TELEFON
bimbit di tepi bantal terus dilihat sejurus matanya celik daripada lena. Namun,
tiada apa-apa yang tertera pada skrin telefon bimbit itu. Bermakna kiriman
pesanan ringkasnya semalam tidak berbalas. Ada perasaan hampa dalam hatinya.
“Mungkin
dia tak ada kredit kut,” fikirnya positif. Tetapi bukankah baru semalam mereka
saling berhubung?
“Mungkin
kredit dia dah tamat tempoh kut.” Dia tetap berfikiran positif.
Rasa hampa yang baru singgah tadi diusir pergi. Dengan
rasa malas, dia bangkit menuju ke bilik mandi. Bersiap-siap untuk ke pejabat.
Setelah
bersiap ala kadar, sehelai kemeja berlengan panjang dan sepotong seluar slack yang sudah siap bergosok, dia
melangkah keluar dari bilik.
“Acap, mari sarapan,” seorang wanita berusia awal 50-an
menegurnya sebaik-baik sahaja dia keluar dari bilik tidurnya.
“Mak Mi masak apa pagi ni?” tanyanya lalu mengambil
tempat di meja makan.
Sebenarnya
dia tidak kisah pun apa yang dimasak oleh ibu saudaranya itu kerana dia yakin apa-apa
sahaja yang dimasak oleh ibu saudaranya itu pasti membangkitkan seleranya. Ibu
saudaranya itu memang pandai memasak. Kalau tidak, tidak adalah bapa saudaranya
setia pulang ke rumah pada setiap kali waktu makan tengah hari.
“Nasi goreng aje,” balas Salmi lantas mencedok nasi ke
pinggan dan dihulurkan kepada anak saudaranya itu.
“Terima kasih, Mak Mi,” ucapnya.
Layanan
Salmi yakni satu-satunya adik-beradik ibunya yang masih hidup, sentiasa
melayannya dengan penuh rasa kasih dan sayang membuatkan dia berasa dirinya
sebahagian daripada keluarga itu.
“Pak
Cik Haikal dah pergi kerja ke, Mak Mi?” soalnya sebelum menyuap sesudu nasi
goreng ke mulut.
“Dah. Acap tolong hantarkan Qila pergi sekolah pagi ni
ya? Balik nanti, Pak Cik Haikal ambil,” beritahu Salmi.
“Boleh,
Mak Mi,” jawab Asyraf.
Aqilah
sudah dianggapnya seperti adik sendiri. Tambahan pula, dia sendiri tidak mempunyai
adik. Seperti Aqilah, dia juga mempunyai dua orang abang. Namun, kedua-duanya
seakan-akan tidak wujud dalam hidupnya memandangkan masing-masing membawa
haluan sendiri selepas ibu bapa mereka meninggal dunia tujuh tahun lalu. Jumpa
pun hanya setahun sekali yakni pada hari raya. Itu pun kalau bernasib baik.
Mengenangkan dirinya seorang diri, Mak Mi mengajaknya
tinggal bersama. Pada mulanya dia segan hendak menerima pelawaan itu, namun
atas desakan Mak Mi, akhirnya dia akur. Lagipun, dia tidak mampu untuk menyewa
rumah sendirian lantaran rumah pusaka peninggalan arwah orang tuanya di Bangi
kini didiami oleh abang sulungnya yang sudah berkahwin.
Memandangkan
arwah orang tuanya tidak meninggalkan sebarang wasiat, dia tidak mahu
mempertikaikan perkara itu kerana dia percaya dia masih mampu mencari harta
sendiri.
Selama tujuh tahun dia menumpang di rumah Mak Mi, tidak
pernah sekalipun Mak Mi mengabaikan kebajikannya. Ekoran itu dia tidak pernah
berasa terasing di rumah itu. Bahkan anak-anak Mak Mi yakni sepupunya sendiri
juga menyambut baik kehadirannya di rumah itu. Dia sudah dianggap sebagai abang
lantaran umurnya paling tua antara mereka.
Memandangkan
kedua-dua abang Aqilah sudah berumah tangga dan tinggal di rumah sendiri, jadi
Aqilah lebih rapat dengannya. Justeru, dia berasa bertanggungjawab terhadap
Aqilah. Lagipun, bukannya selalu dia menghantar atau menjemput Aqilah kerana
kebiasaannya Pak Cik Haikal yang melakukan tugas itu. Hanya apabila Pak Cik Haikal
sibuk atau mempunyai urusan, barulah dia yang ditugaskan untuk menghantar dan
menjemput Aqilah.
“Isy,
mana Qila ni? Dah pukul berapa ni?” Salmi melihat jam yang tergantung pada
dinding. Hampir pukul 7.00 pagi.
“Qila!
Oh, Qila! Tak siap lagi ke?” laung Salmi. Dia masak benar dengan perangai anak
bongsunya itu. Sudahlah liat hendak bangun pagi, apabila bersiap pula mahu
dekat sejam.
“Hai,
apa benda yang dibuatnya lama sangat kat dalam bilik tu? Acap makanlah, ya. Mak
Mi pergi tengok Qila sekejap,” ujar Salmi lalu beredar ke bilik Aqilah.
Asyraf
sudah dapat menjangka apa yang akan dilakukan oleh ibu saudaranya itu. Seketika
kemudian, jeritan Aqilah bergema di satu kawasan perumahan itu.
DENGAN
wajah yang masam mencuka, Aqilah yang sudah lengkap berpakaian sekolah
mengambil tempat di hadapan abang saudaranya yang sudah selesai menikmati
sarapan pagi di meja makan.
“Hai, pagi-pagi lagi dah masam. Tak baik tau. Nanti
rezeki tak masuk,” usik Asyraf.
“Ee, bencilah!” bebel Aqilah.
“Dah, makan ni. Sedap tau,” Asyraf cuba memujuk adik
saudaranya itu seraya mencedokkan nasi goreng ke pinggan kosong yang sudah
tersedia di hadapan Aqilah. Bukannya dia tidak tahu apa yang dirungutkan oleh
Aqilah, tetapi dia tidak mahu memanjangkan cerita. Dia yakin ibu saudaranya itu
tahu macam mana hendak mendidik anak bongsunya itu.
“Tak mahu!” mogok Aqilah.
“Janganlah macam tu, penat tau mak Qila masak ni,” umpan
Asyraf.
Namun
Aqilah tetap bermasam muka.
“Abang
suapkan, nak?”
Asyraf
menyudu nasi goreng di pinggan Aqilah, kemudian menyuakan sudu itu ke mulut
Aqilah.
“Nganga
mulut. Aaaa…”
Aqilah tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum.
Dengan malu-malu, dia membuka mulutnya untuk disuap oleh Asyraf.
“Aum…”
usik Asyraf sejurus Aqilah menyambut huluran suapannya.
Aqilah
mengunyah sambil tersenyum.
“Macam
tulah adik abang. Nah, makan sendiri.” Asyraf meletakkan semula sudu itu di
dalam pinggan Aqilah.
“Hai,
tak sudah lagi ke makannya? Cubalah laju sikit pergerakan tu, Qila. Kesian
Abang Acap lambat pergi kerja nanti,” tegur Salmi yang baru muncul dari pintu
belakang selepas selesai menjemur pakaian. Baldi kosong di tangannya diletakkan
di depan pintu bilik air.
Aqilah menarik muncung apabila ditegur oleh ibunya.
Serta-merta seleranya terbantut apabila mengenangkan peristiwa tadi.
Asyraf hanya tersenyum melihat telatah adik saudaranya
yang berusia 15 tahun itu. Nama sahaja hendak ambil PMR tetapi perangainya
langsung tidak seperti pelajar yang mahu menduduki peperiksaan besar.
Mana
tidaknya, malam-malam sahaja Aqilah lebih khusyuk melayari Internet daripada
buku pelajaran. Tidak hairanlah Aqilah liat hendak bangun pagi sehingga ibu
saudaranya itu terpaksa menggunakan cara ‘kejam’ untuk mengejutkannya daripada
tidur.
Rupa-rupanya
anak bongsunya itu masih nyenyak di atas katil. Melihatkan itu, Salmi ke bilik
air dan kembali dengan sebaldi air tidak lama kemudian.
Tanpa
teragak-agak, dia terus menjirus air itu ke muka Aqilah. Serta-merta Aqilah
bangkit dari katilnya. Mana tidaknya, jirusan air itu sangat sejuk seperti air
batu. Apalagi, menjeritlah Aqilah dibuatnya.
“Asyraf, fotostat ni 15 salinan. Sekejap lagi ada
mesyuarat. Cepat sikit ya,” arah suara itu.
Walaupun
punggungnya belum mencecah kerusi, namun Asyraf akur dengan arahan ketuanya
itu. Sudah memang itu kerja dia. Walaupun gaji sebagai kerani tidaklah tinggi
mana tetapi dia tidak pernah merungut kerana baginya asalkan dapat duit
bulan-bulan pun, dia sudah bersyukur. Dengan wang gajinya itu jugalah, dia
dapat membeli sebuah motosikal untuk kemudahannya ke mana-mana.
Kalau
hendak diikutkan hati, memanglah dia bosan apabila terpaksa melakukan kerja
yang tidak disukainya. Namun, kerja apa lagi yang mampu dibuatnya dengan hanya
setakat berbekalkan sijil SPM? Sekurang-kurangnya, dia mempunyai pekerjaan
berbanding graduan universiti yang masih menganggur di luar sana.
Sebaik-baik
sahaja tamat SPM, dia bekerja di kedai serbaneka 7-Eleven. Beberapa bulan
selepas itu, dia menggunakan keputusan SPMnya untuk memohon kerja di sebuah
kilang. Namun kerana perasaan tidak berpuas hati dengan sikap majikannya yang
tidak adil, dia nekad berhenti kerja selepas dua tahun bekerja.
Selepas
beberapa bulan menganggur, akhirnya dia mendapat kerja sebagai kerani di sebuah
agensi kerajaan dan masih kekal sehingga sekarang.
Pengalaman
itu banyak mengajarnya. Dia serik untuk membuat keputusan terburu-buru.
Justeru, dia berazam untuk berubah dan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat
sebarang keputusan. Lantaran marahkan majikannya, dia hampir kebulur
berbulan-bulan ekoran tidak mendapat pekerjaan.
Pada
waktu yang sama pula, ibunya meninggal dunia kerana kanser. Selang beberapa
bulan kemudian, ayahnya pula menyusul. Oleh sebab itu dia lebih menghargai
pekerjaannya sekarang biarpun adakalanya jiwanya memberontak.
Selepas membuat salinan dokumen seperti yang disuruh oleh
ketuanya tadi, Asyraf menyerahkan kesemua salinan itu kepada ketuanya.
Kemudian, dia kembali ke mejanya.
Telefon
bimbit di dalam saku seluarnya dikeluarkan. Skrin telefon bimbit itu direnung.
Kiriman pesanan ringkasnya semalam masih tiada balasan. Dia hampa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan