“AKU
rasa memang kau kena kahwin kut supaya dia tak kacau kau lagi,” Dayana
memberikan cadangan apabila Aulia bercerita tentang kejadian semalam ketika
mereka bersarapan bersama di pejabat pagi itu.
“Cakap memanglah senang. Aku nak
kahwin dengan siapa?” Aulia melepaskan keluhan. Macamlah soal nikah kahwin ni
benda senang. Cakap saja nak kahwin, esok terus dah boleh kahwin!
“Pian kan ada!” usik Dayana.
“Ee, senangnya kau bercakap!
Daripada dia kahwin dengan aku, baiklah dia kahwin dengan si Fareha tu. Dah
sah-sah si Fareha tu syok dekat dia,” ujar Aulia. Kahwin dengan Sufian? Dia
langsung tidak pernah terfikir sampai ke situ.
“Memanglah Fareha tu syok dekat Pian
tapi Pian tak syok dekat dia pun. Dia tu saja yang lebih-lebih.” Dayana tidak
bersetuju langsung jika Sufian memilih Fareha sebagai isteri. Tak sesuai!
“Habis tu, kau ingat Si Pian tu syok
dekat aku?” balas Aulia geram.
Dayana tersengih.
“Kalau kau nak, aku boleh tanyakan.”
“Isy, tak payah! Kau jangan nak
memandai-mandai ya. Tak ada maknanya dia nak syok dekat aku,” Aulia memberi
amaran. Bukan boleh percaya sangat si Dayana ini. Buatnya betul dia tanya pada Sufian,
malu dia nanti. Tidak pasal-pasal pula nanti Sufian ingat dia ada hati pada
Sufian.
“Manalah
tahu, kan? Tapi, aku tengok dia dengan kau macam sepadanlah. Sesuai sangat!”
Dayana benar-benar memaksudkan kata-katanya. Kalau benar ada jodoh Aulia dengan
Sufian, dia sokong seratus peratus!
“Banyaklah
kau punya sesuai!” marah Aulia, seakan-akan kurang senang dengan gurauan
Dayana. Dia tidak suka dikenen-kenenkan sebegitu. Orang itu tak ada apa-apa,
takkan dia pula yang hendak lebih-lebih?
“Kau
tahu Lia, aku selalu doakan supaya kau bahagia semula. Tak kisahlah dengan sesiapa
pun. Kalau masih ada jodoh kau kat dunia ni, kahwinlah,” nasihat Dayana.
“Terima
kasihlah Dee sebab selalu doakan aku. Aku sebenarnya dah malas nak fikir pasal
kahwin ni. Serik!” luah Aulia. Jika ditakdirkan hidupnya begini sehingga tua,
dia reda. Untuk berkahwin lagi? Rasanya perkara itu sudah tiada dalam kamus
hidupnya. Cukuplah sekali sahaja.
“Lagipun,
umur aku pun dah berapa? Lagi tiga tahun dah nak masuk 35. Dah tak larat nak
beranak,” seloroh Aulia.
“Eleh,
macamlah kau tu dah tua sangat! Umur 35 tu muda lagilah. Masih boleh beranak.
Lainlah kalau 53 tahun,” tegas Dayana. Sedikit geram dengan pendirian Aulia.
“Siapalah
yang nak dekat aku ni, Dee oi?” ujar Aulia merendah diri. Dia masih sedar diri.
Dengan statusnya sekarang, susah hendak cari lelaki yang benar-benar dapat
menerima dirinya.
“Habis,
yang si Izwan tu dok kejar kau tu apa?” sindir Dayana.
Aulia
tayang wajah tidak suka apabila nama itu disebut.
“Itu
lain. Kau pun tahu aku ada sejarah buruk dengan keluarga dia. Lagipun, aku tak
suka dia,” balas Aulia. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali jika dia
menerima Izwan sebagai suami.
“Kalau
orang tu, kau suka?” Dayana menunjuk ke arah pintu masuk pejabat mereka.
Aulia
memandang ke arah yang dikatakan. Ketika itu juga pandangannya dan Sufian
berlaga. Sufian menghadiahkan senyuman kepadanya. Spontan dia membalas senyuman
itu. Namun senyumannya mati tatkala terlihat Fareha menyapa Sufian mesra sebelum
kedua-duanya menghilang bersama-sama. Mungkin mereka keluar untuk bersarapan
bersama.
Situasi
itu membuatkan Aulia sedar bahawa dia dan Sufian tidak mungkin bersama.
Siapalah dia jika mahu dibandingkan dengan Fareha yang masih muda dan bujang
itu? Komen Dayana yang mengatakan dia dan Sufian sepadan tadi segera diusir
jauh-jauh.
HATI
Aulia berdebar-debar tatkala melangkah keluar dari pintu bangunan tempat
kerjanya. Bimbang sekiranya Izwan muncul lagi seperti semalam. Lelaki itu
bukannya faham bahasa. Makin dilarang, makin dibuatnya.
Setelah beberapa langkah dia menjauhi
bangunan Tower 7 di The Horizon Bangsar South itu, rasanya dia boleh menarik
nafas lega kerana tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Izwan berada di
situ. Memikirkan itu, dia melangkah dengan senang hati.
“Lia!”
Kur
semangat! Sudahlah datang tidak diundang, salam pun tidak diberi. Hampir gugur
jantungnya apabila disapa secara mengejut begitu. Izwan memang suka membuat
kejutan kepadanya.
“Ya Allah, abang! Terkejut Lia tau!
Kenapa tak beri salam?” Aulia memegang dadanya.
“Ops! Sorry. Assalamualaikum, Lia sayang,” ucap Izwan sambil tersenyum
segaris.
Aulia tayang muka kurang senang
mendengar panggilan itu meniti daripada mulut Izwan. Kenapalah Izwan tidak
boleh membiarkan dia hidup dengan tenang?
“Hari ni teman lelaki Lia tu tak
hantar Lia balik ke?” Sengaja Izwan menekankan perkataan teman lelaki itu. Dia
sedikit pun tidak percaya yang Sufian itu teman lelaki Aulia.
“Hari
ni Lia balik sendiri,” balas Aulia masih cuba berlagak selamba walaupun dia
tahu Izwan mungkin sudah dapat mengagak bahawa Sufian itu bukan teman lelakinya
dalam erti kata yang sebenar.
“Baguslah kalau macam tu. Jadi,
bolehlah abang hantar Lia balik hari ni, kan?” Izwan menawarkan diri. Dia masih
belum berputus asa dan akan terus cuba memenangi hati Aulia.
“Tak apalah, bang. Susahkan abang
saja,” Aulia cuba berdalih.
“Susah apanya? Bukannya jalan kaki.
Naik kereta, kan? Jomlah,” ajak Izwan.
“Lia
tak naklah, bang!” Aulia menolak.
Sejak
Izwan meluahkan perasaan kepadanya, dia berasa takut dengan Izwan. Takut Izwan
melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya. Dia tidak tahu mengapa tetapi
dia sering berasa tidak selamat apabila bersama dengan Izwan.
“Alah,
jomlah...” Izwan menarik tangan Aulia namun Aulia pantas meleraikan pegangan
tangan Izwan.
“Apa abang ni?” marah Aulia. Dia
kurang senang dengan kelakuan Izwan. Suka-suka hati sahaja hendak pegang-pegang
tangannya.
“Okey, abang minta maaf!” ucap Izwan
apabila menyedari keterlanjurannya. Dia tahu Aulia bukan wanita yang suka
dipegang sesuka hati. “Kenapa susah sangat Lia nak terima pelawaan abang? Abang
cuma nak hantar Lia balik saja.”
“Abang tu yang susah sangat nak
faham! Lia dah kata Lia tak nak balik dengan abang, kan?” Aulia mula hilang
sabar. Perasaan hormat terhadap Izwan juga semakin menipis. Mungkin dia nampak
lemah lembut tetapi hal itu tidak bermakna yang dia akan menurut segala
permintaan Izwan.
“Sayang,
kat sini pun awak. Puas saya cari. Kan saya suruh awak tunggu saya balik
sekali?”
Suara
itu membuatkan Aulia dan Izwan serentak menoleh.
Sufian!
Aulia lega, namun Izwan pula
bengang.
Sufian merapati Aulia.
“Sebab
itulah saya tak bagi awak balik sendiri,” ujar Sufian sambil memandang Izwan.
Walaupun Aulia berasa pelik macam
mana Sufian boleh berada di situ pada waktu itu tetapi dia rasa bersyukur
sangat kerana Tuhan hantarkan Sufian untuk melindunginya daripada gangguan
Izwan.
“Kau tahukan dia ni bakal isteri
aku?” Sufian bersuara keras. Seakan-akan cuba memberi amaran kepada Izwan.
“So?
Kau bukan suami dia lagi, kan?” Izwan senyum mengejek.
Dengan suara yang tegas, Sufian
berkata, “Kalau kau terus ganggu dia macam ni, aku rasa aku kena cepatkan
majlis perkahwinan kami kut.”
Serentak Aulia dan Izwan memandang Sufian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan