Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 01, 2012

Cerpen: Rahsia Najiha

“ENGKAU ni, dari pagi sampai malam, mak tengok asyik tengok TV saja. Kau tak nak cari kerja ke, Jiha? Sampai bila kau nak duduk rumah macam ni? Mak dengan ayah kau hantar kau pergi belajar tinggi-tinggi supaya kau dapat bantu kami bila dah besar ni. Bukan untuk kau goyang kaki macam ni.”
            Bebelan ibunya membuatkan fokus Najiha pada drama yang disiarkan dalam televisyen terganggu. Perasaan untuk menonton televisyen terus mati. Dia sudah dapat menjangka apa yang akan dikatakan oleh ibunya itu. Bukan sekali dua ibunya itu membebelkan perkara yang sama kepadanya. Dan dia pasti bebelan itu tidak akan terhenti di situ.
            “Apa nak jadi dengan kau ni, Jiha? Siang mengadap TV, malam pula mengadap komputer sampai pagi. Tak ada kerja lain ke yang kau boleh buat? Cuba kau tengok kakak dan abang kau, semuanya dah ada rumah, ada kereta. Kau tak teringin ke jadi macam mereka?”
            Begitulah antara bebelan ibunya. Dia tahu ibunya mahu dia menjadi seperti kakak dan abangnya. Anak-anak yang membanggakan ibu bapa dengan gaji mencecah lima angka setiap bulan. Ada jawatan besar, ada rumah besar, ada kereta besar dan segala-galanya serba besar. Tetapi dia tidak suka kerja-kerja sebegitu.
            “Jiha tak suka kerja pejabat macam tulah, mak,” omel Najiha. Sudah banyak kali dia menjelaskan perkara itu kepada ibunya tetapi ibunya seolah-olah tidak memahami. Apa guna gaji besar jika diri tiada masa untuk keluarga?
            “Habis tu, kau nak kerja apa lagi? Zaman sekarang kalau kau tak kerja, kau nak makan apa? Siapa nak beri kau duit?” bidas si ibu. Seolah-olah tidak bersetuju dengan sikap anaknya yang dianggap terlalu memilih pekerjaan itu.
            “Nanti bila Jiha dah berjaya dapat kerja tu, Jiha beritahu mak ya,” janji Najiha.
            “Kerja apa yang kau buat kalau kau asyik duduk goyang kaki macam ni?”
            Najiha melepaskan keluhan. Dia tahu tiada guna dia menerangkan kepada ibunya. Nescaya ibunya itu tidak akan mengerti. Namun begitu, dia berazam akan membuktikan kepada ibunya yang dia juga boleh berjaya. Dia cuma berharap ibunya dapat memberi masa kepadanya. Dia akan pastikan ibunya berbangga dengannya suatu hari nanti.
 

   
“ADUH!” Najiha terjerit kesakitan apabila kakinya terpijak sebuah alat permainan sebaik-baik sahaja dia melangkah keluar dari bilik tidurnya. Nyaris-nyaris dia terjatuh.
            Najiha memandang ke arah ruang tamu. Riuh-rendah suara kanak-kanak mengisi pendengarannya. Dia menggeleng melihat telatah anak-anak saudaranya yang sedang bermain gusti sesama sendiri. Habis bersepah satu rumah. Dengan kusyennya bertaburan di sana sini, sofa senget, alat permainan bertaburan di atas lantai... macam kapal karam!
            Inilah yang membuatkan dia malas hendak duduk di rumah. Fikirannya kusut dengan gelagat anak-anak saudaranya. Bunyi bising sebegini akan mengganggu konsentrasinya terhadap kerja-kerjanya. 
Adakalanya dia geram dengan sikap abang dan kakaknya yang seolah-olah mahu lepas tangan. Pagi-pagi lagi sudah hantar anak-anak ke sini, apabila waktu malam baru nak ambil anak-anak balik.
            Sudahlah tidak pernah beri duit belanja, semua urusan anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada ibu mereka. Daripada makan, pakai sampaikan berak kencing pun ibu mereka yang uruskan. Bukannya mereka tidak tahu yang ibu mereka sudah tua. Sepatutnya dalam usia begini, ibu hanya berehat. Bukannya buat kerja berat.
Namun seperti biasa, ibu mereka tetap mahu menangkan abang dan kakaknya apabila dia menyuarakan hal itu.
“Kenapa tak hantar ke rumah pengasuh saja?” usul Najiha pada suatu hari apabila abang dan kakaknya meminta tolong ibu mereka untuk menjaga anak-anak mereka ketika mereka bekerja. Kata gaji besar, takkan nak bayar duit pengasuh pun tak mampu?
“Kakak ipar kau tak nak orang luar jaga anak-anak dia. Sekarang kan banyak kes yang melibatkan pengasuh?” terang abangnya, Nazim.
“Ah, alasan!” bangkang Najiha.
            “Biarlah mak jaga dia orang. Bukannya susah pun. Kau orang dulu pun mak yang jaga sendiri,” ujar Puan Normah apabila melihat kedua-dua adik-beradik itu mula bertikam lidah.
            “Memanglah tapi tu dulu, waktu mak muda lagi.” Najiha masih tidak berpuas hati. Bukannya senang nak jaga seorang budak, inikan pula tiga orang.
            “Kau bukan tak tahu, kakak dan abang kau tu sibuk bekerja, cari duit. Bukan macam kau, banyak sangat masa lapang.”
            Kata-kata ibunya itu benar-benar membuatkan dia terasa hati. Dia cuma risaukan kesihatan ibunya. Sejak itu, dia membuat keputusan tidak mahu masuk campur pasal anak-anak saudaranya. Ibunya juga seolah-olah memahami dan tidak pernah meminta bantuannya dalam menguruskan anak-anak saudaranya itu. Namun sebagai anak, sedikit sebanyak dia kasihan juga melihat ibunya bersusah-payah menjaga anak-anak saudaranya yang seramai tiga orang itu.
            Najiha mendapatkan ibunya di dapur. “Mak, Jiha nak keluar sekejap ya.”
            “Kau ni asyik keluar saja. Kalau kau cakap nak pergi kerja, sedaplah sikit telinga mak mendengarnya,” balas Puan Normah yang sedang menyiapkan makanan tengah hari untuk cucu-cucunya.
            “Okey. Mak, Jiha nak pergi kerjalah ni,” seloroh Najiha.
            “Tengok tu, asyik nak main-main saja.”
            Najiha cuma tersenyum senang. Dia menghulur tangan lalu mengucup tangan ibunya. “Jiha pergi dulu, mak.”
 

 
“CIK NAJIHA, ini cek pertama awak,” ujar wanita di hadapannya seraya menghulurkan sekeping cek.
Najiha menyambut huluran cek tersebut. Dia melihat angka yang tertera pada cek tersebut. Matanya terbeliak. Tidak percaya.
“Be... betul ke angka ni?” tanya Najiha sambil memandang wanita di hadapannya itu.
“Betullah, takkan tipu pula?” Wanita itu tersenyum melihat gelagat Najiha.
“Banyaknya...” Najiha tidak menyangka kerjaya yang baru diceburinya sejak hujung tahun lalu itu memberikan pulangan yang lumayan. Ternyata usaha kerasnya berbaloi.
“Rezeki awak. Lagipun, hasil kerja awak memang bagus. Ramai yang menyukainya. Berbaloilah dengan jumlah angka tersebut. Kami harap awak masih sudi bekerjasama dengan kami lagi pada masa akan datang,” tambah wanita yang dikenali sebagai Puan Halina itu.
            “InsyaAllah, saya pun suka kerja ni.” Najiha tersenyum lagi. Ah, begini rupanya perasaan apabila menerima wang hasil daripada titik peluh sendiri. Kini barulah dia mengerti.
Terselit perasaan lega dan puas dalam hatinya kerana akhirnya dia dapat membuktikan kepada ibunya yang dia bukan duduk goyang kaki saja di rumah tanpa melakukan apa-apa kerja yang berfaedah. Dia punya alasan tersendiri mengapa jadual kerjanya tidak seperti abang dan kakaknya.
Dia melihat kembali kepingan cek di tangannya. Dia terasa mahu membelikan sesuatu untuk ibunya dengan wang itu. Tapi apa ya?
 

 
“MAK, Jiha dah balik!” laung Najiha sejurus menapak ke dalam rumah. Dari tadi wajahnya tidak lekang dengan senyuman. Tidak sabar rasanya untuk berkongsi berita gembira dengan ibunya.
Namun panggilannya tidak bersahut. Najiha berasa hairan. Sunyi sepi saja keadaan di dalam rumah itu. Tidak seperti ketika dia keluar tadi.
Sambil menjinjing dua beg plastik, langkah kakinya diatur ke ruang tamu. “Mak!”
“Kenapa, mak?” Najiha segera menghampiri ibunya apabila melihat ibunya mengerang kesakitan sambil memegang pinggang di atas sofa. Beg plastik di tangannya diletakkan di atas meja.
            “Pinggang mak lenguh,” adu ibunya itu.
            “Itulah, mak, banyak buat kerja berat ni. Jiha sapukan minyak ya?” Tanpa menunggu jawapan ibunya, Najiha segera mengambil sebotol minyak gamat dari dalam almari di ruang tamu itu.
            “Budak-budak mana, mak?” tanya Najiha sambil mengurut pinggang ibunya.
            “Dia orang tidur kat dalam bilik. Penat bermain agaknya,” jawab Puan Normah.
            Najiha mengangguk. Apabila anak-anak saudaranya bising, dia berasa rimas. Namun apabila mereka tiada di depan mata, dia berasa sunyi pula.
            “Apa yang Jiha beli ni?” tanya Puan Normah apabila terlihat dua beg plastik yang berada di atas meja.
            “KFC untuk budak-budak,” balas Najiha.
            “Baguslah, budak-budak tu pun tentu lapar. Mak tak sempat masak lagi. Sekejap lagi abang kamu nak datang ambil dia orang, mesti dia bising kalau budak-budak tu merungut lapar,” cerita Puan Normah.
            Najiha cuma mendengar. Selama ini dia memang tidak pernah mengambil tahu akan perihal anak-anak saudaranya. Bukannya dia membenci mereka tetapi dek kerana sikap abang dan kakaknya, dia seakan-akan memprotes dengan meletakkan sempadan antara dirinya dengan anak-anak saudaranya itu.
            Namun entah mengapa apabila menerima cek daripada Puan Halina tadi, dia terasa ingin membeli sesuatu untuk anak-anak saudaranya itu lantas dia terus ke KFC. Dan anehnya, ada suatu perasaan bercambah dalam hatinya apabila melihat anak-anak saudaranya berselera menikmati hidangan yang dibawa itu.
Itulah kali pertama dia melayani anak-anak saudaranya dan dia senang melakukannya. Mungkin betul apa yang dikata orang, kita akan berasa gembira apabila membuat orang lain gembira.
 

 
“LETAK kat sini ya,” arah Najiha.
            “Apa benda ni, Jiha?” tanya Puan Normah seraya memerhatikan dua orang lelaki sedang mengangkat sebuah mesin basuh ke dapurnya itu.
            “Mesin basuhlah, mak,” balas Najiha, selamba.
            “Mak tahulah mesin basuh. Siapa yang beli?” Puan Normah seakan-akan tidak berpuas hati dengan jawapan Najiha yang dianggap main-main itu.
            “Siapa lagi? Jihalah. Takkan Abang Nazim pula?” Najiha tersenyum penuh makna.
Dahi Puan Normah berkerut. Dia tidak percaya dengan jawapan Najiha. Dia memerhatikan gelagat Najiha yang sedang melayan dua orang pemuda di hadapannya. Dua orang pemuda itu akur dengan arahan Najiha.  
Tidak lama kemudian, dua orang pemuda itu pun beredar selepas menyiapkan kerja mereka. Melihatkan itu, Puan Normah segera mendapatkan Najiha untuk kepastian.
            “Betul ke kau yang beli mesin basuh ni, Jiha?” Puan Normah bertanya lagi.
Walaupun dia sudah menjangka akan reaksi ibunya itu namun Najiha sedikit terkejut dengan pertanyaan ibunya yang tiba-tiba itu. “Betullah, mak. Mak tak percaya ya?”
“Mana kau dapat duit untuk beli mesin basuh ni, Jiha? Kau bukannya kerja.”
            “Duit Jihalah, mak. Mak suka tak? Lepas ni, mak tak payahlah susah-susah lagi nak basuh baju. Cuma tekan butang saja.” Najiha cuba mengalihkan perhatian ibunya kepada mesin basuh yang baru dibelinya itu. Dia tidak mahu ibunya terus menyoal berkenaan sumber rezeki yang diperolehnya.  
            “Kau bukannya kerja, mana kau ada duit?” Puan Normah masih musykil. Kata-kata Najiha tadi langsung tidak melekat dalam kepalanya. “Jangan kata kau buat kerja yang bukan-bukan. Mak takkan benarkan benda ni ada kat dalam rumah ni kalau kau buat kerja tak baik.”
            “Isy, mak ni. Takkanlah Jiha nak buat kerja-kerja macam tu pula? Sia-sia sajalah mak dan ayah hantar Jiha belajar tinggi-tinggi kalau Jiha tak tahu nak bezakan kerja yang baik dengan kerja yang tak baik,” balas Najiha.
“Habis tu, mana kau dapat duit nak beli mesin basuh ni? Mesin basuh yang canggih macam ni mesti mahal harganya ni,” ujar Puan Normah sambil membelek-belek mesin basuh itu.
Najiha melepaskan keluhan. Rasanya dia perlu juga memberitahu ibunya tentang pekerjaannya. Jika tidak, pasti ibunya tidak akan berpuas hati. Mungkin sudah sampai masanya dia berterus terang agar ibunya tidak memikirkan yang bukan-bukan tentang dirinya.
Najiha memeluk bahu ibunya. “Mak nak tahu kenapa Jiha suka tengok TV dan mengadap komputer? Jiha tengok TV dan mengadap komputer bukannya saja-saja. Jiha tengok TV untuk dapat idea, rehatkan otak. Malam pula Jiha menaip guna komputer. Jiha tulis buku tau, mak.”
            “Buku apa yang kau tulis?”
            “Mari Jiha tunjukkan.” Najiha menarik tangan ibunya ke bilik tidurnya.
 

 
“SEMUA ni kau yang tulis ke, Jiha?” Puan Normah seperti tidak percaya apabila melihat buku-buku dan beberapa keratan akhbar dan majalah yang tertera nama Jiha Johari di bilik tidur anak perempuannya itu.
“Jiha bukan setakat tulis buku saja, Jiha juga ada menulis untuk majalah, surat khabar... pendek kata, Jiha buat semua kerja yang memerlukan khidmat menulis. Sebab tu kadang-kadang Jiha tengok TV atau keluar jalan-jalan untuk cari idea,” jelas Najiha.
“Jiha tahu kerja Jiha tak sehebat kerja abang dan kakak tapi Jiha suka kerja ni. Lagipun, Jiha boleh duduk di rumah dan jaga mak.”  
“Mak tak kisah Jiha kerja apa pun asalkan halal. Mak bangga dengan Jiha,” ujar Puan Normah lalu memeluk anaknya itu.
            Najiha turut membalas pelukan ibunya. Dia lega kerana ibunya tidak memandang rendah akan pekerjaannya itu.
            Setelah beberapa lama mereka berkeadaan begitu, Puan Normah meleraikan pelukan lalu bersuara, “Eh, mak nak pergi tengok mesin basuh yang Jiha beli tadi. Memang dah lama mak teringin nak mesin basuh macam tu.”
            Najiha tersenyum melihat gelagat ibunya itu. “Jom!”
            Najiha memimpin tangan ibunya ke dapur. Selepas ini, dia akan belikan perabot yang lain pula untuk ibunya. Itu janjinya.

3 ulasan:

nur fakhariah berkata...

citer nie mengandungi banyak unsur pengajaran yang berguna...peringatan untuk semua anak-anak agar tidak mempergunakan kudrat ibu yang sudah tua ..tahniah :)

Unknown berkata...

telalu bnyk pengajaran yg terselit dlm kisah ne dek...tahniah dr akk dek...best..

Ilmar Imia berkata...

Terima kasih, Nur Fakhariah, Kak Norihan dan semua yang membaca cerpen ini :)

Untuk pengetahuan semua, cerpen ini turut tersiar dalam majalah Mingguan Wanita isu 7-13 Disember.