Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Julai 02, 2011

Kugiran SMART (Bab 9)

“YES! Akhirnya, berjaya juga! Kau orang, aku dah berjaya upload lagu kita di Facebook!” teriak Shamsul.

Namun, tiada sebarang jawapan daripada ketiga-tiga rakannya.

“Kau orang!” Shamsul berpaling ke belakang. Ingin melihat apa yang sedang dilakukan oleh kawan-kawannya itu sehinggakan tiada sebarang bunyi langsung.

Sebaik-baik sahaja dia berpaling, dia tergamam apabila melihat adegan yang terbentang di hadapan matanya. Di atas katilnya, Azrizal, Shafik dan Iqbal sedang berbaring dan tidur dengan nyenyak. Bukan main syok lagi mereka memeluk bantal-bantalnya. Mentang-mentanglah tilam katilnya itu empuk dan banyak bantal.

Shamsul melihat digit waktu yang tertera pada skrin komputer ribanya. Sudah hampir pukul 2.00 pagi. Patutlah dia berasa mengantuk yang teramat. Badannya juga kepenatan akibat sepanjang hari duduk di kerusi manakala matanya sudah terasa berat untuk dibuka. Alangkah indahnya jika tatkala itu dia dapat berbaring di atas tilam yang empuk. Namun apabila dia terlihat akan aksi mereka bertiga di atas katilnya, rasa mengantuknya mati. Jika mereka tidur di atas katilnya, di mana pula dia hendak tidur nanti?

Shamsul segera bangkit dari kerusi dan menghampiri katil. “Ewah, ewah, sedapnya dia tidur... Ball, bangun.” Shamsul menepuk kaki Iqbal yang berbaring di tepi sekali. Namun Iqbal langsung tidak memberikan sebarang tindak balas. “Tidur mati ke dia ni?”

Melihatkan itu, dia mengejutkan Azrizal yang berbaring di antara Iqbal dan Shafik pula. “Riz...” panggilnya sambil menepuk-nepuk tangan Azrizal.

Berbeza dengan Iqbal yang tidur mati, sekurang-kurangnya Azrizal memberikan respons dengan menepis tangan Shamsul yang disangkanya nyamuk. Kemudian, dia mengubah posisinya dengan mengiring ke arah Shafik.

Shamsul mengetap bibir. Dia mengejutkan Shafik pula. “Chap, bangun. Aku pun nak tidur.” Matanya sudah layu.

Tiba-tiba Shafik bangkit duduk sambil mengomel sesuatu. Apabila menyedari Shamsul di hadapannya, dia berkata, “Ha, Sham. Tak tidur lagi ke?” Selepas itu, dia kembali berbaring dan memejamkan mata.

Shamsul mengurut dada. Hampir gugur jantungnya dek kerana terkejut dengan kelakuan Shafik yang tidak dijangkanya itu. Sangkanya, Shafik sudah sedar. Rupa-rupanya temannya itu hanya mengigau. Tetapi, benarkah itu Shafik? Entah-entah... Shamsul menggeleng. Cuba mengusir andaian yang bukan-bukan.

Walaupun rumah itu mempunyai bilik tidur untuk tetamu, namun dia tidak mahu tidur di bilik itu. Tilam di bilik itu tidak seempuk tilam katilnya. Lagipun, bukankah ini biliknya? Sepatutnya mereka bertiga yang tidur di bilik tetamu itu. Bukannya dia. Silapnya juga kerana tidak memberitahu kepada mereka tentang bilik tetamu itu. Tetapi manalah dia tahu mereka bertiga akan bermalam di rumahnya malam ini. Mereka juga tidak bertanya.

Sanggup mereka membiarkannya bertungkus lumus di hadapan komputer riba seorang diri? Kata berkumpulan, tetapi dia seorang sahaja yang membuat kerja sedangkan mereka bertiga bersenang-lenang di atas katilnya.

Melihatkan ketiga-tiga mereka tidak mahu bangun, Shamsul tiada pilihan lain melainkan...

“Yaa...” Dia menghempapkan tubuhnya di atas mereka bertiga.



MATA Puan Kamariah membulat sebaik-baik sahaja pintu bilik anak bujangnya itu dibuka. Mengucap panjang dia dibuatnya. “Astaghfirullah al-Azim...”

Pada mulanya, dia meragui matanya. Mungkin dia yang tersilap lihat. Namun, rasanya tidak. Sudahnya, dia hanya mampu menggeleng melihat gelagat empat anak muda yang terbaring di hadapannya ini. Entah mengapalah empat anak muda di hadapannya ini sanggup berhimpit tidur di atas satu katil. Punyalah banyak bilik di rumahnya ini tetapi mereka tetap mahu berhimpit.

“Sham, bangun!” Puan Kamariah mengejutkan anaknya. “Sham, bangun solat subuh.”

Mata Shamsul terbuka sedikit, kemudian terpejam semula. Puan Kamariah berasa geram kerana Shamsul liat hendak bangun. Biasanya, Shamsul tidak perlu dikejut. Dia terus menepuk-nepuk kaki Shamsul. Dia tidak mahu Shamsul terlewat mengerjakan solat subuh.

Akhirnya, selepas berkali-kali dikejut, barulah mata Shamsul terbuka sepenuhnya. Namun sebaik-baik sahaja matanya terbuka, dia terkejut melihat apa yang berada di hadapannya lalu menjerit, “Mak, hantu!”

“Hei, hantu apa? Ini mamalah.” Puan Kamariah mengurut dada apabila tiba-tiba sahaja Shamsul menjerit.

Shamsul mula tersedar. Rupa-rupanya itu adalah ibunya yang sedang memakai telekung berwarna putih. Shamsul menarik nafas lega.

“Dah subuh ni. Bangun. Kejutkan dia orang sekali,” pesan Puan Kamariah sebelum dia berlalu meninggalkan bilik itu.

Shamsul terkedu. “Hah, kejutkan dia orang?”

Shamsul memandang ketiga-tiga rakannya yang sedang tidur di atas katilnya itu. Serta-merta kejadian semalam terbayang dalam kepalanya. Oh, tidak! Dia tidak sanggup hendak mengejutkan mereka bertiga lagi!



GAGANG telefon itu dihempas. Rasa geram dan sakit hati mula merajai hatinya. Tidak pasal-pasal gagang telefon yang tidak bersalah itu yang menjadi mangsa.

“Isy, manalah dia pergi ni? Semalam kata nak telefon. Tak ada pun,” rungut Athira sendirian.

Satu hari dia menunggu panggilan daripada Azrizal semalam tetapi sampai sekarang Azrizal langsung tidak menghubunginya seperti yang dijanjikan. Adakah Azrizal terlupa? Bagaimana sekiranya itu hanya alasan Azrizal untuk menjauhkan diri daripadanya? Tetapi mengapa pula Azrizal hendak menjauhkan diri daripadanya? Bukankah Azrizal sendiri yang bersetuju untuk menerimanya kembali?

Athira berasa tidak sedap hati apabila memikirkan kemungkinan itu. Dia cuba memadamkan suara-suara negatif itu tetapi tidak berjaya. Dia sendiri dapat merasakan yang layanan Azrizal kepadanya sudah berubah sejak akhir-akhir ini. Tidak semesra dahulu. Malah, Azrizal sudah jarang-jarang menghubunginya.

Jika dahulu dia tidak perlu sibuk-sibuk menghubungi Azrizal kerana Azrizal yang akan menghubunginya setiap malam. Sekarang, jangankan kata hendak menelefon, hendak berjumpa pun payah. Padahal waktu mereka masih bersekolah dahulu boleh pula berjumpa setiap petang walaupun mereka sudah berjumpa di sekolah sampaikan tidak mahu berenggang langsung.

Dia rindu hendak menghabiskan masa bersama Azrizal seperti dahulu. Duduk berkurung di dalam rumah ini pun bukannya boleh mendatangkan apa-apa hasil. Sudahlah ibunya tidak membenarkannya bekerja. Jika tidak, pasti hidupnya tidak sebosan ini. Ah, dia benar-benar berasa tertekan!

Gagang telefon itu dicapai lagi lantas nombor telefon yang sudah terhafal di mindanya didail sekali lagi. Namun seperti tadi, panggilannya tetap tidak berjawab. Ke mana pula Azrizal pergi pagi-pagi begini?



TENGAH hari itu mereka bertiga berkumpul semula di rumah Shamsul selepas puas membalas dendam menggantikan tidur mereka yang terganggu pagi tadi lantaran dibangunkan seawal subuh. Manalah mereka biasa bangun seawal pagi itu. Waktu sekolah dahulu pun sesuka hati mereka sahaja hendak bangun pukul berapa.

Ekoran mereka terlalu liat hendak bangun, ayah Shamsul, Tengku Baharin menyimbah air ke muka mereka bertiga. Terkulat-kulat mereka dibuatnya. Justeru, mereka bertiga sepakat tidak akan bermalam di rumah Shamsul lagi.

Namun yang pastinya, mereka gemar bertandang ke rumah Shamsul pada waktu tengah hari. Maklumlah dapat makan percuma. Jimat duit. Tambahan pula, masakan ibu Shamsul sangat sedap sehingga membuatkan mereka makan lebih banyak daripada biasa. Dan apabila perut sudah kenyang, perasaan malas mula menguasai diri. Masing-masing terduduk kemalasan di atas katil Shamsul sementara menunggu Shamsul membuka laman sosial Facebook.

Mereka bertiga berasa teruja apabila Shamsul memberitahu yang lagu pertama ciptaan mereka sudah berjaya dimuat naik ke laman sosial itu. Namun dalam masa yang sama mereka turut berasa berdebar-debar menantikan sebarang maklum balas daripada orang ramai yang mendengar lagu mereka itu. Namun begitu, mereka juga tahu yang mereka tidak harus terlalu berharap seperti kali pertama mereka mewujudkan fan page itu. Takut nanti mereka juga yang kecewa apabila sasaran mereka tidak seperti yang diharapkan.

“Wah!” teriak Shamsul sebaik-baik sahaja fan page mereka mengisi skrin komputer riba di hadapannya.

“Hah, kenapa?” soal Shafik cemas.

Azrizal dan Iqbal turut tertumpu ke arah Shamsul. Ingin tahu apa yang berlaku sampaikan Shamsul berteriak begitu.

“Jumlah like fan page kita dah bertambah sebanyak tiga orang,” terang Shamsul.

“Cis, ingatkan 30 orang!” sindir Shafik.

“Ada orang komen lagu kita tak, Sham?” tanya Azrizal. Dia teringin hendak tahu sebarang komen tentang lagu ciptaannya itu.

“Belum ada lagilah. Baru lagi kut. Kita tunggulah sehari dua lagi,” balas Shamsul.

Sehari dua? Satu jam sahaja pun dia sudah terasa seperti setahun. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia berasa hilang semangat.

Tiada ulasan: