Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Jun 01, 2010

Pemuja Rahsia (Bab 4)

“KENAPA teruk sangat markah ujian Fizik Rina ni?” Encik Khalid menghempas kertas ujian itu di hadapan Krisya Norsabrina.

Krisya Norsabrina tunduk. Diam tidak menjawab. Kalaulah tidak kerana kertas ujian itu memerlukan tandatangan ayahnya, pasti dia tidak akan menunjukkan kertas ujian itu kepada ayahnya.

“Rina tak buat ulang kaji ke?” soal Encik Khalid lagi.

Krisya Norsabrina diam lagi.

“Malam-malam Rina buat apa?”

“Rina… erm… err…” Krisya Norsabrina teragak-agak hendak menjawab.

“Main Internet, kan?” Encik Khalid mula bertegas. Dia tidak mahu Krisya Norsabrina terlalu leka dengan kebebasan yang mereka suami isteri berikan. Bebas tidak bermakna Krisya Norsabrina boleh berbuat apa-apa saja tanpa sekatan. “Abah tak marah kalau Rina nak bersembang kat Internet ataupun nak buat apa-apa pun dalam Internet tu tapi pelajaran jangan terabai. Rina faham tak maksud abah?”

“Faham, abah.”

Deringan telefon di ruang tamu menyelamatkan Krisya Norsabrina daripada terus dimarahi oleh ayahnya. Krisya Norsabrina dan ayahnya saling berpandangan.

“Helo, nak cakap dengan siapa? Krisya?” Encik Khalid menjawab panggilan telefon itu sambil matanya tajam merenung anaknya. “Siapa ni? Ada apa awak nak cakap dengan dia? Kat sekolah tak boleh cakap ke?”

Krisya Norsabrina menelan air liur. Pasti Mon yang menelefonnya. Kesian Mon. Tak pasal-pasal kena marah dengan abah.

“Kalau Rina tak skor dalam trial SPM nanti, abah ambil balik broadband tu!” Encik Khalid menyambung ceramahnya sebaik-baik saja gagang telefon diletakkan.

Krisya Norsabrina terkedu. Abah nak ambil broadband aku?





“HAI, awal pula kau hari ni?” sapa Jasmin sebaik-baik saja Krisya Norsabrina terpacul di kelas pada pagi itu.

Krisya Norsabrina tidak menjawab. Dia terus melabuhkan punggung ke kerusi.

“Kenapa ni? Monyok aje.”

“Aku kena marah dengan ayah aku semalam,” ujar Krisya Norsabrina.

Jasmin mula teringat akan kejadian semalam ketika dia menelefon ke rumah Krisya Norsabrina. Ayah Krisya Norsabrina yang menjawab panggilannya. Garang betul suaranya waktu itu sampaikan dia sendiri pun naik kecut.

Tapi bukan ke selalunya ibu Krisya Norsabrina yang menjawab panggilan telefon daripadanya memandangkan dia menelefon pada waktu pejabat? Krisya Norsabrina juga sudah memberi amaran supaya tidak menelefonnya pada waktu malam memandangkan ayah Krisya Norsabrina sudah tentu berada di rumah pada waktu itu.

“Patutlah monyok semacam. Kau kena marah sebab aku telefon kau petang semalam, ya?” Perasaan bersalah menghinggapi Jasmin jika benar dia yang menyebabkan Krisya Norsabrina dimarahi oleh ayahnya semalam.

“Taklah. Bukan sebab kau. Aku kena marah dengan ayah aku sebab markah ujian semalamlah. Kau tahu ayah aku ugut nak ambil balik broadband aku kalau aku tak skor dalam trial nanti,” adu Krisya Norsabrina. Ambil broadband? Mana boleh! Aku takkan benarkan perkara tu berlaku!

“Patutlah. Tapi bukan ke waktu-waktu macam tu biasanya ayah kau belum balik rumah lagi? Takut betul aku dengar suara ayah kau. Aku ingatkan aku yang salah nombor.”

“Aku pun tak tahu. Tiba-tiba aje semalam ayah aku balik awal. Macam dia tahu aje aku dapat markah ujian semalam.”

“Tulah firasat seorang ayah kut.”

“Yalah sangat!”

Jasmin tertawa.

“Alah, tu kan semalam punya cerita. Tak payah difikirkan sangatlah. Baik kita bercerita pasal rombongan ke Kuala Lumpur tu. Kau nak pergi ke tak?” Jasmin menukar topik. Kalau dilayan marah Krisya Norsabrina, alamatnya tujuh hari tujuh malamlah perkara itu menjadi topik perbualan mereka.

Krisya Norsabrina memang seorang yang pendendam tetapi bukanlah pendendam yang berbahaya. Pendendam di sini maksudnya dia akan ingat perkara yang membuatnya tidak senang itu dalam jangka masa yang lama. Perkara yang berlaku semalam pun boleh terbawa-bawa hingga ke esok lusa.

“Malaslah,” balas Krisya Norsabrina. Asal buat rombongan aje, Kuala Lumpur. Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Bukan ke banyak lagi negeri lain kat Malaysia ni? Cuba sesekali buat rombongan pergi Perlis ke, Terengganu ke. Tak pun, Sabah. Syoklah juga. Ni kalau setakat Kuala Lumpur tu, bila-bila masa pun boleh pergi. Tak payah nak tunggu sekolah buat rombongan.

“Alah, kalau kau tak pergi, nanti aku tak ada kawanlah,” Jasmin cuba meraih simpati Krisya Norsabrina untuk turut serta dalam rombongan itu.

Sudah lama dia menyimpan angan-angan mahu menjejakkan kaki ke ibu negara Malaysia itu. Selama ini dia hanya melihat di televisyen dan mendengar cerita orang. Inilah peluangnya merasai sendiri keseronokan berada di KLCC, Mid Valley, Menara Kuala Lumpur dan tempat-tempat menarik lain yang sering diperkata orang.

“Tak ada kawan apanya? Bukan ke ramai lagi pelajar Tingkatan Lima yang pergi? Entah-entah Che Wan pun pergi,” balas Krisya Norsabrina. Sengaja ingin menduga reaksi sahabat baiknya itu padahal dia sendiri pun tahu kalau ke mana-mana saja mereka pasti berdua. Jika salah seorang daripada mereka tidak pergi, maka yang seorang lagi pun tidak akan pergi.

“Che Wan pun pergi? Macam mana kau tahu?” Serta-merta wajah simpati Jasmin tadi bertukar menjadi teruja.

“Ewah, ewah, ewah. Pantang sebut nama Che Wan.” Mendengarkan itu, Jasmin kembali membuat muka sedih. “Kalau aku tak pergi pun tak apa, kan? Aku ni bukannya penting sangat macam Che Wan kau tu, kan?” Krisya Norsabrina pura-pura berkecil hati.

“Kenapa kau cakap macam tu, Sya? Walaupun aku suka kat Che Wan tu tapi dia tak sama macam kau. Kau kan kawan baik aku. Mestilah aku nak kau ada sekali. Kalau kau tak ada, tak syoklah,” ujar Jasmin.

Krisya Norsabrina masih berlagak selamba walaupun hatinya sudah berbunga riang mendengar kata-kata Jasmin. Kembang rasanya bila ada orang kata tak syok kalau kita tak ada. Itulah ayat yang mahu didengarnya dari mulut Jasmin.

“Tengoklah nanti,” Krisya Norsabrina masih acuh tak acuh.

“Nak tengok apa lagi? Kau bagi tahulah ketua kelas kita cepat. Nanti tak sempat pula,” gesa Jasmin.

“Yang kau risau sangat kenapa? Tarikh tutup bukannya hari ni, kan? Lima hari bulan, kan?”

“Macam mana aku tak risau? Hari nilah lima hari bulan.”

“Ya ke? Hari ni lima hari bulan, ya?”

“Yalah. Kalau tak, tak adalah aku risau.”

“Nantilah aku fikir. Sebelum balik nanti, aku bagi jawapan.”

“Nak buat keputusan pergi rombongan pun nak kena fikir lama ke?”

“Eh, mestilah! Dahlah, jangan kacau aku. Aku tengah tak ada mood ni,” Krisya Norsabrina menopang dagunya di atas meja. Wajahnya masih mendung. Dia tiada mood mahu bersembang.

“Syoknya kau dapat tangkap gambar dengan Nan Petir!” Perbualan sekumpulan pelajar perempuan masuk ke telinga kanan Krisya Norsabrina dan tetap kekal di lubuk pendengarannya. Jika Jasmin peka dengan kehadiran Che Wan Safuan, Krisya Norsabrina pula sangat peka dengan perkataan ‘Petir’. Gegendang telinganya mula mengamati butir perbualan kumpulan pelajar perempuan itu.

“Macam mana kau boleh jumpa dia orang?” tanya seorang yang lain pula.

“Semalam kan aku tak datang. Aku pergi gig dia orang kat Kuala Lumpurlah. Kalau setakat mulut aje kata minat tapi tak pernah pergi gig dia orang, tu belum dikira peminat sejatilah,” ujar suara itu bangga seraya menjeling Krisya Norsabrina. Sengaja mahu memancing rasa iri hati dan membuakkan kemarahan Krisya Norsabrina. Dia tahu Krisya Norsabrina tidak pernah menonton gig mahupun konsert Petir walaupun Krisya Norsabrina mengakui yang dirinya peminat Petir.

Dalam perkara ini, Krisya Norsabrina mengakui yang dia belum cukup layak untuk digelar peminat sejati memandangkan dia belum pernah menghadiri gig dan konsert Petir. Bukan dia tidak mahu malah dia teringin sangat bertentang mata dan bergambar bersama pujaan hatinya itu tapi dia bukanlah remaja yang bebas bergerak dan berbuat apa saja yang dikehendaki.

Pergerakannya sering diperhatikan oleh kedua-dua ibu bapanya. Ke mana-mana saja, dia pasti ditemani oleh ibu bapanya ataupun salah seorang daripadanya. Ibu bapanya juga tidak termasuk dalam kategori berfikiran terbuka seperti ibu bapa Farah Hanani lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan sebarang bentuk hiburan. Awal-awal lagi akan ditentang oleh mereka.

“Siap peluk lagi tu! Jealous aku!”

Hati Krisya Norsabrina bagaikan dihiris-hiris tatkala mendengar kata-kata itu. Betul ke Nan peluk dia? Tak mungkin! Entah-entah dia sengaja nak buat aku jealous. Bukannya aku tak tahu perangai dia. Suka nak lawan aku. Krisya Norsabrina cuba menyedapkan hatinya sendiri.

“Bukan setakat peluk aje tau. Kita orang siap borak-borak lagi. Dahlah orang ramai masa tu. Cuma orang bertuah aje tau yang dapat peluang macam tu,” Farah Hanani, si empunya gambar bercerita dengan bangga.

Krisya Norsabrina hanya mampu mengetap bibir mendengar kata-kata itu. Sengaja nak menunjuklah tu! Macamlah aku heran sangat! Krisya Norsabrina semakin makan hati dengan perbualan kumpulan pelajar itu yang semakin rancak memperkatakan tentang Petir. Moodnya benar-benar terganggu di kala itu!





PULANG sekolah, seperti biasa Krisya Norsabrina berkurung di dalam bilik melayari Internet di komputer ribanya sambil ditemani lagu-lagu yang berkumandang di winamp. Pastinya lagu Petir! Memang jika dia sudah meminati sesuatu lagu, maka lagu itu akan dipasang berulang-ulang. Jika winamp itu bernyawa, pasti sudah lama ia menjerit mohon diberi kesempatan untuk istirahat!

Dari satu laman sosial, Krisya Norsabrina beralih pula ke laman sosial yang lain. Selepas singgah di laman friendster, dia log in pula di akaun facebook. Hampir terkeluar biji matanya apabila dinding facebooknya dipenuhi dengan gambar-gambar Farah Hanani bersama anggota kumpulan Petir di gig mereka. Huh, cepatnya dia upload gambar! Banyak pula tu! Getus hati kecil Krisya Norsabrina.

Nampak gayanya, Farah Hanani tidak bercakap bohong. Memang betul dia menghadiri gig Petir di Kuala Lumpur semalam. Sanggup tu dia ponteng sekolah semata-mata nak tengok gig Petir! Walaupun sakit hati dengan perangai Farah Hanani yang suka menunjuk-nunjuk itu tetapi hatinya sedikit lega apabila mendapati gambar-gambar itu tidak sesensasi seperti yang digembar-gemburkan oleh Farah Hanani. Nan cuma peluk bahunya saja. Tiada yang lebih pun.

Krisya Norsabrina mengklik satu demi satu gambar yang terkandung dalam akaun facebook Farah Hanani. Hampir kesemua nama kawannya di facebook ditagged pada gambar itu termasuk Krisya Norsabrina. Perlu ke tagged? Perlulah kalau nak menunjuk bukan? Krisya Norsabrina membaca komen-komen yang ditaip oleh kawan-kawan mereka di gambar itu.

‘Wah, jealousnya!’

‘Macam pinang dibelah-belah aje.’

‘Bila masa kau jumpa Petir ni?’

‘Tengok gig tak ajak!’

‘Patutlah kau tak datang sekolah semalam. Ni kerja kau, ya? Report kat cikgu! :p’

Setelah muak melihat gambar-gambar dan meluat membaca komen-komen itu, Krisya Norsabrina beralih pula ke fans page Petir di facebook bagi melihat jadual persembahan Petir. Kebiasaannya, segala aktiviti dan jadual persembahan Petir akan dikemas kini di situ selain buletin-buletin terkini tentang band itu.

Dinding fans page itu penuh dengan komen-komen peminat Petir yang memperkatakan tentang gig semalam. Panas betul hati Krisya Norsabrina apabila terlihat nama Farah Hanani sebagai salah seorang tukang komen.

‘Nan, thanks for yesterday. Nice to meet you. Tak tidur malam dibuatnya :)’

Hisy, tolonglah! Gedik betul! Jerit hati kecil Krisya Norsabrina. Kat sini pun kau nak menempel ke?

Krisya Norsabrina meneliti jadual gig Petir sepanjang bulan itu. 16 hari bulan kat Johor Bahru, 19 hari bulan kat Pulau Pinang, 22 hari bulan kat Dewan Annexe, Pasar Seni?!! Eh, bukan ke tarikh ni sama dengan tarikh rombongan sekolah aku ke Kuala Lumpur? Pasar Seni? Bukan ke aku pernah pergi sana dengan mama dan abah tahun lepas?

Kalau aku ikut rombongan tu, bolehlah aku pergi gig Petir ni. Dapatlah aku jumpa Petir. Boleh tangkap gambar dengan Petir. Lepas tu, tayang kat Farah Hanani gedik tu. Ingat dia sorang aje yang boleh tangkap gambar dengan Petir dan upload kat facebook? Aku pun bolehlah!





“MA, boleh tak kalau Rina nak ikut rombongan sekolah pergi Kuala Lumpur 20 hari bulan ni?” Tanpa membuang masa, Krisya Norsabrina segera bertanyakan perkara itu kepada ibunya. Dia sangat berharap ibunya membenarkannya mengikuti rombongan itu. Mintak-mintaklah mama benarkan aku ikut rombongan tu. Doanya dalam hati.

“Rombongan ke Kuala Lumpur?” Puan Nadhira yakni ibu Krisya Norsabrina meminta kepastian sama ada dia tidak tersalah. Pandangannya yang tadinya fokus menghayati drama yang mengisi slot Legenda di TV3 beralih ke wajah puteri tunggalnya itu.

“Haah,” balas Krisya Norsabrina sepatah.

“Bukan ke kita dah pernah pergi sana? Buat apa nak pergi lagi?” soal Puan Nadhira lagi. Hairan dengan permintaan anaknya itu. Bukannya mereka sekeluarga tidak pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur malah sudah acap kali.

“Alah, tu dengan mak dan abah. Yang ni dengan kawan-kawan Rina. Lain. Boleh kan, ma?” soalnya penuh teruja. Dia berharap sangat permintaannya nan satu itu dipenuhi.

“Berapa hari?”

“Tak lama. Tiga hari aje.”

“Siapa lagi yang pergi?”

“Pelajar-pelajar Tingkatan Lima aje. Boleh ya, ma?”

“Mama tak halang tapi Rina kena tanya abah.”

Tiba-tiba rasa terujanya mati.

“Alah, mama tolonglah cakapkan kat Abah.”

“Rina yang nak pergi, kan? Jadi, Rina kena tanya abah sendiri,” ujar Puan Nadhira. Dia tahu anak dan suaminya itu sedang berperang dingin gara-gara markah ujian Krisya Norsabrina semalam. Namun dia juga tahu marah suaminya bersebab. Cuma Krisya Norsabrina yang cepat terasa hati. Asal kena marah saja, dia merajuk. Tidak mahu bercakap dengan abahnya.

“Alah, mama kan tahu Rina tak bercakap dengan abah,” balas Krisya Norsabrina dengan harapan ibunya akan lebih bertimbang rasa dengan situasinya sekarang.

“Sampai bila Rina tak nak bercakap dengan abah? Tak baik tau. Bukan ke tu abah Rina? Lagipun abah marah Rina sebab Rina yang buat salah, kan?” Puan Nadhira memang jarang-jarang menangkan puteri tunggalnya itu. Dia tidak mahu Krisya Norsabrina menjadi besar kepala dengan ada sokongannya. Dia mahu anaknya belajar menerima kesilapan diri dan memperbaikinya.

Krisya Norsabrina menarik muncung. Begitulah reaksi Krisya Norsabrina apabila ditegur. Anak-anak remaja sekarang memang pantang ditegur. Mulalah memberontak.

“Rina terlalu leka sejak ada broadband tu sampai abaikan pelajaran. Betul tak cakap mama?”

Krisya Norsabrina tunduk. Kata-kata ibunya itu memang ada benarnya. Tetapi entah kenapa dia tidak suka ditegur tentang perkara yang dilakukannya. Seolah-olah dia sudah melakukan kesalahan yang besar padahal dia bukan melakukan benda-benda yang dilarang agama.

Walaupun dia suka melayari Internet, namun dia tahu membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Dia tahu melihat laman porno itu salah dan dia sendiri tidak ada keinginan untuk melihat laman-laman seperti itu. Mungkin saja dia tidak suka dianggap seperti budak kecil yang tidak tahu apa-apa.

“Okey, Rina tahu Rina salah tapi Rina janji lepas ni Rina akan belajar betul-betul,” Krisya Norsabrina meyakinkan ibunya.

“Betul?”

“Betul. Janji.”

“Okey, kalau macam tu Rina cakaplah macam tu dengan abah bila abah balik nanti, ya.”

Wajah Krisya Norsabrina berubah serta-merta. Memeluk tubuh. Cakap dengan abah? Ni yang aku malas. Abah yang marah aku. Kenapa aku pula yang kena mengalah?

“Cakap dengan abah pasal apa?” Suara itu mengumpan pandangan dua beranak itu ke pintu.

“Awal abang balik hari ni?” Puan Nadhira bangkit dari sofa menyambut kepulangan suaminya. Tangan si suami dikucup. Beg kerja suaminya disambut.

“Kerja siap awal, balik awallah,” Encik Khalid menghulurkan sebungkus plastik berisi kuih muih kepada isterinya kemudian melabuhkan punggung ke sofa. Melepaskan penat.

“Saya ambilkan air untuk abang, ya. Oh ya, bang. Rina ada benda nak bincang dengan abang. Kan, Rina?” Puan Nadhira mengenyitkan mata memandang Krisya Norsabrina sebelum berlalu ke dapur.

Krisya Norsabrina memandang ayahnya. Tiba-tiba dia berasa janggal dengan ayahnya sendiri. Macam mana aku nak cakap ni? Buatnya abah masih marah dan tak bagi aku ikut rombongan ke Kuala Lumpur tu macam mana?

Suasana sepi seketika. Tiada sesiapa yang mahu memulakan bicara. Krisya Norsabrina menunggu ayahnya bertanya namun Encik Khalid pula masih menunggu kata-kata daripada Krisya Norsabrina.

“Hai, senyap aje. Tak dengar apa-apa pun,” Puan Nadhira mengintai gelagat dua beranak itu dari dapur. Takkan nak tunggu aku juga yang bersuara? Anak dengan bapak sama aje. Dua-dua ego. Dua-dua tak mahu mengaku kalah. Haish!

Puan Nadhira menatang dulang yang berisi tiga cawan minuman dan sepiring pinggan yang berisi kuih muih yang dibeli oleh suaminya tadi.

“Rina dah cakap dengan abah ke belum?” soal Puan Nadhira. Bukannya dia tak nampak apa yang berlaku dari dapur tadi. Dua-dua macam orang bisu. Macam pakwe dan makwe yang baru pertama kali keluar bertemu janjilah pula.

“Mamalah tolong cakapkan,” ujar Krisya Norsabrina.

“Apa hal sebenarnya ni?” Encik Khalid sudah tidak sabar mengetahui apa yang dibualkan oleh isteri dan anaknya sebentar tadi.

“Rina ni haa… Dia nak ikut rombongan sekolahnya ke Kuala Lumpur 20 hari bulan nanti. Saya suruh dia tanya abang.” Akhirnya Puan Nadhira juga yang harus bersuara. Nak cakap pun susah ke?

“Hai, dia dah tak ada mulut ke nak bercakap sendiri? Dah bisu?” ujar Encik Khalid separuh menyindir.

Puan Nadhira memandang Krisya Norsabrina. Krisya Norsabrina tahu ayahnya sengaja menggunakan kuasa vetonya untuk menundukkannya. Tak apa, tak apa. Demi Petir!

“Sekolah Rina ada buat rombongan ke Kuala Lumpur 20 hari bulan ni. Boleh tak Rina ikut, bah?” soal Krisya Norsabrina penuh berharap.

“Lepas markah ujian Rina teruk, Rina ingat abah nak benarkan Rina pergi bersuka ria kat Kuala Lumpur tu ke?” Encik Khalid merenung tajam ke arah Krisya Norsabrina.

“Alah, bah. Bolehlah... Rina janji lepas ni Rina akan belajar betul-betul,” ujar Krisya Norsabrina bersungguh-sungguh. Dia perlu meyakinkan ayahnya. Encik Khalid memandang isterinya.

“Biar ajelah dia pergi, bang. Sekali-sekala dia nak berjalan dengan kawan-kawannya,” pujuk si isteri.

Encik Khalid diam sejenak sebelum bersuara, “Okey, abah benarkan tapi dengan syarat Rina kena skor dalam trial SPM nanti. Sekurang-kurangnya lima A. Boleh?”

“Insya-Allah, Rina cuba!” Krisya Norsabrina melonjak kegembiraan.

“Abah tak nak cuba cuba. Mesti!” tegas Encik Khalid.

“Okey. Terima kasih, bah,” Krisya Norsabrina gembira dengan jawapan ayahnya itu lantas mencium pipi ayahnya. Kemudian, ibunya. “Terima kasih, ma.”

“Nak pergi mana pula tu?” tanya Puan Nadhira apabila Krisya Norsabrina hendak berlalu ke tingkat atas.

“Rina nak telefon kawan. Nak bagi tahu dia yang Rina nak ikut pergi rombongan tu,” Krisya Norsabrina pantas mencapai gagang telefon.

Encik Khalid dan Puan Nadhira berbalas pandangan. Kemudian tersenyum sesama sendiri.

“Helo, Mon? Aku jadi ikut pergi rombongan tu!” ujar Krisya Norsabrina girang sebaik-baik saja gagang telefon di sebelah sana bertukar tangan. Tadi ibu Jasmin yang menyambut panggilan telefonnya.

“Serius?!” Ternyata Jasmin turut gembira dengan berita itu. Pasti dia tidak akan keseorangan jika Krisya Norsabrina ikut sama. Namun tiba-tiba senyuman di bibirnya bertukar hambar. “Tapi Sya, kau dah lambatlah.”

“Lambat? Apa yang lambat?” Krisya Norsabrina tidak faham.

“Tarikh tutup rombongan tu petang tadilah. Kan aku dah bagi tahu kau tadi yang tarikh tutupnya hari ni? Kau kata nak bagi jawapan sebelum balik,” ujar Jasmin.

“La, kenapa kau tak ingatkan aku?”

“Aku lupalah nak tanya kau. Kau pun tak cakap apa-apa, jadi aku ingat kau memang tak nak pergi.”

“Alah, habis aku tak dapat pergilah?”

“Maaf, Sya.”

”Alah, melepaslah peluang aku nak jumpa Petir,” Krisya Norsabrina mengeluh kecewa.

“Petir?” Jasmin hairan. “Eh, apa pula kena-mengena rombongan tu dengan Petir? Petir pun ikut rombongan kita ke?”

“Apa pula Petir nak ikut kita? Petir kan memang kat KL. Lagipun, sejak bila pula kita satu sekolah dengan Petir?”

Petir kan dah habis sekolah. Apalah Mon ni!

“Habis, yang kau sebut Petir tu tadi apa?”

“Aku baru tengok kat facebook tadi. Petir ada gig kat Pasar Seni 22 hari bulan tu. Jadi, aku fikir alang-alang kita dah ada kat Kuala Lumpur, bolehlah singgah situ,” terang Krisya Norsabrina.

“Oho, patutlah kau beria-ia nak ikut!” barulah Jasmin mengerti kenapa Krisya Norsabrina tiba-tiba berubah fikiran. “Tapi misal kata kau dapat ikut rombongan tu pun, bukannya kau boleh pergi pun gig tu. Kita kan bawah jagaan pihak sekolah, jadi mesti kita tak boleh nak pergi mana-mana suka-suka hati.”

“Alah, tu boleh difikirkan kemudianlah. Dah sampai Kuala Lumpur nanti, pandai-pandailah kita cari jalan.”

“Tapi kesian pula kau tak dapat pergi, kan?” Jasmin simpati dengan Krisya Norsabrina.

“Nak buat macam mana? Tak apalah, Mon. Kita jumpa kat sekolah esok. Bye.”

Talian dimatikan. Krisya Norsabrina menyembamkan mukanya ke bantal. Kecewa! Punah harapannya hendak berjumpa Petir di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: