Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Februari 15, 2009

Rantai Rasa Cinta 8

Dua hari kemudian, di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Nazili dan Iznul beriringan selepas kelas.

“Iz, kau tunggu kejap. Aku nak pergi tandaslah,” ujar Nazili.

“Cepat sikit tau.”

“Yalah,” Nazili menghilang ke dalam tandas perempuan.

Sementara menunggu Nazili, Iznul memerhatikan gelagat pelajar-pelajar yang lalu lalang di situ. Tiba-tiba pandangannya melekat pada seorang gadis yang sedang duduk di sebuah meja tidak jauh dari situ.

Gadis itu kelihatan sedang tekun menulis. Mungkin juga melukis. Dia tidak pasti. Namun bukan perbuatan gadis itu yang menarik perhatiannya. Sebaliknya wajah gadis itu yang seakan pernah dilihatnya sebelum ini.

Siapa ya? Ala … Tiba-tiba dia teringat. Minah tulah yang tolong aku masa kat kafe kelmarin. Segera dia teringatkan enam Ringgit empat puluh sen yang dihutangnya dengan gadis itu.

Iznul membelek walletnya. Ada beberapa keping duit not sepuluh Ringgit. Duit syilling lagilah tak ada.

“Zi, kau ada enam Ringgit empat puluh sen tak?” tanya Iznul sebaik-baik sahaja Nazili terpacul di hadapannya. Tanpa banyak soal, Nazili melihat duit di dalam walletnya.

“Empat puluh sen adalah,” ujarnya.

Iznul menjeling ke dalam wallet Nazili.

“Lima Ringgit tu apa?”

“Laa...Dah tadi kau mintak enam Ringgit kan?”

“Tak apa, aku ada seringgit. Pinjam dululah.”

“Empat puluh sen ni nak ke tak nak?”

“Naklah,” Iznul mengira duit di tangannya. Enam Ringgit empat puluh sen. Ok, cukup. “Zi, kau pergi dululah. Aku nak jumpa orang kejap.”

“Ok, aku tunggu kau kat sana.”

Iznul menghampiri gadis tadi.

“Hai.”

Gadis itu mendongak.

“Ingat saya lagi?”

Dahi gadis itu berkerut. Mungkin sedang cuba mengingati.

“Awak yang tolong saya bayar makanan masa kat kafe kelmarin. Ingat tak?”

“O … ya.”

“Saya nak pulangkan enam Ringgit empat puluh sen awak,” Iznul menghulur sekeping duit not lima Ringgit dan seringgit berserta dua keping duit syilling 20 sen kepada gadis itu.

“Laa… empat puluh sen ni tak payahlah.”

“Eh, mana boleh? Dah nama pun pinjam kan?”

“Kalau macam tu, terima kasih.”

“Patutnya saya yang cakap terima kasih. By the way, saya Iznul,” huluran tangan Iznul disambut mesra.

“Syuhada tapi panggil Adda aja.”

“So, awak ambil Fesyen?” Iznul kagum melihat lakaran Syuhada. “Cantik.”

“Terima kasih,” Syuhada tersipu. “Awak budak Grafik kan?”

“Haah.”

“Baru habis kelas?”

“Haah. Awak tak ada kelas ke?”

“Kejap lagi. Saya tunggu kawan.”

“O … kalau macam tu, saya pergi dululah ya.”

“Ok. Jumpa lagi.”

Bye,” Iznul berpaling untuk pergi namun langkahnya mati apabila Syuhada memanggil namanya.

“Iznul!

“Ya?” Iznul berpaling semula.

“Sabtu ni kita orang ada buat fashion show kat Dewan Seri Budiman. Kalau awak free, datanglah.”

Fashion show?” Iznul tercengang. “O … InsyaAllah, kalau tak ada apa-apa saya datang. Bye.”


**********


Setiba di perpustakaan, Iznul segera mencari kelibat Nazili di tingkat dua. Senyuman terukir di bibirnya sejurus terlihat Nazili, Langkahnya diatur menghampiri Nazili yang sedang khusyuk membelek buku-buku yang tersusun di atas rak.

Nazili yang menyedari akan kehadiran Iznul memandang teman akrabnya itu sekilas.

“Hai, happy nampak?”

Iznul tersipu. Wajah Nazili dipandang.

“Zi, kau tahu aku jumpa siapa tadi?”

“Siapa?”

“Aku jumpa minah yang tolong bayarkan makanan aku masa kat kafe kelmarin.”

“Kau jumpa dia kat mana?”

“Kat fakultilah.”

“Bila?”

“Tadi.”

“O … patutlah kau tersengih-sengih ni. Dah jatuh cinta ke?”

Kalaulah apa yang aku rasa ni cinta, sahlah aku dah jatuh cinta! Bila dia senyum, aduh!

“Tengok tu, orang cakap dengan dia. Berangan pulak.”

“Zi, jatuh cinta tu macam mana rasanya?” tanpa sedar, soalan itu terpacul dari bibirnya. Bodoh ke soalan tu?

Nazili terhenti membelek buku di situ. Dia berpaling mengadap Iznul. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya sebentar tadi. Iznul ke ni? Mesti gadis itu bukan sembarangan perempuan. Kalau tak, takkanlah Iznul yang tak pernah jatuh cinta ni angau semacam.

“Kau tanya apa tadi?” Nazili pura-pura tidak mendengar soalan Iznul tadi.

“Apa aku tanya tadi?” Iznul pula buat-buat lupa.

“Aku macam dengar kau tanya macam mana rasanya jatuh cinta?”

“Aku tanya macam tu ke? Tak rasanya,” tiba-tiba Iznul berdalih. Mungkin dia malu. Mungkin juga dia segan. Malu dengan segan tu sama ajalah!

“Ok, tak apa. Lambat-laun mesti kau bagi tahu aku jugak kan?”

Iznul cuma tersengih.

“Nanti aku kenalkan kau dengan dia ya.”

“Suka hati kaulah nak kenalkan ke tak. Siapalah aku ni,” Nazili pura-pura merajuk. Dia berlalu ke meja. Iznul membuntuti langkah Nazili.

“Kalau aku nak kahwin nanti, kaulah orang pertama yang aku bagi tahu.”

“Yalah tu.”

“Iya. Sebab aku nak tengok muka kau bila kau tahu aku yang akan kahwin dulu,” Iznul tergelak jahat.

“Syyy …” suatu suara menegur.

“Opps … sorry.”

“Padan muka!” Nazili tersenyum puas.

“Syyy …” suara itu menegur Nazili pula.

Nazili dan Iznul berpandangan. Kemudian saling tersenyum.


**********


Nazili yang baru pulang dari perpustakaan melangkah ke asramanya tatkala suatu suara menyapanya.

“Zi!”

“Mi?!” Nazili kaget melihat Hazami. “Mi buat apa kat sini?”

“Mi nak jumpa Zi.”

“Untuk apa?”

“Sebab Mi rindu kat Zi.”

Nazili terkedu.

“Zi dah makan? Jom kita pergi makan.”

“Mi, kan Zi dah cakap. Jangan jumpa Zi lagi. Kalau Laily tahu macam mana?”

“Oh, jadi Zi takut Laily tahu sebab tu Zi mengelak daripada Mi?”

“No,” Nazili mengeluh. Dia tidak tahu macam mana hendak menerangkan kepada Hazami. ”Mi, kan kita dah cakap pasal perkara ni? Kita dah tak ada apa-apa.”

“Tapi Zi, Mi rindukan Zi. Fikiran Mi rasa tak tenang sejak kita jumpa hari tu. Mi tahu Zi pun masih sayangkan Mi kan? Kalau tak, tak adalah Zi sanggup tunggu Mi sampai tiga tahun kan?”

“Memang Zi mengaku Zi sayangkan Mi tapi rasa itu sudah Zi buang bila Zi tahu Mi dah ada Laily.”

“Mi tak percaya Zi dapat melupakan Mi semudah itu.”

“Memang tak mudah tapi tak mustahil.”

“Zi, kenapa Zi nak paksa diri Zi untuk lupakan Mi sedangkan kita masih saling menyayangi? Kita boleh mulakan hubungan baru.”

“Senangnya Mi bercakap. Macam mana dengan Laily? Takkan Mi sanggup melukakan perasaan Laily seperti Mi lukakan perasaan Zi?” Nazili tidak menyangka Hazami yang di hadapannya itu adalah lelaki yang pernah disayanginya suatu ketika dulu. Hazami bukan lagi lelaki yang dikenalinya dulu. Hazaminya bukan lelaki yang mementingkan diri sendiri.

“Ada kalanya kita perlu jadi selfish untuk merebut kebahagiaan sendiri.”

‘Walaupun dengan melukakan hati orang lain? Kita takkan bahagia kalau kita melukakan hati orang lain sebab Tuhan tu Maha Adil. Hari ni kita buat orang, tak mustahil orang akan buat kat kita balik suatu hari nanti.”

“Habis tu Zi rela mengorbankan kebahagiaan sendiri demi menjaga hati orang lain?”

“Laily bukan orang lain. Dia kawan baik Zi dan Zi sanggup lakukan apa sahaja untuk dia. Zi tahu dia sayangkan Mi dan daripada kita bertiga merana, biarlah Zi sorang yang merana. Zi masuk dulu,” Nazili segera melangkah ke dalam asramanya sebelum air matanya gugur.

“Zi, Mi takkan mengalah selagi Zi tak kembali kepada Mi!” janji Hazami.

Nazili pura-pura tidak mendengar.

2 ulasan:

keSENGALan teserlah.. berkata...

eeeeiii...
geramnye ngn si hazanmi nieh..
due2 de nk...
keco tol..

Sue berkata...

tak ader sambungan ker citer nih..?

rasanye dah lama dah....