TATKALA terlihat
tren komuter ke Pelabuhan Klang berhenti di platform 5, Aisah mempercepatkan
langkah kakinya menuruni eskalator yang sedang bergerak perlahan. Harap-harap
sempat. Doanya dalam hati.
Namun
pergerakannya tersekat apabila dua orang gadis di hadapannya seolah-olah tidak mahu
berganjak malah rancak bersembang tanpa memikirkan orang yang berada di
belakang mereka.
Isy,
tak reti-reti nak berdiri kat sebelah kiri ke? Rungut Aisah.
Dia
berdoa mudah-mudahan tren komuter itu akan menunggu lebih lama. Jika tidak, dia
terpaksa menunggu setengah jam lagi.
Namun
ternyata nasib tidak menyebelahinya. Dia hanya mampu melihat tren komuter di platform
5 itu berlalu pergi. Dengan perasaan hampa, dia mengambil tempat di salah
sebuah bangku di situ. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangan.
Suatu SMS ditaip dan dikirim kepada suaminya bagi memaklumkan yang dia terlepas
tren komuter.
Selepas
menghantar SMS itu, dia mengerling pada papan yang memaparkan waktu tren komuter
yang seterusnya. Aduh, rasanya dia sudah tidak larat mahu menunggu.
Alangkah
baik jika pejabatnya berdekatan dengan rumahnya. Tidak perlulah dia terkejar-kejar
seperti ini setiap hari. Dari Stesen Kerinchi, dia perlu menaiki LRT ke KL
Sentral. Kemudian, mengambil tren KTM ke Shah Alam.
“Bila awak nak cari kerja di Shah Alam?” Pertanyaan
suaminya berlegar-legar dalam kepalanya.
“Nanti-nantilah,
banyak masa lagi. Bukannya kita nak kahwin sekarang, kan?”
Itulah
jawapannya apabila soalan itu diajukan sebelum mereka berkahwin sebulan yang
lalu.
Sebenarnya
dia sayang akan pekerjaan yang dilakukan sekarang. Kawan-kawan di pejabat pun
semuanya baik-baik belaka. Lagipun, dia tidak yakin dia akan mendapat gaji
seperti sekarang jika dia bekerja di Shah Alam.
Kalau
diikutkan hati, mahu saja dia berhenti kerja tetapi beberapa orang teman
menasihatkan agar dia bersabar dulu.
“Biar penat sikit asalkan duit ada,”
nasihat Akmal, seorang rakannya yang sudah empat tahun berkahwin.
“Kalau kau dah dapat kerja lain,
baru berhenti,” kata Radzuan pula, seorang rakan yang sudah dianggap seperti
abang.
Sedar tidak sedar, sudah hampir
setahun dia bekerja di tempat kerjanya sekarang. Berebut-rebut dan bersesak di
dalam komuter bagaikan sudah menjadi rujinya setiap hari. Namun saat ini dia
mula terasa akan kepenatannya.
Masakan tidak, setiap hari pulangnya
tidak menentu. Jika ada kerja yang perlu disiapkan, dia terpaksa bekerja lebih
masa dan pulang lewat ke rumah. Sebagai seorang isteri, sepatutnya dia yang
pulang dahulu sebelum suaminya agar segala keperluan makan minum suaminya dapat
disediakan.
Dia juga teringin menyediakan
sarapan untuk si suami dan menghantar suami hingga ke muka pintu setiap kali si
suami mahu ke pejabat. Apabila suami pulang dari pejabat, dia dapat
menyambutnya di samping memasak makan malam untuk suami tersayang. Ini tidak,
setiap hari mereka cuma makan malam di luar saja.
Suatu
keluhan dilepaskan. Sampai bila dia harus hidup begini?
BUNYI alarm itu mengejutkannya daripada lena.
Telefon bimbit yang mengalunkan lagu Bangkit daripada Altimet, Salam dan DJ
Fuzz itu dicapai. Jam yang tertera pada skrinnya dilihat. Baru 5.30 pagi. Masih
awal lagi. Justeru, dia mematikan alarm
lalu tidur kembali.
Tepat 6.15 pagi, barulah dia
terkocoh-kocoh bangun. Itu pun selepas berkali-kali dikejutkan oleh suaminya. Mujur
semua tudung dan pakaian untuk ke pejabat sudah digosok siap-siap pada hari
minggu.
Waktu hendak cepat, waktu itulah
tudung hendak buat hal. Aisah merungut dalam hati seraya membetulkan tudung di
hadapan cermin. Selepas memastikan semuanya okey, dia mencapai beg tangan dan
bergegas mendapatkan suaminya yang sudah pun menunggu di dalam kereta.
“Ada apa-apa barang tinggal?” soal
si suami.
Dia menggeleng. Waktu itu sudah
melewati jam 7.00 pagi. Habislah dia sekiranya terlepas tren komuter pada pukul
7.10 pagi. Pasti dia akan terlewat ke pejabat.
Seperti
biasa, selepas menghantarnya ke stesen KTM, suaminya akan ke pejabat yang hanya
terletak di pusat bandar Shah Alam.
Kadang-kadang
dia berasa kasihan terhadap suaminya. Sebagai isteri, dia sepatutnya menyediakan
sarapan untuk suaminya sebelum ke pejabat. Namun atas alasan mencari rezeki di tempat
yang jauh dari rumah, dia tidak pernah berkesempatan melaksanakan tanggungjawab
yang satu itu kerana harus bertolak ke pejabat seusai waktu subuh.
Dia
bersyukur mendapat suami yang memahami. Tetapi usia perkahwinan mereka baru
setahun jagung. Sampai bila suaminya mampu bertahan? Bagaimana jika mereka
sudah mempunyai cahaya mata nanti?
MATANYA sudah hampir
tertutup apabila dia merasakan tubuhnya melayang. Astaghfirullah! Boleh pula
dia tertidur sambil berdiri di dalam tren komuter itu. Dia cuba berlagak
selamba bagi menutupi perasaan malu.
Dia melihat ke bahagian atas pintu
tren komuter tersebut. Tren komuter tersebut baru sahaja melepasi stesen Batu
Tiga. Ada kurang sembilan stesen lagi sebelum tiba di KL Sentral. Kakinya sudah
lenguh akibat berdiri lama. Ditambah pula dengan rasa mengantuk yang menyerang.
Tiba di stesen Subang Jaya, orang
semakin ramai hingga terpaksa berhimpit. Mujur koc itu dikhaskan untuk golongan
wanita sahaja. Wajah seorang wanita yang sedang sarat mengandung mengisi
pandangannya. Dia berasa kasihan melihat wanita itu. Tiada sesiapa pun yang sudi
mengorbankan tempat duduk masing-masing.
Agaknya,
bagaimanakah nasibnya apabila mengandung kelak? Adakah orang yang sudi
memberikan tempat duduk kepadanya? Jika tiada sesiapa yang sudi memberikan
tempat duduk kepadanya, adakah dia larat untuk berdiri sebegitu tiap-tiap hari
untuk pergi dan pulang kerja?
Pandangannya kemudian beralih kepada
seorang wanita yang sedang mendukung anak kecil dalam pangkuan. Seperti wanita
mengandung tadi, tiada sesiapa juga yang sudi memberikan tempat duduk kepada si
ibu ini.
Namun, dia tahu dia tidak boleh
menyalahkan orang-orang di dalam tren ini memandangkan keadaannya yang terlalu
sesak. Mungkin mereka tidak perasan akan wanita mengandung tadi atau ibu yang
sedang mendukung anak kecil ini.
Atas
rasa simpati terhadap wanita-wanita sebeginilah, dia tidak suka berebutkan
tempat duduk di dalam komuter kerana dia tahu ada orang yang lebih memerlukan
tempat duduk tersebut daripadanya. Justeru, dia lebih rela berdiri sahaja.
Pandangannya
kemudian menangkap wajah seorang kanak-kanak yang memakai uniform sekolah
sambil menggalas beg yang kelihatan lebih besar daripada tubuhnya sendiri. Dia
cam akan kanak-kanak itu lantaran kanak-kanak itu sering menaiki tren yang sama
dengannya. Seingatnya, ketika dia menaiki tren dari Shah Alam, kanak-kanak itu
sudah pun berada di dalam tren. Namun ketika dia turun di KL Sentral,
kanak-kanak itu tidak turun.
Jadi,
dia mengagak pasti kanak-kanak itu harus menempuh perjalanan yang lebih lama
daripadanya untuk ke sekolah. Entah di mana sekolahnya, teringin juga dia
hendak bertanya. Mengapa ibu bapanya sanggup menghantar anak mereka bersekolah
di sekolah yang agak jauh? Tidakkah mereka berasa bimbang akan keselamatan anak
mereka?
Tiba-tiba
sahaja dia teringat akan gambar yang pernah dia lihat dalam Facebook dahulu.
Beberapa orang murid sekolah rendah terpaksa meniti jambatan yang hampir roboh
demi menuntut ilmu di sekolah. Tambahan
pula, sungai itu mungkin sangat dalam atau ada buaya yang mendiami di
kawasan berhampiran. Tetapi mengapa mereka sanggup mengambil risiko sebegitu?
Ya,
seharusnya dia bersyukur kerana situasinya tidaklah seteruk seperti yang
dialami oleh kumpulan kanak-kanak itu. Sekurang-kurangnya perjalanan yang harus
dia tempuh untuk ke tempat kerja tidaklah berisiko besar. Dia hanya menaiki
tren komuter dan LRT serta berjalan melintasi jambatan yang kukuh binaannya. Jadi,
mengapa dia masih merungut?
Sedangkan
kanak-kanak yang masih kecil itu pun mampu bertahan menaiki komuter setiap
hari, apatah lagi dia yang sudah berinjak dewasa? Malah, mungkin akan menjadi
ibu suatu hari nanti.
Justeru,
dia harus kuat. Dia harus menjadi contoh kepada anak-anaknya yang bakal lahir
kelak. Dia menanam azam dalam hati, dia akan bertahan selagi rezekinya masih
ada di tempat itu.
Ting!
Tanpa dia sedar, komuter itu sudah pun berhenti di stesen KL Sentral. Sebelum
keluar dari tren, dia sempat melempar pandangan kepada kanak-kanak tadi. Terima
kasih kerana menyedarkan kakak, dik...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan