Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Januari 30, 2013

Cinta Gantung (Bab 15)

NASI di dalam mulutnya terasa payah untuk ditelan. Dia memandang Yusri yang duduk bertentangan dengannya.
Lelaki itu makan tanpa menghiraukan keadaan di sekeliling. Dari tadi, mereka berdua hanya makan tanpa sepatah kata. Meskipun dia serba salah untuk menerima ajakan Yusri untuk makan malam di dewan makan itu bersama-sama, tetapi tidak sampai hati pula dia hendak menghampakan permintaan Yusri yang seolah-olah terlalu mengharap itu.
Ketika menerima kiriman pesanan ringkas daripada Yusri tadi pun, dia seperti tidak percaya bahawa Yusri yang mengirimkan pesanan ringkas itu. Yalah, tidak pernah-pernah pula Yusri mengajaknya makan bersama-sama. Lagipun, mereka bukannya rapat pun. Hanya berjumpa apabila membuat tugasan kumpulan. Itu pun hanya beberapa kali dalam seminggu. Sudahlah Ezlyn dan Noni tiada. Tetapi, bagus juga mereka tiada. Kalau mereka ada, pasti dia menjadi bahan gosip.
Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu berdua-duaan dengan Yusri. Bimbang sekiranya timbul cerita yang tidak enak. Namun, dia cuba berfikiran positif bahawa tiada sesiapa pun yang akan menggosipkan mereka berdua. Bukankah mereka berdua kawan?
            Namun ketika dia dan Yusri makan di dewan makan, dia berasakan seolah-olah semua mata sedang memandang ke arah mereka sambil berbisik-bisik sesama sendiri. Pastinya mereka sedang bergosip tentang dirinya dan Yusri.
“Apa yang dia orang tengok-tengok ni? Kita orang bukan couplelah!” Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menjerit sebegitu kepada mata-mata yang memandang mereka dengan pandangan sinis itu.
            “Esok kau buat apa?”
Afia tersentak. Pertanyaan Yusri itu menyedarkannya daripada khayalan. Dia memandang pelajar-pelajar yang sedang makan di dewan makan itu. Semua pelajar di situ membuat hal sendiri. Tiada sesiapa pun yang mengendahkan mereka berdua. Semua tadi hanya bayangan fikirannya. 
“Kau tanya apa tadi?” tanya Afia.
“Esok kau buat apa?” ulang Yusri sebelum menyuapkan nasi ke mulutnya.
Walaupun lauk makan malam pada hari itu hanya ikan masak asam dan sayur kangkung, dia tetap makan dengan penuh berselera. Dia memang tidak cerewet dalam soal makan. Beruntunglah sesiapa yang menjadi isterinya. Senang hendak jaga.
            “Entah. Tidur aje kut,” jawab Afia, acuh tidak acuh.
Kebiasaannya dia lebih suka duduk di asrama, membaca novel, bermain games di komputer ribanya atau bersembang dengan rakan mayanya pada waktu malam. Malah, adakalanya dia lebih suka bersendirian. Dia berasa lebih aman. Tiada sesiapa pun yang mengganggu hidupnya.
Suasana yang sunyi bukanlah bebanan kepadanya memandangkan dia memang bukan orang yang banyak bercakap. Dia hanya bercakap apabila perlu. Justeru, dia tidak kisah ditinggalkan bersendirian. Tahulah dia hendak hidup.
Dia juga bukanlah jenis yang rajin pulang ke kampung pada setiap hujung minggu walaupun kampungnya cuma lima jam perjalanan dari kampus itu. Dalam satu semester, hanya dua kali dia pulang ke kampung iaitu pada cuti pertengahan semester dan cuti akhir semester. Lagipun dia berasa lebih bebas berada di asrama daripada berada di rumahnya sendiri.
            “Bosanlah kau ni. Kita keluar nak?” cadang Yusri.
            “Keluar ke mana?” tanya Afia.
Biar betul si Yusri ni? Takkan mereka hendak keluar berdua sahaja? Afia mula cemas. Kepalanya mula ligat memikirkan alasan-alasan yang dapat digunakan untuk menolak pelawaan Yusri itu.
Sememangnya dia tidak pernah keluar berdua dengan Yusri tanpa Ezlyn dan Noni bersama. Dia sudi makan bersama Yusri ini pun kerana Yusri beria-ia memujuk supaya menemaninya. Kasihan pula dia mendengarnya.
            “Mana-manalah. Kompleks PKNS ke, Plaza Alam Sentral ke atau SACC Mall. Aku bosanlah duduk kat bilik sorang-sorang,” adu Yusri.
            “Budak-budak rumah kau mana?”
            “Dia orang semua balik kampung.”
            “Kenapa kau tak balik?” tanya Afia.
Apabila tiada kawan, barulah Yusri hendak mencarinya. Nampak sangat Yusri tidak ikhlas mahu berkawan dengannya. Tetapi, dia lebih rela jika Yusri terus tidak mengendahkannya.
            “Alah, malaslah. Balik kampung pun bukannya ada apa-apa. Nak keluar tak esok?”
            “Tengoklah dulu macam mana,” balas Afia lantaran otaknya gagal berfungsi bagi memberikan idea untuk menolak ajakan Yusri itu.
Kalau Ezlyn dan Noni tahu yang dia keluar berdua dengan Yusri, mahu teruk mereka digosipkan!
            “Okey, esok pagi kau mesej aku tau,” Yusri mengingatkan.
            “Itu pun kalau aku ingatlah,” balas Afia malas seraya bangkit untuk membasuh tangan di singki.
Kau yang ajak aku tapi aku pula yang kena mesej kau. Banyak cantik. Afia tidak berpuas hati namun tidak pula disuarakannya.
            “Kau dah habis makan ke?” tanya Yusri. Dia melihat ke pinggan Afia. Nasinya masih ada separuh pinggan.
            “Kenapa?” Afia tercegat di tempatnya berdiri.
            “Kau ni selalu makan tak habis, macam mana rezeki nak datang?”
            Belum sempat Afia membalas, Yusri sudah pun mencapai pinggannya dan mengaut nasi di dalam pinggan itu ke pinggannya.
Afia tergamam dengan tindakan Yusri. Tiba-tiba kata-kata Ezlyn dan Noni tempoh hari terngiang-ngiang dalam fikirannya.
“Kalau macam nilah kan, Afia, aku rasa kau patut cari pakwe yang boleh habiskan makanan kau sebab kau selalu makan tak habis.”
            “Alah, susah-susah sangat, kau couple ajelah dengan Yusri ni. Kan senang!”
            Afia menggeleng, cuba menghalang dirinya daripada berfikir yang bukan-bukan.
Tak boleh, tak boleh! Aku dengan Yusri cuma kawan. Tak mungkin lebih! Tegas hati kecilnya.
            “Aku pergi basuh tangan dulu.” Afia tergesa-gesa berlalu ke singki. Nyaris-nyaris dia terlanggar seorang pelajar perempuan yang sedang menatang cawan dan pinggan ke arah bertentangan.


 

“KAU nak pergi mana?”
Yusri cuba menyaingi langkah Afia yang seperti sedang mengejar sesuatu sebaik-baik sahaja mereka berdua habis makan.
            “Nak balik biliklah,” jawab Afia.
Langkah kakinya semakin dicepatkan. Dia mahu segera pulang ke bilik. Semakin lama dia dengan Yusri, semakin banyak yang dia tidak berpuas hati. Ternyata dia tidak serasi dengan Yusri.
            “Alah, jom kita lepak kat perpustakaan,” cadang Yusri.
            “Buat apa?”
            “Main Internet ke.”
            “Kan kita dapat Internet percuma, buat apa nak pergi perpustakaan lagi?” tanya Afia kehairanan.
            “Aku mana ada komputer,” balas Yusri.
            “Tak ada komputer? Habis, selama ni macam mana kau buat assignment?” Afia seolah-olah sukar hendak percaya dengan kenyataan Yusri itu. Bukankah komputer itu penting kepada pelajar seperti mereka memandangkan semua tugasan yang diberikan oleh pensyarah perlu ditaip dengan komputer, apatah lagi tugasan-tugasan yang melibatkan grafik dan multimedia?
            “Pinjam komputer oranglah.”
            “Ha, dah tu pergilah pinjam komputer dia orang!” cadang Afia dengan hati yang gembira. Dia sangat berharap yang Yusri tidak akan mengganggunya lagi. Dia ingin bersendirian.
            “Kan aku dah cakap tadi budak-budak rumah aku balik kampung.”
Serta-merta senyuman Afia menjadi hambar apabila mendengarkan itu. Itu bermakna Yusri mempunyai alasan yang kuat untuk mengajaknya ke perpustakaan. Tetapi itu tidak bermakna yang dia tidak boleh menolak ajakan Yusri, bukan?
“Jomlah teman aku,” Yusri mula mendesak.
            “Ada-ada ajelah kau ni. Tadi kata ajak teman makan aje,” rungut Afia. Dia mula berasa rimas dengan Yusri.
Agaknya tanggapan Ezlyn dan Noni terhadap Yusri selama ini adalah betul, Yusri tidak mempunyai kawan. Sering dilihat bersendirian dan tidak bergaul dengan orang lain. Atas sebab apa, dia sendiri tidak tahu. Tetapi kenapa pula tiba-tiba Yusri seperti hendak rapat dengannya?
            “Alah, awal lagi ni. Jomlah,” desak Yusri lagi.
            “Aku tak bawa kad matrik.” Afia sengaja memberi alasan.
Dia mahu balik cepat ke bilik dan bersembang dengan ‘pakwe-pakwenya’ dalam Internet. Pasti mereka sedang menunggunya memandangkan waktu itu sudah melepasi pukul 8.00 malam. Waktu biasanya dia ‘melepak’ dalam ruangan sembang siber tersebut.
Walaupun dia tidak mempunyai teman lelaki di dunia nyata, tetapi apabila dia berada di dunia maya, berebut-rebut lelaki yang hendak bersembang dengannya. Malah, ramai yang meminta nombor telefonnya.
Apabila dia memberikan alasan, lelaki-lelaki itu pula yang memberikan nombor telefon mereka dengan harapan dia akan menelefonnya. Namun, dia hanya mengabaikan nombor-nombor itu.
Ada juga yang mengajaknya berjumpa dengan alasan hendak kenal dengan lebih rapat. Namun, dia cuma sekadar bermain. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk meneruskan hubungan itu ke luar.
Dia sendiri tidak faham mengapa mereka begitu mudah mempercayainya. Memang dia tidak pernah menipu tetapi dia juga tidak mahu terlalu jujur apabila berada dalam ruangan sembang siber. Dia masih tahu batasannya.
Memandangkan dia mempunyai banyak pilihan, Ezlyn dan Noni pernah menyarankan agar dia memilih sahaja mana-mana lelaki yang dia berkenan di dunia maya itu untuk dijadikan teman lelaki. Namun, itu bukan caranya.
Setakat bersembang di ruangan sembang siber, sesiapa pun bebas berkata apa-apa atau menjadi sesiapa sahaja berbanding apabila bersembang secara bertentang mata. 
Dalam ruangan sembang siber, kita tidak dapat melihat orang yang bersembang dengan kita melainkan mereka menggunakan webcam. Jadi, kita tidak dapat mengukur tahap kejujuran mereka hanya melalui bait-bait ayat yang ditaip pada skrin komputer. Entah-entah orang itu menyamar pun kita tidak tahu.
Sebaliknya jika bersembang secara bertentang mata, kita dapat memerhatikan cara seseorang itu bercakap, bahasa tubuhnya, penampilannya dan lain-lain. Justeru, Afia lebih rela memilih lelaki yang diperkenalkan oleh Ezlyn dan Noni daripada memilih mana-mana lelaki dalam ruangan sembang siber itu. 
            “Tak apa, aku bawa. Kita boleh kongsi komputer.”
            Afia mengetap bibir, menahan geram. Dia sudah tidak tahu hendak memberi alasan apa lagi. Apa-apa sahaja yang dikatakannya, pasti akan dibidas oleh Yusri. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia mengikut Yusri ke perpustakaan. Jika tidak, Yusri pasti akan terus mendesak.
 

 

Tahu tak macam mana cara nak mengingati orang yang tersayang?
Apa, tak tahu?
Takkan tak tahu...
Nak tahu macam mana? Senang saja.
Pakai topi keledar, ingatlah orang yang tersayang... muahahah!

 
AFIA tersenyum sendiri tatkala membaca kiriman pesanan ringkas yang diterima daripada Asyraf selepas dia pulang dari perpustakaan.
Mujurlah perpustakaan itu hanya beroperasi sehingga pukul 10.00 malam. Dapatlah dia melepaskan diri daripada Yusri. Itu pun Yusri mengajaknya melepak di gerai, tetapi dia memberi alasan yang dia sudah mengantuk dan hendak balik tidur.
Dan seperti yang dijangka, Asyraf mengirimkan pesanan ringkas kepadanya malam itu walaupun agak lewat daripada waktu yang selalunya. Cuma kali ini bukan ucapan selamat malam seperti malam-malam sebelumnya. Dengan senang hati, Afia membalas pesanan ringkas itu.

Haha. Tak lawak pun.

            Tidak sampai seminit kemudian, Asyraf membalas pesanan ringkasnya itu.

(^_^) Night, Afia.

            Afia meletakkan telefon bimbitnya ke tepi selepas membaca pesanan ringkas yang terakhir itu dan mula menghidupkan komputer ribanya di ruang tamu.

Tiada ulasan: