Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 07, 2008

Cinta Yang Aku Mahu 11

“Dan, Wan mana? Dah dua hari dia tak datang kelas. Takkan dating sampai tak ingat kelas kut?” Eisya bertanya kepada Danish.

Sudah dua hari Irwan tidak masuk kelas. Sejak Eisya memberitahu perihal Nabila, hubungan Eisya dan Irwan sudah tidak semesra dulu.

Takkan marahkan aku sampai tak nak tengok muka aku langsung? Kalau tak nak percaya pun tak apalah tapi janganlah sampai tak datang kelas. Walaupun hatinya masih marah dengan sikap Irwan yang tidak mempercayainya tentang Nabila, namun Irwan tetap sahabat baiknya sampai bila-bila.

“Irwan demam,” ujar Danish.

Irwan demam? Alamak! Menyesal aku tuduh dia tadi. Berdosanya aku.

“Demam? Teruk ke?”

“Teruk jugalah sampai tak larat nak bangun. Makan pun tak. Asyik tidur aja,” cerita Danish.

“Dah pergi klinik ke belum?”

“Irwan nak pergi klinik? Dia kan takut makan ubat.”

“Kau paksalah dia. Kalau tak, bila nak baiknya?”

“Dia tak nak. Dia tu kan degil.”

Haish! Apalah nak jadi dengan mamat tu? Dah tua-tua bangka pun masih takut nak jumpa doktor. Kalau kau ada kat depan aku sekarang, tahulah apa aku nak buat. Tiba-tiba Eisya mendapat idea.

“Dan, kau bawa aku jumpa Irwan sekarang,” pinta Eisya.

“Laa… Kan aku dah cakap tadi Irwan tak larat nak bangun jadi macam mana dia nak jumpa kau?”

“Bila masa pulak aku suruh dia jumpa aku? Aku yang nak jumpa dia.”

“Maksud kau?”

Eisya memandang Danish dengan suatu pandangan yang mengandungi makna tersirat.


***


“Kau orang ni kenapa? Kan aku dah kata aku tak nak pergi,” Irwan marah-marah apabila dipaksa ke klinik. Eisya dan Danish menahan sebuah teksi dan memaksa Irwan masuk. “Aku nak turun!”

“Orang sakit tak berhak bersuara!” ujar Eisya tegas.

Irwan diam. Dia memandang Eisya. Ingatkan dah tak nak ambil tahu pasal aku. Petang tadi, sedang enak dia berbaring di katil, kedengaran suara bising-bising di luar. Rupa-rupanya kecoh asrama mereka apabila Eisya masuk ke situ.

Berani betul minah ni. Tapi dalam hatinya Irwan terharu melihat Eisya sanggup mencarinya di bilik semata-mata mahu membawanya ke klinik. Bukan macam Bella.

Aku tak telefon dia dua hari pun, dia tak tanya. Betul ke dia tu sayangkan aku? Betul ke cakap Eisya dan Danish yang perempuan tu cuma nak gunakan aku?

“Aku tak naklah. Aku bukannya makan pun ubat tu. Nanti membazir aja,” ujar Irwan ketika dia, Eisya dan Danish menunggu giliran untuk berjumpa doktor di klinik.

“Tak apa. Bukannya kena bayar pun,” balas Eisya.

“Tapi…”

“Mohd Irwan Shafris…”

“Haa tu nama kau. Jom,” Eisya menarik lengan Irwan.

“Aku tunggu sini,” Danish hanya menunggu di luar.

Selepas mengambil ubat, Eisya, Irwan dan Danish pulang ke asrama semula dengan menaiki teksi. Eisya dan Irwan duduk di tempat duduk belakang sementara Danish duduk di hadapan.

Dalam perjalanan itu, Irwan terlena di bahu Eisya. Eisya serba salah untuk mengalih kepala Irwan. Tiba-tiba dia berasa simpati melihat keadaan Irwan yang lemah itu. Akhirnya dibiarkan sahaja Irwan terlentok di bahunya.

Danish yang duduk di tempat duduk hadapan hanya menjeling di balik cermin. Hatinya cemburu melihat adegan itu.

Tiada ulasan: