Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 06, 2008

Ini ke Cinta?

Talian itu dimatikan. Ainul Nazian menghempaskan tubuhnya ke katil. Membara rasa hatinya apabila teman-temannya tak habis-habis mengesyorkan teman lelaki kepadanya. Konon buat kawan kawan aja. Padahal ada udang di balik timbunan mi.

Ingat aku tak tahu? Apa dia orang ingat aku ni tak ada perasaan ke? Suka-suka hati aja nak carikan boyfriend untuk aku. Mak dan ayah aku pun tak sibuk-sibuk pasal benda ni. Dari hari tu lagi aku dah agak ada sesuatu yang dia orang rahsiakan daripada aku.

Pada hari itu, mereka pulang malam kerana menyiapkan tugasan luar di Kuala Lumpur. Setibanya di kolej, Ezlyn mengadu lapar lantas mereka bertiga singgah di gerai yang terletak di belakang kolej.

“Nak minum apa?” seorang pekerja di gerai itu menghampiri mereka.

Ainul Nazian memesan carrot susu dan nasi goreng pattaya manakala Ezlyn memesan jus tembikai dan nasi goreng USA sementara Nora memesan Nescafe ais dan nasi putih berlaukkan telur dadar serta tomyam.

“Ain, teman aku pergi toilet,” ujar Nora sebaik-baik saja orang yang mengambil pesanan mereka itu berlalu. Dari dalam bas tadi dia sudah terasa hendak ke tandas. Namun perjalanan dari KL ke Shah Alam yang mengambil masa hampir satu jam tadi membantutkan niatnya. Sesampai di Seksyen 2 pula, mereka terpaksa menunggu bas lain untuk sampai ke kolej mereka yang terletak di Puncak Perdana ini.

“Ala…malaslah. Kau pergilah dengan Lyn,” balas Ainul Nazian. Kerja luar yang mengambil masa dari pagi hingga ke malam itu membuatkan tubuhnya terasa penat dan malas. Lagipun Ainul Nazian memang tidak suka menggunakan tandas awam. Kotor dan berbau! Dia lebih rela menahan hingga sampai kolej.

“Pergilah, Ain. Aku tak larat nak bangun ni,” Ezlyn memberi alasan.

“Tak nak pergi, tak apalah,” Nora seakan merajuk.

“Tengok, kan dah merajuk tu,” Ezlyn memberi isyarat agar Ainul Nazian menemani Nora ke tandas. Dengan rasa malas, Ainul Nazian bangkit mengekor langkah Nora ke tandas berhampiran.

Sekembalinya mereka ke gerai itu, mereka berasa pelik apabila melihat Ezlyn rancak berbual dengan salah seorang pekerja di gerai itu. Makanan dan minuman yang dipesan oleh mereka tadi telah siap di atas meja.

Mamat ni nak ngorat Lyn ke? Fikir Ainul Nazian. Tapi Lyn kan dah ada boyfriend. Kalau boyfriend Lyn tahu, dia juga yang susah. Bukannya mamat tu. Boyfriend dia kan kuat cemburu. Ainul Nazian semakin hairan apabila Ezlyn dan pekerja itu tersengih-sengih melihatnya. Lain macam aja dia orang ni.

“Ain, kau mesti tak percaya,” ujar Ezlyn sebaik-baik sahaja pekerja gerai itu menghilang ke dalam.

“Apa cerita, Lyn?” tanya Nora. Macam ada cerita menarik aja. Kalau tak, takkanlah mamat tu boleh duduk semeja dengan Lyn.

“Tadi masa kau orang pergi toilet, abang tu datang sini. Aku nampak dia ambil makanan kita dari kawan dia. Terkejut kawan dia,” Ezlyn bercerita sambil tangannya menggayakan aksi mamat tadi. “Dia tanya mana kawan aku? Kau oranglah tu. Aku cakap kau orang pergi tandas. Lepas tu, dia tengok kiri kanan. Tiba-tiba dia duduk sebelah aku. Kau orang tahu dia tanya aku apa?”

“Apa?” Nora excited mendengar cerita Ezlyn.

“Dia tanya nama Ain.”

“Lepas tu kau cakap apa?” tanya Nora lagi. Nampak gayanya, betullah tekaan mereka selama ini. Mamat tu syok kat Ain.

“Aku bagi tahulah, Ainul. Lepas tu, dia minta nombor telefon Ain,” Ezlyn melanjutkan ceritanya.

“Habis tu, kau bagi ke?” Ainul Nazian cuak.

“Kalau aku bagi, kau nak buat apa?” duga Ezlyn.

“Kau jangan, Lyn.”

“Tak adalah. Aku tak bagi.”

Ainul Nazian mendengus mengingati hal di gerai minggu lepas. Tak bagi konon. Menipu aja lebih. Patutlah asyik berbisik aja bebudak dua orang ni. Rupa-rupanya ada rahsia besar yang disorokkan.

Ainul Nazian semakin geram apabila mengingati perkara itu. Sanggup Ezlyn memberikan nombor telefonnya kepada orang yang tidak dikenalinya.

Kalau betul mamat tu suka kat aku, kenapa tak mintak sendiri dengan aku? Kenapa nak guna orang tengah? Tak gentleman langsung! Macam ni ke nak tackle aku? Jangan harap!

“Ala…Ain kau kawan ajalah dulu dengan dia. Manalah tahu dia jodoh kau,” ucap Ezlyn.

Hah! Itulah ayat yang paling aku tak suka. Kalau kawan, kawan ajalah. Kenapa nak kait-kaitkan dengan jodoh pula?

“Entah kau ni, Ain,” Nora menyampuk.

“Aku tahulah dia tak setanding Azham. Tapi manalah tahu dia lebih baik darpada Azham,” kata-kata Ezlyn menyentakkan Ainul Nazian.

Dalam diam, dia mengaku nama itu masih terpahat kukuh di kotak hatinya. Sungguh bukan dia yang mengunci pintu hatinya. Tapi belum ada mana-mana lelaki yang mampu membuatkan pintu hatinya terbuka selain Azham. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Mungkin kerana Azham lain daripada kawan-kawan lelakinya yang lain. Azham pandai mengambil hatinya dan dia juga berasa selesa apabila bersama Azham. Namun sayangnya hati Azham sudah dimiliki oleh perempuan lain.

“Kau janganlah memilih sangat, Ain,” ujar Ezlyn. Kalau macam ni, sampai bila-bila pun kau takkan dapat boyfriend.

Kalau aku memilih pun apa salahnya? Inikan soal masa depan aku. Aku bukannya cari boyfriend sekadar untuk mengisi masa. Kalau boleh, biarlah boyfriend aku nanti yang jadi suami aku juga.

“Ini bukan soal memilih. Masalahnya sekarang aku tak kenal dia,” balas Ainul Nazian. Apa kau orang rasa bila orang yang kau orang tak kenal tiba-tiba cakap dia suka kat kau orang? Tak pelik ke? Entah betul entah tidak mamat tu. Nama aku pun dia tak tahu, macam mana pulak dia boleh suka kat aku?

“Sebab itulah aku suruh kau kawan dulu dengan dia. Bukannya aku suruh kau terima dia terus,” pujuk Ezlyn.

“Yalah, yalah,” Ainul Nazian berasa rimas mendengar bebelan teman-temannya itu. Orang yang aku tak suka mengaku suka kat aku. Orang yang aku suka pula dah ada orang lain. Complicated betullah cinta ni.


***


Ainul Nazian terjaga daripada lenanya apabila sinaran mentari menyuluh ke matanya. Dia melihat jam di telefon bimbitnya. Pukul sebelas? Awal lagi. Tidur lagilah. Mujur hari ni hari Sabtu. Tak ada kelas. Bolehlah tidur lama. Ainul Nazian memejamkan matanya semula.

“Woi, bangunlah!” Wanee, teman sebilik Ainul Nazian memukul tubuh Ainul Nazian dengan bantal. “Tak elok bangun lambat-lambat. Nanti rezeki tak masuk.”

“Kau ni kacaulah, Wanee. Aku mengantuklah. Bagilah aku tidur lama sikit,” Ainul Nazian memeluk bantal yang digunakan oleh Wanee untuk memukulnya tadi.

“Itulah kau. Malam-malam berjaga. Tak cukup dengan chatting, main sms pula,” tegur Wanee. Selama hampir dua semester mereka tinggal sebilik, dia sudah masak benar dengan perangai Ainul Nazian. Asal malam aja, main internet. Chatting. Itu pun nasib baik internet tu ada pada waktu malam aja. Kalau pihak kolej bagi internet 24 jam, alamatnya 24 jamlah Ainul Nazian mengadap benda alah tu.

Melalui cerita Ainul Nazian, Wanee tahu Ainul Nazian kini kemaruk berkawan dengan seorang kenalan yang dikenalinya di ruangan chat di Yahoo Messenger. Dari internet hubungan mereka berlanjutan ke telefon. Hari-hari main SMS tapi bila ditanya tentang status hubungan mereka, Ainul Nazian cuma menjawab, “Kawan ajalah.”

Namun begitu, mereka hanya berhubungan pada waktu malam kerana budak itu bekerja malam manakala siang merupakan waktu tidurnya. Kesannya Ainul Nazian juga mula terikut-ikut dengan jadual budak tu. Kalau dulu, Ainul Nazianlah orang yang paling awal bangun tapi sekarang dialah yang paling lewat bangun tidur. Sudah lebih tiga bulan Ainul Nazian begitu.

“Ala…bangun awal pun bukan ada benda nak buat pun,” jawab Ainul Nazian dalam keadaan mata terpejam. Kebiasaannya, Ezlyn dan Nora akan pulang ke KL pada setiap hujung minggu. Ezlyn memang orang KL. Setiap kali selepas sembahyang Jumaat, teman lelakinya akan datang menjemputnya pulang. Nora pula balik rumah abang dia di Puchong tapi teman lelaki dialah yang datang ambil dia di sini. Teman lelaki Nora kerja kat KL. Jadi, tinggallah Ainul Nazian yang masih solo ni.

Walaupun masih ada teman serumah yang lain seperti Wanee tapi mereka tak sama dengan Ezlyn dan Nora. Memandangkan Ainul Nazian, Ezlyn dan Nora satu kelas jadi mereka bertiga lebih rapat berbanding teman serumah yang lain. Ke mana saja pasti bertiga. Oleh sebab itu, Ainul Nazian lebih banyak menghabiskan masanya di bilik Ezlyn daripada di biliknya sendiri. Tapi itu tidak bermakna mereka tidak baik dengan teman serumah yang lain.

“Bangunlah, Ain. Kita orang nak pergi makan kejap lagi. Kau nak ikut tak?” Wanee geram melihat Ainul Nazian masih berbaring di katilnya.

“Kau orang pergilah. Aku nak tidur.”

“Ikut suka kaulah,” Wanee bangkit meninggalkan Ainul Nazian.

Ainul Nazian kembali menyambung lenanya. Namun sekali lagi lenanya terganggu apabila lagu ‘Melompat Lebih Tinggi’ dendangan Sheila on 7 kedengaran dari telefon bimbitnya.

“Siapa pulak yang kacau ni?” Dalam keadaan separuh sedar, Ainul Nazian melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit Nokia itu kemudian menekan butang ‘received call’.

“Haa…kau nak apa? Pergi library? Buat apa? Tapi Lyn dan Nora tak adalah. Biasalah dia orang tu. Takkan kau tak tahu? Pukul berapa nak pergi? Sekarang? Malaslah. Aku tak mandi lagilah. Petang-petang sikitlah. Yalah, pukul tiga nanti aku datang blok kau. Ya. K, bye,” Ainul Nazian mematikan telefon itu kemudian memejamkan mata menyambung lenanya.


***


Selepas puas bermain internet di perpustakaan, Ainul Nazian dan Yusry duduk minum di dewan makan. Ainul Nazian sengaja tidak mahu lepak di gerai belakang kolej kerana dia tidak mahu berjumpa dengan pekerja gerai yang meminta nombor telefonnya itu lagi.

“Boringlah,” ujar Ainul Nazian kepada Yusry, teman sekelasnya.

“Apa susah? Kau cari ajalah boyfriend.”

“Cakap senang. Yang kau tu, kenapa tak cari girlfriend?”

“Aku tak mengadu bosan,” balas Yusry. Yusry satu-satunya pelajar lelaki yang rapat dengan dia, Ezlyn dan Nora. Menurut Yusry, dia tidak suka berkawan dengan pelajar lelaki lain kerana dia berpendapat mereka semua tidak ikhlas berkawan dengannya.

Yusry juga tidak terkecuali daripada menjadi salah seorang calon teman lelaki yang dicadangkan oleh Ezlyn dan Nora memandangkan dia dan Yusry masing-masing masih solo.

“Susah-susah sangat kau couple ajalah dengan si Yus ni,” ujar Ezlyn pada suatu hari.

“Yalah. Sama-sama orang Pahang. Nanti tak adalah gaduh nak balik raya,” Nora pulak menyampuk.

Usikan gila mereka semakin menjadi-jadi apabila pada suatu malam, mereka menjalani penggambaran video klip untuk subjek Broadcast Production di KL. Memandangkan keesokannya mereka perlu ke KL lagi, maka mereka mencadangkan agar dia tumpang bermalam di rumah salah seorang daripada mereka.

Rumah Ezlyn tak boleh sebab Ezlyn sendiri tak lekat di rumah memandangkan teman lelakinya sering membawanya keluar. Nora pula entah kenapa dia seolah-olah tidak mahu Ainul Nazian bermalam di rumah abangnya. Macam-macam alasan yang diberinya. Ainul Nazian pun malaslah nak memaksa. Justeru, Yusry menawarkan Ainul Nazian bermalam di rumah kakaknya di Gombak sementara dia sendiri bermalam di rumah abangnya di Kelana Jaya.

Pada waktu itu, Ainul Nazian sangat terharu dengan kesanggupan Yusry menghantarnya ke rumah kakaknya di Gombak kemudian berpatah ke Kelana Jaya sedangkan jarak antara Gombak dan Kelana Jaya bukanlah dekat. Tambahan pula, mereka menggunakan pengangkutan awam.

Dalam diam, Ainul Nazian mengakui Yusry memang baik padanya. Maklumlah sudah bertahun mereka berkawan. Susah senang mestilah saling membantu tapi tak adalah sampai nak bercinta.

Kenapalah Lyn dan Nora ni susah hati tengok aku single lagi? Jealouslah tu sebab dia orang tak dapat buat apa yang dia orang suka. Maklumlah boyfriend si Ezlyn tu cemburu buta sementara boyfriend si Nora pulak kuat mengongkong. Aku yang single ni jugak yang bahagia. Nak buat apa pun tak ada siapa nak larang.


***


“Awal balik?” Ainul Nazian melihat jam di skrin komputer. Kebiasaannya, Ezlyn akan tiba di kolej pada Ahad malam tapi hari ni belum pukul enam lagi Ezlyn sudah terpacak di kolej.

“Aku balik ni pun gaduh tahu,” Ezlyn membuka cerita.

“Gaduh kenapa pulak?”

Ish…asyik gaduh aja tapi boleh tahan sampai empat tahun. Heran aku!

“Dia tak bagi aku balik awal. Dia kata aku ada lelaki lain sebab tu tak sabar nak balik kolej. Padahal aku ni banyak kerja tahu. Susah betul dapat boyfriend yang tak memahami,” Ezlyn mengadu kepada Ainul Nazian.

“Nasib kaulah Lyn dapat boyfriend kuat cemburu.”

“Tension aku!”

“Rilekslah. Nah! Apa kata kau main games ni?” Ainul Nazian bangkit lalu duduk di katil sementara Ezlyn mengambil alih tempatnya di hadapan komputer.

Begitulah rutin hujung minggunya. Jika tidak menaip assignment, Ainul Nazian akan bermain games di komputer Ezlyn sambil mendengar lagu. Nasib baik Ezlyn bermurah hati meminjamkan komputernya. Kalau tak, pasti dia mati kebosanan.

Tak lama kemudian, Nora pulak pulang ke kolej. Tanpa menyapa Ainul Nazian dan Ezlyn, Nora terus masuk ke biliknya dan menutup pintu. Ainul Nazian dan Ezlyn saling berpandangan.

“Kenapa pulak tu?” tanya Ezlyn. Gaduh dengan boyfriend jugak ke?

Ainul Nazian menjungkit bahu.


***


Malam tu, sedang Ainul Nazian dan Ezlyn menonton televisyen di bilik TV asrama mereka, telefon bimbit Ainul Nazian berbunyi.

“Mamat ni lagi?” Ainul Nazian sekadar melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Dia ni nak apa? Banyak betul duit dia call aku. Hari-hari pula tu. Rimasnya!

“Dia lagi?” Ezlyn tersengih. Ainul Nazian memuncungkan bibirnya tanda tidak suka. “Jawab ajalah.”

Ainul Nazian menjawab panggilan itu di luar. Dia segan untuk bercakap di hadapan Ezlyn. Setelah beberapa kali berbual-bual di telefon, barulah Ainul Nazian tahu lelaki yang bekerja di gerai di belakang kolej mereka itu bernama Asri. Asri berasal dari Brunei. Dia berhijrah ke Malaysia untuk membantu keluarganya. Selebihnya, Ainul Nazian malas nak ambil tahu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu melanjutkan hubungan itu walaupun hanya sekadar teman biasa kerana dia tidak berminat.

Tambahan pula, apabila mereka berbual sepatah haram pun Ainul Nazian tidak dapat menangkap butir bicara lelaki itu. Sekali dengar macam loghat Indonesia tapi berkali-kali dengar pun dia tetap tak faham. Macam mana nak membina hubungan kalau komunikasi pun lemah?

“Sorry, saya ada kerja ni,” bohong Ainul Nazian lalu mematikan talian. Dia kemudian masuk semula ke dalam bilik TV.

“Nora tak turun lagi ke?” tanya Ezlyn apabila Ainul Nazian melabuhkan punggung di sebelahnya.

Bilik TV itu lengang memandangkan waktu sudah lewat malam. Nasib baik setiap blok mempunyai bilik TV sendiri. Kalau tidak, pasti mereka sendiri tidak berani untuk menonton TV pada malam-malam begitu. Pelajar nak bawa TV sendiri, pihak kolej pula tak benarkan.

Jika dibandingkan dengan kolej UiTM yang lain, kolej Puncak Perdana boleh dikatakan kolej yang paling mewah. Mana taknya, reka bentuknya seperti apartment yang mempunyai tiga buah bilik dan dua buah bilik air. Lengkap dengan dapur dan ruang tamu. Tapi sayang para pelajar tidak boleh buat rumah tu macam rumah sendiri.

“Entah. Tak ada pun,” balas Ainul Nazian.

“Ain, kau perasan tak kebelakangan ni Nora suka mengasingkan diri daripada kita kan?” tanya Ezlyn.

“Perasan juga. Kenapa ya?”

“Itulah. Aku ingat dia sakit. Tapi bila aku tanya, dia kata tak ada apa-apa.”

“Dia gaduh dengan boyfriend dia agaknya.”

“Aku tak rasa macam tulah. Yang aku perasan, sikap dia lain sangat tahu. Dulu kan dia tak suka makan nenas. Tapi sekarang aku tengok hari-hari dia beli nenas kat depan tu. Bukan tu aja tau. Banyak lagi yang peliknya. Ish...aku takutlah kalau apa yang aku rasa ni betul,” Ezlyn mula gusar.

“Apa yang kau rasa?”

“Aku syak Nora…” Ezlyn teragak-agak untuk meneruskan ayatnya.


***


“Ain, bangun!”

Lena Ainul Nazian pagi itu terganggu gara-gara Ezlyn. Apalah yang minah ni kecoh pagi-pagi ni? Aku baru aja nak lelapkan mata selepas semalaman dok melayan SMS si dia. Rungut Ainul Nazian.

“Ain bangun...” gesa Ezlyn.

“Apa dia?”

“Bangunlah! Urgent ni!”

“Cakap ajalah.”

“Nora pregnant!”

Apa? Ainul Nazian terus tegak di atas katil. Terbeliak matanya mendengar berita itu. Nora pregnant??

“Kau jangan main-main, Lyn.”

“Takkanlah aku nak main-main? Perkara ni seriuslah.”

“Mana kau tahu?”

“Semalam aku dah cakap dengan dia dan dia sendiri mengaku.”

“Dengan siapa?”

“Dengan boyfriend dia tulah. Kau tahu tak rupanya selama ni bila weekend dia tak balik rumah abang dia tapi dia balik rumah boyfriend dia. Satu malam aku tak boleh tidur bila dia bagi tahu aku pasal benda ni. Aku nak cerita kat kau semalam tapi aku tengok pintu bilik kau tutup so aku ingat kau dah tidur.”

“Perkara ni serius tau. Kalau pihak kolej dapat tahu, Nora boleh kena buang tau. Kenapalah dah semester akhir ni dia nak buat hal?”

“Manalah aku tahu.”

“So apa plan dia?”

“Entahlah dia. Semalam aku suruh dia extend, dia tak nak. Dia nak jugak habiskan semester ni.”

“Boyfriend dia macam mana?”

“Boyfriend dia suruh dia gugurkan.”

“Gila ke? Takkan dia nak Nora jadi pembunuh pulak?”

“Tak tahulah aku nak cakap macam mana lagi. Dia bukannya nak dengar cakap aku.”

“Dia buat apa sekarang?”

“Kat bilik dialah. Asyik tidur aja.”

“Jom kita tengok dia,” Ainul Nazian dan Ezlyn menjenguk Nora di biliknya. Di bilik, Nora masih berbaring di katilnya.

“Nora...” Ainul Nazian menghampiri katil Nora. Patutlah Nora kelihatan tidak bersemangat sejak akhir-akhir ini. Rupa-rupanya dia sedang menanggung beban yang sangat berat.

Nora membatukan diri. Dia tahu mesti Ainul Nazian dah tahu semuanya daripada Ezlyn. Kalau kau orang datang sini sebab nak nasihatkan aku, baik tak payah. Buang masa aja. Semua nasihat tu takkan dapat mengubah apa yang telah terjadi.

Suasana hening. Masing-masing membisu. Tiada sesiapa yang tahu apa yang harus diperkatakan pada saat itu. Bunyi telefon bimbit di bilik sebelah memecah kebisuan yang melanda ketiga-tiga sahabat itu.

“Lyn, telefon kau,” ujar Ainul Nazian.

“Alamak, kacau betullah,” Ezlyn bergegas mendapatkan telefon bimbitnya di bilik sebelah. Hish...masa-masa macam nilah dia nak bunyi.

Ainul Nazian mengalihkan pandangannya kepada Nora yang kelihatan tidak bermaya itu.

“Nora, kau macam mana?”

Nora tetap membatu.

“Aku tahu aku bukan orang yang layak nak bagi nasihat pada kau. Tapi apa pun, aku sedia tolong kau kalau kau perlukan apa-apa,” ujar Ainul Nazian. Dengan syarat perkara tu tak dilarang oleh Islamlah.

Nora diam lagi.

Ish...macam cakap dengan tunggul aja! At least angguk ke, geleng ke. Ini keras aja macam batu. Akhirnya Ainul Nazian pun turut diam.

“Ish...tensionnya aku,” Ezlyn kembali semula ke bilik itu selepas menjawab panggilan telefon.

“Yang kau ni kenapa pulak?” Tanya Ainul Nazian. Lepas sorang, sorang.

“Boyfriend aku nilah. Tak habis-habis dengan cemburu dia. Kau tahu dia marahkan aku sebab kawan dia simpan gambar aku? Salah aku ke?”

Macam-macamlah dia orang ni! Pening kepala aku. Yang sorang asyik gaduh aja. Yang sorang lagi pulak sampai bunting. Ada boyfriend pun susah. Kalau macam nilah, tak ada boyfriend pun tak apa. Buat serabut kepala otak aja!

Kalau dulu, akulah orang yang paling cemburu melihat kawan-kawan aku tertawa bahagia bergayut di telefon, sekarang akulah orang yang paling bersyukur sekali kerana belum dikurniakan seorang lelaki yang layak dipanggil boyfriend.

Mungkin belum tiba masanya untuk aku bercinta. Mungkin aku pun akan jadi macam dia orang kalau aku bercinta sekarang kan? Ada kalanya aku pun terfikir, apa itu cinta? Kenapa harus ada cinta? Ada apa dengan cinta?

Satu yang aku tahu, cinta mampu membuatkan manusia tersenyum bahagia ataupun tersungkur menderita. Bagaimana dengan anda? Anda tahu apa itu cinta?

Tiada ulasan: