Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Februari 16, 2009

Cinta Yang Aku Mahu 31

“Ah, bestnya dapat baring atas katil sendiri!” Eisya merebahkan tubuhnya ke katil bagi melepaskan rindu. Sudah lebih dua bulan dia tidak tidur di atas katil itu. Eisya bermalas-malas di atas katil sepuas-puasnya.

“Oit, balik-balik aja tidur,” tegur Fariza, adik Eisya yang muda tiga tahun daripadanya.

“Mana ada tidur? Baring aja,” dalih Eisya. Cover line!

“Eleh… mula-mula memanglah baring. Lepas tu tidur,” Fariza faham benar dengan sikap kakaknya yang seorang itu. Pantang jumpa bantal dan katil.

“Ala… bagilah aku chance nak tidur atas katil ni. Dah dua bulan lebih aku tak tidur atas katil sendiri,” Eisya memeluk bantal.

Memandangkan jarak antara kolej dan kampungnya jauh, maka harga tiket bas pun jauh lebih mahal. Justeru, dia terpaksa mengehadkan kekerapannya pulang ke kampung pada cuti semester sahaja.

“Tidur apa? Tu ada telefon untuk kau.”

“Yalah tu. Mesti kau saja dengki dengan aku kan?”

Macam aku tak tahu kau sengaja tak nak bagi aku tidur.

“Laa…betullah. Tak percaya pergilah tengok.”

Siapa pulak yang nak telefon aku? Mana ada sesiapa yang tahu telefon rumah aku selain Syella. Takkanlah Syella yang telefon aku kut? Baru aja aku nak bersenang-lenang di rumah. Ish!

“Kalau kau tipu, siap kau,” Eisya memberi amaran kepada Fariza sebelum mengatur langkah ke ruang tamu. Gagang telefon dilekapkan ke telinga. “Hello…”

“Sya, buat apa? Jom keluar.”

Seperti dijangka, siapa lagi yang akan menelefonnya di kampung.

“Keluar?”

Dahlah kat Arau aku tengok muka dia. Kat sini pun aku kena mengadap muka dia jugak ke? Lagipun aku kan baru sampai rumah. Takkan dah nak keluar? Apa kata mak dan abah nanti? Alasan apa aku nak bagi ni?

Sorrylah, Syel. Mak dan ayah aku tak bagi keluarlah,” bohong Eisya. Bukan dia tak suka Syella ataupun sengaja menjarakkan diri namun dia lebih suka duduk di rumah kalau tak ada apa-apa tujuan untuk keluar.

Kalau keluar dengan Syella, apalagi aktiviti mereka kalau tak shopping ataupun main bowling. Dua-dua itu bukan minat Eisya tapi demi menjaga hati Syella, diturutkan saja kerana dia adalah orang yang sangat sukar untuk mengatakan ‘tidak’ lebih-lebih lagi dengan kawan sendiri.

Mungkin dia bukan kawan yang baik kerana tak mampu berterus-terang tentang apa yang dirasainya namun selagi dia masih mampu memendam, dia pendamkan saja. Biarlah dia seorang yang merana asalkan orang di sekelilingnya gembira. Dia rela.

“Ala… kau pujuklah mak dan ayah kau. Aku bosanlah duduk kat rumah ni. Tak ada siapa-siapa,” adu Syella.

Syella cuma tiga beradik. Abangnya sudah berkahwin dan kini menetap di Johor Bahru manakala adik lelakinya memang jarang-jarang lekat di rumah. Ibu bapanya pula sibuk bekerja. Justeru, Eisyalah yang selalu menjadi tempatnya melepaskan kesunyian dan kebosanan.

“Tak bolehlah,” Eisya berkeras. Rasa berdosa pulak menipu temannya itu tapi dia memang malas hendak keluar hari itu. Nak cakap malas, takut Syella berkecil hati dan mendesaknya keluar juga. Penat 14 jam di dalam bas tadi pun belum hilang. Eisya terpaksa mencari helah lain. “Besok-besok ajalah kita keluar ya? Aku penat.”

“Kalau macam tu, kita keluar besok boleh?” Syella masih tidak mahu mengalah.

“Tengoklah,” balas Eisya acuh tak acuh. Tak ada orang lain ke yang kau nak ajak keluar? Kalau kat Arau, boleh pulak kau tak keluar dengan aku? Yalah, dah Danish tak ada kat sini. Dah tak ada kawan, baru nak cari aku? Huh!

“Tak ada tengok tengoknya. Besok aku ambil kau kat rumah ya. Pukul 11 ok?”

“Pukul 11? Nak pergi mana awal-awal pagi?”

“Mana-manalah. Aku ambil kau ya. Jangan lambat tau. Bye!”

Talian dimatikan.

“Ish… ni yang aku malas ni. Ingatkan cuti ni bolehlah lepak kat rumah lama-lama sikit,” Eisya mengomel sendiri.

“Eisya, telefon!” terdengar suara Fariza dari dalam bilik.

“Biarlah!” balas Eisya. Kenapa semua orang sibuk telefon aku ni? Masa aku kat sana, tak ada pulak nak telefon.

“Dah banyak kali bunyi. Boyfriend kau kut,” seloroh Fariza sejurus Eisya muncul di muka pintu bilik yang dihuni oleh mereka berdua. Eisya ada boyfriend? Ada ke lelaki yang nak kat dia? Asyik makan tidur makan tidur saja.

“Perli akulah tu,” Eisya mencebik ke arah Fariza sebelum melihat skrin telefon bimbitnya. Empat panggilan tidak berjawab.

Siapa pulak? Irwan? Nak apa pulak mamat ni? Nak telefon balik ke tak ya? Biarlah. Dia yang nak cakap dengan aku. Biarlah dia yang telefon balik. Siapa suruh dia pakai Maxis? Kalau aku telefon, mesti kredit aku cepat jatuh. Tunggulah dia telefon balik.

Belum pun sempat Eisya meletakkan kembali telefon bimbitnya, tiba-tiba satu pesanan ringkas menjengah di telefon bimbit itu.

‘Sya, kenapa tak jawab phone? Dah sampai rumah ke?’

‘Dah. Baru aja. Apahal kau call aku?’

Eisya membalas pesanan ringkas itu. Tak sampai seminit, satu lagi pesanan ringkas masuk.

‘Saja nak tahu. Hehe … k, enjoy your holiday! :D’

Laaa… itu aja? Membazir kredit ajalah Irwan ni. Celcom ke Maxis kan 20 sen satu SMS. Setakat nak tanya benda remeh-temeh macam ni tak payahlah. Kredit tengah banyaklah tu.

Ala…jangan kata 20 sen 20 juta pun aku sanggup berhabis untuk orang yang aku sayang. Setakat 20 sen apalah sangat.

Irwan membaca SMS yang dikirim oleh Eisya itu berulang kali. Walaupun cuma satu SMS tetapi sudah cukup untuk membuat hatinya gembira.

Bodoh ke aku kerana masih menaruh harapan sedangkan aku tahu hatinya bukan untuk aku? Tapi bukan ke cinta tak semestinya memiliki tetapi wujudnya cinta kerana memberi? Cinta yang ikhlas tidak sepatutnya mengharapkan balasan.

Tiada ulasan: