Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Julai 02, 2012

Cinta Gantung (Bab 3)

DIGIT jam yang tertera pada skrin telefon bimbitnya dilihat. 10.12 pagi. Namun keadaan di KL Sentral itu sudah mula sibuk. Entah pada waktu bila tempat itu tidak sibuk.
Memandangkan dia tiba awal, Afia mengambil keputusan untuk melepak di kedai buku di tingkat dua. Dapatlah dia mengisi masa sementara menunggu Asyraf datang.
            Kalau diikutkan, sepatutnya Asyraf yang sampai dulu daripadanya. Jarak perjalanan stesen komuter Kajang ke KL Sentral lebih kurang sahaja dengan jarak perjalanan dari stesen komuter Shah Alam ke KL Sentral. Tetapi Asyraf mempunyai kenderaan sendiri untuk ke stesen komuter berbanding dia yang perlu menaiki dua buah bas untuk ke stesen komuter di Shah Alam. Biasanya Asyraf akan meninggalkan motosikalnya di stesen komuter Kajang.
            Jikalau gadis-gadis lain lebih selesa teman lelaki menjemput dan menghantar mereka pulang, dia pula lebih senang berdikari. Menaiki pengangkutan awam seperti bas dan komuter bukanlah perkara asing baginya. Sejak dulu lagi, dia sudah biasa menaiki bas. Lagipun, Asyraf pun tidak pernah menawarkan diri untuk menjemput atau menghantarnya.
Tetapi kalau Asyraf tawarkan pun, takkan dia hendak naik motor dengan Asyraf pula? Dia masih tahu menjaga batas pergaulan dengan lelaki.
Bosan membelek novel-novel di kedai itu, Afia menaiki eskalator ke tingkat tiga. Fikirnya, lebih baik dia menunggu di medan selera sahaja. Sekurang-kurangnya dia dapat duduk.
Selepas membeli segelas Milo ais, Afia mengambil tempat di sebuah meja yang agak terlindung daripada pandangan orang ramai. Milo ais yang dibeli tadi dijamah sambil matanya memandang ke arah pintu masuk medan selera itu. Kalau Asyraf sampai nanti, senanglah dia hendak nampak.
Sememangnya dia sudah biasa ke situ. Di KL Sentral itu jugalah mereka bertemu buat pertama kali apabila Asyraf memulangkan dompetnya yang tercicir. Selepas itu, dia lebih kerap ke situ untuk bertemu dengan Asyraf. Selalunya mereka akan bertemu di KL Sentral dan bersarapan di medan selera sebelum memutuskan destinasi yang nak dituju. Banyak kenangan mereka dengan KL Sentral sebenarnya.
            Afia mula bosan menunggu. Salah dia juga yang datang awal. Tetapi sebenarnya dia memang sengaja keluar awal. Perasaan rindu yang bertamu dalam hatinya membuatkan dia tidak sabar untuk berjumpa dengan Asyraf. Baru sekarang dia faham rindu itu macam mana rasanya. Dulu bukan main lagi dia mengutuk Ezlyn dan Noni yang asyik keluar dating tiap-tiap minggu. Kan sekarang dah terkena batang hidung sendiri!
Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam poket seluar. Digit jam yang tertera dilihat lagi. Lagi 15 minit menghampiri pukul 11.00 pagi. Tetapi Asyraf masih tidak menghantar sebarang pesanan ringkas. Justeru, Afia menaip satu pesanan ringkas dan menghantarnya kepada Asyraf. Tidak sampai satu minit, pesanan ringkasnya berjawab.

Sorry, Afia. Saya tak dapat jumpa awak hari ni. Kita keluar lain kali ya.

Matanya membulat membaca balasan pesanan ringkas daripada Asyraf itu. Asyraf tidak dapat datang? Kenapa sekarang baru hendak beritahu? Kenapa tak beritahu malam nanti sahaja?
Tiba-tiba sahaja dia berasa sakit hati dengan jawapan Asyraf itu. Dia bangun awal semata-mata hendak berjumpa dengan Asyraf tetapi Asyraf buat dia begini. Tanpa membuang masa, dia membalas pesanan ringkas daripada Asyraf itu.

Saya dah ada kat KL Sentral ni. Kenapa baru sekarang awak nak beritahu?

Kebiasaannya, jika sesiapa antara mereka berdua yang datang awal, maka dia akan menunggu pihak yang satu lagi walau betapa lama sekalipun. Masing-masing memahami akan situasi masing-masing yang menaiki pengangkutan awam, apatah lagi perkhidmatan komuter yang sering tertunda itu. Jadi, pastilah ada sangkut di mana-mana.
Namun situasi hari ini berbeza kerana Asyraf seolah-olah sengaja membiarkannya menunggu tanpa alasan yang kukuh. Tidakkah Asyraf tahu yang UiTM Puncak Perdana itu bukannya dekat? Dia terpaksa menempuh perjalanan yang agak memenatkan untuk sampai ke situ. Tetapi dia tidak kisah pasal semua itu asalkan dia dapat berjumpa dengan Asyraf.
Tetapi Asyraf senang-senang sahaja membatalkan janji temu mereka? Sudahlah dia sanggup berlapar semata-mata hendak makan bersama Asyraf.

Dari semalam saya nak beritahu awak tapi tak dapat hantar mesej. Nak call pun tak boleh. Line problem. Ni baru dapat hantar mesej. Sorry ya.

Tak dapat hantar mesej apanya? Bukankah mereka menggunakan talian yang sama? Tetapi kenapa talian telefon bimbitnya okey sahaja? Kalau hendak menipu pun, agak-agaklah.

Kalau awak tak datang sekarang, saya takkan jumpa awak lagi!

            Afia sengaja mengugut. Biasanya Asyraf akan terpengaruh dengan ugutannya lantas cepat-cepat memujuknya. Namun kali ini nampak gayanya ugutannya tidak menjadi kerana Asyraf terus menyepi.
Afis mendengus geram. Sudahlah perutnya sedang kelaparan. Dia semakin berang!

Tiada ulasan: