Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Ogos 01, 2021

Kerana Dia... Kamu! (Bab 4)


SUDAH lima tahun Aulia bekerja di syarikat e-learning itu. Daripada bujang, bertunang, berkahwin, beranak dan sampai dia ‘bujang’ semula, dia tidak pernah terfikir untuk mencari pekerjaan lain memandangkan dia sudah selesa bekerja di situ. Tambahan pula, tugas sebagai penulis kandungan membuatkan dia gembira kerana dapat mendidik anak bangsa walaupun hanya sekadar melalui penulisan.  

“Aulia, pembetulan yang saya suruh buat tadi tu dah siap ke?” soal ketua jabatannya, Puan Norihan.

            Aulia tidak menjawab. Dia langsung tidak menyedari akan kehadiran Puan Norihan lantaran fikirannya tidak berada di situ. Dia hanyut dalam dunianya sendiri.

            Melihatkan itu, Dayana bertindak mengetuk meja Aulia. Aulia tersentak daripada lamunannya lalu memandang Dayana yang duduk di meja sebelah. Dayana menunjuk isyarat mata ke arah Puan Norihan yang sedang berdiri di belakang mereka.

            “Ya, puan?” Aulia bingkas berdiri.

            “Pembetulan tadi dah siap ke?” Puan Norihan mengulang soalannya.

            “Hah? Belum!” Aulia baru teringat akan kerja yang disuruh oleh Puan Norihan sebentar tadi.

            “Sufian mana? Minta dia buat pembetulan tu sekarang!” tegas Puan Norihan. Seakan-akan tidak berpuas hati apabila arahannya tidak dipatuhi.

            “Baik, puan.” Aulia menghela nafas lega sejurus Puan Norihan beredar ke biliknya. Salah dia yang sengaja menangguhkan kerja itu. Patutnya kerja itu sudah boleh disiapkan tetapi dia berasa kekok hendak bercakap dengan Sufian. Jadi, dia sengaja melengah-lengahkan kerja itu. 

Tidak lama kemudian, dia nampak Sufian kembali ke mejanya. Tanpa sengaja, pandangan mereka bertaut memandangkan meja Sufian berhadapan dengan meja Dayana yang duduk di sebelah mejanya. Namun, Aulia pantas melarikan pandangan. Tidak berupaya menentang pandangan itu.

Aulia cuba mengumpul kekuatan. Dia mengingatkan diri supaya bersikap profesional dalam urusan kerja. Perlahan-lahan dia bangun menghampiri meja Sufian yang merupakan pereka grafik di jabatannya. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia bercakap dengan Sufian juga. Kalau dia tidak memberitahu Sufian sekarang, nanti tidak pasal-pasal Sufian pula yang kena marah.

“Pian,” Aulia memanggil.

“Ya, saya,” sahut Sufian lembut. 

Demi melihatkan wajah Sufian, dia jadi teringat akan lamaran pemuda itu. Namun, Sufian tetap berwajah tenang. Seolah-olah peristiwa semalam tidak pernah berlaku.

            “Puan Norihan minta betulkan warna latar belakang teks ni. Tulisan dia tak berapa nampak. Dia suruh cerahkan sikit warna ni,” Aulia menyampaikan arahan Puan Norihan kepada Sufian tanpa memandang muka pemuda itu walaupun dia tahu Sufian sedang merenungnya.

            “Okey. Bila nak?”

            “Sekarang, boleh?”

            Sufian mengangguk.

            “Beres! Duduklah dulu.” Sufian menarik kerusi kosong di sebelahnya, mengisyaratkan supaya dia duduk di situ.

            “Tak apalah, saya ada banyak kerja lagi ni. Nanti dah siap, awak beritahu saya ya,” ujar Aulia lalu cepat-cepat dia kembali ke mejanya semula. Dia tidak mampu berdepan dengan Sufian buat masa ini.

            Tanpa Aulia sedar, gelagatnya diperhati oleh Dayana.

 

 

 

“LIA, aku tengok dari pagi tadi kau asyik termenung saja. Kau ada masalah ke? Izwan kacau kau lagi, ya?” soal Dayana sejurus Aulia menghenyakkan punggung di kerusi selepas bercakap dengan Sufian.

            “Tak ada apa-apalah. Cuma pening sikit,” dalih Aulia. Dia buat-buat sibuk padahal satu kerja pun tidak melekat dalam kepalanya. Kepalanya pening gara-gara semalaman tidak lena tidur.

            “Kau dengan Pian tu ada apa-apa ke?”

Soalan Dayana itu membuatkan Aulia tersentak.

            “Kenapa kau tanya macam tu?”

            “Aku tengok dari tadi dia asyik pandang kau saja. Tapi kau pula macam mengelak daripada dia,” ujar Dayana.

            “Nampak sangat ke?” soal Aulia separuh berbisik. Tidak mahu orang lain mendengar perbualan mereka.

            “Sah! Kau orang berdua memang ada apa-apa, kan?” Sekali lagi Dayana menebak. Dia sangat yakin akan hal itu!

            “Isy, mana ada apa-apa!” Aulia masih menafikannya.

            “Okey, tak apa kalau kau tak nak cerita.” Dayana pura-pura merajuk.

            “Nantilah aku cerita. Tapi, bukan kat sinilah.” Dia tidak suka bercerita hal peribadi di pejabat. Bimbang ada telinga lain yang mendengar.

            “Waktu lunch nanti kita cerita, okey!” tutur Dayana tidak sabar.

 

 

 

“SEMALAM Izwan datang kacau aku lagi,” Aulia memberitahu ketika dia dan Dayana makan tengah hari di kafe Touch and Go yang terletak berhadapan dengan bangunan pejabat mereka. Selalunya mereka lebih gemar makan berdua sahaja.

            “Isy, tak habis-habis lagi ke mamat tu?” bentak Dayana. Dia pula yang geram. “Sorry, semalam aku tak tunggu kau balik sekali.”

            “Tak ada apalah, Dee. Aku faham.” Aulia benar-benar memaksudkannya. Dia tahu Dayana mengejar masa kerana perlu mengambil anaknya di rumah pengasuh. Jika lambat, Dayana perlu membayar wang tambahan kepada pengasuh tersebut. Kedua-dua anak mereka sebaya tetapi anak Dayana perempuan.

            “Dah tu, apa yang jadi?” soal Dayana ingin tahu.

“Dia nak hantar aku balik tapi aku tak nak. Mujurlah masa tu Pian ada. Dia yang tolong aku,” cerita Aulia.

            “Pian lagi? Aku rasa betullah kau orang berdua memang berjodoh,” Dayana mula mengusik.

            “Itulah, aku rasa mulut kau tu masin sangat. Pian beri amaran pada Izwan kalau dia terus kacau aku, Pian nak cepatkan majlis kahwin kami kononnya. Dan kau tahu, Pian betul-betul ajak aku kahwin!” Aulia memberitahu Dayana tentang lamaran Sufian semalam.

            “MasyaAllah! Serius dia ajak kau kahwin?” Dayana buat muka teruja sambil hendak menangis. Sebelah tangannya mengipas-ngipas mukanya manakala sebelah lagi menutup mulut.

            Menyampah pula Aulia melihat reaksi Dayana yang berlebih-lebihan itu. Macamlah ini pertama kali ada orang ajak dia berkahwin. Dia sudah pernah berkahwin kut.

            “Kau pun tak percaya, kan?”

            “Eh, aku percaya!”

            “Seriuslah sikit,” marah Aulia.

         “Ya, aku seriuslah ni. Alhamdulillah, doa aku dimakbulkan Tuhan.” Dayana buat gaya mengaminkan doa.

“Jadi, kau terima ke tak?” soal Dayana. Dia pula yang teruja.

Aulia menggeleng.

“Aku tolak.”

“La, kenapa kau tolak pula?” Dayana tayang muka kecewa.

“Habis tu, takkan aku nak terima pula?” Aulia menyoal kembali.

“Kalau aku kata kau patut terima saja lamaran dia?”

            “Seriuslah kau ni!”

            Aulia seakan-akan tidak percaya bahawa Dayana betul-betul mahu dia berkahwin dengan Sufian. Entah kenapa dia mengharapkan jawapan Dayana sebaliknya. Sangkanya, Dayana akan menyokong keputusannya. Dia lebih rela jika Dayana melarangnya daripada berkahwin lagi.

            “Kenapa tidak? Aku rasa dia sesuai dengan kau. Lagipun dia baik apa?” Dayana memuji Sufian.

            “Baik tu memanglah baik. Satu pejabat tahu dia baik.”

            Hal itu memang tidak dapat disangkalkan lagi. Di pejabat mereka, Sufian dikenali sebagai seorang pemuda yang budiman dan merupakan antara lelaki yang menjadi pujaan para wanita. Sepanjang dia mengenali Sufian, dia tidak pernah mendengar cerita yang buruk tentang Sufian.

            “Tahu pun! Jadi, apa masalahnya? Kalau aku kat tempat kau, aku terima saja. Mana lagi nak cari lelaki yang baik zaman sekarang ni?” ujar Dayana seakan-akan tidak berpuas hati kerana Aulia menolak lamaran Sufian.

“Sebab dia baik sangatlah aku takut. Kau bukan tak tahu yang dia tu ada ramai peminat dekat pejabat kita tu,” Aulia meluahkan kebimbangannya. Usah kata yang bujang, yang sudah berkahwin pun ada juga yang menaruh minat kepada Sufian. Yang hendak buat menantu pun ada. 

Tapi yang buat dia hairan, kenapa Sufian tak kahwin-kahwin sampai sekarang? Padahal ramai sahaja perempuan yang nak pada dia termasuklah Fareha. Ataupun Sufian itu jenis lelaki yang memilih?

            “Tapi dalam banyak-banyak perempuan bujang kat pejabat kita tu, dia pilih kau. Bertuahlah badan. Aku gerenti mesti ramai yang patah hati kalau tahu pasal cerita panas ni,” Dayana semakin galak berkata.

            “Ha, kau jangan gatal-gatal nak beritahu orang lain ya! Aku cerita dekat kau seorang saja ni,” Aulia memberi amaran. Dia tidak mahu hal itu menjadi kecoh di pejabat mereka. Benda belum jadi kut.

            “Ya, aku tahu.” Dayana membuat gaya mengunci mulut. “Tapi Lia, takkanlah hati kau tak terusik langsung dengan kebaikan dia? Daripada Izwan tu, aku rasa lebih baik kau kahwin dengan Sufian!”

            Aulia terdiam. Tipulah kalau hatinya langsung tidak terusik dengan kebaikan Sufian. Tapi, dia masih sedar diri. Sufian itu bujang. Dia pula ‘bujang’ anak seorang. Takkanlah setelah 37 tahun membujang, tiba-tiba Sufian mahu berkahwin dengan janda macam dia? Walaupun secara teknikalnya, dia seorang balu yang kematian suami tetapi orang tetap akan melabelkannya sebagai janda.

            “Entahlah. Aku takut kalau-kalau aku yang syok sendiri padahal sebenarnya dia cuma kasihan pada aku saja. Macam kau cakaplah, dia kan baik. Jadi, aku rasa dia nak buat pahala lebih kut. Sebab tu dia ajak aku kahwin. Nak bela nasib ibu tunggal macam aku,” Aulia mula membuat andaian.

            “Kau ni banyak sangat tengok dramalah!” marah Dayana.

            Aulia tersengih.

Kalau diamati, Sufian itu tidak jauh beza pun dengan arwah Idham. Soft spoken, baik hati, lemah lembut, berbudi bahasa, menjaga solat... Tapi, mungkin kerana dia tidak mahu menduakan arwah suaminya. Maka, dia menolak kehadiran Sufian. Memikirkan tentang soal kahwin lagi sahaja pun sudah buat dia rasa bersalah terhadap arwah. Terasa seolah-olah dia telah mengkhianati cinta mereka.

            “Alah, aku tahu kau pun sebenarnya suka dekat dia, kan? Cuma kaurasa kau tak layak untuk dia. Jadi, kau cuba menafikan perasaan kau. Betul tak?”

            Zap! Kata-kata Dayana seakan-akan menikam jantungnya. Tepat mengena sasaran!

Terus terang, lelaki seperti Sufian itu tidak susah pun hendak buat perempuan jatuh cinta. Cukup dengan budi bahasanya sahaja sudah buat perempuan cair. Dia sendiri mengagumi keperibadian Sufian tetapi hal itu tidak bermakna yang dia berminat mahu berkahwin dengan Sufian.

Dia tahu jika dia menerima lamaran Sufian, pasti Izwan tidak akan mengganggunya lagi. Dia juga akan terpelihara daripada segala umpatan orang yang menganggap golongan janda ini jahat dan suka merampas suami orang.

Namun begitu, masih ada perkara lain yang menjadi kerisauannya. Keluarga Sufian. Adakah keluarga Sufian dapat menerima statusnya yang bergelar ibu tunggal?

Dan yang paling dia takuti, mampukah dia menghadapi keluarga mentua sekali lagi? Bagaimana jika keluarga bakal mentuanya sama dengan mentuanya yang dulu?