Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 14, 2008

Rantai Rasa Cinta 2

Dua minggu kemudian …

So itu saja. Kita jumpa lagi minggu depan,” pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka itu menamatkan kelas pada pagi itu.

Tidak sampai seminit, kelas itu jadi lengang apabila seorang demi seorang penghuninya meninggalkan tempat itu.

“Zi, kau nak pergi mana lepas ni?” Iznul mendapatkan Nazili yang masih duduk di kerusinya.

“Aku ingat aku nak pergi library kejaplah. Cari bahan,” balas Nazili.

“Wah, bersemangat betul kau ni. Deadline kan lambat lagi.”

“Kau kan tahu aku tak suka buat kerja last minutes?”

Nazili dan Iznul mula berkawan rapat ketika sama-sama melanjutkan pengajian di UiTM Perak tiga tahun lalu. Mereka jadi rapat memandangkan kedua-duanya bersekolah di sekolah yang sama di Kuantan ketika tingkatan empat dan tingkatan lima tetapi berlainan kelas.

Walaupun sering berjumpa semasa matapelajaran Seni Lukis, namun kedua-duanya jarang-jarang bertegur sapa. Dalam setahun, hanya dua tiga kali sahaja mereka bertegur sapa. Bersembang jauh sekali. Itu pun jika ada perkara yang melibatkan tugasan kerja khusus mereka. Sikap Nazili yang pendiam membuatkan Iznul segan mahu menegurnya.

Namun begitu, mereka diberikan kesempatan kedua untuk berkenalan dengan lebih rapat apabila ditempatkan di dalam kelas yang sama ketika pengajian diploma. Ternyata Nazili juga boleh diajak berbual-bual jika kena dengan caranya. Malah setiap kali mereka berjumpa, pasti ada-ada sahaja perkara yang hendak dibualkan memandangkan mereka berkongsi minat yang sama iaitu seni lukis.

“Kau nak pergi mana?” Tanya Nazili pula.

“Tak adalah. Aku ingat nak ajak kau lepak kat kafe bawah. Minum-mnum ke,” ujar Iznul.

“Boleh aja. Jom.”

“Eh, kejap,” Iznul menyeluk poket seluarnya. Telefon bimbit yang bergetar itu dikeluarkan. Melihat sekilas nama si pemanggil yang tertera di skrin sebelum menekan butang jawab.

“Haa… kau kat mana? Aku kat kafe foyer ni. Dengan Nazili.”

Nazili hanya memerhati gelagat Iznul menjawab telefon. Dari cara Iznul bercakap, Nazili dapat mengagak gerangan yang menelefon.

“Azam?” teka Nazili sejurus Iznul mematikan talian.

“A’ah. Sibuk tanya aku kat mana. Tak ada genglah tu. Jom.”


***


Yo, what’s up?” Azam mengambil tempat di sebelah Iznul. “Tak apa ke aku join kau orang ni? Tak mengganggu ke?”

“A’ah. Memang mengganggu. Kau pergi main jauh-jauh boleh tak?” marah Iznul dalam nada yang dibuat-buat. Mengada-ngada betul.

Iznul tahu keakrabannya dengan Nazili membuatkan ramai yang salah faham tentang hubungan mereka berdua. Ramai yang menyangka dia dan Nazili bercinta namun baik Iznul mahupun Nazili kedua-duanya malas hendak ambil pusing mengenai perkara itu walaupun ramai yang tidak percaya apabila mereka memberitahu yang mereka hanya berkawan baik. Dan salah seorang daripada spesis itu adalah Azam.

Azam adalah sepupu Iznul. Ibu Azam merupakan kakak kepada ibu Iznul. Azam tua setahun daripada Iznul dan sekarang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dalam jurusan Kewartawanan di kampus yang sama. Azam turut mengenali Nazili memandangkan Nazili rapat dengan Iznul.

Nama pun couple. Mestilah rapat kan? Pelik betullah dia orang ni. Benda baik macam ni pun nak berahsia. Bahaya tahu berahsia-rahsia ni. Buatnya ada lelaki nak mengorat Nazili ke. Ada pompuan syok kat Iznul ke. Masa tu barulah padan muka kau orang!

“Yalah, aku pergi,” Azam bangkit dari kerusi. Berpura-pura merajuk namun dihalang oleh Nazili.

“Eh, janganlah macam tu. Iznul main-main aja tu.”

“Tahu,” Azam tersengih kemudian duduk kembali. Kurang asam punya sepupu. Aku merajuk pun langsung tak nak pujuk. Nasib baik Nazili tak kejam macam kau.

“Kau jangan percaya sangat dengan Azam ni, Zi. Dia ni memang pandai berlakon,” ujar Iznul. Pelajar Mass Comm kan pandai bermanis mulut lebih-lebih lagi pelajar Kewartawanan macam Azam ni. “Kau balik rumah ke tak ni?”

“Tak kut.”

“Dah agak dah.”

“Macam biasalah,” senyum Azam penuh makna tersirat. “Kau lama lagi ke kat sini?”

“Kejap lagi baliklah. Nazili nak pergi library.”

“Kau tak ikut?”

“Kenapa? Kau ingat aku dengan Nazili tak boleh berpisah ke?”

“Memang pun,” pantas Azam menjawab.

Sejak zaman sekolah menengah, diploma sampai dah masuk degree, asyik jumpa muka yang sama hari-hari. Takkan tak ada apa-apa kut? Bak kata pepatah Jawa tu. Timbulnya sayang kerana terbiasa berdekatan.

“Jeleslah tu,” balas Iznul. Nama pun satu kelas. Mestilah hari-hari jumpa. Itu pun mujur kelas cuma ada hari Isnin sampai Jumaat. Kalau tujuh hari seminggu?

Walaupun sering berjumpa namun entah kenapa hati mereka berdua tidak pernah merasai perasaan nan satu itu ketika bersama. Mungkin sebab sudah lama berkawan dan sudah mengenali hati budi masing-masing, jadi kedua-duanya merasakan mereka berdua lebih sesuai sebagai kawan.

Iznul sendiri tidak menafikan yang Nazili memang seorang gadis yang baik, sopan-santun, lemah-lembut dan penuh adab ketimuran. Namun disebabkan itulah, dia berasakan dirinya tidak layak berdampingan dengan Nazili. Tambahan pula, dia tidak mahu persahabatan yang dijalin menjadi renggang gara-gara timbul ‘sesuatu’ antara mereka.

Bagi Nazili pula, walau sebaik mana sekalipun Iznul melayannya, Nazili hanya menganggap layanan itu sebagai layanan seorang sahabat kepada sahabatnya. Iznul pun tahu yang dia sudah ada seseorang. Bahkan Iznul turut mengenali teman lelakinya itu.

“Tak kuasa aku nak jeles,” bantah Azam. Aku pun dah jumpa seseoranglah.

“Kau nak gerak dah ke?” Tanya Iznul apabila Nazili sudah melihat jam.

“A’ah. Sekarang dah pukul lima lebih. Pukul tujuh library tutup. Aku gerak dululah,” Nazili bingkas.

“K, jumpa esok.”

Azam tersengih-sengih memerhatikan telatah Iznul dan Nazili.

“Apa?” Iznul seakan dapat mengagak apa yang berlegar-legar di benak sepupunya itu.

“Hai, senyum pun tak boleh?”

“Ala… Macamlah aku tak tahu apa yang ada dalam kepala otak kau tu.”

“Ya ke? Terrernya kau,” Azam berlagak kagum.

“Aku memang terrer,” pintas Iznul.


***


Perpustakaan Tun Abdul Razak ataupun nama singkatannya PTAR agak lengang pada petang itu. Awal-awal semester begini memang tidak ramai yang mengunjungi perpustakaan itu.

Bila dah masuk pertengahan semester, barulah keadaan perpustakaan itu terasa sibuk. Sudah menjadi lumrah, pelajar-pelajar memang suka buat tugasan pada saat-saat akhir. Lusa nak submit assignment, hari ni baru terkial-kial nak cari buku padahal assignment itu sudah diberikan beberapa minggu sebelum itu.

Pulak tu ada yang pinjam buku sekali lepas tu terus tak nampak muka sampailah hujung semester walaupun had pinjaman bagi sebuah buku hanya dibenarkan selama dua minggu. Denda akan dukenakan mengikut jumlah hari yang lewat. Kalaulah semua pelajar-pelajar bersikap macam tu, alamatnya memang kayalah pihak perpustakaan.

Namun tatkala pelajar lain bersuka ria sementara menantikan tarikh keramat itu, Nazili pula lebih suka menyudahkan tugasannya awal. Jadi dia tidak perlu berjaga malam semata-mata hendak menyiapkan assignment.

Nazili membelek-belek tajuk-tajuk buku yang tersusun di suatu rak. Tidak susah mahu mencari buku di perpustakaan ini memandangkan pihak perpustakaan sudah menyediakan sistem OPAC. Para pelajar hanya perlu menaip tajuk buku ataupun nama pengarang di komputer dan segala maklumat yang berkaitan dengan tajuk itu seperti rak mana dan status pinjaman akan terpapar di skrin.

Lima belas minit ke pukul tujuh, Nazili selesai mencari buku yang diperlukan. Ada lima buah buku kesemuanya. Walaupun setiap pelajar dibenarkan meminjam maksimum 20 buah buku namun Nazili hanya meminjam sekadar yang termampu dibawanya memandangkan buku-buku itu semua tebal dan berat.

Nazili melangkah ke tingkat bawah bagi urusan pinjaman. Kecanggihan teknologi membolehkan segala urusan dijalankan dengan mudah. Jika dahulu, para pelajar perlu ke kaunter pinjaman bagi urusan pinjaman namun sekarang para pelajar hanya perlu menscan buku di mesin yang disediakan.

Ketika kakinya menapak di anak tangga terakhir, pandangan mata Nazili terpanah pada suatu wajah yang sedang berdiri di kaunter berdekatan dengan pintu masuk perpustakaan.

“Tu macam … Tapi takkanlah?”

Nazili mempercepatkan langkahnya namun pemilik wajah itu berlalu ke luar perpustakaan. Nazili cuba mengejar namun alarm berbunyi memandangkan buku di tangannya belum discan. Nazili terpaksa berpatah semula. Dia mengeluh hampa.


***


Iznul yang baru pulang dari kolej merebahkan dirinya ke sofa. Enak rasanya duduk di kerusi empuk itu. Segala rasa penatnya seakan hilang. Mana tidaknya, setiap hari dia perlu berulang dari rumah saudaranya ke kolej. Walaupun jarak dari rumah itu ke kolej tidak jauh namun tetap memenatkan.

Sedang dia merehatkan diri, seorang wanita yang berusia hampir 50-an muncul dari dalam dan melabuhkan punggung di sebelahnya.

“Iz, sorang aja ke? Azam mana?” tanya wanita itu apabila melihat anak saudaranya itu pulang sendirian tanpa anak lelakinya yang belajar di kolej yang sama dengan Iznul.

Puan Hazwani iaitu ibu Azam dan keluarganya memang menetap di Shah Alam. Apabila mendapat tahu Iznul menerima tawaran pengajian ijazah di Shah Alam, Puan Hazwani dengan senang hati mempelawa Iznul tinggal di rumah mereka sekeluarga.

Tambahan pula, rumah mereka dekat dengan universiti tempat Iznul belajar. Jadi, selain menjimatkan kos pembiayaan asrama dan kos makan, Iznul juga dapat menjimatkan kos minyak untuk ke kolej. Lagipun, rumah mereka pun tiada sesiapa selain Puan Hazwani, suaminya dan Azam.

Puan Hazwani mempunyai tiga orang anak iaitu Asfarina, Azlinda dan Azam. Asfarina dan Azlinda masing-masing sudah berkeluarga dan kini menetap di negeri kelahiran suami mereka. Asfarina di Kangar manakala Azlinda di Terengganu. Azam pula bukannya selalu lekat di rumah. Asyik menghilang sahaja lebih-lebih lagi semenjak semester baru ni.

“Azam lepak rumah Sufian,” balas Iznul.

“Budak ni, itulah kerjanya. Rumah sendiri ada, masih nak lepak rumah orang. Kenapa Iz tak ikut sekali?” tanya Puan Hazwani lagi. Entah apalah yang dibuatnya di sana. Best sangat ke rumah Sufian tu?

“Malaslah. Lagipun Iz penatlah. Kelas dari pagi sampai petang,” ujar Iznul. Kalaulah Mak Long tahu tujuan sebenar Azam suka melepak di rumah Sufian…

“Iz dah makan?” seperti biasa, Puan Hazwani tidak pernah lupa tentang makan minum Iznul. Dia mahu Iznul berasa selesa di rumahnya. Nanti adiknya fikir dia tak bagi anaknya makan pula. Sudahlah badan Iznul memang kurus.

“Belum. Iz balik ni sebab nak makan masakan Mak Longlah,” tiba-tiba Iznul rasa terliur apabila membayangkan masakan ibu saudaranya itu.

Masakan Mak Long memang best! Tak rugi aku tinggal kat sini. Dapat makan sedap. Percuma pula tu!

“Kalau macam tu Iz rehatlah dulu. Kejap lagi kita makan sekali,” Puan Hazwani senang hati Iznul menyukai masakannya.

Puan Hazwani memang suka memasak tapi masakannya selalu sahaja tidak berusik lantaran suaminya sering pulang ke rumah lewat malam manakala Azam pula lebih suka merayau di luar. Mujur Iznul ada. Sekurang-kurangnya dia berasa puas hati kerana ada juga orang yang menghargai masakannya.

“Baik, Mak Long. Iz naik dulu ya,” Iznul menghilang ke biliknya.

“Hish…manalah budak bertuah ni? Dah petang-petang ni masih tak reti-reti nak balik,” wanita itu mengeluh mengenangkan sikap anak lelakinya yang seorang itu.


***


Azam, Sufian, Razlan, Johari dan Azrin memetik-metik gitar sambil bernyanyi kecil di laman rumah teres di Seksyen 7 itu.

“Zam, Zam…” Johari menepuk bahu Azam. Nyanyian Azam dan yang lain-lain terhenti.

“Tu…” Johari menunjuk ke rumah sebelah.

Semua mata tertumpu ke arah seorang gadis yang sedang membuka pintu pagar rumah sebelah.

“Hai, baru balik?” Azam menyapa gadis itu.

“Taklah, baru nak keluar,” balas gadis itu kasar lalu menghilang ke dalam rumah.

“Haa, padan muka kau,” Sufian, Razlan, Johari dan Azrin mentertawakan Azam.

“Apa gelak-gelak?” marah Azam.

“Sudahlah, Zam. Kau kan tahu budak pompuan tu dah ada balak,” ujar Sufian.

“Yalah, Zam. Kau lupakan ajalah niat kau tu. Kau cari ajalah yang lain,” nasihat Razlan pula.

“Betul cakap Yan dan Lan tu, Zam,” Azrin menyampuk. “Cuba kau fikir kalau balak dia tahu kau kacau awek dia. Tak pasal-pasal lebam biji mata kau tu.”

“Aku tak takutlah. Ini Azam tahu,” Azam menepuk dadanya. Pertama kali dia melihat gadis itu ketika minggu orientasi, bagai ada sesuatu yang membuatkan hatinya tertarik pada gadis itu.

Wajahnya ayu. Gayanya lemah-lembut. Pendek kata, sejuk mata memandang. Dia mengambil langkah berani mendekati gadis itu namun sayangnya gadis itu bersikap dingin terhadapnya.

Rupa-rupanya gadis itu sudah mempunyai kekasih hati dan kekasihnya juga belajar di kelas yang sama. Mestilah susah nak mendekatinya memandangkan kekasihnya sentiasa ada bersama.

Apabila mendapat tahu gadis itu menyewa di sebelah rumah kawan-kawannya, dia berasa teruja lantas hampir setiap hari dia melepak di situ semata-mata mahu melihat gadis pujaannya itu.

2 ulasan:

Aishah Hamzah berkata...

ble lg nk smbg nie....x sabar nk bace....

Ilmar Imia berkata...

akan disambung.. pasti! =)