MATANYA
ralit memandang skrin komputer riba yang memaparkan video klip dari laman
YouTube sambil tangannya mencapai kentang goreng di dalam piring yang
diletakkan di sebelah komputer riba itu lalu dicicah dengan sos cili bercampur
mayonis yang diletakkan di dalam bekas kecil sebelum dikunyah perlahan.
Habis
satu, satu lagi disuap ke mulut.
Nikmat
betul. Mujur ada sos cili. Kalau tak ada sos cili, memang dia tak lalu makan. Makan
apa-apa pun wajib ada sos cili. Ayam goreng ke, nugget ke, cucur ke atau telur
goreng sekali pun, sos cili kena ada.
Tiba-tiba
piring itu dirasakan kosong. Dia melihat piring tersebut.
La,
dah habis rupanya.
Nampak
sangat sudah lama dia menunggu.
Dia
mencapai gelas yang berisi Milo ais dan menjamahnya. Sesekali matanya meliar ke
sekeliling. Takut-takut dia tidak menyedari akan kedatangan orang yang
ditunggu.
Namun,
masih tiada tanda-tanda orang yang ditunggu akan muncul. Dia kemudian kembali
memberi tumpuan kepada komputer riba di hadapannya.
“Budak
ni reti tengok jam ke tak? Dah pukul berapa ni, tak sampai-sampai lagi?” rungut
Elfira.
Dia
benci betul dibiarkan menunggu begini. Tidak pasal-pasal, waktunya terbuang
begitu saja. Kalau dia tahu macam ni, lebih baik dia tak payah datang awal
tadi.
Namun,
dia bukanlah jenis manusia yang suka membuat orang menunggu. Dia seorang yang
menepati masa. Justeru, dia tidak suka dengan orang yang tidak menepati masa.
Mujur dia masih dapat melayari Internet untuk mengisi masa.
Sabar,
El.
Sabar.
Anggap
sajalah ini pertemuan terakhir kau dengan dia. Lepas ni, kau tak perlu
‘terikat’ dengan dia lagi. Apa nak jadi pada dia nanti, lantak dialah. Bukan
urusan kau.
Sedang
dia merungut seorang diri, orang yang ditunggu pun muncul.
“Ha, lambat!” marah Elfira sebaik-baik saja orang yang ditunggu muncul di depan
mata.
“Sorry...” ucap Danish pendek lalu melabuhkan
punggung di kerusi sebelah Elfira.
“Sorry naik lorilah. Awak tengok ni, dah habis
sepiring kentang goreng saya bedal baru awak sampai. Nampak tak betapa lamanya
saya tunggu awak? Lain kali kalau nak datang lambat ke apa ke, beritahulah. Ini
senyap aje. Bazir masa saya aje,” Elfira menghamburkan peluru amarahnya.
Entah
mengapa apabila dengan Danish saja, dia jadi kuat membebel dan selalu
marah-marah begitu. Biasanya nak bercakap sepatah perkataan dengan orang yang
dia tidak biasa pun susah. Mungkin kerana sikap Danish yang pendiam dan tidak
melawan membuatkan dia ‘ringan mulut’.
Nasib
kaulah, Danish. Siapa suruh buat pasal dengannya?
“Macam
mana saya nak beritahu awak kalau nombor telefon awak pun saya tak ada?” tanya
Danish, masih dengan wajah yang tenang. Langsung tidak membalas kata-kata Elfira
dengan amarah juga. Api yang membara, usah dilawan dengan api.
Elfira
terdiam.
Betul
juga cakap Danish tu. Mereka mana ada menyimpan nombor telefon masing-masing.
Dia tak teringat langsung nak mintak nombor telefon Danish dan Danish juga tak
pernah meminta nombor telefonnya.
Rasanya
tiada sebab untuk dia menyimpan nombor telefon Danish. Bukankah mereka boleh
berjumpa di fakulti pada bila-bila masa saja?
Itu
pun kalau Danish rajin datang ke kelas.
Kalau
tak?
Ini
pun mujur Danish masih mengingati janji yang dibuat seminggu yang lalu. Kalau
tak, memang jadi tunggullah dia menunggu di kafeteria ini. Lagipun, lepas ni
mereka takkan punya apa-apa urusan lagi. Jadi, tak perlu kut mereka
bertukar-tukar nombor telefon. Fikir Elfira.
“Nah!”
Danish menghulurkan pendrive kepada Elfira.
Elfira
mengambilnya tanpa sepatah bicara lalu dicucuk kepada komputer ribanya.
“Yang
ada tulis ‘web Dr. O’ ni ke?” tanya Elfira.
“Haah,”
jawab Danish pendek.
“Awak
nak minum ke?”
“Tak
kut. Saya ada hal lepas ni.”
“Okey.”
Elfira sembunyi senyum.
Baguslah.
Dia sendiri pun malas nak berlama-lama dengan Danish. Tak ada modal nak
berbual. Lebih baik dia balik ke bilik saja. Tidur. Sudah beberapa hari dia tak
cukup tidur gara-gara menyiapkan assignment. Fikir Elfira.
Setelah
selesai menggabungkan bahagiannya dengan bahagian Danish, mereka terus bergerak
ke bilik Dr. O untuk menghantar tugasan mereka itu.
“MERDEKA!” Elfira
menjerit sambil mengangkat kedua-dua tangan sejurus dia dan Danish selesai
menghantar tugasan kepada Dr. O.
Walaupun
suaranya tidak terlalu kuat dan hanya dapat didengari oleh dirinya saja tetapi
tetap menarik perhatian beberapa orang pelajar yang lalu di situ.
Namun, dia tak peduli.
Yang
penting, hatinya gembira. Gembira kerana akhirnya dia tidak perlu lagi
memikirkan tugasannya bersama Danish. Rasanya macam dah lama dia tak segembira
ini. Seolah-olah membuat tugasan bersama Danish merupakan suatu perkara yang paling
malang sepanjang dia belajar di universiti itu.
Dia
mengeluarkan telefon bimbit daripada poket seluarnya. Suatu nombor didail.
Tiba-tiba dia rasa nak belanja orang makan pula.
“Gee, malam ni kita makan kat kafe
ya. Aku belanja,” ajaknya dengan suara yang ceria.
“Amboi, cerianya suara! Ada apa-apa
ke?” sahut Fauziah di hujung talian.
“Tak ada apa. Saja nak meraikan
‘kemerdekaan’ aku,” balas Elfira bersahaja.
Pasti
Fauziah hairan kerana sejak seminggu yang lalu, hidupnya seakan-akan hilang seri
apabila diberitahu yang dia kena berpasangan dengan Danish. Macam orang kena
kahwin paksa pulak. Muram saja sepanjang hari.
Nasib
baik dia bijak. Kalau tak, hari-hari dia kena berdepan dengan Danish yang ‘sunyi’
itu.
“Merdeka? Merdeka apa ni? Bulan Ogos
lambat lagilah,” ujar Fauziah pelik.
“Bukan merdeka tulah. Nantilah aku
cerita. Jangan lupa tau malam ni. Jumpa kat kafe tau,” Elfira mengingatkan
sebelum mematikan talian.
Dia
melangkah meninggalkan bangunan itu sambil tersenyum ceria. Dalam kepalanya
sudah terbayang menu apa yang nak dimakan malam ini. Asyik makan di dewan makan
saja pun bosan juga. Sesekali nak juga dia merasa makanan ‘mewah’ di kafeteria.
Dia langsung tidak teringatkan Danish yang bersamanya tadi.
1 ulasan:
Menarik
Catat Ulasan