Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Januari 13, 2013

Cinta Gantung (Bab 14)

DIGIT pada jam telefon bimbitnya sudah menunjukkan pukul 1.07 petang, namun dia masih berbaring di atas katil. Sudah hampir setengah jam dia berkeadaan begitu. Tiada keinginan untuk bangun.

Jika dia bangun pun, tiada apa yang dapat dibuatnya. Dia tahu Ezlyn dan Noni sudah pulang ke Kuala Lumpur pagi tadi dan hanya akan pulang ke asrama semula pada petang Ahad nanti.

Ezlyn memang berasal dari Kuala Lumpur. Jadi, setiap minggu dia akan pulang ke rumahnya di Bukit Jalil.

Noni pula akan bermalam di rumah kakak teman lelakinya di Taman Melawati memandangkan kampungnya jauh di Arau, Perlis.

Pada mulanya, Afia sendiri berasa terkejut apabila mendapat tahu yang Noni bermalam di rumah kakak teman lelakinya kerana teman lelakinya juga turut tinggal di rumah itu. Bukankah mereka masih belum mempunyai apa-apa ikatan yang sah?

Pernah dia menimbulkan isu itu kepada Noni tetapi dia pula yang dimarahi kerana dianggap menjaga tepi kain orang. Alasan Noni, mereka bukan tinggal berdua. Bukankah kakak teman lelakinya juga berada di rumah itu? 

Meskipun pengetahuan agamanya tidak setinggi pengetahuan Noni yang bersekolah agama, tetapi dia juga tahu tinggal serumah dengan orang yang bukan muhrim itu salah. Dia bukan berlagak baik apatah lagi menjaga tepi kain orang tetapi sebagai kawan, dia rasa dia perlu menegur jika perbuatan itu salah.

“Ya, aku pun tahu. Tapi kau tahulah Noni tu macam mana, bukan? Bukannya nak dengar cakap orang. Lagipun, kat KL ni lain, Afia. Orang-orang kat KL ni lebih suka mengamalkan sikap ‘kubur kau, kubur kau’, ‘kubur aku, kubur aku’. Biarlah dia. Pandailah dia fikir sendiri, dia bukannya budak kecik lagi,” nasihat Ezlyn apabila dia bertanya kepada Ezlyn.

Mungkin itulah perbezaan di kampung dan di bandar. Di kampung, jika berlaku sesuatu yang dianggap kurang manis, pasti menjadi buah mulut hangat satu kampung. Tetapi ada baiknya juga kerana mereka akan berfikir dua tiga kali sebelum melakukan sesuatu yang mungkin memalukan diri dan ibu bapa mereka.

Berlainan pula di bandar yang rata-rata penduduknya lebih senang menjaga hal sendiri. Walaupun tahu perkara itu salah, mereka hanya memejamkan mata. Bukankah itu dikira bersubahat?

Selepas dimarahi oleh Noni, Afia hanya mengambil sikap berdiam diri. Adakalanya dia berasa pelik dengan sikap sesetengah orang. Bukankah pelik apabila mereka yang memiliki pengetahuan agama yang tinggi melakukan perbuatan yang sudah terang-terang mereka tahu salah?

Afia tahu Ezlyn dan Noni pulang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan teman lelaki masing-masing. Melepaskan rindulah kononnya. Agaknya begitulah adat orang bercinta. Perlu berjumpa selalu bagi memastikan rasa cinta itu tidak layu. Maka, tinggallah Afia yang masih solo itu sendirian di asrama pada hujung minggu begini.

Mulutnya menguap lagi. Bukan kerana mengantuk, tetapi kerana kebosanan. Dia memandang beberapa buah novel yang diletakkan di sebelah bantalnya. Hampir kesemuanya sudah dikhatamkan pembacaannya.

Mungkin ada yang pelik dengan sikapnya yang suka tidur dengan novel-novel itu. Sepatutnya katil untuk tidur. Tidur sambil peluk bantal. Ini dia, tidur sambil peluk buku. Bagaimanalah novel-novel itu tidak merempat di katilnya jika rak bukunya pun sudah penuh. Penuh dengan novel!

Jika perkara lain, mungkin dia agak sedikit berkira tetapi bukan novel. Malah, dia lebih rela tidak makan daripada tidak membeli novel yang diminatinya. Masakan tidak, apabila sudah membaca novel, automatik dia akan lupa mengenai perkara lain termasuk makan. Bahkan dia mempunyai peruntukan khas setiap bulan untuk membeli novel terbaru di pasaran. Adakalanya juga dia akan meminjam dari perpustakaan universiti. 

Afia terus bermalas-malasan di atas katil. Tiba-tiba dia teringat akan kejadian malam tadi. Bukankah dia sedang berbalas pesanan ringkas dengan Asyraf sebelum dia terlelap malam semalam?

Telefon bimbit di tepi katil dicapai lantas dia melihat ke skrin. Ruangan mesej itu kosong walaupun tertera perkataan ‘reply’. Dia membaca kembali pesanan ringkas terakhir yang dihantar oleh Asyraf.

Kemudian, baru dia sedar ada satu pesanan ringkas yang belum dibacanya. Juga daripada Asyraf. Dia membaca pesanan ringkas itu.

 

Selamat pagi, Afia. Semoga hari ini merupakan hari terindah awak (^_^)

 

Dahi Afia berkerut. Dia melihat tarikh dan masa kiriman pesanan ringkas itu. Jam 7.26 pagi tadi. Sudah lima jam yang lalu! Adakah dia perlu membalas pesanan ringkas itu?

“Tapi nanti dia tahulah aku bangun lambat. Jatuhlah reputasi aku. Ah, nanti-nantilah aku balas. Sekarang kan dah petang, bukannya pagi lagi,” Afia berkata sendiri lantas bangkit menuju ke bilik mandi.



SKRIN telefon bimbit Motorola itu dilihat lagi ketika dia kembali menjejakkan kaki ke pejabat selepas solat Jumaat. Masih tiada balasan daripada Afia. Dia mengeluh hampa.

Takkan tak bangun tidur lagi kut? Dah pukul berapa ni? Getus hati kecilnya.

Dia benar-benar berharap agar Afia membalas pesanan ringkasnya walaupun hanya sekadar ‘okey’ atau ‘selamat pagi’ atau ‘hmm’ daripada diam begini. Jika Afia tidak membalas pesanan ringkas itu, manalah dia tahu sama ada Afia membaca pesanan ringkas itu atau tidak.

            Baru sahaja hatinya hendak berbunga bahagia selepas mendapat respons positif daripada Afia semalam, pagi ini pula perasaan bahagia itu seolah-olah layu apabila Afia tidak membalas pesanan ringkasnya semenjak pagi tadi. Harinya terasa tidak bermakna tanpa pesanan ringkas daripada Afia. Adakah gadis itu berasa terganggu dengan kehadiran mesej-mesejnya?

Tetapi, dia bukannya mengirimkan pesanan ringkas kepada Afia pada setiap masa. Dia tahu Afia juga memerlukan ruang dan masa untuk bersendirian atau bersama kawan-kawannya. Justeru, dia hanya mengirimkan pesanan ringkas itu pada waktu malam.

Cuma pada pagi tadi, dia tergerak hati hendak mengirim pesanan ringkas kepada Afia. Sebagai semangat untuk memulakan hari barunya. Sayangnya, Afia tidak membalas pesanan ringkas itu. Ah, adakah dia sudah gila bayang?

Tiada ulasan: