Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Mac 07, 2009

Cinta Yang Aku Mahu 33

Hari sudah meninggi namun dia masih bermalas-malas di atas katil. Inilah nikmatnya tinggal di rumah. Dapat tidur atas katil yang selesa. Boleh bangun lambat sampai tengah hari. Dia terus berguling di atas katil. Tepat jam 1 tengah hari, barulah dia bangkit. Itu pun apabila mendengar azan Zohor berkumandang.

Selepas mandi dan menunaikan solat Zohor, dia menjenguk ke dapur. Tempat pertama yang dituju setiap kali selepas bangun tidur. Maklumlah selepas tujuh jam perutnya tidak terisi, dia perlu mencari sesuatu untuk memberinya tenaga. Dia membuka tudung saji. Kosong. Peti sejuk. Juga kosong. Mak tak masak ke hari ni?

Dia kemudian berlalu ke ruang tamu. Kelihatan adiknya sedang leka di hadapan komputer.

“Za, mak mana?”

“Pergi rumah orang kahwin.”

“Kat mana?”

“Kat depan tu.”

So mak tak masaklah?”

“Taklah kut.”

“Habis nak makan apa ni?” Dia memegang perut menahan lapar.

“Haa… itulah. Bangun lambat lagi. Kan rezeki tak masuk. Tadi abah ada beli roti canai tapi aku dah rebat bahagian kau sebab mak kata kalau nak tunggu kau bangun alamatnya tak sedap dahlah roti canai tu.”

“Sampai hati kau. Aku lapar ni.”

“Kau tunggulah mak dan abah balik dari kenduri. Mesti mak dan abah bawak balik makanan.”

“Ala…pukul berapa pulak tu?”

“Kejap lagi baliklah kut. Kalau kau tak nak tunggu, kau pergilah cari mak dan abah kat sana.”

“Ala…malaslah. Segan. Bukan kenal pun.”

“Kalau malas, kau tunggu ajalah.”

Tunggu pun tunggulah. Mungkin mak dan abah pergi tak lama. Dia memandang adiknya.

“Za, bagi aku guna internet kejap.”

“Nantilah. Aku baru aja guna.”

“Ala…kejap aja.”

“Ish…sibuk aja. Kejap aja. Limit minit.”

“Lima minit tu sekejap sangatlah. Setengah jam?”

Tanpa sepatah kata, Fariza bangkit demi memberi ruang kepada Eisya. Eisya tersengih lantas segera mengambil tempat di hadapan komputer. Dah lama aku tak bukak blog. Ada lagi ke blog aku tu? Entah-entah dah expired.

Eisya mula menulis blog selepas tamat peperiksaan SPM. Semuanya gara-gara dia kebosanan duduk di rumah sementara menunggu keputusan SPM. Mahu bekerja, ibu bapanya tidak bagi kerana bimbang dia akan hilang minat belajar apabila sudah merasa duit sendiri. Justeru, dia memujuk ayahnya memasang Streamyx di rumah. Maka, bermulalah hobinya menulis blog.

Namun aktiviti itu telah lama ditinggalkan selepas dia masuk ke UiTM. Memandangkan asramanya tidak mempunyai kemudahan internet, jadi dia tidak mempunyai ruang untuk menulis blog. Nak harapkan kafe siber pula, tempat itu sentiasa saja penuh. Jadi bila masa dia mahu update blog? Hanya pada waktu cuti di rumah, dia dapat meluangkan masa untuk menulis blog. Nak mengadap berapa lama pun tak apa sebab bukan dia yang bayar.

‘Boleh saya tahu siapa awak?’

Eisya sedikit terkejut apabila membaca komen pada salah satu entri blognya yang bertarikh dua bulan yang lalu. Entri yang menceritakan tentang zaman sekolah menengahnya. Siapa pulak ni?

‘Kenapa?’ Eisya membalas komen itu.

Sementara menunggu pembaca itu membalasnya, dia melilau ke blog-blog lain yang sudah lama tidak dijengahnya. Salah satu blog kesukaannya adalah blog yang menghimpunkan koleksi cerpen dan novel dalam talian iaitu Penulisan2u. Sudah berpuluh-puluh cerpen dan novel baru yang tidak sempat dibacanya.

Ratu Bulan dan Hanni Ramsul pula adalah antara penulis e-novel yang paling digemarinya. Cerita Cinta 99 Hari karya Ratu Bulan dan Biar YM Yang Bicara oleh Hanni Ramsul pula adalah dua karya cinta yang paling disukainya di laman web itu. Walaupun dia juga minat menulis namun dia cuma membaca. Untuk menghantar karyanya dia tidak yakin. Karyanya selalu sahaja terbengkalai.

‘Saya dah lama follow blog awak ni. Menarik.’

Eisya tersenyum membaca komen itu. Tidak disangka ada orang yang mengikuti perkembangan blognya. Siapa dia ya? Eisya melihat profil gerangan yang memberi komen tadi.

“Dia?!!” Hampir terjerit dia dibuatnya tatkala mengetahui gerangan yang menegur. Perutnya yang lapar bagai nak gila tadi terus jadi kenyang.


**********


“Mana dia ni? Tak main bola ke hari ni?” Dia menjenguk-jenguk ke jalan dari dalam rumahnya sambil mengomel sendirian.

“Apa yang kau terjenguk-jenguk tu?” suara si adik menyertakkannya.

“Tak ada apa. Saja aku tengok budak-budak kat jalan tu. Dah lama aku tak naik basikal macam tu,” bohongnya. Kalau adiknya tahu apa yang dibuatnya nanti, malulah dia. Jam di dinding dilihat. Mana dia ni? Dah pukul berapa dah ni? Biasa pukul 6 dia dah muncul.

Dia baru saja hendak melangkah masuk ke bilik, tiba-tiba ekor matanya menangkap susuk seseorang yang sedang berjalan melintasi rumahnya sambil memegang kasut sukan. Itu pun dia! Matanya terus melekat pada wajah itu sehinggalah susuk itu hilang dari pandangannya.

Wajah itulah yang telah memikat hatinya. Pertama kali dia melihat wajah itu ketika dia dalam darjah lima. Mereka menaiki van yang sama ke sekolah. Walaupun berlainan sekolah, namun sekolah mereka berdekatan. Apa yang membuatkannya terpikat pada lelaki itu bukan sebab wajahnya tetapi sebab sikapnya yang menghiburkan. Jika sehari tidak melihat wajah itu, dia akan berasa seperti ada sesuatu yang kurang. Pelajar lelaki itu seorang yang kelakar. Suaranyalah yang selalu bikin ‘geng bas sekolah’ mereka ceria dan gelak sakan. Kalau pelajar lelaki tak ada, memang sunyilah van tu. Selain menaiki van yang sama, pelajar lelaki itu juga adalah jirannya selang beberapa rumah.

Tiap-tiap petang, pelajar lelaki itu akan melintasi rumahnya untuk ke padang bola yang terletak di hujung jalan rumahnya. Ketika itulah dia akan mencuri-curi menatap wajah pelajar lelaki itu. Begitulah hari-hari berlalu sampailah dia masuk darjah enam. Bila dia naik darjah enam, pelajar lelaki itu pulak naik tingkatan satu jadi pastilah pelajar lelaki itu sudah berpindah ke sekolah menengah tetapi dia tidak tahu di mana. Mungkin pelajar lelaki itu bersekolah di asrama penuh memandangkan dia tidak pernah lagi melihat wajah itu sejak itu. Maklumlah budak pandai. Pengawas sekolah tu!

Setahun berlalu. Dia pulak masuk sekolah menengah. Tanpa diduga, dia ternampak seorang pelajar lelaki sejibik seperti wajah itu ketika hari terakhir orientasi pelajar tingkatan satu. Dia tergamam seketika dan tertanya-tanya sendiri adakah itu pelajar lelaki itu? Sah, itu dia! Suara, muka dan perwatakannya memang sejibik. Rupa-rupanya pelajar lelaki itu pun bersekolah di situ selama ini? Dan pelajar lelaki itu juga adalah salah seorang AJK yang menguruskan minggu orientasi pelajar baru. Nampaknya pelajar lelaki itu masih mengekalkan jawatan pengawas yang disandangnya sejak sekolah rendah dulu. Inilah yang membuatkannya bertambah kagum dengan pelajar lelaki itu.

Melalui senarai nama AJK minggu orientasi itu, barulah dia mengetahui nama penuh pelajar lelaki itu. Selepas minggu orientasi, dia semakin kerap terserempak dengan pelajar lelaki itu. Nak tahu kenapa? Sebab kelas pelajar lelaki itu bertentangan dengan kelasnya! Sekali lagi dia menjadi pemuja rahsia. Pantang ada peluang, mesti dia akan mencuri pandang pelajar lelaki itu ketika pelajar lelaki itu berdiri di luar kelas pada waktu rehat. Mungkin pelajar lelaki itu mengenalinya namun mereka tidak pernah langsung bertegur sapa. Senyum pun tak. Namun begitu, dia bahagia memujanya dalam diam sehinggalah dia naik tingkatan dua.

Ketika di tingkatan dua, dia berkawan rapat dengan Syella memandangkan mereka duduk bersebelahan di dalam kelas. Syella orangnya lemah-lembut dan berwajah Chinese look. Mungkin disebabkan campuran orang Kelantan di sebelah ayahnya dan orang Minang di sebelah ibunya. Jadi, tidak hairanlah Syella mempunyai ramai peminat dan salah seorang peminatnya adalah orang yang dipujanya selama ini. Ah, tidak!

Daripada cerita Syella, dia dapat tahu sejak mereka di tingkatan satu lagi pujaannya itu sudah berkenan dengan Syella dan pernah melamar Syella sebagai kekasih namun Syella menolak. Kata Syella, dia dan pelajar lelaki itu cuma ‘berangkat’. Sukar untuk dia menerima semua itu dengan secara tiba-tiba. Rupa-rupanya selama ini dia berkawan rapat dengan pujaan hati orang yang dipujanya. Adakah Tuhan menemukan dia dengan Syella supaya dia berhenti memuja orang yang ditakdirkan bukan untuknya? Walaupun payah untuk dia menerima kenyataan itu tetapi itulah hakikatnya.

Dia sedar dia tidak setanding Syella. Apabila diamati, ternyata Syella dan pelajar lelaki itu kelihatan sepadan bagai pinang dibelah dua. Tetapi entah kenapa dia masih tetap memuja pelajar lelaki itu dan sudah tentulah Syella tidak tahu menahu tentang perkara itu. Dia cuba membuang wajah itu jauh dari hidupnya tetapi itu tidak mungkin selagi pelajar lelaki itu berada dekat dengannya. Mungkin Tuhan mahu menolongnya dan kerana itu akhirnya pelajar lelaki itu hilang dari pandangannya apabila dia masuk tingkatan tiga.

Berita terakhir yang dia dengar pelajar lelaki itu sudah berpindah sekolah dan mungkin juga berpindah rumah sebab sejak dari itu, dia tidak pernah lagi berjumpa dengan pelajar lelaki itu… Dan sekarang pelajar lelaki itu muncul kembali dalam hidupnya melalui dunia maya. Saufi … patut ke aku bagi tahu dia siapa aku? Macam mana kalau dia tak nak kawan dengan aku lagi bila dia tahu siapa aku yang sebenarnya?

Tiada ulasan: