Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Ogos 28, 2009

Dugaan-Nya

Suasana di jabatan hiburan itu kecoh seperti biasa tatkala dia melangkah ke pejabat pada pagi Isnin itu. Suasana begitu memang sudah sinonim sejak dia mula bekerja di situ. Maklumlah wartawan hiburan. Kalau tidak bercerita tentang gosip artis, tidak lengkaplah dunia hiburan tanah air ini!

“Mia, kau hendak dengar gosip baru yang panas lagi sensasi?” satu suara menyapanya sebaik-baik sahaja dia melabuhkan punggung ke kerusinya.

“Gosip apa?” Mia berasa teruja untuk mengetahui gosip apa yang sedang bertiup kencang dalam industri hiburan tempatan sekarang. Nanti orang kata dia ketinggalan zaman pula. Nama saja wartawan hiburan tapi lambat terima berita.

“Ala... tentang penyanyi wanita yang popular itulah. Dengar cerita suami dia ada perempuan lain,” cerita Puteri yang duduk di meja sebelahnya itu.

“Ya ke? Aku tak percayalah. Khabar angin saja tu,” balas Mia. Ada kalanya gosip ini bukannya boleh percaya sangat. Lebih banyak yang tidak betul daripada yang betul. Sengaja hendak menambah perisa.

“Betullah. Dah ada bukti pun.”

Mia tersentak.

“Eh, tapi kan ke isterinya sudah cukup sempurna? Cantik, lemah lembut, berbakat, pandai cari duit lagi. Apa lagi yang suami dia tidak puas hati? Tidak tahu bersyukur langsung,” Mia meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Biasalah, lelaki...”

“Minta-mintalah aku tak dapat suami macam tu,” doa Mia sebelum dia tersedar sesuatu. “Eh, Puteri. Yang kau ajak aku bergosip ni kenapa? Sekarang kan bulan puasa. Tak baik mengumpat hal orang. Berdosa.”

“Eleh... sejak bila pula kau jadi baik ni?”

“Sejak 1 Ramadan hari tu,” balas Mia. Memang dia sudah bertekad hendak menjalani ibadah puasa dengan sempurna pada tahun ini. Dia mahu meninggalkan semua aktivti yang tidak berfaedah dan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasanya.

“Eleh…setakat bulan puasa baru nak jadi baik, baik tak payah.”

“Ala…satu bulan saja. Dah, pergilah buat kerja kau,” Mia kembali mengadap kerja-kerjanya yang belum bersentuh itu. Hari ini dia berazam hendak menyiapkan kerja-kerja yang terbengkalai pada hari Jumaat lepas.

Beberapa jam yang pertama, dia tekun menatap skrin komputernya. Perbualan teman pejabatnya tentang gosip baru langsung tidak diendahkannya. Fokus, Mia. Fokus!

“Amboi, tekunnya dia!” seorang wartawan lelaki bertengek di mejanya. Sengaja mahu mengganggu konsentrasinya.

“Kau jangan kacau dia, Khair. Dia tengah muhasabah diri tu,” celah Puteri.

“Muhasabah diri?” Khair berkerut. Tidak faham.

“Muhasabah diri sempena bulan puasa nilah.”

“Owh... Malam ni macam mana? Jadi tak?” Khair teringat tujuan dia ke situ.

“Jadi, jadi,” ujar Puteri laju.

“Kau, Mia?” Khair memandang Mia.

“Aku tak ikut rasanya,” ujar Mia sambil matanya masih melekat pada skrin komputer.

“Kenapa pula?”

“Ni kan bulan puasa. Orang lain sibuk beramal ibadat, kau sibuk nak karaoke,” Mia bangkit dari kerusinya.

Puteri dan Khair berbalas pandangan. Hairan.

“Kau nak pergi mana pula tu?” tanya Puteri.

“Surau,” jawab Mia.

“Kau nak tidur ke ataupun kau nak makan sembunyi-sembunyi?” tebak Puteri.

“Aku nak sembahyang Zohorlah!”


**********


“Ish...mana pula bas ni?” dia melihat jam di tangannya. Sudah hampir satu jam dia menunggu namun bas yang bernombor U8 masih belum menampakkan diri. Sudah pukul berapa ni? Kalau aku lambat sampai rumah, alamatnya lambatlah aku berbuka.

Sepanjang tujuh hari berpuasa, hari inilah yang paling banyak dugaan padanya. Pagi tadi, teruk dia dimarahi oleh klien gara-gara dia salah menulis ejaan nama penaja di majalah bulanan syarikat mereka. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia melawan tapi apabila mengenangkan dia sedang berpuasa, dia bersabar sajalah. Dia yang salah bagi maklumat, hendak salahkan kita pula.

Kakinya juga terasa lenguh dek berjalan di tengah panas terik tadi. Walaupun berpuasa, mereka tetap perlu keluar mencari berita dan membuat temubual bersama artis untuk majalah bulanan syarikat. Penat melayan kerenah artis yang pelbagai ragam, yang datang lambat untuk sesi temubual dan ada juga yang tidak menghormatinya yang sedang berpuasa

“Dah nak Maghrib ni. Ada lagi ke bas?” Matanya liar memerhati ke kiri dan ke kanan. Tiba-tiba matanya menangkap seorang kanak-kanak yang sedang berselera menikmati ais krim di tangannya.

“Sedapnya...” dia terliur menyaksikan gelagat kanak-kanak itu. Sabar, Mia. Sabar. Ada kurang satu jam lagi sebelum waktu berbuka. Setakat ais krim itu tidaklah seberapa berbanding situasi di restoran tadi. Tiba-tiba hatinya terasa sakit apabila mengingatkan insiden di restoran pada siang tadi.

Adakah patut artis itu mahukan sesi tembual mereka diadakan di restoran dengan alasan dia belum makan tengah hari lagi? Walaupun artis itu bukan beragama Islam tapi bukankah dia sepatutnya menghormati dirinya yang beragama Islam? Panas betul hatinya apabila artis itu dengan selamba menjamah makanan di hadapannya. Mana tak tergugat imannya?


**********


Setibanya di rumah, azan Maghrib sudah pun berkumandang. Mia terkocoh-kocoh membuka kunci pintu rumah. Ah, tak tahan! Dia meluru ke bilik air. Tiba-tiba suaranya bergema memecah suasana, “Alamak! Aku datang bulan. Memang dugaan betullah hari ni!”

1 ulasan:

Orkid Edyliyne berkata...

kelakar je Mia ni...
kesian dia...
;)