Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Oktober 20, 2012

Cinta Gantung (Bab 8)

SUDAH hampir dua minit dia berdiri di situ. Namun, Afia masih teragak-agak hendak mendekati Asyraf yang sedang menunggunya di perhentian bas di depan kolejnya itu.
“Nak cakap apa, ya? Assalamualaikum? Ah, macam baik sangatlah pula. Dah makan? Isy, takkan tiba-tiba aje nak tanya pasal makan? Habis, takkan nak tanya dia sihat ke tak? Kalau tak sihat, tak adalah dia duduk kat situ. Ah, belasah ajelah!”
Lambat-lambat langkah kakinya diatur menghampiri pemuda yang baru dikenalinya itu sambil otaknya ligat memikirkan ayat-ayat yang sesuai untuk menyapa Asyraf.
“Lama tunggu?” Akhirnya, hanya itu yang mampu disebutnya.
Sejurus mendengar suaranya, Asyraf bingkas bangkit dan berpaling mengadanya. Spontan bibirnya mengukir senyuman.
“Hmm… belum sampai sejam lagi,” balas Asyraf berseloroh.
            “Nah.”
Tanpa membuang masa, Afia segera menyerahkan sampul surat bersaiz A4 warna coklat milik Asyraf.
Memandangkan Ezlyn dan Noni tidak mahu menemaninya menemui Asyraf, jadi dia membuat keputusan sejurus memulangkan sampul surat itu kepada Asyraf, dia akan terus kembali ke bilik asramanya. Lagipun, buat apa dia hendak berlama-lama dengan Asyraf? Mereka berdua bukannya kenal pun. 
Asyraf menyambut huluran itu.
“Terima kasih. Nasib baik awak yang jumpa,” ucap Asyraf lalu segera memasukkan sampul surat itu ke dalam beg galasnya. Bimbang sampul surat itu akan hilang lagi.
            “Dokumen penting ke?” tanya Afia, cuba mencungkil isi di dalam sampul surat itu.
Dia masih belum berpuas hati kerana tidak mengetahui isi di dalamnya. Pasti malam ini dia tidak lena tidur gara-gara memikirkan isi di dalam sampul surat itu.
            “Sangat penting. Kalau hilang ni, memang tak tahulah.” Raut wajah Asyraf jelas menggambarkan kelegaan.
            Afia tidak tahu mahu membalas apa lantas dia bertanya, “Awak datang naik apa?”
Afia hairan apabila tiada sebuah bas pun yang kelihatan di situ. Nak kata Asyraf menaiki motosikal atau kereta, mustahil pula kerana dia sudah sedia maklum yang Asyraf menaiki komuter dari Kajang.
            “Naik teksi. Lama sangat nak tunggu bas. Kalau nak pergi stesen komuter Shah Alam semula, nak naik apa ya?” tanya Asyraf sambil memandang sekeliling kawasan kampus itu. Tiada sebuah pengangkutan awam pun yang kelihatan di situ.
            “Bas ada tapi lambat sikitlah. Satu jam satu,” jawab Afia. Dia seolah-olah tahu apa yang bermain dalam benak Asyraf.
Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke situ pun, dia juga terpinga-pinga melihat keadaan kampus itu. Entah macam mana mereka hendak hidup dengan kemudahan yang serba terhad. Sudahlah tempat itu agak terpencil dan hanya dikelilingi oleh hutan dan bukit-bukau. Jika bukan kerana menerima tawaran belajar di situ, pasti dia juga tidak tahu yang di situ ada sebuah universiti. 
            Namun itu keadaan tiga tahun yang lalu. Sekarang, kampus itu sudah mempunyai banyak kemudahan termasuk pengangkutan bas walaupun kekerapan bas di situ jarang-jarang. Bolehlah daripada tidak ada langsung. Takkan hari-hari nak naik teksi? Alamatnya, pokailah pelajar-pelajar di situ.
            “Oo… kalau macam tu, tak apalah. Saya tunggu ajelah. Terima kasih ya,” ucap Asyraf sekali lagi. Nampak gayanya, dia dan Afia sudah tidak saling berhutang apa-apa lagi.
            “Jadi, saya masuk dululah ya.” Afia meminta diri untuk pulang ke asramanya. Rasanya tiada sebab untuk dia terus menunggu di situ. Pandai-pandailah Asyraf membawa diri. Dia bukannya budak kecik lagi. 
Namun tatkala langkahnya tiba di pintu pagar utama, hatinya berbisik sendiri. Isy, takkan aku nak biar aje dia duduk kat situ sorang-sorang? Dahlah datang dari jauh. Tak patut betul aku ni.
Habis, aku nak buat apa? Aku bukannya kenal dia sangat pun. Kalau aku lebih-lebih nanti, takut dia ingat aku nak mengurat dia pula.
Setelah berfikir-fikir, akhirnya Afia berpatah semula mendapatkan Asyraf.
“Err… awak sibuk ke?” tanya Afia kepada Asyraf. Harapnya Asyraf tidak salah faham akan niat baiknya.
            Pertanyaan itu membuatkan Asyraf sedikit tersentak. Mungkin dia tidak menyangka yang Afia akan muncul kembali.
“Taklah juga. Kenapa, ya?”
            “Kita pergi minum nak? Sementara tunggu bas…” cadang Afia. Kasihan pula dia melihat wajah Asyraf yang sudah dibasahi peluh itu.
Mungkin pemuda itu kepenatan. Mahunya tidak penat, dari Kajang ke situ bukannya dekat. Lainlah jika Asyraf mempunyai kenderaan sendiri. Dia sendiri menggunakan pengangkutan awam, jadi dia tahu bagaimana rasanya. Lebih-lebih lagi jika lebih daripada satu jenis pengangkutan.
            “Boleh juga. Saya pun memang tengah dahaga sangat ni,” balas Asyraf tanpa berselindung.
Asyraf berasa lega apabila Afia sudi menemaninya. Maklumlah, dia sendiri tidak biasa dengan tempat itu. Boleh mati kutu dibuatnya.
“Kita nak pergi minum kat mana?” tanya Asyraf sambil memandang sekeliling. Tiada sebuah warung pun yang kelihatan di situ termasuklah orang yang menjual air di tepi jalan.
            “Kat gerai belakang sana tu. Tapi kena jalan sikitlah. Tak apa ke?” ujar Afia.
Dia bimbang sekiranya Asyraf tergolong dalam kategori orang yang malas berjalan. Jarak yang tidak sampai 200 meter pun dikatakannya jauh. Sayang sangat pada lemak-lemak badan tu.
            “Boleh aje… kat belakang sana ya? Patutlah saya tak perasan sebab teksi yang saya naik tadi ikut jalan depan,” cerita Asyraf. Sangkanya, universiti itu serba daif sehinggakan kedai makan pun tidak ada.
Asyraf mengikut Afia berjalan sehingga ke pintu pagar utama kampus tersebut.
“Eh, boleh masuk ke ni?” Langkah Asyraf terhenti.
Afia turut berhenti melangkah. “Kenapa pula tak boleh?”
“Tak adalah, guard tu macam garang aje,” ujar Asyraf sambil memandang muka pengawal keselamatan yang berjaga di pondok pengawal berhampiran dengan pintu masuk kampus itu.
“Bolehlah. Jom.”
Afia terus melangkah masuk ke dalam kampus itu. Dia cuba berlagak selamba padahal dalam hati, dia memarahi dirinya sendiri.
Kenapalah dia gatal sangat mengajak lelaki yang baru dikenalinya itu untuk minum bersama? Di mana sifat malunya selama ini? Entah apa agaknya yang difikirkan oleh Asyraf tentang dirinya.


DARI jauh lagi, Syukri sudah nampak kelibat Afia menghala ke situ. Sememangnya kedatangan gadis itu ke situ sentiasa dinantikan dan sangat dialu-alukan. Hari-harinya terasa lebih bermakna dengan kehadiran gadis itu. Dia juga berasa lebih bersemangat untuk bekerja.
Namun, hatinya sedikit gusar apabila melihat pemuda yang bersama Afia. Bukan Ezlyn dan Noni seperti selalunya. Dalam keraguan itu, dia mendekati Afia dan pemuda itu yang baru sahaja mengambil tempat di salah sebuah meja di gerai itu.
            “Hai, Afia. Nak minum apa?” soal Syukri, ramah seperti biasa. Namun, hanya dengan Afia.
            “Karet susu,” jawab Afia. Kemudian, dia bertanya kepada Asyraf, “Awak nak minum apa?”
            Mata Syukri liar memerhatikan tingkah laku Afia dan pemuda itu. Perasaan cemburunya membuak-buak. Jelas sekali pemuda itu bukan abang mahupun adik Afia lantaran Afia memanggilnya dengan panggilan ‘awak’.
Jadi, adakah lelaki itu teman lelaki Afia? Tetapi kenapa dia tidak pernah melihat lelaki itu sebelum ini?
            “Teh tarik,” ujar Asyraf.
            Syukri cuma bersikap acuh tidak acuh dengan Asyraf. Matanya tetap digam pada wajah Afia.
            “Makan?” Syukri bertanya kepada Afia dengan mesra.
            “Awak nak makan?”
            Sekali lagi Syukri diasak perasaan cemburu tatkala mendengar pertanyaan Afia kepada Asyraf. Lembut benar suaranya.
Asyraf menggeleng.
            “Tu aje,” ujar Afia.
Namun, Syukri masih tidak berganjak dari situ. Dia mahu mendengar perbualan Afia dan Asyraf tanpa menyedari yang perbuatannya itu menimbulkan perasaan kurang selesa kepada Afia dan Asyraf.
Afia dan Asyraf memandangnya pelik. Lantaran itu, barulah Syukri tersedar lantas segera berlalu ke dalam bagi menyampaikan pesanan Afia dan Asyraf kepada pekerja yang bertugas membancuh minuman.


“KENAPA orang tu nampak pelik aje?” Asyraf masih memerhatikan Syukri yang sudah berlalu ke dalam. “Macam tak puas hati dengan saya aje. Saya ada buat salah ke?”
“Tak adalah. Jangan pedulikan dia. Dia memang macam tu,” balas Afia. Rasanya tidak perlulah dia menceritakan hal Syukri kepada Asyraf. Lagipun, dia tidak mahu memburuk-burukkan Syukri kepada orang yang tidak dikenali.
Memang adakalanya dia naik seram juga dengan tindak-tanduk Syukri. Macam tak pernah tengok orang. Eh, bukan. Macam tak pernah tengok perempuan. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia mencucuk biji mata Syukri itu. Entah apa yang dipandangnya.
Hendak kata dia pakai baju seksi, tak adalah pula rasanya. Bahkan dia selalu memastikan yang pakaiannya tetap sopan meskipun pakaiannya tidak cantik atau bergaya.
“Lengang aje tempat ni. Macam tak ada orang,” Asyraf memulakan perbualan, cuba memecahkan rasa kekok antara mereka.
“Waktu siang memang macam ni. Biasanya waktu-waktu macam ni ramai pelajar ada kelas, jadi tak ramai yang lepak kat sini. Tapi kalau waktu malam, memang meriah. Kadang-kadang sampai tak ada tempat duduk,” cerita Afia. Kemudian, dia terfikir untuk bertanya kepada Asyraf, “Eh, awak dulu belajar kat mana ya?”
“Saya memang lahir dan membesar kat Kajang. Sekolah pun kat sana,” jawab Asyraf.
“U apa?” tanya Afia, ingin tahu.
Dahi Asyraf berkerut. Kurang mengerti akan maksud pertanyaan Afia.
Melihatkan itu, Afia menjelaskan maksud pertanyaan itu. “Awak pun pernah belajar kat U, bukan?”
“Oo… taklah. Saya belajar setakat SPM aje,” terang Asyraf jujur.
Dahi Afia berkerut. “Tak masuk U ke?”
Asyraf menggeleng.
“Kenapa?” tanya Afia lagi. Seakan-akan tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Bukankah semua orang masuk universiti selepas tamat persekolahan? Malah, dia juga memasuki universiti kerana desakan kedua-dua ibu bapanya.
Kata mereka, itu trend sekarang. Kalau tak masuk universiti, mereka akan dipandang rendah. Semakin tinggi tahap pelajaran mereka, semakin tinggilah kedudukan mereka pada mata masyarakat.
Asyraf menjongket bahu.
“Umur awak sekarang berapa?”
Entah mengapa tiba-tiba sahaja Afia menjadi penyibuk. Biasanya dia kurang bercakap dengan orang yang tidak dikenali atau baru sahaja dikenali. Namun itu juga bermaksud yang dia menyenangi orang itu sehingga membuatnya berasa selesa untuk terus berbual-bual.
“27 tahun,” balas Asyraf.
“Ya ke? Tipulah!” ujar Afia, tidak percaya.
“Kenapa? Saya nampak tua ke?” tanya Asyraf seraya membelek penampilannya. Jika tidak bekerja, dia lebih gemar mengenakan baju-T dan jean. Ringkas tetapi selesa.
“Tak adalah, saya ingatkan umur awak 23 atau 24 ke. Jadi, perlu ke saya panggil awak abang?” tanya Afia apabila mengenangkan jarak usia mereka yang ketara.
Sebenarnya dia tidak berapa suka menggunakan kata panggilan itu, namun bimbang pula sekiranya dikatakan kurang ajar dan tidak menghormati orang yang lebih tua. Sudahnya, ibu bapa juga yang disalahkan. Konon tidak pandai mendidik anak.
Namun baginya, bukan semua perkara perlu diajar oleh ibu bapa dan bukan semua perkara anak-anak belajar daripada ibu bapa. Medium ilmu itu luas. Tidak kiralah ilmu yang baik atau sebaliknya. 
“Saya lebih suka kalau awak panggil saya dengan nama aje,” jawab Asyraf.
“Okey.” Afia bersetuju tanpa bantahan.
Baginya, kata panggilan itu hanya akan mewujudkan jurang antara mereka. Lagipun, dia tidak gemar memanggil orang lain dengan kata panggilan abang. Bukankah mereka berlainan ibu dan bapa?
“Err… kiranya awak dah kerjalah, bukan?” Afia semakin berminat untuk mengetahui mengenai diri Asyraf.
“Haah. Kerja kat Kajang. Awak ambil jurusan apa?” Asyraf sengaja mengalihkan topik perbualan mengenai diri Afia bagi mengelakkan Afia bertanya lebih lanjut tentang kerjanya. Tiada apa yang menarik untuk diceritakan.
“Komunikasi dan Media.”
“Belajar apa tu?”
“Belajar pasal TV, radio, surat khabar, majalah, buku, iklan…”
Afia masih ingat, ketika dia mengatakan hasratnya untuk menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam jurusan itu dulu, ayahnya membantah kerana ayahnya mahu dia mengambil jurusan Perguruan supaya dia mengikut jejak langkah kakaknya, Afni menjadi guru. Namun, dia tetap berkeras mahu menerima tawaran itu. Justeru, ayahnya bertegas tidak mahu menanggung pengajiannya.
Disebabkan itulah, dia amat berjimat-cermat dalam soal perbelanjaannya memandangkan dia bergantung sepenuhnya pada wang pinjaman pengajian. Itu pun mujur dia masih mempunyai wang simpanan. Biarlah orang lain hendak kata dia kedekut kerana baginya mereka tidak tahu masalahnya.
Suasana hening seketika. Masing-masing sudah kehilangan kata-kata. Kedua-duanya terus membisu sehinggalah Syukri datang membawakan minuman mereka.
Syukri meletakkan gelas minuman berisi karet susu di hadapan Afia dan teh tarik di depan Asyraf. Namun, entah macam mana minuman itu boleh tertumpah dan mengenai baju Asyraf.  
Asyraf bingkas bangkit.
Afia tergamam. Habislah Syukri. Mesti teruk dia kena marah dengan Asyraf. Fikir Afia. Siapa yang tidak bengang?
            “Maafkan saya.” Syukri mula cemas. Pantas tangannya mengambil tisu di atas meja lalu mengelap baju Asyraf.
“Tak apa.” Asyraf masih bersikap tenang. Sedikit pun dia tidak marah. “Tandas kat mana ya?”
“Kat sana,” ujar Afia sambil menunjuk ke suatu arah.
            “Saya pergi cuci sekejap.”
            “Maaf ya, bang.” Sekali lagi Syukri meminta maaf.


GELAS yang kosong itu diangkat ke dalam. Spontan bibirnya mengukir senyuman. Puas hati kerana dapat mengenakan lelaki itu. Namun niatnya untuk membuat lelaki itu marah langsung tidak menjadi.
Dia kecewa kerana lelaki itu tidak memarahinya. Jika lelaki itu memarahinya, pasti imej lelaki itu akan tampak buruk pada pandangan mata Afia. Tetapi ternyata lelaki itu bukan seorang yang baran, malah dia tetap tenang. Sebaliknya, dia pula yang berasa geram.
            Jika hendak dibandingkan dirinya dengan lelaki itu, rasanya mereka berdua tidak banyak bezanya. Dia memakai baju-T, lelaki itu juga memakai baju-T. Dia memakai jean, lelaki itu juga memakai jean. Jadi, pastinya lelaki itu hanya bekerja biasa-biasa sahaja. Mungkin dia tidak perlu risau akan status pekerjaan lelaki itu.
Yang perlu dia risau ialah hati Afia. Macam mana sekiranya Afia dan lelaki itu mempunyai hubungan yang istimewa? Dia perlu bertindak secepat mungkin!


“HAI, lambat balik? Seronok ke dating?” Noni yang baru sahaja keluar dari bilik air terus menyoal sebaik-baik sahaja wajah Afia terpacul di muka pintu rumah itu.
            “Apa dating?” Afia berpura-pura marah. Perasaan geramnya kepada Noni dan Ezlyn tadi masih belum reda.
Adakah patut mereka membiarkannya keluar dengan orang yang tidak dikenali sendirian? Kawan jenis apalah. Mujurlah Asyraf tidak seperti yang digambarkan oleh Ezlyn.
            “Jadi, apa cerita?” Noni mengekor Afia ke biliknya.
            “Nak cerita apa? Mana ada apa-apa. Kita orang pergi minum ajelah.” Afia berbaring di atas katilnya. Kini baru dia berasa mengantuk.
Noni melabuhkan punggung di sisinya.
“Kau lepak dengan dia kat mana tadi? Lebih daripada satu jam kau keluar dengan dia. Ini dah bagus. Sebelum ni, bila aku dengan Lyn kenalkan mana-mana lelaki pada kau, semuanya kau tolak. Jangan kata nak berkawan, kita orang suruh kau bermesej untuk kenal-kenal aje pun kau tak nak. Kau langsung tak beri peluang kepada diri kau untuk berkenalan dengan lelaki. Tup, tup, dengan lelaki tadi, kau okey aje. Belum sampai 24 jam berkenalan, dah boleh diajak minum-minum.” Noni masih cuba mengorek cerita.
“DML ajelah,” jawab Afia, malas.
Rimas pula dia dengan sikap Noni yang satu ini. Ini tidak lain, pasti Noni sedang mencari bahan untuk bergosip dengan Ezlyn. Sudah enam semester dia tinggal di bawah satu bumbung dengan mereka berdua. Dia sudah masak dengan perangai mereka.
            “DML? Kat gerai Syukri?” Noni melopong, seolah-olah perkara itu sesuatu yang menghairankan.
            “Kenapanya?” Afia tidak nampak apa yang tidak kena dengan jawapannya itu.
            “Apa reaksi Syukri bila dia nampak kau dengan lelaki tu tadi?”
            “Biasa aje,” balas Afia. Dia tiada masa nak memikirkan reaksi Syukri. Syukri bukannya sesiapa dengannya.
            “Dia kan minat kat kau. Mesti dia cemburu,” Noni menebak. Lagak gayanya seperti dia turut berada di tempat kejadian.
            “Isy, kau janganlah buat-buat cerita. Dia tak pernah cakap apa-apa pun,” Afia menyangkal kata-kata Noni memandangkan dia tidak nampak tanda-tanda yang Syukri itu betul-betul sukakannya. Lagipun, dia tidak mahu perasan sendiri. Kalau andaian Noni itu salah, siapa yang malu? Dia juga!
            “Alah, dah terang-terang dia suka kat kau. Kau tu aje yang sengaja buat tak tahu,” balas Noni.
Sudah terang, lagi hendak bersuluh. Bukankah Syukri sering sahaja memperhatikan Afia setiap kali mereka berkunjung ke gerai itu? Nampak sangat! Malah, adakalanya Syukri sengaja menegur Afia untuk berbual-bual, namun Afia asyik buat tidak tahu sahaja.
            “Dahlah, aku tak sukalah cakap pasal benda ni.” Afia tidak mahu topik itu dipanjangkan. Hatinya sudah terukir satu nama. Tiada sesiapa yang dapat menyingkirkan nama itu daripada hatinya. Titik!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Layannn