Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, September 17, 2012

Cinta Gantung (Bab 4)

Dua bulan yang lalu

DUA wajah di hadapannya itu direnung seperti hendak telan. Pandai benar teman-temannya itu berpura-pura di hadapannya. Membara sungguh rasa hatinya apabila mengetahui perbuatan teman-temannya itu di belakangnya. Tidak disangka teman-temannya itu sanggup memperlakukannya seperti ini. Dia benar-benar berasa dikhianati.
            “Ha, kenapa kau pandang kita orang macam tu? Siapa yang telefon tadi? Serius aje bunyinya,” soal salah seorang daripada temannya yang memakai kemeja kelabu yang dipadankan dengan jean biru dan tudung hitam. Sesekali lehernya dipanjangkan untuk meninjau ketibaan komuter yang menuju ke Pelabuhan Klang.
Pertanyaan Ezlyn itu semakin menambahkan sakit hatinya. Suasana di KL Sentral yang sudah cukup sibuk dan merimaskannya itu dirasakan semakin ‘panas’ apabila melihat sikap selamba dua temannya itu. Seolah-olah mereka tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan kepadanya.
Jika diikutkan hati, mahu saja dia membelasah mereka cukup-cukup. Namun, mujurlah kesabarannya masih ada. Patutlah ketika dia menjawab panggilan telefon itu tadi, kedua-duanya saling berbisik dan tersenyum sesama sendiri. Rupa-rupanya ini kerja mereka! Berkomplot tanpa pengetahuannya.
Afia mendengus geram. Tidak habis-habis dengan projek jodoh mereka. Patutlah mereka asyik tersengih-sengih saja dari tadi. Ee, geramnya!
Afia semakin geram apabila mengingati perkara itu. Sanggup kawan-kawannya membuatnya begini? Kalau ya pun nak kenalkan dia dengan seseorang, mintalah izin dulu. Ini tidak, suka-suka hati mereka saja. Pula tu, lelaki itu kata dia yang mengirimkan pesanan ringkas kepadanya terlebih dulu untuk berkenalan. Malunya dia!
Nasib baiklah lelaki itu tidak mengenalinya. Kalau tidak, kat mana dia nak letak muka? Entah bila masa Ezlyn dan Noni mengirimkan pesanan ringkas itu dengan menggunakan telefon bimbitnya, dia sendiri pun tidak pasti.
Sungguh, adakalanya dia berasa rimas dengan sikap Ezlyn dan Noni yang dirasakan bimbang tidak bertempat itu. Bimbang kerana hanya dia seorang dalam kumpulan itu yang masih belum mempunyai teman lelaki. Dia, tuan punya badan tidak ada apa-apa, mereka pula yang lebih. Bahkan sikap mereka itu seperti mengalahkan emak dan ayahnya pula. Emak dan ayahnya pun tidak sibuk-sibuk nak carikan jodoh untuknya.
Lagipun, bukankah usianya baru 21 tahun? Masih muda dan masih belum tergolong dalam kalangan anak dara tua. Dia pun belum sebegitu terdesak hendak mempunyai teman lelaki. Bukannya dia tak dapat hidup tanpa lelaki. Lainlah jika dia akan mati kalau tidak mempunyai teman lelaki.
Jika perempuan ditakdirkan mati kerana mereka masih belum mempunyai teman lelaki apabila sudah mencecah usia 20-an, pasti dia sendiri yang akan mencari teman lelaki. Tidak perlu menunggu mereka mencari untuknya.
“Ada apa-apa yang kau orang terlupa nak beritahu aku ke, Lyn, Noni?” soal Afia, ingin menduga.
“Beritahu apa?” Ezlyn masih berlagak tidak tahu apa-apa.
“Buat-buat tanya pula!” Suara Afia sudah mula meninggi. Dia tahu mereka berdua tahu apa yang dia maksudkan.
“Dia cakap apa?” Akhirnya Ezlyn mengalah.
Afia merenungnya tajam. Namun renungannya langsung tidak menakutkan Ezlyn.
“Alah, Afia, niat kita orang baik tau. Tak salah bukan kalau kau kenal dengan dia? Lagipun, dia baru aje putus cinta. Kesian dia tau,” tambah Ezlyn.
“Betul tu, manalah tahu dia jodoh kau,” Noni mencelah, sekali gus menyokong perbuatan Ezlyn itu.
“Jodoh?” Afia ketawa yang dibuat-buat.
Ini bukan kali pertama mereka melakukan perkara sebegini kepadanya. Geram juga dia apabila kawan-kawannya itu selalu merasakan yang tindakan mereka itu mulia dan demi kebaikannya. Mentang-mentanglah dia masih belum mempunyai sesiapa sebagai teman istimewa.
Ingat dia terdesak sangat ke nak berpakwe? Kalau setakat nak buat peneman sepi atau pengganti, lebih baik tidak payah! Buang masa saja!
“Bukan ke jodoh dan pertemuan tu kat tangan Tuhan? Jadi, tak perlulah kau orang sibuk-sibuk atau susah payah nak carikan jodoh untuk aku, okey? Aku yakin jodoh aku tetap ada tapi mungkin bukan sekarang,” tegas Afia.
Dia memang tidak pernah suka dengan tindakan kawan-kawannya yang gemar memadankannya dengan mana-mana lelaki itu. Biar betapa hebat sekalipun mereka mencanangkan tentang lelaki itu, hatinya tetap tidak berkenan.
“Yalah, tapi kenalah juga usaha. Takkanlah kau nak membujang sampai tua, bukan?” Ezlyn masih belum berputus asa untuk memujuk Afia.
“Entahnya. Kau tu pun bukannya bercampur sangat dengan orang, apatah lagi dengan lelaki,” Noni menambah.
Mungkin bagi mereka, sikapnya yang tidak gemar bergaul dengan orang terutamanya lelaki itulah yang menyebabkannya tidak mempunyai teman lelaki sampai sekarang. Namun, hanya dia yang tahu apa yang tersirat dalam hatinya. Dia belum bersedia untuk sebarang komitmen.
“Alah, tak rugi pun kalau kau berkawan dengan dia. Dia ni bakal jurutera tau. Sekarang dah tahun akhir. Orangnya pun baik dan prihatin. Beruntung siapa yang jadi makwe dia. Lebih beruntung kalau dapat jadi isteri. Memang rugilah makwe dia tinggalkan dia,” Ezlyn masih belum berputus asa memujuk.
“Amboi, beria-ia benar promosi! Ada apa-apa ke?” sindir Afia.
Sudah dia kata tidak suka, maknanya dia tidak sukalah! Entah mengapalah kawan-kawannya ini tak faham-faham?
“Aku cakap yang betul ajelah. Kalau dia tak baik, tak adalah aku nak padankan dia dengan kau,” balas Ezlyn.
“Kalau dia baik, kenapa makwe dia tinggalkan dia?” soal Afia, sarkastik.
Kalau lelaki itu benar-benar hebat, kenapa teman wanitanya meninggalkannya? Pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu!
“Nak buat macam mana, dah tak ada jodoh kut,” balas Ezlyn selamba.
“Dan aku dengan dia pun belum tentu ada jodoh. Tolonglah jangan paksa aku. Aku tak suka. Bila sampai masanya nanti, adalah...”
Ya, dia percaya setiap orang sudah ditetapkan jodohnya. Cuma cepat atau lambat saja. Lagipun, tidak semestinya kalau kita bercinta dengan seseorang itu, kita akan berkahwin dengan orang itu juga.
Ada orang yang bercinta bertahun-tahun tetapi akhirnya berpisah juga. Ada orang yang bercinta selepas berkahwin tetapi mereka tetap juga bahagia hingga ke akhir hayat.
Apa pun, hatinya masih belum terbuka untuk mana-mana lelaki. Perjalanan hidupnya masih jauh. Masih banyak perkara yang perlu difikirkannya selain daripada memikirkan tentang teman lelaki. Dan buat masa sekarang, dia lebih senang bersendirian.
            “Kalau tak ada?” Ezlyn cuba menduga.
            “Aku rela membujang sampai tua...”


SETIBANYA di stesen komuter Seksyen 19, Shah Alam, Ezlyn dan Noni melangkah keluar dari komuter meninggalkan Afia di belakang. Sudah lumrah apabila bertiga, pasti ada yang tersisih. Namun, Afia tidak pernah kisah akan hal itu kerana sebelum rapat dengan Ezlyn dan Noni pun, dia sudah biasa bersendirian.
Lagipun, perasaan marahnya masih bersisa. Dia benar-benar tiada hati ingin menyertai perbualan mereka berdua yang dari tadi rancak bersembang. Entah tentang apa, dia tidak berminat hendak mengambil tahu. Pastinya tiada lain yang dibualkan selain bergosip.
“Nak naik apa ni? Bas ke teksi?” soal Noni sejurus mereka melepasi mesin pemeriksaan tiket. 
            “Nak tunggu bas, lambatlah,” rungut Ezlyn.
            “Tapi teksi mahal.”
            “Alah, kita kongsilah bayar. Kau ada berapa ringgit?” soal Ezlyn seraya mengeluarkan dompetnya dari saku seluar jeannya.
Noni turut berbuat demikian.
“Afia, kita naik teksi. Kongsi bayar. Okey?”
            “Ha, nak naik teksi ke?” Afia keberatan memandangkan duitnya di dalam dompet tidak banyak. Jika diikutkan, dia tidak kisah menunggu lama asalkan dapat menjimatkan duitnya.
“Alah, sampai Seksyen 2 aje,” balas Ezlyn. Kalau naik teksi sampai ke Puncak Perdana, dia pun tidak sanggup. Mahu berhabis dekat RM30!
“Nanti kejap, aku tengok aku ada berapa ringgit,” jawab Afia.
Seingatnya, duitnya cuma tinggal RM20 saja. Dia memang tidak gemar membawa wang tunai yang banyak. Bimbang akan terbelanja lebih. Namun, jika sudah keluar dengan Ezlyn dan Noni, mahu tidak mahu, pasti perbelanjaannya akan melebihi bajet. Jika dia tidak ikut nanti, mereka kata dia tidak sporting pula. Sudah nasibnya mendapat kawan-kawan yang kuat berjalan.
            “Eh! Mana pula dompet aku ni?” Afia tertanya-tanya sendiri. “Wei, kau orang ada nampak dompet aku tak?”
Afia menyeluk saku seluarnya berulang kali demi memastikan andaiannya. Namun rasanya saku seluarnya tidaklah besar sangat. Sekali seluk, dia sudah pasti dompetnya memang tiada di dalam saku seluar.
“Mana pula dompet aku ni?” tanya Afia sendirian.
            “Kau letak kat mana?” tanya Ezlyn.
“Kat dalam poketlah.”
“Poket kau bocor ke?” tanya Noni pula.
“Tak,” balas Afia.
Memang dia pasti ketika membeli tiket komuter di KL Sentral tadi, dompetnya masih ada kerana dia ingat dia ambil duit dari dalam dompet untuk membayar tiket komuter.
Aduh, macam mana pula boleh hilang ni? Teruklah macam ni. Rungutnya dalam hati.
“Habis, macam mana pula boleh hilang?”
Afia diam. Pertanyaan Noni itu tidak dapat dijawab. Kalau dia tahu, tidak adalah dia menggelabah sebegini.
“Cuba kau periksa betul-betul.” Ezlyn seperti tidak berpuas hati. Dia yakin Afia cuma tersalah letak. 
            “Dah, aku dah periksa. Tak ada,” balas Afia.
            “Dah periksa kat dalam beg?”
Afia juga berharap yang dia cuma tersalah letak dan dompetnya selamat berada di dalam beg sandangnya tetapi seingatnya memang dia menyimpan dompet itu di dalam saku seluarnya. Namun demi menyedapkan dan memuaskan hatinya sendiri, dia memeriksa juga di dalam beg sandangnya. Manalah tahu kalau-kalau dia terlupa yang dia letak dompet itu di dalam beg sandang itu. Tetapi tiada.
            “Aku ingat aku memang simpan kat dalam poket seluar. Mungkin tercicir kat KL Sentral tak?” Afia resah apabila memikirkan kemungkinan itu. Habislah!
            “Habis tu, nak patah balik ke?” soal Noni bersahaja. Jenuh tu! Hendak menunggu komuter sahaja pun sudah memakan masa.
            “Kalau patah balik pun, belum tentu dompet tu masih ada kat situ.” Afia yakin jika mereka kembali ke KL Sentral sekalipun, pasti dompetnya itu sudah lesap. Siapa yang hendak tengok saja duit di depan mata, bukan?
            “Reda ajelah. Banyak tak duit kat dalam tu?” soal Ezlyn persis seorang inspektor polis yang sedang mengambil keterangan saksi.
            “Ada dalam RM20 kut,” jawab Afia.
            “Tak adalah banyak sangat.”
            “Tapi kad pengenalan aku, kad ATM aku…”
Walaupun tidak banyak tetapi tetap duit juga. Boleh buat belanja makan sekurang-kurangnya untuk dua hari. Namun, apa yang paling disayanginya ialah rantai kunci yang digantung pada dompet itu.
Baginya, harga rantai kunci itu lebih mahal daripada harga dompet itu sendiri. Kenangan di sebalik sebuah rantai kunci itu tidak ternilai rasanya. Tidak mungkin dapat diganti dengan apa-apa sekalipun.
            “Esok kita pergi buat yang baru.”
            Pujukan Ezlyn tidak mampu menenangkan hatinya. Dia rasa nak menangis. Macam mana dia nak hidup tanpa kad pengenalan dan kad banknya? Jika hanya salah satunya yang hilang, tidak mengapalah juga. Ini kedua-duanya sekali hilang. Serentak pula tu.
Jika kad bank saja yang hilang, bolehlah juga dia mengeluarkan duit di bank dengan menggunakan kad pengenalan dan jika kad pengenalannya saja yang hilang, dia dapat menggunakan kad banknya untuk mengeluarkan duit di mesin ATM.
Tapi sekarang, dia tak dapat keluarkan duit daripada kedua-duanya! Kalau tak ada duit, macam mana dia nak hidup?


SEJURUS komuter yang menuju ke Pelabuhan Klang di Platform 5 berlalu, seorang pemuda mengambil tempat di salah sebuah bangku di Platform 6. Wajahnya lesu. Sampul surat bersaiz A4 di tangannya ditenung. Suatu keluhan dilepaskan. Masuk kali ini, sudah empat kali karyanya itu ditolak oleh empat buah syarikat penerbitan yang berlainan sampaikan dia berasa hendak berputus asa saja.
Dia melangkah ke arah tong sampah berhampiran lantas sampul surat bersaiz A4 itu dihumbankan ke dalam. Namun sesaat kemudian, dia mengambil sampul surat bersaiz A4 itu kembali.
Ketika dia ingin berpaling, kakinya terpijak suatu benda yang lembut. Dia mengalihkan kakinya. Rupa-rupanya sebuah dompet. Ingin sahaja dia berbuat-buat tidak nampak tetapi entah mengapa seperti ada suatu kuasa yang mengarahkan tangannya supaya mengambil dompet itu.
Dia mengamati dompet itu sambil berkira-kira sama ada ingin membiarkan dompet itu di situ atau sebaliknya. Mungkin pemiliknya akan kembali ke situ untuk mencari dompetnya. Atau mungkin dia patut menyerahkan dompet itu kepada kakitangan stesen komuter di situ. Ya, mungkin itu jalan yang terbaik.
Namun baru saja dia hendak berbuat demikian, komuter yang menuju ke Seremban sudah pun tiba. Mengenangkan dia sudah tidak sanggup hendak menunggu komuter yang seterusnya, maka tanpa berfikir panjang, dia membawa dompet itu bersamanya ke dalam komuter.
Ketika berada di dalam komuter, barulah dia terfikir hendak melihat kad pengenalan pemilik dompet itu atau apa-apa saja dokumen yang dapat digunakan untuk mengesan pemiliknya. Dia pasti pemiliknya pasti berada di kawasan sekitar sahaja. Jadi, dapatlah dia memulangkan dompet itu kepada pemiliknya.
Namun apabila dia melihat kad pengenalan si pemiliknya, dahinya berkerut. Alamat yang tertera pada kad pengenalan itu adalah di Kuantan, Pahang. Jadi, macam mana dia nak pulangkan dompet itu kepada pemiliknya?

Tiada ulasan: