Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Januari 25, 2012

Budak SMART (Bab 6)

KELAS itu kelihatan lengang memandangkan semua pelajar telah pulang ke rumah masing-masing. Di sebuah meja, Athira masih di situ mengemas buku-bukunya. Ketika waktu akhir tadi, dia diminta oleh Puan Tan, guru Matematik mereka untuk menghantar buku ke bilik guru. Ekoran itu, dia terlambat untuk pulang.

Sedang dia memasukkan buku ke dalam begnya, tanpa disedari seseorang menghampirinya.

“Tya…” suara itu menyapa.

Athira tersentak lalu menoleh. “Sham?” Athira mengeluh lega. Ingatkan siapa tadi. “Kenapa tak balik lagi?” Athira kembali menyambung kerjanya memasukkan buku-bukunya ke dalam beg.

“Saja… nak tunggu Tya,” ujar Shamsul tanpa segan silu.

“Tunggu saya? Kenapa?” Athira pelik.

Sedang Athira mengemas bukunya, sebuah bukunya terjatuh ke lantai. Athira membongkok untuk mengambilnya. Shamsul turut berbuat demikian. Tanpa diduga, tangan mereka bersentuhan. Athira kaget. Mata mereka saling bertaut.

Pada waktu yang sama, Azrizal muncul di muka pintu dan menyaksikan adegan itu. Azrizal naik darah melihat tangan Shamsul memegang tangan Athira. “Hoi!”

Athira dan Shamsul terkejut dek laungan itu. Athira cepat-cepat menarik tangannya dan memasukkan buku itu ke dalam begnya. Azrizal segera menghampiri Shamsul. Tanpa pertimbangan, dia menumbuk Shamsul. Athira cemas dan terkejut dengan tindakan drastik Azrizal.

“Berani kau ambil kesempatan ya!” Azrizal menggenggam kolar baju Shamsul geram. Dia mahu membelasah Shamsul cukup-cukup. Pertama, kerana menyibuk perihal dirinya dan kawan-kawannya. Kedua, kerana mengambil kesempatan terhadap teman wanitanya.

“Riz!” Athira menegah.

Azrizal melepaskan kolar baju Shamsul lalu melangkah meninggalkan kelas itu dengan perasaan marah.

“Riz!” Athira memandang Shamsul dan membantunya berdiri. “Awak tak apa-apa?”

Shamsul menggeleng.

“Maafkan saya.” Athira mencapai begnya lalu mengejar Azrizal.



“RIZ!” Panggilan itu tidak diendahkan. Azrizal pantas melangkah. Hatinya panas. “Riz, tunggu!” Athira menyaingi langkah Azrizal. “Kenapa dengan Riz ni? Riz tak patut tumbuk Shamsul tadi. Dia tak salah.”

“Habis tu, Rizlah yang salah?” soal Azrizal geram. Kemarahannya masih belum hilang. Athira pula seolah-olah menyebelahi Shamsul.

“Bukan macam tu. Perkara tadi bukan macam apa yang Riz sangka. Dia tak sengaja,” Athira cuba menerangkan kedudukan yang sebenar.

“Mana Tya tahu dia sengaja ke tak? Riz tahu dia ada hati dengan Tya!” Azrizal ingin melangkah, namun Athira pantas menarik lengannya. Langkah Azrizal terhenti.

“Riz, Riz tahu kan Tya sayangkan Riz? Riz tak percayakan Tya ke?” Athira cuba menyejukkan hati Azrizal yang tengah berapi itu. Dia tahu Azrizal cepat naik darah tetapi marahnya tidak lama.

Azrizal memandang Athira. “Bukan Riz tak percayakan Tya tapi Riz tak percayakan Shamsul,” Azrizal meluahkan kebimbangannya. Tambahan pula setelah mengetahui latar belakang keluarga Shamsul. Ketika mereka bertiga makan di kantin tadi, Shafik membuka cerita.

“Riz, aku dengar cerita si Shamsul tu anak kaya tau,” ujar Shafik.

Who care? Aku kisah apa kalau dia anak raja sekalipun. Tak ada kena-mengena dengan hidup aku,” balas Azrizal.

“Kalau aku kata ada kaitan dengan Tya, macam mana?”

“Kau cakap apa? Apa kaitan budak baru tu dengan Tya pula?” Azrizal tidak mengerti.

“Zahid ada beritahu aku yang budak Shamsul tu asyik tanya pasal Tya saja. Aku rasa dia dah syok pada awek kau agaknya,” jelas Shafik.

“Habis tu, Zahid tak beritahu dia yang Tya tu awek aku?”

“Dah. Tapi aku tak tahulah apa reaksi dia. Aku tengok dia tu bukanlah jenis orang yang reti bahasa. Baik kau jaga-jaga.”

Kata-kata Shafik itu membuatkan hatinya sedikit gusar. Selama dua tahun dia menjalin kasih dengan Athira, Athira tidak pernah menyakitkan hatinya. Bahkan kalau dia berbuat salah pun, Athira sedia memaafkannya.

“Riz, kalau betul pun dia ada hati pada Tya sekalipun, itu hak dia. Tya tak boleh halang. Tapi Tya berhak pilih sesiapa saja yang Tya suka. Kan Tya dah pilih Riz?” Athira cuba memadamkan kemarahan buah hatinya itu.

“Habis, kalau dia cuba pikat Tya, takkan Riz nak diamkan saja?”

Athira tergelak kecil.

“Kenapa Tya gelak?”

“Yalah, dah dua tahun kita bercinta, tapi baru sekarang Tya nampak Riz bersikap macam ni. Tya tak sangka rupa-rupanya Riz ni kuat cemburu juga ya.” Athira tersenyum lebar.

“Mestilah Riz cemburu!” balas Azrizal. Lelaki mana yang tidak cemburu apabila ada lelaki lain yang cuba mendekati teman wanitanya?

“Tak ada apa-apalah Riz. Relaks, okey? Dah, jangan cakap lagi. Petang ni kita nak keluar ke Megamall, bukan?” Athira bersuara manja. “Senyumlah sikit,” pujuk Athira.

Azrizal tersenyum kelat.

“Macam itulah. Baru nampak sweet. Jom kita jalan sama-sama.” Mereka berjalan beriringan.



SUASANA di medan selera pusat membeli-belah itu agak lengang. Tidak ramai yang berkunjung ke situ pada waktu pejabat begini.

Di suatu sudut, kelihatan sepasang lelaki dan perempuan sedang menjamu selera sambil berbual-bual dengan girang.

“Jadi, macam mana perkembangan kau dengan Tya?” soal si perempuan.

So far so good. Kau tahu, aku dah dapat pegang tangan dia!” Si lelaki tersenyum bangga.

“Baguslah. Tak lama lagi mesti kau dapat pegang hati dia!” Si perempuan gembira mendengar berita itu.

“Mudah-mudahan.” Si lelaki memandang si perempuan dengan penuh tanda tanya. “Kenapa kau suka sangat kalau aku dengan Tya sedangkan kau sendiri tahu yang Tya tu dah ada pakwe? Lagipun, bukan ke kau kawan baik dia?”

“Sebab aku tak sukakan Riz tu. Aku tak suka tengok dia dengan Tya. Dia tak sepadan dengan Tya. Dan aku rasa kaulah orang yang paling sesuai dengan Tya.” Si perempuan seakan-akan membenci lelaki yang dipanggil Riz itu. Seolah-olah dia menyimpan dendam yang mendalam terhadap lelaki itu.

“Aku akan pastikan yang kau tak salah pilih orang,” janji si lelaki. Aku akan pastikan Tya jadi milik aku tak lama lagi. Kau ingat aku nak diamkan diri? Dia masih geram apabila mengingati peristiwa tengah hari tadi.

Sebaik-baik sahaja dia sampai ke tempat parkir motosikal, dia terkejut apabila melihat keadaan motosikalnya. Kedua-dua tayarnya kempis. Pula tu badan motosikalnya disembur dengan cat. Tidak pasal-pasal dia perlu menaiki teksi untuk pulang ke rumah. Sudahlah sebelum itu, dia makan penumbuk Azrizal. Memang tidak boleh dimaafkan!

“Aku percayakan kau.” Si perempuan melagakan gelasnya dengan gelas si lelaki sebagai tanda kerjasama yang terjalin. Si perempuan tersenyum puas.



SEMENTARA itu di dalam bangunan yang sama di tingkat bawah, sepasang kekasih berjalan beriringan sambil melihat-lihat aksesori yang dijual di sebuah kedai.

“Yang mana cantik?” Si perempuan menggayakan seutas rantai tangan di pergelangan tangannya dan meminta pendapat teman lelakinya tentang rantai tersebut.

“Dua-dua pun cantik,” jawab teman lelakinya. Dia memang tidak pandai membuat pilihan.

“Alah, Riz ni. Tolonglah pilihkan. Takkan Tya nak beli dua-dua sekali?” si perempuan menggesa.

“Tya pakai apa-apa pun cantik.”

Athira tersipu malu apabila dipuji begitu. Athira melihat harga yang tertera pada rantai tangan itu. RM35.90. Mahalnya! Lebih kurang sama dengan harga sekeping cakera padat. Melihatkan hal itu, Athira meletakkan kembali rantai tangan itu di tempatnya.

“Tak jadi beli ke?” soal Azrizal.

“Tak jadilah.”

“Kenapa? Kan cantik tu.”

“Kita tengok di kedai lain dululah,” dalih Athira lalu menarik lengan Azrizal keluar dari kedai itu. “Riz lapar tak? Jom kita pergi makan.”

“Tadi Tya kata nak tengok di kedai lain.” Azrizal tidak faham mengapa tiba-tiba sahaja Athira berubah fikiran.

“Kita makan dululah. Tya laparlah,” Athira memberi alasan. Sebenarnya, dia tidak mahu Azrizal tahu yang dia tidak mampu hendak membeli rantai itu.

“Kita makan Mc’ Donald, nak?” cadang Azrizal.

Athira menggeleng, tidak mahu. “Tak naklah. Tya nak makan tomyam.”

“Tomyam? Di mana?”

“Di medan seleralah. Atau Riz nak makan Mc’ D?” Athira berasa serba salah pula. Sememangnya Azrizal tidak pernah menolak permintaannya.

“Tak apalah. Riz ikut Tya.”

Mereka melangkah menuju ke medan selera yang terletak di tingkat atas kompleks itu. Ketika menaiki eskalator, Athira sempat memerhatikan pengunjung yang makan di situ. Tiba-tiba matanya menangkap sepasang pasangan yang sedang makan di situ.

“Riz, Fatin dengan Shamsullah.” Athira menuding ke arah suatu meja.

“Mana?” Azrizal melihat ke arah yang dikatakan.

“Tu, di meja sana.”

“Yalah,” ujar Azrizal. Hampir-hampir dia tidak dapat mengecam Fatin kerana di sekolah Fatin memakai tudung tetapi di luar sekolah Fatin tidak memakai tudung. Seperti Athira.

“Jom, kita duduk sekali dengan dia orang!” Athira melangkah menuju ke arah Fatin dan Shamsul, namun dihalang oleh Azrizal.

“Tak payahlah. Lagipun mungkin dia orang cuma nak berdua-duaan.” Azrizal berbisik ke telinga Athira, “Macam kita.” Athira tersenyum. “Kita duduk di sanalah.” Azrizal dan Athira berlalu ke meja lain. Namun mata mereka masih melekat pada pasangan itu.



“DIA ORANG tu bercinta ke?” soal Azrizal sebaik-baik sahaja mereka melabuhkan punggung ke kerusi.

“Tya pun tak tahu. Fatin tak pernah cerita pun,” balas Athira sambil matanya tidak lepas daripada memerhatikan gelagat Fatin dan Shamsul. Kedua-duanya kelihatan mesra.

“Takkan Fatin tak cerita? Tya kan kawan baik dia.” Azrizal seakan-akan tidak percaya. Mustahil Fatin tidak menceritakan apa-apa kepada Athira. Bukankah orang perempuan suka berkongsi cerita dengan kawan mereka mengenai teman lelaki?

“Kalau Fatin cerita, tak adalah Tya terkejut tengok dia orang berdua hari ni. Tapi kalau betullah dia orang tu bercinta, memang Tya kecewa sangat.” Wajah Athira berubah kecewa.

“Kenapa pula Tya nak kecewa?” Azrizal berasa hairan. Takkan Athira ada hati pada Shamsul? Athira cemburu dengan Fatin ke?

“Mestilah Tya kecewa…” Athira memandang Azrizal sebelum menyambung ayatnya, “Tya kecewa sebab Fatin tak beritahu Tya pasal hubungan dia dengan Shamsul.”
Azrizal mengeluh lega. Sangkanya, Athira kecewa kerana sebab lain. Buat saspens sahaja.

“Riz ingat Tya kecewa sebab apa?” Athira sengaja ingin mengusik. Dia suka melihat teman lelakinya itu cemburu. Barulah dia tahu tahap sayang lelaki itu padanya.

“Tak ada apa. Tya nak minum apa?” Azrizal mengubah topik. Tidak mahu Athira tahu yang dia cemburu.

“Jus tembikailah.”

“Makan?”

“Bihun tomyam.”

“Riz pergi belikan ya.” Azrizal bangkit menuju ke arah gerai yang menjual minuman.

Athira pula kembali melihat Fatin dan Shamsul sementara menanti Azrizal membelikan makanan dan minuman. Pandai betul budak ni simpan rahsia. Fatin, Fatin…



Dapatkan novel ini di Kinokuniya (KLCC) dan MPH

Tiada ulasan: