Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

Cinta Yang Aku Mahu 10

“Kenapa dengan kau ni, Syella?” Eisya terkejut melihat wajah muram Syella yang terpacak di hadapan pintu biliknya apabila dia pulang ke asrama pada petang itu.
“Kita cerita kat dalamlah,” ujar Syella.

Eisya membuka kunci pintu biliknya dan mempelawa Syella masuk. Syella melangkah lemah kemudian melabuhkan punggung ke katil.

“Kau nak air?” soal Eisya. Syella menggeleng.

“Sya, Fazren minta clash,” adu Syella.

Eisya tidak terkejut mendengar cerita itu. Dah agak dah. Itulah. Baru kenal dah couple. Sama aja macam Irwan. Lepas tu, siapa yang dicari? Aku jugak.

Si Fazren tu memang tak patut dijadikan steady boyfriend. Mata tu baik cucuk dengan garfu aja. Biar buta macam Kassim Selamat. Tiba-tiba Eisya teringat peristiwa di Tasik Ilham beberapa minggu yang lain.

Ketika itu, Eisya dan Syella sedang bersiar-siar di sebuah tasik yang terdapat di dalam kawasan kampus mereka sambil menghirup udara petang. Tiba-tiba Fazren datang menegur tapi tegur Syella ajalah.

“Hai, sorang aja ke?” Fazren menyapa Syella padahal dah terang-terang Syella bersama Eisya.

Eisya terasa dengan pertanyaan itu. Aku yang kat sebelah Syella ni apa? Pokok ke? Kalau nak ngorat pun gunalah otak sikit. Dah tak ada soalan lain yang boleh ditanya ke?

Kerana peristiwa itu, Eisya masih marah dengan Fazren. Mentang-mentanglah aku ni tak cantik macam Syella. Jangan kata nak pandang, jeling aku pun tak. Ingat aku heran sangat ke dengan kau? Macamlah hensem sangat. Boleh jalanlah!

“Kau clash dengan dia sebab apa?”

“Aku tak tahu. Dia tak cakap. Sya….aku sayang gila kat dia,” Syella mula menangis.

“Yang kau menangis ni kenapa? Dah dia nak pergi, biar ajalah dia pergi. Kau cari ajalah yang lain,” ujar Eisya.

Memang Eisya tak berapa pandai nak memberi nasihat tentang masalah cinta kerana dia sendiri belum pernah bercinta. Namun satu hal yang dia tahu, dia pantang melihat perempuan yang menangis kerana cinta. Teruk sangat ke putus cinta ni sampai ada yang gila hanya kerana cintanya tidak kesampaian? Bukannya dunia nak kiamat pun. Bak lagu Shaden tu, Dunia Belum Berakhir…

“Kau cakap senang, Sya. Bukan senang aku nak lupakan dia,” Syella menyeka air mata di pipinya.

Bagi Syella, Fazren sangat mengambil berat perihal dirinya. Pada Fazrenlah tempat dia bercerita dan meluahkan segalanya. Kehadiran Fazren dalam hidupnya benar-benar membuatkan hari-harinya bahagia. Tetapi entah kenapa tiba-tiba sahaja Fazren memutuskan hubungan mereka setelah hampir dua bulan mereka bersama.

“Sorry, Syel. Aku memang tak reti bab cintan cintun ni. Tapi Syel, kalau dia dah tak nak kat kau buat apa kau nak meratapinya lagi? Sia-sia aja.”

“Kau tak faham, Sya…”

Yalah. Aku tak faham. Aku pun bukannya ada pengalaman. Bercinta pun tak pernah apatah lagi nak putus cinta. Tapi kenapa dia orang suka cari aku bila putus cinta? Aku ni ada bakat jadi kaunselor cinta ke?

Eisya rasa bersalah melihat Syella yang semakin teresak-esak. Mungkin Syella terasa dengan kata-katanya. Dia menghampiri Syella lalu memeluknya. Ternyata pelukannya itu membuatkan air mata Syella mengalir dengan lebih deras. Eisya hanya membiarkan Syella melepaskan kesedihannya.

Tiada ulasan: