Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 19, 2008

Cinta Yang Aku Mahu 23

Eisya mengambil tempat di tepi padang itu sambil memerhatikan pelajar-pelajar yang sedang bermain bola sepak di situ. Setiap petang, padang itu tidak pernah lengang daripada dibanjiri oleh pelajar-pelajar kampus yang ingin lari dari dibelenggu soal pelajaran buat seketika.

Selain menyihatkan tubuh badan, aktiviti riadah sebegini juga dapat mengeratkan hubungan dan memupuk semangat berpasukan di kalangan mereka. Suasana petang di situ juga sangat nyaman dan mendamaikan. Sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan.

“Sya!” salah seorang daripada pelajar lelaki yang bermain bola di padang datang menghampiri Eisya yang baru sahaja menapak di situ.

“Dah habis main ke?”

“Rehat kejap. Penat.”

“Nak air?” Eisya menyua sebungkus teh O ais limau kepada pelajar lelaki itu. “Tapi aku dah minum.”

“Tak apa,” pelajar lelaki itu menyambut bungkusan minuman itu daripada Eisya kemudian menjamahnya. Arghhh… Lega rasanya.

Ish… aku pelawa-pelawa ayam aja. Getus Eisya di dalam hati. Eisya memang takkan minum lebih orang melainkan adik-beradiknya.

Pelajar lelaki itu memandang Eisya.

“So, apa cerita?”

Eisya menjungkit bahu.

“Sya tak bagi tahu Danish lagi?”

Eisya menggeleng.

“Belum.”

“Laa… kenapa Sya tak bagi tahu lagi?”

“Sya memang nak jumpa dia tadi tapi tak jadi.”

“Kenapa?”

“Sebab Sya baru tahu yang Syella pun suka kat Danish. Baru tadi Syella bagi tahu.”

“Habis tu apa masalahnya?”

“Wan, Syella tu kawan Sya. Sya tak nak berebut dengan dia. Lagipun Sya tak nak Danish serba salah nanti.”

“Maksudnya?”

“Sya tak nak buat Danish dalam dilema. Lagipun Sya tak sanggup terima kalau Danish pilih Syella nanti. Biarlah Sya undur diri sebelum hati Sya terluka,” luah Eisya. Hati aku dah memang terluka pun.

“Mana Sya tahu Danish akan pilih Syella?”

Eisya terdiam.

“Sya tak yakin dengan diri sendiri?”

Eisya diam lagi. Antara dia dan Syella memang banyak bezanya. Dia gelap, Syella cerah. Dia kasar, Syella lemah lembut. Dia tak reti meminta, Syella pula manja. Pendek kata, Syella mengatasinya dari segala segi. Mestilah Danish akan pilih Syella.

“So, Sya memang takkan cakap dengan Danishlah?”

“Rasanya macam tulah agaknya,” balas Eisya. Dia sanggup mengalah.

“Sya tahu tak kenapa Wan tak nak kita teruskan hubungan kita dulu? Sebab Wan nak Sya bahagia dengan orang yang Sya suka.”

“Wan, Sya tahu niat Wan baik tapi mungkin dah takdir Sya dan Danish takkan bersama.”

“Sya jangan mudah buat kesimpulan. Sya sendiri tak cuba, macam mana Sya nak tahu samada Sya dengan Danish ada jodoh ke tak. Macam ni ajalah, kalau Sya susah sangat nak cakap dengan Danish, biar Wan aja yang cakap kat dia.”

“Eh, jangan Wan! Sya…” Eisya mengeluh. “Dahlah, Wan. Sya dah malas nak cakap pasal ni lagi. Asalkan Sya ada kawan macam Wan pun dah cukup buat Sya. Sya rasa bertuah sangat sebab Wan masih sudi ambil tahu pasal Sya,” Eisya terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Irwan.

Walaupun Irwan tahu yang dia tidak ada apa-apa perasaan kepadanya namun Irwan masih sanggup menunggunya dan apabila Irwan tahu yang dia menyukai orang lain namun Irwan masih mengambil berat perihalnya. Malah hubungan mereka menjadi lebih rapat selepas Irwan memutuskan hubungan cinta mereka.

“Kita kan kawan,” balas Irwan. Dia rela melakukan apa-apa sahaja bagi mengembalikan senyuman di wajah Eisya.

“Kau nak air lagi?” Eisya mengubah topik. Dia tidak mahu terlalu memikirkan hal itu lagi. Ada jodoh, adalah. Kalau tak ada pun, dia redha.

“Aku nak milo ais…” Irwan merengek manja.

“Kau nak ke? Aku pergi beli kejap,” Eisya bangkit untuk membeli minuman kesukaan Irwan itu namun pantas dihalang oleh Irwan.

“Sya, aku main-main ajalah.”

“Tak apa. Aku pergi beli kejap. Patutnya aku beli dua air tadi.”

“Tak payah,” Irwan menarik tangan Eisya. Eisya duduk semula. Bungkusan minuman di tangannya dicapai oleh Irwan.

“Amboi, Wan! Romantiknya. Minum air pun kongsi. Baik betul girlfriend kau ya. Siap datang tengok kau main lagi,” usik seorang pelajar lelaki yang turut bermain bola bersama Irwan tadi.

Eisya tersipu mendengar pujian teman Irwan itu. Irwan pula tidak membantah kata-kata temannya itu. Lagi melebar sengihnya adalah!

Tiada ulasan: