tengok saja teman lelaki Ezlyn dan Noni. Setiap malam mereka pasti akan menelefon Ezlyn dan Noni sedangkan dia dan Asyraf hanya berbalas pesanan ringkas. Pasti tidak semahal kos menelefon, apatah lagi dia dan Asyraf menggunakan nombor talian yang sama. Satu pesanan ringkas baru satu sen. Kalau top up RM10 pun, pasti takkan habis dalam masa semalaman. Itu pun susah juga ke?
Adakalanya dia terfikir juga, kenapa Asyraf tak macam teman lelaki Ezlyn dan Noni? Bukankah sepatutnya semua teman lelaki bersikap begitu? Sentiasa mengambil berat dan mengambil tahu akan teman wanita mereka. Kerap berhubung bagi bertukar cerita saban hari.
Tapi kenapa Asyraf tak macam tu? Adakah Asyraf hanya menggunakannya sebagai peneman tatkala sunyi?

Hal apa?

Jika Asyraf benar-benar jujur dengannya, Asyraf pasti tidak akan teragak-agak untuk menjawab pertanyaannya itu. Bukankah antara mereka sepatutnya tiada rahsia? Melainkan Asyraf menganggap dirinya tidak penting.

Adalah. Dahlah, dah malam ni. Saya penat. Saya tidur dulu ya. Night.

            Afia menghempas telefon bimbitnya. Kenapa Asyraf tidak mahu menjawab pertanyaannya? Adakah Asyraf menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya? Hati Afia mula berasa tidak enak.

Tiada ulasan: