Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Oktober 14, 2011

Cerpen : DREBARKU SAYANG



PINTU kereta Proton Persona silver itu dihempas kuat sebaik-baik sahaja dia melabuhkan punggung di sebelah tempat duduk pemandu. Sengaja ingin menunjukkan perasaan marahnya. Namun belum pun sempat dia mengenakan tali pinggang keselamatan, kereta yang dipandu oleh teman lelakinya itu sudah meluncur laju meninggalkan pusat beli-belah One Utama itu. Hampir sahaja kepalanya terhantuk pada dashboard kereta itu.

Dia menoleh ke arah teman lelakinya. Geram. “Amboi, marah nampak! Siapa yang patut marah sebenarnya ni?” sinisnya. Namun, soalannya itu tidak mendapat respons daripada teman lelakinya. Melihatkan itu, kemarahannya semakin membara. “Saya bercakap dengan awak ni, kenapa awak diam?”

“Boleh tak awak jangan serabutkan kepala otak saya ni lagi? Saya ni dahlah penat bekerja, nak terkejar-kejar ambil awak lagi. Kalau hari-hari macam ni, teruklah saya,” rungut Hezry.

Iyleeya tersentak. “Okey, kalau awak rasa saya ni menyusahkan, lain kali awak tak payahlah ambil saya lagi. Tak payah pedulikan saya lagi.” Iyleeya memeluk tubuh. Nadanya seakan-akan merajuk. Kecik hatinya apabila Hezry menganggapnya sebagai beban. Apa guna ada teman lelaki jika tidak boleh menjemput dan menghantarnya ke mana-mana?

“Tengok tu. Saya cakap sikit, awak merajuk. Saya tegur sikit, awak tarik muncung. Saya ni kan bekerja.” Hezry cuba mengawal kemarahannya.

“Jadi, kerja awak tu lebih penting daripada sayalah ya?” Iyleeya tidak berpuas hati dengan alasan teman lelakinya itu.

“Cubalah awak faham sikit keadaan saya. Saya ni kan bekerja dengan orang. Syarikat tu bukannya syarikat bapak saya yang saya boleh masuk dan keluar ikut sesuka hati,” luah Hezry.

“Habis tu, takkan awak sanggup biarkan saya berhimpit kat dalam bas tu?” Iyleeya masih tidak mahu mengalah. Baginya, tugas menjemput dan menghantarnya ke mana-mana sudah menjadi tanggungjawab Hezry sebagai teman lelakinya. Apa guna ada teman lelaki jika tugas yang mudah itu pun tidak dapat dilakukannya?

“La, buat apa awak nak susah-susah naik bas? Teksi kan berlambak kat One Utama tu?” ujar Hezry separuh menyindir. Adakalanya dia malas hendak melayan kerenah Iyleeya yang terlebih manja itu.

Mata Iyleeya membulat mendengar kata-kata Hezry. Sangkanya, Hezry akan memujuknya. Jadi, tidak perlulah dia menaiki teksi. Bukannya Hezry tidak tahu yang dia tidak suka menaiki pengangkutan awam terutamanya teksi. Dia berasa tidak selamat ekoran banyak kes jenayah yang membabitkan pemandu teksi.

“Sanggup awak biarkan saya naik teksi?” soal Iyleeya, sekadar menduga.

“Kalau awak tak nak naik teksi, lebih baik awak ambil lesen memandu. Nak pergi mana-mana pun senang. Tak adalah menyusahkan orang,” ujar Hezry lagi. Emosinya kurang baik pada hari itu gara-gara tidak tidur semalaman.

“Oo… sekarang baru awak nak cakap saya ni menyusahkan awak?” Iyleeya berasa terkedu mendengar kata-kata Hezry. Sebelum ini tidak pernah pula Hezry merungut apabila diminta menghantar dan menjemputnya di mana-mana. Ke kolej, ke kompleks membeli-belah, ke salon, ke bank. I will be your driver forever lah kononnya, kan?

Namun sejak akhir-akhir ini, Hezry sering sahaja datang lewat daripada waktu yang diberitahu. Tadi pun sudah hampir tiga jam dia menunggu. Manalah dia tidak marah. Sudahlah barang di tangannya banyak. Setakat Damansara Perdana tu, bukannya jauh sangat pun. Iyleeya merenung wajah Hezry yang kelihatan tekun memandu. Benarkah teman lelakinya itu sibuk dengan kerja atau teman lelakinya itu sudah mempunyai perempuan lain?


SETIBANYA di hadapan pagar rumahnya di kawasan perumahan Bayu Damansara, Kota Damansara, Iyleeya terus keluar tanpa sepatah kata. Sekali lagi pintu kereta Proton Persona milik Hezry itu dihempas kuat sebagai tanda yang dia masih marah. Sejurus itu, Hezry terus memecut keretanya berlalu dari situ. Iyleeya berasa hampa kerana Hezry tidak berusaha memujuknya seperti selalu.

Ee, bencinya! Iyleeya menghentak-hentakkan kakinya. Geram benar dia dengan sikap Hezry yang tidak mempedulikannya. Tak apa, tak apa. Awak ingat awak seorang saja ke yang boleh buat tak peduli? Saya pun bolehlah! Jangan harap saya nak telefon awak selagi awak tak minta maaf dengan saya. Kita tengok siapa yang akan mengalah dulu.

Iyleeya berpaling untuk masuk ke dalam pagar rumah apabila tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Jangan-jangan Hezry tak? Tahu pun takut. Iyleeya segera mencari telefon bimbitnya di dalam beg tangan. Namun, air muka yang tadinya berseri-seri kerana menyangka si buah hati yang akan memujuk berubah kelat apabila melihat nama si pemanggil. Walaupun hampa, namun panggilan itu tetap dijawabnya.

“Ha, nak apa?” soalnya sebelum sempat si pemanggil berkata apa-apa, apatah lagi memberi salam.

“Leeya, kau kat mana tu? Aku bosanlah. Jom lepak,” balas si pemanggil.

Iyleeya melihat jam di tangannya. Baru pukul 6.00 petang. Sempat lagi jika hendak keluar. Dia pun tidak berbuat apa-apa. Sejak tamat pengajian di universiti hampir sebulan yang lalu, hidupnya hanya makan, tidur, menonton televisyen, jalan-jalan dan berdating dengan Hezry. Itu pun jika Hezry mempunyai masa untuknya. Jika tidak, terpaksalah dia menghabiskan masanya seorang diri seperti tadi.

“Nak lepak kat mana?” soalnya.

“Mana-manalah. One Utama ke.”

“Alah, aku baru saja balik dari sana. Tempat lainlah.”

“The Curve?”

“Okey tapi kau kena ambil akulah.” Iyleeya mengenakan syarat seperti selalu kerana dia memang tidak suka menaiki pengangkutan awam. Terpaksa menunggu lama dan berhimpit dengan orang yang tidak dikenalinya. Tambahan pula, pengangkutan awam seperti bas dan teksi tidak masuk ke kawasan perumahannya.

“Alah, kau ni asal nak keluar saja, nak kena berjemput. Lecehlah. Kau naiklah teksi,” cadang si teman.

“Kau yang ajak aku keluar, bukan? Kalau kau tak nak ambil aku, tak apa. Tak payahlah keluar.”

“Yalah, yalah. Aku ambil kau. Kau kat mana ni?”

“Kat rumah.”

“Okey, sekejap lagi aku sampai.”


SELEPAS 15 minit menunggu, sebuah kereta MyVi berwarna putih berhenti di hadapan rumah Iyleeya. Iyleeya yang sudah sedia menunggu di ruang tamu rumahnya tadi bergegas keluar sebaik-baik sahaja terlihat kereta itu dan terus masuk ke perut MyVi milik temannya itu.

“Kau buat apa kat One Utama tadi?” tanya Atikah sambil memandu keretanya keluar dari kawasan perumahan tersebut.

“Jalan-jalan,” balas Iyleeya.

“Dengan Hezry?”

“Taklah. Aku seorang saja.”

“Naik apa?”

“Naik keretalah. Hezry hantar.”

“Lepas tu, kau balik naik apa?”

“Dia ambillah.”

“Bertuah betul kau dapat pakwe macam Hezry tu. Tapi Leeya, sampai bila kau nak macam ni? Pergi berjemput, balik pun berhantar. Kau tak nak ambil lesen kereta ke? Baik kau ambil sekarang, masa tengah tak ada apa-apa ni. Dah kerja nanti, susah pula nak ambil,” Atikah sudah mula memberi ceramah tidak berbayarnya.

Dah mula dah perempuan ni. Iyleeya mengomel dalam hati. Dia berasa bosan apabila sering dileteri tentang perkara yang sama berulang kali. Lebih-lebih lagi perkara yang tidak disukainya yakni memandu. Sudah memang dia tiada keinginan untuk mengambil lesen apatah lagi memandu. “Kenapa pula aku kena ambil lesen?”

“Yalah supaya senang kau nak pergi ke mana-mana. Kau tu bukannya muda lagi. Umur dah 24 tahun tapi masih tak ada lesen memandu. Tengok aku, habis sekolah saja terus ambil lesen. Adik aku yang baru umur 18 tahun tu pun dah ada lesen kau tahu?”

“Adik kau, adik kaulah. Aku, aku. Lagipun buat apa aku nak bersusah payah ambil lesen? Hezry kan ada. Dia boleh ambil dan hantar aku,” balas Iyleeya. Isy, kenapalah semua orang sibuk sangat pasal lesen ni? Suka hati akulah nak ambil atau tak. Bukannya wajib pun.

“Hezry? Sampai bila dia boleh jadi drebar kau? Sekarang ni bolehlah lagi. Esok-esok bila dah tua? Aku gerenti lama-lama nanti mesti dia pun malas nak layan kerenah kau. Mana ada lelaki yang sanggup jadi drebar seumur hidup?” Atikah menekan pedal brek perlahan-lahan dan menekan pedal klac sepenuhnya tatkala melihat lampu isyarat menunjukkan lampu merah. Brek tangan ditarik dan tuil gear ditolak ke tahap neutral.

“Ayah aku! Dari dulu sampai sekarang, ayah aku masih setia ambil dan hantar mak aku ke mana-mana saja tahu,” ujar Iyleeya. Terselit perasaan kagum kerana ayahnya tidak pernah sekalipun merungut apabila terpaksa menghantar dan menjemput ibunya ke mana-mana. Malah, ayahnya pasti berasa susah hati jika membiarkan isteri kesayangannya itu menaiki pengangkutan awam.

“Kau yakin ke Hezry tu boleh jadi drebar yang setia macam ayah kau? Zaman sekarang kalau tak ada lesen memandu, susah tahu Leeya. Buatnya masa tu tiba-tiba Hezry kena pergi outstation ke dan kau pula ada kecemasan nak kena pakai kereta. Macam mana?”

“Lampu hijau dah tu,” ujar Iyleeya dengan harapan Atikah tidak meneruskan ceramahnya yang membosankan itu.

Menyedari itu, Atikah pantas melepaskan brek tangan dan masuk gear satu sebelum menekan sedikit pedal pemecut dan sekali gus melepaskan pedal klac perlahan-lahan. Apabila keretanya mula bergerak dengan perlahan, dia melepaskan pedal klac sepenuhnya. Segala-galanya dilakukan dengan pantas. Sambil mengawal stereng, mulutnya masih tetap lancar melontarkan hujah-hujahnya mengenai kepentingan memiliki lesen memandu kepada Iyleeya.

Adakalanya Iyleeya berasa kagum dengan kecekapan Atikah memandu sambil berceloteh tidak sudah. Yalah, mata kena pandang ke hadapan, cermin pandang belakang dan sisi, tangan kena kawal stereng, brek tangan dan signal, manakala kaki pula kena sentiasa bersedia dengan pedal pemecut, pedal klac dan pedal brek. Kadang-kadang pula Atikah masih boleh melayan lagu yang berkumandang di radio keretanya.

Mungkin itulah yang dikata orang, practise make perfect. Pengalaman enam tahun memandu sudah cukup membuatkan Atikah cekap mengendalikan kenderaan empat roda itu. Kadang-kadang Iyleeya berfikir sendiri, mampukah dia melakukannya?



Ketahui sambungannya dalam


Harga RM18.00 tetapi boleh didapati dengan harga RM15.00 (termasuk harga pos) untuk 300 pembeli pertama!

Tempah segera menerusi e-mel

aurorabookstore2@gmail.com

atau

ilmia85@gmail.com


Apa? Macam pernah baca?
Tidak, tidak, tidak... penamatnya tidak sama. Hehehe.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam...brapa mukasurat eh buku ni?
mcm nk bli....tp, best ke? xnk kcewa bila dh bli....

Tanpa Nama berkata...

salam...brapa mukasurat eh buku ni?
mcm nk bli....tp, best ke? xnk kcewa bila dh bli....

Ilmar Imia @ Fathi Ramli berkata...

Waalaikummussalam.

Buku ini dalam 350 muka surat dan sebahagian daripada setiap cerpen dalam buku ini dapat dibaca di blog penulis yang terlibat ya.