Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Januari 05, 2013

Cinta Gantung (Bab 13)

KETIKA mereka tiba di kolej, dewan makan sudah hampir hendak tutup. Justeru, mereka sepakat untuk makan di DML sahaja, yakni singkatan daripada Warung Di Mana Lagi. Salah sebuah warung yang bertapak di belakang kolej mereka semenjak kampus itu dibuka. Walaupun ada lebih daripada tiga buah warung di situ, tetapi nama itu lebih diingati kerana namanya yang ringkas dan mudah disebut.
Seperti yang dijangka, Syukri yang mengambil pesanan mereka walaupun sebenarnya dia bukanlah pekerja tetapi bos yakni pemilik warung tersebut. Dia hanya menjadi tukang ambil pesanan khas untuk Afia sahaja.
Ezlyn dan Noni sengaja membiarkan Syukri mengambil pesanan Afia dahulu sambil mata masing-masing menjeling ke arah Afia dengan seribu satu makna. Masing-masing sudah membuat spekulasi sendiri.
            “Karet susu dengan kuetiau bandung,” ujar Afia tanpa mengambil masa yang lama.
Afia lega apabila Syukri mengalihkan perhatian kepada Yusri untuk mengambil pesanannya. Dari tadi, mata Syukri tidak lepas daripada merenungnya. Naik seram dia dibuatnya.
            Tidak lama kemudian, minuman dan makanan mereka pun tiba di meja mereka. Namun makanan itu tidak sama seperti apa yang dipesan oleh mereka sebentar tadi.
            “Aku minta nasi goreng kampung kan tadi?” Yusri melihat ke pinggannya. Nasi goreng itu penuh dengan sayur campur. Jika dia tidak silap, itu nasi goreng Cina. “Ni bukan nasi goreng kampung, kan?”
            “Aku pun minta nasi goreng USA tapi ni nasi goreng pattaya,” Ezlyn pula merungut. “Kau punya betul, Noni?”
            “Salah juga,” jawab Noni.
            Ezlyn, Noni dan Yusri melihat ke arah Afia yang sedang enak menjamu selera. Selepas beberapa suapan, Afia mula menyedari yang dirinya diperhati lantas dia mengangkat muka memandang teman-temannya.
“Apa?”
            “Betul ke kau pesan kuetiau bandung tadi?” tanya Ezlyn, seperti tidak berpuas hati.
            “Betullah,” jawab Afia sebelum kembali menjamah makanannya. Entah apa motif mereka bertanyakan soalan itu. Bukankah mereka juga sudah mendapat makanan yang dipesan tadi?
            “Tengok tu, kau orang. Macam mana makanan Afia seorang aje yang betul?” Ezlyn, Noni dan Yusri saling berbalas pandangan, tidak berpuas hati.
            “Syukri tu memanglah. Pada Afia aje dia beri perhatian. Ni aku tak puas hati ni,” Yusri pura-pura marah.
“Bukan ke dia ada tulis tadi?” tanya Noni.
            “Entah-entah dia main tulis aje,” balas Ezlyn.
            “Dah tu, kau orang nak tukar tak?” Yusri sudah berkira-kira hendak memanggil pekerja di situ.
            “Mestilah. Aku dah terbayang nasi goreng USA tadi,” ujar Ezlyn.
            “Bang!” Yusri memanggil seorang pemuda lain yang baru sahaja mengambil pesanan di meja sebelah dan memberitahu masalah mereka. “Tadi kita orang pesan lain tapi dapat lain.”
            “Kau orang pesan apa?” tanya pemuda itu.
            Yusri menyebut satu per satu makanan yang telah dipesan tadi. Pemuda itu mencatat pesanan itu pada buku nota kecil di tangannya.
            “Jadi yang ni bukanlah?”
            “Bukan.”
            “Maaf ya.” Pemuda itu mengangkat dua pinggan yang tidak berkenaan itu ke dalam.
Seketika kemudian, dia kembali sekali lagi untuk mengambil pinggan yang satu lagi.
“Yang ni?” tanyanya kepada Afia.
            “Yang ni betul,” jawab Afia.
            “Jadi nasi goreng kampung, nasi goreng USA dan nasi paprik?” Pemuda itu membaca semula pesanan mereka bagi memastikannya sekali lagi.
            Yusri mengangguk. Seketika kemudian, makanan mereka yang betul sampai. Mereka makan tanpa sepatah bicara.

           
“ALHAMDULILLAH,” ucap Yusri sesudah makan. Kemudian, dia bersendawa kuat.
Serentak Afia, Ezlyn dan Noni memandangnya. Yusri cuma tersengih. Bukankah dia orang yang selamba?
“Aku rasa nak tambah lagilah,” ujar Yusri.
            Afia, Ezlyn dan Noni memandang Yusri tidak percaya.
            “Kau tak kenyang lagi ke?” tanya Ezlyn. “Dah sendawa kuat macam tu pun, boleh sumbat lagi ke? Apa jenis perutlah kau ni?”
            “Entah. Aku rasa nak makan lagi. Tolong pesankan,” ujarnya kepada Noni.
            “Ah, pesanlah sendiri! Nanti dia orang ingat aku kuat makan pula,” bantah Noni.
            Melihatkan itu, dia menyuruh Afia pula. “Afia, pesankan.”
            “Pesan ajelah. Buat apa kau nak malu? Bukannya percuma. Kau bayar, bukan?” balas Afia.
            “Bang, saya nak pesan... Nasi apa kau makan tadi, Lyn?” Ayatnya tergantung seketika.
“Nasi goreng USA,” balas Ezlyn.
“Ha, nasi goreng USA,” Yusri berkata kepada pekerja yang berada berdekatan dengan mereka.
“Nasi goreng USA? Satu?”
“Satu aje. Bukan untuk saya tau. Untuk dia.” Yusri menunjuk ke arah Noni.
Pekerja itu seakan terkejut, kemudian tersengih.
            “Isy, jahat betullah kau ni!” Noni memukul lengan Yusri sejurus pekerja itu menghilang ke dalam.
            “Aduh, sakitlah!” Yusri menggosok-gosok lengannya.
            “Padan muka!” marah Noni. 

     
AFIA terus merebahkan tubuhnya ke katil sebaik-baik sahaja kakinya menapak ke bilik. Tubuhnya tidak larat hendak berbuat apa-apa. Matanya dipejam celikkan. Apabila terpandang akan telefon bimbitnya, dia mula teringat akan pesanan ringkas yang dikirim oleh Asyraf semalam. Lantas telefon bimbit itu dicapai. Pesanan ringkas yang dikirim oleh Asyraf semalam dibaca kembali.
Sebenarnya dia tidak tahu hendak balas apa. Fikirnya, jika dia tidak membalas mesej itu pun, tidak mengapa. Bukankah itu ayat penyata? Lainlah jika ayat tanya.
Tetapi adakah Asyraf mengharapkannya membalas pesanan ringkas itu? Dia berkira-kira hendak menekan butang ‘reply’.
“Afia... Oi, takkan tidur dah? Jom tengok CD.”
Tiba-tiba Noni muncul di sebelahnya. Temannya itu sudah siap mandi dan memakai baju tidur dalam masa tidak sampai 15 minit dari waktu mereka balik ke bilik tadi.
“Aku tak laratlah,” dalih Afia. Dia sudah terlentok di atas katil. “Lyn buat apa?”
“Mandi. Jomlah tengok CD,” ajak Noni lagi.
“Malaslah. Aku nak tidur.”
“Tak mandilah tu,” usik Noni.
“Alah, esok pagi ajelah aku mandi. Jimat air.” Itulah skema jawapan Afia apabila dia sering ditegur oleh Ezlyn dan Noni kerana dia tidak suka mandi malam. Alasannya, tidak elok mandi malam. Tidak baik untuk kesihatan.
“Isy, mengalahkan kerbau. Kerbau pun tahu mandi tau.”
Noni baru sahaja hendak melangkah dari situ apabila Afia memanggilnya. Noni tercegat sambil menantikan apa yang hendak dikatakan oleh Afia.
Nak tanya ke tak ya? Boleh percaya ke Noni ni? Nanti mesti dia beritahu Lyn pula. Detik hati Afia.
Night...” ucap Afia walaupun bukan itu yang hendak dikatakannya.
Night,” balas Noni.
Ya, itulah jawapannya! Hanya sepatah perkataan. Kenapalah dia tidak terfikir?



Sorry tak balas SMS awak semalam. Sibuk sikit. Ni pun baru aje balik dari KL.

BERULANG-ULANG kali dia membaca kiriman pesanan ringkas itu. Seakan-akan tidak percaya yang dirinya tidak bermimpi. Akhirnya, penantiannya berakhir.
Dek kerana terlalu kegembiraan, tanpa sedar dia menjerit dan terlompat-lompat tatkala mendapat kiriman pesanan ringkas itu seusai pulang dari makan malam bersama Mak Mi, Pak Cik Haikal dan Aqilah tadi.
Mak Mi dan Pak Cik Haikal hanya berbalas pandangan sesama sendiri. Mungkin terkejut dengan jeritan Asyraf yang secara tiba-tiba itu. Namun tidak pula mereka bertanya.
Asyraf bingkas melangkah ke biliknya. Dia berbaring di katil sambil membaca kiriman pesanan ringkas itu untuk yang ke sekian kali.
Walaupun bukan ucapan bertanya khabar atau berkenaan dengan dirinya, namun sudah cukup membuatkan hatinya berbunga bahagia. Itu tandanya gadis itu masih sudi berhubung dengannya. Justeru, dia nekad akan mengirimkan pesanan ringkas ucapan selamat malam pada setiap malam kepada gadis itu bermula pada saat itu.


As the day turns into night, keep your worries out of sight…
No matter how tough the world may seem…
You still deserve the sweetest dreams. Good night.

 
“APA kenalah mamat ni? Salah hantar mesej ke?”
Afia tidak jadi hendak tidur apabila menerima balasan pesanan ringkas daripada Asyraf. Seperti malam semalam, kali ini juga lelaki itu menghantar pesanan ringkas semata-mata hendak mengucapkan selamat malam kepadanya.
“Dia ni tak betul ke apa? Ataupun dia tak ada kerja? Ataupun dia kesunyian dan tak ada sesiapa yang nak layan dia main mesej? Tapi, kenapa aku pula yang dipilihnya? Takkan dia dah syok pada aku pula? Ee, perasannya aku! Tapi, mana ada kawan biasa yang hantar mesej ucap selamat malam macam ni. Lagipun, aku bukannya siapa-siapa dengan dia. Nak balas ke tak ni, ya?”
Afia berkira-kira sendiri. Jika dia membalas pesanan ringkas itu, pasti mereka akan terus berbalas pesanan ringkas sedangkan badannya sudah letih dan sekali gus menyebabkan kepalanya tidak mampu untuk berfikir.
Tetapi jika dia tidak membalas pesanan ringkas itu, pasti dia tidak dapat tidur dengan lena kerana tidak tahu apa motif Asyraf mengirim pesanan ringkas selamat malam kepadanya. Dia tidak suka berada dalam keadaan tertanya-tanya. 

Awak ni kenapa? Rajin sangat hantar mesej selamat malam. Kalau tak ada perkara penting, tolonglah jangan kacau saya. Saya tak suka.


            Selepas menaip bait-bait ayat itu, dia terus menekan butang ‘hantar’. Dia tidak peduli jika Asyraf terasa hati atau tersinggung dengan kata-katanya itu. Mereka bukannya kenalan rapat. Jumpa pun baru sekali. Jadi, rasanya tiada sebab dia perlu menjaga hati lelaki itu.
            Jika Asyraf tidak mahu membalas mesejnya terus pun, dia tidak kisah. Lagi baik. Kreditnya juga tidak terbuang dengan mesej-mesej yang remeh-temeh. Namun tidak lama kemudian, mesejnya dibalas oleh Asyraf.


Saya mintak maaf kalau mesej saya mengganggu awak. Saya tak ada niat lain melainkan nak berkawan dengan awak aje. Saya nak kenal awak dengan lebih rapat. Boleh?

 
            Afia terkedu seketika selepas membaca pesanan ringkas balasan Asyraf.
“Sah! Dia dah jatuh cinta dengan aku. Tapi macam mana dia boleh terpikat dengan aku yang tak pandai bergaya apatah lagi bermekap ni? Ee, perasannya kau ni, Afia! Bukan ke dia kata nak kawan aje?” Afia mengutuk dirinya sendiri.
            Walaupun dia tidak mempunyai teman lelaki, tetapi dia pun tidaklah terdesak sangat hendak mempunyai teman lelaki sampaikan sanggup menerima sesiapa sahaja yang datang menghulurkan cinta kepadanya. Kalau tidak, pasti sudah lama dia menerima Syukri.
Hendak kata dia terlalu memilih, tidak juga. Tetapi baginya, selagi dia tidak berjumpa dengan mana-mana lelaki yang mampu membuatkan hatinya mengalun melodi cinta, selagi itulah dia tiada keinginan untuk bercinta.
Tiba-tiba dia terkenangkan Faiz, teman sekelasnya di sekolah menengah. Faiz sentiasa melayannya dengan baik, malah lelaki itu tidak pernah menghampakan setiap permintaannya. Semua kehendaknya dipenuhi tanpa rasa terpaksa. Setiap kali dia bersedih, lelaki itu pasti ada untuk menceriakannya dan apabila dia patah semangat, lelaki itu selalu ada untuk menyokongnya.
Lantaran tidak pernah mendapat layanan sebegitu daripada mana-mana lelaki, hatinya mula tersentuh. Dia jatuh cinta kepada Faiz. Sangkanya, Faiz juga merasai perasaan yang sama. Jika tidak, masakan Faiz melayannya sebegitu sekali?
Namun, ternyata andaiannya itu salah. Rupa-rupanya sikap Faiz memang begitu. Semua perempuan pun dia layan mesra. Dia jadi malu sendiri.
Selepas melanjutkan pengajian ke universiti, mereka sudah jarang-jarang berhubung lantaran jarak dan kesibukan. Dia di UiTM Puncak Perdana, Shah Alam manakala Faiz pula di Sarawak. Namun begitu, Faiz tidak pernah sekalipun gagal mengirimkan pesanan ringkas pada setiap kali hari jadinya.
Afia tidak menyalahkan Faiz kerana dia sendiri pun jarang-jarang menghubungi lelaki itu. Jarak dan kesibukan itu cuma alasan. Sebab utamanya adalah kerana dia tidak mahu dituduh sebagai orang ketiga tatkala mengetahui lelaki itu sudah menemui idaman hatinya di bumi Sarawak ketika mereka berada dalam semester kedua.
Biarlah dia berduka asalkan orang yang disayanginya itu bahagia. Dia pasrah andai sudah ditakdirkan lelaki yang bernama Faiz itu bukan untuknya. Habis, siapa nama lelaki yang ditakdirkan untuknya?
Syukri? Mungkin tidak. Loghat Sabah Syukri yang pekat itu adakalanya membuatkan dia tidak faham apa yang dikatakan oleh pemuda itu. Jadi, macam mana mereka hendak menjalinkan hubungan jika komunikasi pun tidak sampai?
Asyraf? Alamak, lupa pula!
Afia mula tersedar yang dia belum membalas pesanan ringkas terakhir Asyraf tadi. Otaknya segera mengarang-ngarang ayat sambil jari-jemarinya laju menekan-nekan kekunci telefon bimbit Nokia itu.
Selepas menekan butang ‘hantar’, dia menanti seketika. Satu minit. Dua minit. Tiga minit. Tiga puluh minit. Masih tiada jawapan daripada Asyraf.
“Hai, mana pulak dia ni? Takkan dah tidur kut?”
Afia melihat jam yang tertera pada telefon bimbitnya.
“Baru pukul 10.00 malam. Tak pun, merajuk? Isy, gedik betul nak merajuk-rajuk! Ah, biarlah! Bukannya aku rugi apa-apa pun.”
Afia tidak mahu terlalu berharap lantas dia memejamkan mata, bersedia untuk berlayar ke alam mimpi. Namun ketika mimpinya baru hendak berlabuh dek rasa mengantuk yang menguasai diri, suatu pesanan ringkas menjengah telefon bimbitnya. Dia membacanya sekilas sebelum matanya benar-benar tertutup.
 

Sorry, Afia. Saya mandi dan solat tadi. Terima kasih sebab sudi berkawan dengan saya (^_^)

 
ASYRAF membalas pesanan ringkas terakhir itu sambil tersenyum bahagia. Nampak gayanya, kali ini sudah lebih daripada satu pesanan ringkas. Ada harapan ni!
Bagi Asyraf, dia tidak kisah jika Afia tidak pandai bergaya seperti gadis-gadis yang lain. Asalkan pakaiannya sopan dan menutup aurat, itu pun sudah mencukupi syarat. Dia juga tidak kisah jika Afia tidak tahu bersolek asalkan wajahnya itu asli dan semula jadi, bukan atas bantuan kosmetik atau suntikan surgeri.
            Walaupun perwatakan Afia adakalanya nampak sedikit kasar tetapi dia tahu Afia bukanlah tomboi. Dia masih mengamalkan cara hidup gadis timur. Buktinya, Afia masih ada perasaan malu ketika bersamanya. Ketika mereka berbual-bual, dia perasan Afia tidak berani bertentang mata dengannya. Setiap kali dia memandang Afia, pasti gadis itu akan melarikan pandangannya ke arah lain.
Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman apabila mengingati pertemuan mereka di gerai UiTM Puncak Perdana itu. Alangkah indahnya jika pertemuan sebegitu dapat berulang selalu.
            Selepas beberapa ketika menanti balasan pesanan ringkas Afia, Asyraf mengagak yang Afia mungkin sudah tidur. Mengenangkan itu, dia juga bersiap-siap untuk tidur. Matanya dipejamkan bersama senyuman yang terukir di bibirnya. 

Tiada ulasan: