Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Mac 05, 2013

Cinta Gantung (Bab 17 & 18)

"SELEPAS berbincang, kami berpendapat ada sesetengah babak dalam manuskrip ini yang perlu diubah,” terang pengurus penerbitan Komikku, Encik Wahid sambil menunjukkan beberapa lakaran yang telah dihantar oleh Asyraf beberapa minggu yang lalu.
            Asyraf menyambut huluran itu lalu menelitinya satu per satu lakaran yang ditandai dengan pensel itu. Kemudian, dia memandang Encik Wahid lantas meminta penjelasan lanjut, “Boleh saya tahu, kenapa babak ini perlu diubah?”
            Sebagai penulis dan pelukis bagi komik tersebut, pastilah dia mahu seratus peratus idea asalnya diterima. Jika cerita itu diolah bagi disesuaikan dengan polisi sesebuah syarikat penerbitan, dia berasa seolah-olah dia menulis dan melukis demi memenuhi kehendak penerbit dan bukannya atas daya kreativitinya sendiri. Namun begitu, dia juga memahami bahawa setiap syarikat penerbitan mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi.
            Ketika menghantar proposal manuskrip komik ini, dia sudah diberitahu dan diberi penerangan mengenai garis panduan dan kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi. Pada mulanya, dia memang kurang berpuas hati dengan sesetengah syarat yang dikenakan tetapi apabila mengenangkan hanya syarikat penerbitan ini yang berani menerbitkan komiknya, dia terpaksa akur. Mungkin pihak penerbit lebih mengetahui mengenai pasaran.
            “Babak ini perlu diubah kerana kami berpendapat babak ini terlalu agresif dan tak berapa sesuai untuk bacaan kanak-kanak,” terang Encik Wahid.
            Asyraf tekun mendengar penerangan Encik Wahid mengenai babak-babak yang perlu diubah. Seperti yang diterangkan oleh Encik Wahid ketika kali pertama dia ke situ untuk menghantar manuskrip komiknya, sasaran pembaca komik mereka adalah remaja, namun isi kandungannya juga perlu sesuai untuk semua peringkat usia. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul juga ditekankan bagi memungkinkan komik tersebut memasuki pasaran sekolah dan perpustakaan selain di kedai-kedai buku.
            Dia tahu dia tidak patut merungut atau bersikap keras kepala. Bukannya mudah hendak mencapai kejayaan dan bukan mudah untuk dia berada hingga ke tahap sekarang. Sudah banyak pengalaman yang dilaluinya. Takkanlah apabila disuruh membuat sedikit pembetulan, dia harus mengalah?
 

 

CAWAN berisi air kopi itu diletakkan di atas meja. Selepas berehat seketika, dia kembali menyambung kerja-kerja melukisnya. Pulang sahaja dari pejabat Komikku petang tadi, dia terus memulakan kerja-kerja memperbaiki seperti yang disarankan oleh Encik Wahid. Dia hanya berhenti untuk mandi dan solat. Makan malam yang disediakan oleh Mak Mi pun tidak dijamahnya.
            Walaupun dia diberi masa selama dua minggu untuk memperbaiki lakaran-lakaran itu, namun dia tidak mahu menangguhkannya lebih lama. Bimbang semangatnya akan luntur. Jadi, sementara semangatnya sedang berkobar-kobar ini, dia mahu menyiapkannya secepat mungkin. Tambahan pula, dia baru sahaja mendapat idea tatkala dalam perjalanan pulang ketika berada di dalam komuter tadi. Lebih cepat dia menyiapkan kerja itu, lebih cepatlah komiknya dapat diterbitkan.
            Beberapa minit kemudian, dia masih tekun melukis semula bahagian yang perlu diperbaiki. Namun setengah jam kemudian, dia berasa seperti kekurangan sesuatu. Pensel di tangannya diletak lalu telefon bimbitnya dicapai.
            Digit jam pada skrin telefon bimbitnya menunjukkan hampir pukul 9.00 malam. Baru dia teringat, hari ini dia belum menghantar ucapan selamat malam kepada Afia lagi. Dia mencari-cari ucapan selamat malam yang kreatif dalam telefon bimbitnya. Namun sayangnya, kesemua ucapan itu sudah digunakannya. Jadi, alasan apa lagi yang dapat dia gunakan untuk menghantar pesanan ringkas kepada Afia?
 
 
 
 
Bab 18

NOMBOR telefon itu didail sekali lagi. Namun sama seperti selalunya, tiada berjawab. Seolah-olah pemilik nombor telefon itu memang sengaja tidak mahu menjawab setiap panggilannya. Pesanan ringkasnya juga sudah tidak berbalas.
            Syukri mengeluh hampa. Afia langsung tidak memberinya peluang. Teruk sangatkah dia? Atau sememangnya Afia sudah mempunyai teman lelaki? Adakah benar pemuda yang datang ke situ tidak lama dahulu adalah teman lelaki Afia?
            Tetapi menurut Ezlyn dan Noni, Afia masih belum mempunyai sesiapa sebagai teman istimewa. Disebabkan itulah dia berani memulakan langkah dan nekad bertindak meminta nombor telefon Afia daripada kawan-kawan Afia. Hendak meminta daripada Afia sendiri, jangan haraplah dia akan dapat. Belum sempat dia datang dekat, Afia sudah lari terlebih dahulu.
MELIHATKAN Afia sudah tergesa-gesa berlalu selepas membayar harga makanan dan minumannya, maka terpaksalah dia menebalkan muka menegur Ezlyn dan Noni. Nasib baik mereka memberikan respons positif.
“Dah nak balik ke?” tanya Syukri sekadar berbasa-basi sejurus Ezlyn, Noni dan Yusri selesai membuat bayaran di kaunter.
            “Haah, dah nak pukul 11.00 malam ni. Nanti pintu pagar dikunci pula,” jawab Ezlyn.
            “Boleh tanya sikit tak?”
            “Nak tanya apa?” tanya Ezlyn kembali sambil memandang ke arah Noni.
Noni juga seperti tidak sabar hendak mengetahui apa yang ingin ditanya oleh Syukri itu. Lagak gayanya seperti ingin bertanyakan tentang sebuah rahsia besar yang tidak mahu diketahui oleh orang lain.
            Syukri memandang Afia yang tercegat di pintu pagar belakang kolej mereka yang tidak jauh dari situ sambil memerhati ke arah mereka.
Kemudian, perlahan dia berbisik, “Afia tu dah ada pakwe atau belum ya?”
            Mata Ezlyn dan Noni membuntang mendengar pertanyaan itu. Serentak mereka memandang antara satu sama lain sambil mengangkat kening masing-masing. Seolah-olah tidak menyangka akan soalan yang baru keluar daripada mulut Syukri itu. Seketika kemudian, mereka berdua tersenyum mengusik. Ternyata telahan mereka selama ini tidak silap. Syukri memang sukakan Afia!
            “Kenapa tak tanya dia sendiri tadi?” Ezlyn sengaja menduga.
            “Nak buat macam mana, belum sempat tanya, dia dah pergi,” luah Syukri dengan nada kecewa. Dia dapat merasakan yang Afia seolah-olah sengaja mengelakkan diri daripadanya.
            Ezlyn memandang Noni sambil mengangkat kening. Kemudian, mereka kembali memandang Syukri.
“Dia single lagilah.”
            And available,” sambung Noni.
            Syukri tersenyum mendengar jawapan itu. Namun sejurus teringatkan lelaki yang bersama Afia hari itu, serta-merta senyumannya mati.
“Tapi siapa lelaki yang dengan dia hari tu?”
            “Lelaki mana? Bila?” tanya Ezlyn.
            “Ada hari tu dia orang minum kat sini,” terang Syukri.
            “Afia dengan siapa, Noni?” Ezlyn bertanya kepada Noni. Mungkin Noni mengetahui tentang perkara itu.
            “Entah,” jawab Noni.
Sejenak kemudian, barulah dia mula teringat.
“Hah! Entah-entah mamat yang kita jumpa kat KL Sentral tu tak? Yang jumpa dompet Afia tu. Kan dia pernah datang sini sebab nak ambil barang dia yang ada pada Afia.” Noni mengingatkan Ezlyn tentang lelaki itu.
            Dahi Ezlyn berkerut. Dia tidak tahu-menahu langsung tentang itu. “Dia orang minum kat sini ke?”
            “Adalah, yang kita tak nak temankan dia tu. Eh! Ke aku tak cerita pada kau?” Noni menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia juga sudah lupa sama ada dia pernah memberitahu Ezlyn tentang perkara itu atau tidak. Adakalanya perkara yang sama pun dia tidak sedar yang dia sudah bercerita berulang kali.
            “Mana ada. Kau tak cerita pun.” Ezlyn yakin Noni tidak pernah menceritakan tentang perkara itu kepadanya. Jika Noni pernah bercerita, pasti dia mengingatinya.
            “Aku lupa kut nak cerita.” Noni tersengih.
            “Betul ke lelaki tu pakwe dia?” Syukri pantas mencelah. Dia tidak mahu tahu akan hal lain selain tentang Afia.
Semenjak hari itu, fikirannya terganggu gara-gara memikirkan hubungan Afia dengan lelaki itu. Jika benar lelaki itu adalah teman lelaki Afia, dia berjanji dengan dirinya sendiri yang dia tidak akan mengganggu Afia lagi. Tetapi jika sebaliknya, dia nekad akan berusaha untuk merebut hati Afia dan bersaing dengan lelaki itu secara adil.
            “Setakat yang kita orang tahu, Afia memang belum ada siapa-siapa lagi,” jelas Ezlyn.
Jika Afia sudah mempunyai teman lelaki, pasti mereka berdua yang akan tahu terlebih dahulu. Lagipun, Afia masih seperti biasa. Tiada apa-apa perubahan yang luar biasa pada dirinya. Telefon bimbitnya pun memang tidak pernah berbunyi melainkan teman lelaki Noni yang menghubunginya untuk bercakap dengan Noni.
            “Boleh beri nombor telefon dia tak?” pinta Syukri serius.
            Ezlyn dan Noni kelihatan teragak-agak.
PENAT mendail, Syukri mengalihkan pandangannya ke arah pintu pagar belakang kolej itu yakni tidak jauh dari warungnya itu. Mengharapkan wajah Afia muncul di hadapan matanya. Sangkanya, dia dapat mendekati Afia dengan cara itu. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Afia semakin menjauhkan diri.
            Dia tidak kisah jika Afia tiada hati kepadanya kerana dia yakin dia akan dapat memenangi hati Afia suatu hari nanti sekiranya dia tidak berputus asa dan bersungguh-sungguh. Namun belum apa-apa lagi, Afia sudah menolaknya mentah-mentah tanpa memberinya peluang.
            Sukar dijelaskan bagaimana perasaan itu boleh hadir. Yang pastinya, dia sukar melarikan pandangan mata daripada wajah gadis itu setiap kali gadis itu berkunjung ke situ.
Setiap kali ke situ, Afia tidak pernah datang bersendirian. Dia sentiasa ditemani oleh Ezlyn dan Noni. Yusri pula hanya sekali-sekala menyertai mereka. Dan setiap kali itulah dia suka melihat wajah Afia yang cute itu.
Selama memerhatikan Afia, dia dapat mengagak yang Afia seorang yang tidak banyak cakap dan mungkin juga pemalu.
            Walaupun Yusri sering menyertai mereka bertiga, tetapi dia tidaklah berasa tergugat memandangkan dia pasti Afia tidak berminat dengan Yusri melalui cara Afia melayan Yusri. Yusri juga tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia menyukai Afia.
Namun berbeza dengan pemuda yang datang minum bersama Afia kelmarin. Afia kelihatan malu-malu apabila bersama pemuda itu. Dan yang menguatkan andaiannya ialah Afia dan pemuda itu hanya datang berdua tanpa ditemani kawan-kawannya seperti selalu. Jadi, pastinya pemuda itu seorang yang istimewa kepada Afia.
            Sedang dia mengelamun, wajah Ezlyn dan Noni menyapa pandangan matanya. Syukri menggosok-gosok matanya. Ternyata dia tidak bermimpi. Memang Ezlyn dan Noni sedang melangkah menuju ke warung itu.
Tapi, mana Afia? Mengapa mereka cuma berdua saja?


Tiada ulasan: