Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 20, 2008

Rantai Rasa Cinta 4

Di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Iznul dan Nazili baru sahaja selesai menghadiri kelas ketika Azam tiba dengan menaiki motorsikal. Razlan membonceng di belakangnya.

“Iz, dah habis kelas ke? Jom lepak SACC Mall. Yan, Joe, Rin semua ada,” ujar Azam.

“Tak bolehlah. Aku dengan Nazili nak pergi PTAR,” balas Iznul.

“Kau orang ni kan tak boleh ke kalau tak berkepit selalu? Bila orang kata kau orang bercinta, kau orang kata kawan aja. Hello brother, mana ada kawan yang 24 jam berkepit melainkan dia orang tu couple? Kau orang ni mesti ada apa-apa ni,” Azam tidak puas hati apabila Iznul dan Nazili masih merahsiakan status sebenar hubungan mereka padahal mereka selalu saja bersama.

“Suka hati kau oranglah nak cakap apa. Jom, Zi,” Iznul dan Nazili melangkah ke perpustakaan yang terletak tidak jauh daripada fakulti mereka.

Ketika menyimpan beg di loker yang disediakan di luar perpustakaan itu, Nazili terfikir akan kata-kata Azam tadi.

“Betul juga kata Azam tadi kan? Kau tak takut ke saham kau jatuh sebab selalu bersama aku?” tanya Nazili.

“Kenapa pulak kau cakap macam tu?” Iznul kehairanan.

“Yalah, manalah tahu kalau dalam kelas kita tu ada yang minat kat kau.”

“Ada ke?” Iznul pura-pura excited.

“Aku cakap kalau…” tegas Nazili.

“Biarlah. Malas aku nak fikir.”

“Aku pun pelik. Kenapa kau tak pernah ada girlfriend? Takkan kau tak pernah suka siapa-siapa kut?” Memang selama Nazili mengenali Iznul, Iznul tidak pernah memberitahunya tentang perempuan yang disukainya. Tapi tak tahulah kalau Iznul merahsiakan siapa teman wanitanya.

“Eh, siapa kata tak ada?”

“Ada ke? Siapa?”

“Takkan kau tak tahu ramai awek yang syok kat aku? Cuma aku aja yang tak layan.”

“Eleh…” Nazili mencebik.

Dalam diam, Nazili mengakui yang Iznul juga boleh dikategorikan seorang lelaki yang ada rupa. Ditambah lagi dengan sikapnya yang suka menolong orang dan sentiasa cuba menyenangkan semua orang. Tidak mustahil jika ramai yang menyukainya.

“Habis tu kalau dah ramai sangat yang syok kat kau, kenapa kau tak layan dia orang?”

“Sebagai lelaki, aku tak suka jadi golongan yang dikejar sebab aku lebih suka jadi golongan yang mengejar,” Iznul menerangkan alasannya. Bak lirik lagu Untuk Perempuan dendangan band Indonesia tu. Jangan mengejarku dan jangan mencariku. Aku yang kan menemukanmu. Kau mekar di hatiku di hari yang tepat …

“Ok. Bagus juga kan kau tak ada girlfriend. Sebab kalau kau ada girlfriend nanti, mesti kau lupa aku.”

“Yalah tu. Silap-silap nanti kau yang tinggalkan aku bila kau jumpa Hazami semula.”

“Kau yakin ke aku dapat jumpa dia semula?”

“InsyaAllah. Malaysia ni bukannya besar sangat pun. Kan hari tu kau cakap dengan aku, kau jumpa kawan sekolah rendah kau masa register hari tu. Jadi, tak mustahil kau dapat jumpa Hazami juga.”

“Betul juga.”

“Dahlah. Jom,” Iznul dan Nazili melangkah masuk ke dalam perpustakaan dengan hanya membawa sebatang pen dan sebuah buku catatan.

“Iz, aku naik tingkat atas ya.”

“Ok.”

Nazili berlalu ke bahagian buku rujukan di tingkat tiga sementara Iznul menghilang ke bahagian jurnal di tingkat dua.

Beberapa jam kemudian ketika dia sibuk membelek-belek buku-buku di situ, Nazili mendapat SMS daripada Iznul. Iznul sudah keluar dari perpustakaan itu kerana tidak tahan sejuk.

Nazili melihat jam di tangannya. Patutlah. Dah lebih tiga jam kita orang kat dalam ni. Nazili membalas SMS Iznul kemudian meletakkan kembali buku-buku yang diambilnya dari rak.

Ketika hendak menuruni tangga ke tingkat bawah, Nazili terlihat seseorang yang dikenalinya duduk di sebuah meja di tingkat yang sama. Nazili segera menghampiri orang itu.

“Laily!” sapa Nazili.

“Eh, Zi! Sorang aja ke?” Laily terkejut melihat Nazili.

“Dengan kawan. Kau sorang?”

“Aku pun dengan kawan.”

“Boyfriend?”

Laily tersipu.

“Jom aku kenalkan kau dengan dia,” Laily menarik tangan Nazili.

“Eh, tak apalah. Kawan aku dah tunggu kat bawah tu,” Nazili mengelak. Seganlah aku!

“Ala…sekejap aja,” Laily menarik tangan Nazili ke suatu rak. “Jom!

Dari jauh, Nazili dapat melihat susuk tubuh seorang lelaki berambut pendek dan berpenampilan sederhana sedang membelek-belek sebuah buku di rak buku yang menempatkan buku-buku rujukan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

Entah kenapa hatinya berasa berdebar-debar tatkala langkah mereka semakin hampir dengan lelaki itu.

“Mi…”

Lelaki itu berpaling. Pandangannya mereka bertembung. Nazili dan lelaki itu sama-sama tergamam. Masing-masing terkejut.

“Ni?”

“Zi?”

“Kau orang dah kenal ke?” Laily turut terkejut.

“Kita orang satu sekolah dulu masa form four and form five,” Hazami cuba melawan gelodak di hatinya. Nampak gayanya dia sudah tidak dapat mengelak lagi.

“Laa… ya ke? Sayang, you tahu tak Nazili nilah kawan sekolah rendah I yang I cerita kat you tu.”

“Owh…” hanya itu yang mampu diucapkan oleh Hazami. Laily dan Nazili berkawan? Masalah ni!

“Macam tak percaya aja. Sebulan dua ni kita asyik reunion aja kan?” ujar Laily gembira.

Nazili tersenyum hambar. Jadi, teman lelaki Laily adalah Hazami? Hazami dengan Laily? Maknanya dia sudah lupakan janji kita orang dulu?

“Eh, chup! Kalau kau kenal Hazami, maknanya kau kenal Iznul jugalah kan?” Laily membuat kesimpulan. Maknanya dia orang bertiga satu sekolahlah kan?

“Macam mana kau kenal Iznul?” tanya Nazili. Seingatnya, dia tidak pernah menceritakan perihal Iznul kepada Laily.

“Iznul tak bagi tahu kau ke yang kita orang jumpa kat Plaza Alam Sentral semalam?” Laily kehairanan.

“Kau orang jumpa Iznul semalam?” Nazili tersentak. Kenapa Iz tak bagi tahu aku? Kenapa Iz tak bagi tahu aku yang dia dah jumpa Hazami? Patutlah dalam S.M.S. semalam dia cakap Hazami kenal dia. Tapi S.M.S. akhir dia yang aku baca pagi tadi…

‘Maksud aku, of courselah Hazami kenal kau. Kau kan girlfriend dia. Jangan risaulah. Aku yakin kau akan jumpa dengan dia tak lama lagi.’

Sampai hati kau tipu aku, Iz.

“Erm…I laparlah. Jom kita pergi makan?” Hazami sengaja mengubah topik. Dia tidak mahu Laily memberitahu Nazili tentang pertemuan mereka dengan Iznul semalam. Dia yang menyuruh Iznul merahsiakan perkara itu.

“Jom, Zi!” ajak Laily. Memandangkan Nazili dan Hazami pernah satu sekolah jadi mesti dia orang tak ada masalah untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain.

“Tak apalah! Aku dah janji dengan kawan,” Nazili sengaja mengelak. Macam-macam perasaan yang melanda dirinya kini. Terkejut, gembira, sedih, kecewa. Terkejut dan gembira dapat berjumpa Hazami semula namun pada masa yang sama dia sedih dan kecewa apabila mengetahui hubungan Hazami dengan Laily.

“Kawan ke boyfriend?” Laily mengusik.

Nazili cuma tersenyum. Senyum yang dibuat-buat.

“I’m sorry. I have to go,” Nazili segera meninggalkan Laily dan Hazami. Dia tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan Hazami. Lebih-lebih lagi Hazami kini sudah mempunyai kekasih lain dan orang itu adalah kawan baiknya sendiri.


***


“Haa… keluar pun kau. Apasal lambat?” Iznul pura-pura marah namun ‘kemarahannya’ itu menjadi kendur apabila Nazili membalasnya dengan suatu renungan tajam. “Kenapa kau pandang aku macam tu?”

Seram! Aku ada buat salah ke? Rasanya S.M.S. terakhir dia semalam pun aku dah reply. Dia yang tidur dulu.

“Aku jumpa Hazami tadi,” Nazili cuba menduga reaksi Iznul.

Iznul terkedu. Nazili dah jumpa Hazami? Entah-entah Laily pun ada sama tak? Kalau tak, takkan Nazili sehot ini? Baru aja semalam Hazami janji nak jumpa Nazili nanti. Tup, tup hari ni dia orang dah berjumpa? Parah ni!

“Kau jumpa Hazami? Kat mana?”

“Kat PTAR tadi.”

“Baguslah. Kan aku dah cakap Malaysia ni kecik aja. Dia apa khabar?”

“Takkan kau tak tahu?”

Iznul tercengang. Ternyata soalan itu menjerat dirinya sendiri.

“Aku ingat kau kawan aku. Sanggup kau rahsiakan tentang Hazami dengan Laily daripada aku?” marah Nazili lalu melangkah meninggalkan Iznul.

Iznul menyaingi langkah Nazili lalu menarik tangannya. Langkah Nazili terhenti. Iznul melepaskan tangan Nazili apabila menyedari banyak mata yang memandang ke arah mereka.

Mesti dia orang ingat aku dengan Nazili pasangan yang sedang bergaduh. Lantak kau oranglah nak fikir apa pun!

“Zi, aku minta maaf. Aku tak bermaksud nak rahsiakan perkara ni daripada kau,” Iznul cuba memujuk Nazili. Dia dan Nazili sudah berkawan lama. Mustahil dia mahu menipu Nazili tanpa sebarang sebab.

“So, kenapa kau tak bagi tahu aku?”

“Aku tak bagi tahu kau sebab aku dah janji dengan Hazami.”

“Owh… jadi, kau berpakat dengan dia untuk tipu akulah?”

“Tak. Bukan macam tu. Ok, semalam memang aku jumpa Hazami kat Plaza Alam Sentral. Masa tu aku pun baru tahu pasal hubungan dia dengan Laily. Aku memang nak bagi tahu kau tapi Hazami mintak aku rahsiakan dulu benda ni sebab dia nak bagi tahu kau sendiri,” terang Iznul. Mudah-mudahan Nazili percaya.

“Iz, aku nak bersendirian,” ucap Nazili.

Iznul terpaksa akur. Mungkin Nazili memerlukan sedikit waktu. Sudahlah dia baru sahaja berjumpa dengan Hazami yang sekian lama dirindui, bila dah jumpa Hazami dengan Laily pulak. Mesti perkara itu memberikan kesan mendalam kepada gadis itu.


***


Laily membelek-belek baju-baju yang tergantung di Kedai Optimo di tingkat dua Plaza Alam Sentral itu.

“Sayang, cantik tak baju ni?” Laily mengayakan sehelai blouse berwarna putih ke tubuhnya. Pertanyaannya sepi tanpa jawapan. Laily memandang Hazami. Lelaki itu termenung seperti memikirkan sesuatu.

“Sayang…”

Hazami tidak menyahut. Dia masih mengelamun.

Laily meletakkan semula blouse putih tadi di tempatnya lalu menghampiri Hazami.

“Sayang…”

Hazami tersentak.

“Kenapa dengan you ni? You tak sihat ke?” tanya Laily penuh prihatin.

Tak pernah-pernah Hazami berkelakuan begini tatkala bersamanya. Jarang-jarang pertemuan mereka diselubungi kebisuan. Masa makan tadi pun Hazami tidak banyak bercakap. Dia lebih banyak mendengar daripada bercerita. Tiba-tiba dia jadi seorang yang pendiam.

Hazami menggeleng.

“Tak adalah. I sihat aja.”

“Betul?”

“Betul. You dah pilih ke baju yang you nak beli?”

Laily berasa tidak sedap hati melihat keadaan Hazami.

“Jom kita pergi tempat lain.”

“Kenapa? You kata tadi nak beli baju,” Hazami hairan melihat kelakuan Laily.

“Tak jadilah. Kita pergi tempat lain ya?” Laily memaut lengan Hazami berlalu dari situ. Hazami hanya menurut.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cian nyer...bkn main lagi menunggu tp hampa n kecewa akhirnya...

pe pun suke RRC...

chaiyok2 ilmia...

*swit hanna*

keSENGALan teserlah.. berkata...

best2..
smbung2...

Tanpa Nama berkata...

kalu gini, biar nazili ngan iznul jela..

ahaks..