Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Oktober 28, 2012

Cinta Gantung (Bab 9)

USAI mandi dan mengerjakan solat isyak, dia berbaring di atas katil. Seluruh badannya terasa penat. Hampir satu hari suntuk dia menghabiskan masa di luar rumah.
Sepatutnya hari ini dia perlu menghantar hasil kerjanya ke sebuah syarikat penerbitan di Wangsa Melawati dan memulangkan dompet milik Afia di KL Sentral. Dompet yang dijumpainya ketika menunggu komuter di sana beberapa hari yang lalu.
Dia sendiri pun tidak tahu mengapa dia begitu tertarik dengan dompet itu dan berusaha mendapatkan nombor telefon Afia lalu bertindak menelefon Afia semata-mata untuk memulangkan dompet itu padahal kalau diikutkan, boleh sahaja dia berbuat tidak tahu.
Tetapi dia tidak sampai hati. Alang-alang sudah ada nombor telefon kawan Afia yang dapat dihubungi, jadi biarlah dia teruskan usahanya mencari Afia sehingga dapat. Dan dia bernasib baik kerana Afia hanya berada di sekitar Selangor. Jika Afia berada di alamat seperti yang tertera pada kad pengenalannya, terpaksalah dia menyusahkan encik posmen.
Fikirannya kembali memutarkan kejadian pada siang tadi. Pada mulanya, dia yang mahu memulangkan barang kepada Afia tetapi entah macam mana barangnya pula yang tertinggal ketika berjumpa Afia. Tidak semena-mena, dia terpaksa berpatah semula ke KL Sentral dan menaiki komuter ke Shah Alam. Dari sana pula, dia menaiki teksi ke Puncak Perdana yang mengambil masa selama 30 minit dari bandar Shah Alam.
Selepas berjumpa dengan Afia, dia perlu ke Wangsa Melawati semula untuk menyerahkan hasil kerjanya kepada editor sebuah syarikat penerbitan. Mujur editor itu masih sudi menunggunya yang sudah terlewat daripada masa yang dijanjikan sebelumnya.
Dia memejamkan mata. Cuba membawa diri ke alam mimpi. Sangkanya, matanya akan terus layu apabila kepalanya diletakkan di atas bantal tetapi tidak. Matanya enggan lelap.
Peristiwa sepanjang hari itu bermain-main dalam ingatannya. Walaupun belum sampai 24 jam gadis itu dikenalinya, tetapi dia sangat menyenangi gadis itu. Bagaikan ada sesuatu yang membuatkannya tertarik kepada gadis itu.
Walaupun dia berasa penat kerana terpaksa datang dari jauh, tetapi dia berasa kedatangannya itu berbaloi apabila Afia menghantarnya hingga ke perhentian bas semula selepas mereka minum di gerai dan sanggup menunggu sehingga bas yang dinaikinya benar-benar hilang daripada pandangan mata.
Entah mengapa hatinya terasa berat untuk berpisah dengan Afia. Seolah-olah mereka tidak akan bertemu lagi. Tiba-tiba ada rasa rindu yang menerpa dirinya.
Telefon bimbit Motorola di sisi katil ditenung sejenak lantas dicapai. Jari-jemarinya pantas menekan-nekan kekunci telefon bimbit itu sebelum menghantarnya ke suatu nombor yang sudah tersimpan dalam telefon bimbitnya.
Sedaya upaya matanya ditahan daripada terlelap semata-mata hendak menantikan balasan daripada pemilik nombor telefon itu, namun akhirnya dia terlelap juga.


WELCOME TO
www.tido.com

Type PASSword

TIDO

ACCEPTED!

NEW MEMBER PROCESSING…

REJECT! REJECT! Doa tak baca…

Night, Afia… hehe (^_^)
           
“AIK, apa hal pulak mamat ni tiba-tiba mesej ucap selamat malam ni? Buang tabiat apa? Ah, lantaklah! Malas aku nak layan.”
Afia hanya membaca kiriman pesanan ringkas itu tanpa membalasnya. Kemudian, dia kembali menyambung aktiviti rutinnya yang tergendala gara-gara pesanan ringkas itu tadi.
Dia mula hidup dalam dunia mayanya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Kebanyakan teman serumahnya sudah tidur pada waktu begini. Ezlyn dan Noni pula pasti sedang menonton DVD di dalam bilik mereka. Adakalanya dia turut menyertai mereka berdua. Bergantung pada moodnya ketika itu. Mereka bertiga memang burung hantu. Malam berjaga, siang baru tidur.
Sedang dia leka bersembang dengan beberapa orang rakan sibernya, tiba-tiba konsentrasinya sedikit terganggu apabila bunyi pintu bilik tengah dibuka kasar diiringi suara keras kedengaran.
Ezlyn keluar dari biliknya sambil menjawab telefon bimbit menuju ke balkoni rumah itu. Afia yang berada di ruang tamu hanya memerhati sekilas. Situasi sebegini bukanlah asing pada matanya. Malah, sudah acap kali.
Setiap malam, teman lelaki Ezlyn akan menelefonnya. Ketika inilah dia dapat melihat personaliti kedua Ezlyn yang mana Ezlyn akan bercakap dengan nada yang lemah lembut dan manja. Tidak seperti ketika dia bercakap dengannya dan Noni.
Sewaktu pertama kali dia mendengar Ezlyn bercakap di telefon, sangkanya Ezlyn sedang bercakap dengan bapanya lantaran Ezlyn menggunakan kata panggilan ‘pa’ buat si pemanggil. Tetapi cara Ezlyn bercakap seperti sedang bercakap dengan teman lelaki. Kemudian, barulah dia mengerti. Rupa-rupanya mereka menggunakan kata ganti nama diri ‘papa’ dan ‘mama’ sesama sendiri.
Meskipun hubungan Ezlyn dan teman lelakinya tampak mesra dan bahagia, namun adakalanya Ezlyn juga akan bercakap kasar dengan teman lelakinya yakni ketika mereka bergaduh. Seperti sekarang.
Afia hanya memekakkan telinga meskipun dia dapat mendengar butir pertengkaran Ezlyn dan teman lelakinya. Ini tidak ada lain, mesti kes cemburu.
Melalui cerita Ezlyn, dia tahu yang teman lelaki Ezlyn seorang yang baran dan kuat cemburu. Justeru, mereka sering bertengkar. Namun Afia lebih suka berdiam diri dan tidak mencampuri masalah kawan-kawannya terutamanya masalah yang melibatkan teman lelaki.
Siapalah dia untuk memberi nasihat berkenaan cinta dan lelaki. Dua perkara yang sangat asing dalam kamus kehidupannya.
Tiba-tiba telefon bimbit yang diletakkan di sebelah komputer ribanya tadi berbunyi. Afia hampir tersentak. Nombor telefon yang tertera pada skrin telefon bimbit itu dilihat sekilas.
Dah agak. Mesti mamat ni. Rungut hatinya.
Memang telefon bimbitnya kerap berbunyi tetapi sayangnya panggilan itu selalunya bukan untuknya walaupun dia ialah tuan empunya telefon bimbit itu.
Afia segera memanggil Noni. “Noni, laki kau telefon!”
Tidak perlu menunggu lama, Noni muncul sesaat kemudian. Mungkin dia sudah dapat mengagak yang panggilan telefon itu sememangnya untuknya.
“Pinjam sekejap ya.” Noni menghilang ke dalam bilik bersama telefon bimbit Afia.
Semenjak telefon bimbit Noni berkecai akibat dicampak selepas dia bergaduh dengan teman lelakinya sebulan yang lalu, telefon bimbit Afialah yang sering menjadi mangsa. Jika sekali-sekala, tidak mengapalah. Ini tidak, hampir setiap malam teman lelaki Noni menghubungi telefon bimbitnya untuk bercakap dengan teman baiknya itu.
Sejujurnya, Afia sememangnya tidak suka telefon bimbitnya dikongsi dengan orang lain. Bukankah telefon bimbit itu termasuk dalam kategori barang peribadi? Lainlah telefon awam. Sesiapa pun boleh guna. Itu pun kena bayar. Tetapi dia tidak mahu kawan-kawannya mengatakannya kedekut pula.
Tidak mengapalah asalkan bukan kreditnya yang berhabis. Justeru, mahu tidak mahu, dia merelakan sahaja telefon bimbitnya digunakan. Dia cuma dapat berdoa mudah-mudahan Noni tidak mencampak telefon bimbitnya itu pula.
Melihatkan hubungan cinta dua orang teman baiknya itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan Afia tiada keinginan untuk bercinta. Jika beginilah nasib yang perlu dilaluinya dalam bercinta, dia lebih rela tidak mempunyai teman lelaki. Lebih baik solo begini. Hati tidak sakit, jantung pun sihat tanpa perlu memikirkan masalah cinta yang melanda.
Tatkala kedua-dua teman baiknya sibuk bercinta di telefon, dia pula terus hanyut dengan dunia mayanya...

Tiada ulasan: