Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Mei 28, 2010

Pemuja Rahsia (Bab 3)

PAGI. Suasana di bilik itu terasa hening. Dengan mata yang masih pejam, dia membetulkan posisi tidurnya. Namun tiba-tiba matanya terbuka luas.

“Eh, hari ni hari apa, ya? Semalam hari Isnin. Maknanya hari ni hari… Alamak!” Jam di atas meja dilihat. 7.10? Habislah aku! Dengan terkocoh-kocoh, dia bingkas bangun lalu bergegas ke bilik mandi. Namun sesaat kemudian dia keluar semula.

“Tuala pun lupa!” Dia mencapai tuala mandi yang tersangkut di ampaian di biliknya dan berlalu semula ke bilik mandi.

“Mana Rina? Tak bangun tidur lagi ke?” tanya Encik Khalid seraya menarik kerusi di meja makan.

“Masa saya jenguk bilik dia tadi, dia dah bangun,” balas Puan Nadhira sambil menghidangkan sarapan untuk suaminya.

“Awak nasihatkan sikit Rina tu. Hari-hari bangun lambat. Dia selalu tidur lambat ke?” Encik Khalid menjamah teh tarik buatan isterinya. teh tarik isterinya itu memang setanding dengan teh tarik di kedai mamak. Disebabkan itu, dia sendiri sudah jarang-jarang lepak di kedai mamak. Kenapa harus berhabis duit di luar sedangkan dia boleh menikmati rasa teh tarik yang sama di rumah sendiri?

“Tak tahulah pula saya. Tapi yang saya perasan sejak ada broadband tu, memang dia selalu bangun lambat,” ujar Puan Nadhira. Memang sejak kebelakangan ini, anak mereka itu sering saja bangun lewat. Kalau dulu, Krisya Norsabrina akan bangun sendiri tanpa perlu dikejut tetapi sekarang sudah dikejut beberapa kali pun dia masih liat nak bangun.

Broadband itu dihadiahkan kepada Krisya Norsabrina oleh Encik Khalid dan Puan Nadhira sempena hadiah hari jadinya yang ke-17 dua bulan yang lalu. Dengan adanya broadband itu, diharap Krisya Norsabrina dapat memanfaatkan kecanggihan teknologi Internet dengan menimba seberapa banyak ilmu yang ada di alam siber itu.

Sebagai ibu bapa, mereka tidak mahu terlalu mengongkong ataupun terlalu menyekat kebebasan Krisya Norsabrina. Jika terlalu dikongkong dikhuatiri Krisya Norsabrina akan memberontak dan jika terlalu bebas pula ditakuti Krisya Norsabrina akan menjadi liar pula. Justeru, mereka hanya mengikut kehendak Krisya Norsabrina yang mahukan kemudahan Internet di rumah dengan syarat Krisya Norsabrina tidak mengabaikan pelajarannya.

Selain pembelajaran di sekolah, ilmu juga dapat diperoleh di mana-mana saja termasuklah di alam siber yang lebih luas lingkungannya. Namun demikian, terpulang kepada setiap individu bagaimana mahu memanfaatkan ilmu yang diperoleh kerana ilmu yang baik juga boleh jadi tidak baik jika digunakan pada jalan yang salah. Misalnya Internet.

Penggunaan Internet banyak menyumbangkan kemajuan sekali gus membantu memudahkan kehidupan manusia. Namun Internet juga dapat mengundang gejala negatif seperti paparan gambar pornografi, penipuan di ruangan sembang siber mahupun penyebaran berita-berita palsu di blog-blog jika tidak dipantau. Perkara-perkara sebegini tentu akan merosakkan pemikiran pengguna Internet terutamanya pelajar-pelajar sekolah memandangkan usia mereka yang masih mentah dan mudah terpengaruh.

“Kerja sekolah dia ada kena guna Internet ke?” tanya Encik Khalid lagi. Encik Khalid jarang-jarang mengetahui rutin harian Krisya Norsabrina memandangkan hampir sepanjang harinya dihabiskan di pejabat. Namun itu tidak bermakna dia langsung tidak mengambil tahu tentang anaknya.

“Setahu saya, tak ada,” jawab Puan Nadhira.

“Awak tengok-tengokkan dia. Jangan sampai dia terlibat dengan benda-benda yang tak elok kat Internet tu dahlah,” Encik Khalid tidak mahu Krisya Norsabrina menjadi mangsa penipuan di Internet seperti yang selalu dilaporkan di media. Cerita-cerita remaja yang berkenalan di ruangan sembang siber kemudian berjumpa di luar lantas terlibat dengan gejala yang tidak elok seperti pil khayal, rempit dan pergaulan bebas.

“Baiklah, bang,” Puan Nadhira juga tidak mahu Krisya Norsabrina terlibat dengan gejala sebegitu. Krisya Norsabrina satu-satunya anak mereka dan satu-satunya waris mereka. Justeru, pastinya Krisya Norsabrina menjadi harapan mereka berdua. Alhamdulillah Krisya Norsabrina seorang anak yang mendengar kata dan sentiasa menunjukkan prestasi yang baik dalam pelajaran.

Namun itu tidak bererti Krisya Norsabrina akan selamanya begitu. Manusia akan berubah mengikut masa dan persekitaran. Jadi, tidak mustahil orang yang baik boleh berubah menjadi sebaliknya dan orang yang jahat pula menjadi baik. Oleh sebab itu, Encik Khalid dan Puan Nadhira masih memerhatikan segala kegiatan dan kelakuan anak mereka walaupun ada yang beranggapan Krisya Norsabrina sudah besar dan mampu berfikir sendiri memandangkan usianya sudah mencecah 17 tahun.

Tatkala ibu bapanya sedang membincangkan perihal dirinya, Krisya Norsabrina bergegas bersiap di biliknya. Baju kurung putih dan kain berwarna biru muda disarung ke tubuh. Sedikit wangian disembur pada tudungnya. Siap! Komputer riba yang dibiarkan terpasang semalaman ditutup. Beg sekolah dikemas ala kadar lalu digalas di bahu.

“Rina, meh sarapan,” Puan Nadhira menuang minuman ke dalam sebuah cawan apabila terlihat Krisya Norsabrina. Cawan yang berisi minuman itu kemudiannya diletakkan di hadapan Krisya Norsabrina. Dia tidak mahu anak gadisnya itu ke sekolah dengan perut kosong. Sarapan itu penting bagi membolehkannya menerima pelajaran di sekolah. “Cepat makan. Abah dah tunggu.”

Mendengarkan itu, Krisya Norsabrina terburu-buru makan. Sekeping roti berbentuk empat segi itu disumbat ke dalam mulut dengan sekali suap lantas menyebabkannya tersedak.

“Perlahan-lahanlah sikit makan tu. Nanti tercekik,” Puan Nadhira menggeleng kepala melihat telatah si anak.

“Tadi mama juga yang suruh makan cepat,” ujar Krisya Norsabrina dengan mulut yang masih penuh.

“Mulut penuh jangan bercakap.” Ternyata Puan Nadhira tidak dapat menangkap butir bicara Krisya Norsabrina.

Krisya Norsabrina semakin menggelabah apabila terdengar bunyi hon kereta dari luar. Pasti ayahnya sudah menggesa. Krisya Norsabrina meneguk teh tarik yang dibuat oleh ibunya dan bingkas menggalas beg sekolahnya. Tangan si ibu dikucup bagi memohon restu.

Pon! Pon! Pon!

“Yalah, Rina datang!” Krisya Norsabrina mencapai kasutnya di rak kasut di tepi pintu dan tergesa-gesa masuk ke dalam kereta.

Kereta MyVi berwarna hitam itu terus meluncur laju sejurus Krisya Norsabrina masuk ke perut kereta. Krisya Norsabrina hilang imbangan lantas kepalanya terhantuk ke dashboard ketika sedang menyarungkan stoking. Aduh!

“Lain kali pakai tali pinggang keledar,” tegas Encik Khalid. Tawanya hampir terburai melihat aksi Krisya Norsabrina tadi.

Krisya Norsabrina memegang kepalanya. Abah ni sengaja nak balas dendam. Huh! Krisya Norsabrina menarik tali pinggang keledar lalu memakainya. Mukanya masam menahan geram.





KRISYA NORSABRINA menutup pintu kereta dengan kuat. Marahlah konon! Tanpa memandang ayahnya, dia menonong masuk ke kawasan sekolah.

“Awak!” Suara itu menyapa.

Dia panggil aku ke? Bukan kut. Nama aku bukan ‘awak’. Krisya Norsabrina terus melangkah tanpa mempedulikan suara itu.

“Awak yang pakai baju putih kain biru!” Suara itu semakin tegas.

Langkah Krisya Norsabrina dan beberapa orang pelajar perempuan yang memakai baju kurung putih dan berkain biru terhenti.

Ya tak ya. Semua pun pakai baju kurung putih dan berkain biru. Apalah aku ni.

“Maksud saya, awak yang pakai beg hijau tu.”

Krisya Norsabrina dan seorang pelajar perempuan menoleh ke arah pemilik suara itu.

Aduh! Dua-dua pula pakai beg hijau. Dia memerhatikan kedua-dua pelajar perempuan itu. Apa yang membezakan mereka?

“Ha, awak yang pegang fail yang ada gambar Petir tu.” Baru dia perasan yang gadis itu memegang sekeping fail. Kedua-dua pelajar perempuan itu saling berpandangan.

Rasanya fail aku memang ada gambar Petir. Aku ke? Aisey…

“Ya, awak! Mari sini.”

Isy, dia ni! Orang dah lambat, dia lagi nak melambatkan. Krisya Norsabrina memaksa kakinya melangkah mendekati pengawas berkemeja biru itu.

“Siapa nama awak?” soal pengawas itu.

“Krisya,” jawabnya pendek.

“Nama penuh?”

“Krisya Norsabrina binti Khalid.”

“Awak tahu kesalahan awak?”

“Tahu.”

“Habis, kenapa awak tak berhenti masa saya panggil tadi?”

“Manalah saya tahu awak panggil saya. Nama saya bukan ‘awak’.”

“Loyar buruk awak, ya.”

“Saya memang nak jadi lawyer dulu tapi sekarang saya dah tak minat nak jadi lawyer.”

“Awak nak saya tambah denda awak ke?”

Krisya Norsabrina terdiam. Garang juga mamat ni, ya? Ingatkan tak pandai nak marah orang.

“Awak boleh pergi ke kelas awak.”

“Betul?”

“Eh, taklah! Awak berdiri kat sini sampai waktu sekolah habis,” pengawas itu mula berang dengan Krisya Norsabrina. Berani dia main-main dengan aku, ya?

Krisya Norsabrina tersengih. Langkah kakinya diatur ke kelas.





SESI pembelajaran sudah pun bermula tatkala Krisya Norsabrina tiba di kelasnya. Habislah aku. Cikgu Rosmawati dah mengajar. Bunyi ketukan di pintu menggamit tumpuan penghuni kelas itu ke arah pintu.

“Ha, Krisya. Awalnya kamu sampai,” Cikgu Rosmawati melihat jam yang tergantung di dinding kelas. Sudah hampir pukul 8.00 pagi.

Krisya Norsabrina tidak menjawab. Nasib baiklah wanita di hadapannya itu gurunya. Kalau tidak, pasti dia tidak teragak-agak untuk membalas sindiran itu.

“Aku ingatkan kau tak datang tadi. Kenapa kau lambat?” tanya Jasmin dalam nada seakan berbisik sebaik-baik saja Krisya Norsabrina melabuhkan punggung di sebelahnya.

“Aku bangun lambat. Masa baru sampai tadi pula, aku kena tahan dengan Che Wan kat pintu pagar hadapan sekolah,” cerita Krisya Norsabrina.

“Kau kena tahan dengan Che Wan? Syoknya!” Jasmin teruja mendengar cerita Krisya Norsabrina.

“Hai, kena tahan pun syok ke?” Krisya Norsabrina kehairanan. Pelik betul perangai kawan aku yang seorang ini.

“Yalah, bukan senang nak dapat peluang bercakap dengan dia. Kalau aku jadi kau, mesti tak lena tidur malam ni,” Jasmin cuba membayangkan keadaan Che Wan Safuan menegurnya. Alangkah bagusnya kalau aku kat tempat Krisya.

“Walaupun kena denda?”

“Sekurang-kurangnya dia bercakap dengan kau,” balas Jasmin.

Krisya Norsabrina tercengang. Entah-entah pelajar yang datang lambat tadi sengaja datang lambat sebab nak bercakap dengan Che Wan? Entah apa-apalah dia orang tu!

“Baik, sila simpan semua buku dan nota kamu. Cikgu akan edarkan kertas soalan ujian sekarang.”

“Ujian? Alamak, aku lupa!” Krisya Norsabrina berbisik kepada Jasmin. Takut didengari oleh Cikgu Rosmawati. Tak pasal-pasal dia kena maki hamun pula nanti.

“Kau lupa? Habis, kau tak buat ulang kajilah?” jawab Jasmin.

“Tak. Aku sibuk siapkan latihan Matematik Tambahan semalam. Jadi, aku tak sempat buat ulang kaji untuk ujian hari ni. Habislah aku macam ni.”

“Matematik Tambahan? Kenapa kau rajin sangat? Hari ni mana ada mata pelajaran Matematik Tambahan,” tegur Jasmin.

“Ya ke?” Krisya Norsabrina melihat jadual waktu yang ditampal di atas mejanya yang berbalut dengan plastik pembalut buku. Bukan setakat jadual waktu, gambar Petir pun ada. Sumber inspirasilah konon. “Alamak! Aku salah tengok jadual rupanya.”

Maknanya hari ni tak ada subjek Matematik Tambahan? Jadi, sia-sialah aku berjaga semalam! Kalau aku tahu, lebih baik aku fokus untuk ujian hari ni.

“Macam mana sekarang? Aku langsung tak baca satu apa pun,” Krisya Norsabrina mengeluh.

“Tak apa. Kau boleh tiru jawapan aku,” Jasmin mengenyitkan mata.

“Tak eloklah macam tu,” bantah Krisya Norsabrina. Seumur hidupnya, cuma sekali dia meniru dalam ujian. Itu pun ketika dia dalam Darjah Satu. Selepas itu, dia diselubungi rasa bersalah yang teramat lantas dia tidak pernah meniru lagi sejak itu. Tapi aku tak baca satu apa pun. Apa aku nak buat?

“Jangan bercakap lagi. Mula menjawab sekarang,” Cikgu Rosmawati memberi arahan.

Krisya Norsabrina dan Jasmin terdiam lantas masing-masing mula membaca kertas soalan yang diedarkan. Krisya Norsabrina melepaskan keluhan. Baru baca soalan, dia sudah menggaru kepala. Subjek Fizik bukanlah subjek kegemarannya. Justeru, dia kurang memberikan tumpuan ketika waktu pembelajaran Fizik.

Jasmin di sebelahnya tekun menjawab. Sekejap saja, kertas jawapannya sudah terisi. Seketika kemudian, Jasmin sengaja meletakkan kertas jawapannya di tepi bagi memberi peluang kepada Krisya Norsabrina melihat jawapannya.

Nak tiru ke tak ni? Krisya Norsabrina terpaku melihat jawapan di hadapan mata. Jika orang lain bersusah payah untuk meniru dalam ujian, peluangnya pula terbuka di depan mata! Bak kata orang, rezeki jangan ditolak. Krisya Norsabrina kemudian pantas menulis jawapannya di atas kertas mengikut jawapan Jasmin.

Tak boleh, tak boleh! Aku tak boleh meniru dalam ujian. Meniru dalam ujian tu salah. Berdosa. Krisya Norsabrina merenung kertas soalannya. Baik, tawakal ajelah. Krisya Norsabrina cuba menjawab soalan ujian itu sendiri tanpa meniru jawapan Jasmin di sebelah.

Selepas satu jam, Cikgu Rosmawati mengarahkan mereka berhenti menjawab.

“Tukar kertas jawapan kamu dengan kawan sebelah. Krisya…”

Krisya Norsabrina tersentak lalu berdiri.

“Tuliskan jawapan untuk soalan nombor satu kat papan hitam,” arah Cikgu Rosmawati.

Hah? Tulis jawapan kat papan hitam? Habislah aku. Semuanya aku hentam keromo aje.

“Tapi cikgu, saya tak pasti jawapan saya betul ke tak,” Krisya Norsabrina memberi alasan.

“Kalau semua orang pandai, tak payahlah pergi sekolah,” tegas Cikgu Rosmawati. Begitulah sikap sesetengah pelajar apabila diminta menunjukkan jalan kerja dan jawapan tentang sesebuah soalan latihan. Mereka takut jawapan mereka salah dan bimbang ditertawakan oleh rakan-rakan kerana mereka akan dianggap tidak pandai. “Krisya, cepat sikit,” Cikgu Rosmawati menggesa. Apa lagi yang dibuatnya tu?

Mahu tidak mahu, Krisya Norsabrina terpaksa menurut. Perlahan-lahan dia berjalan ke hadapan kelas melangkah ke papan hitam. Lambat-lambat dia menulis di papan hitam. Mana tidaknya, waktu itu jugalah dia baru nak baca soalan dan fikirkan jawapan!

“Apa yang kamu fikirkan lagi?” Cikgu Rosmawati merasakan Krisya Norsabrina mengambil masa yang terlalu lama untuk menjawab soalan itu.

“Hentam ajelah,” Krisya Norsabrina berkata di dalam hati lantas tangannya mencoretkan sesuatu pada papan hitam.

“Dah?”

“Dah... kut,” jawab Krisya Norsabrina teragak-agak walaupun sebenarnya dia sendiri tidak berpuas hati dengan jawapannya.

“Mari kita tengok jawapan Krisya,” Cikgu Rosmawati meneliti dan menyemak jawapan Krisya Norsabrina di papan hitam. Lama dia meneliti jawapan Krisya Norsabrina. Seketika kemudian, dia memangkah besar pada jawapan itu. “Salah!”

Baru soalan satu, dah salah. Masalah besar ni.

“Mampus aku!” teriak Krisya Norsabrina dalam hati.

Tiada ulasan: