Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

Cinta Yang Aku Mahu 2

“Sya…” Seorang gadis bertubuh kurus menghampiri Eisya tatkala dia sedang mencuci pakaian di bilik mandi. Eisya memandang pemilik suara yang menyapa.

“Kau boleh tolong aku tak?”

“Tolong apa?” Eisya acuh tak acuh. Dia menyental pakaiannya sekuat tenaga. Masih banyak baju yang perlu diberus. Maklumlah seminggu sekali baru dia mencuci baju-bajunya. Begitulah sikapnya. Selagi bajunya di dalam almari masih ada untuk dipakai ke kelas, selagi itulah dia tidak akan menjalankan kerja-kerja basuhan itu.

“Aku nak pinjam duit sikit,” suara temannya itu.

“Kau nak pinjam duit? PTPTN kau mana?”

“Dah habis.”

Eisya terhenti membasuh. Dia memandang temannya itu. Tidak percaya.

“Dah habis? Dua ribu setengah habis dalam masa dua bulan? Kau biar betul Syella? Kita ada lagi dua bulan tau nak survive. Kau buat apa dengan duit tu?”

“Ala…buat apa lagi? Aku beli baju, kasut, mekap…”

“Kau ni boros sangatlah. Cubalah berjimat sikit. Kerajaan bagi duit tu untuk belajar. Bukan buat joli,” Eisya menegur sikap temannya itu.

Dari dulu, sikap Syella tidak pernah berubah. Asyik berbelanja sakan. Sudah terbiasa hidup mewah agaknya. Hidup tak lengkap kalau tak beli baju tiap-tiap bulan. Sekali beli bukan sehelai dua pula tu. Apalah nak jadi?

“Ala…Sya, tolonglah. Kali ni aja. Bila mak aku masukkan duit nanti aku bayarlah balik,” janji Syella.

“Berapa kau nak pinjam?”

“Seratus?”

“Bila kau nak pakai?”

“Sekaranglah.”

“Kau tunggulah aku kat bilik. Kejap lagi aku habis membasuh.”

“Ok. Jangan lama sangat tau,” Syella berlalu ke bilik Eisya yang terletak selang beberapa buah bilik dari bilik mandi itu.

“Hee…ingatkan ada boyfriend menyenangkan. Itulah siapa suruh cari boyfriend yang sama-sama belajar juga? Lain kali carilah boyfriend yang kaya. Datuk ke, menteri ke. Paling kurang pun yang dah bekerja. Adalah juga duitnya,” Eisya membebel sendiri.

Tiada ulasan: