Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Mac 15, 2009

Cinta Yang Aku Mahu 34

Morning, Sya! :D’

Seawal jam sembilan, pesanan ringkas di telefon bimbit itu menyapa paginya. Sejak cuti pertengahan semester ini, dia kerap menerima pesanan ringkas daripada Irwan.

Walaupun dia sendiri berasa pelik dengan tindakan Irwan sejak akhir-akhir ini namun dalam diam dia menyenangi kiriman pesanan ringkas daripada Irwan itu. Seakan ada satu perasaan mula menjalar di hatinya tatkala dia membaca pesanan ringkas daripada Irwan.

Walaupun cuma ucapan ‘morning’, ‘sweet dream’, itu pun sudah cukup membuatkannya rasa dihargai dan diingati. Pada mulanya, dia fikir Irwan tersalah hantar SMS. Tak mungkin pesanan ringkas itu ditujukan kepadanya. Lebih-lebih lagi daripada Irwan!

‘Woi, kau salah hantar SMS ke?’

Eisya membalas SMS Irwan pada suatu pagi.

‘Mana ada. Betullah aku hantar kat kau.’

Balasan SMS Irwan menyusul kurang seminit kemudian.

‘Ya ke? Apa mimpi kau hantar SMS ni kat aku?’

‘Laa…tak boleh ke sorang kawan ingat kat kawan dia?’

‘Memanglah tak salah tapi aku rasa macam lain macam aja SMS kau ni. Mana ada kawan biasa yang hantar SMS remeh-temeh macam ni kat kawan dia. Setahu aku, couple aja yang buat kerja-kerja macam ni. Kau buang tabiat ke apa?’

Actually, aku rindu kat kau sebab tu aku hantar SMS kat kau. Nak harap kau hantar SMS kat aku, haram! Balik kampung ja terus lupa aku. Kau ada boyfriend kat kampung ya?’

‘Eh, mestilah ada! Kau ingat kau sorang aja ke yang boleh ada ramai awek?’

‘Aku lelaki. Lain. Laki boleh kahwin empat tau.’

‘Eleh…mampu ke?”

‘Jangan kata empat, empat belas orang pun aku mampulah.’

‘Kenapa tak empat puluh aja?’

‘Empat puluh tu banyak sangatlah. Tak larat aku. Haha …’

‘So aku ni yang nombor berapa?’

‘Kau nak nombor berapa? Aku bagi kau nombor satu nak? Nombor satu dari belakang? :p’

‘Tak ingin aku! :p’

Walaupun rasa sangsi, namun SMS Irwan tetap dibalasnya. Tidak dinafikan, SMS daripada Irwan sedikit sebanyak menyerikan hari cutinya. Sejarah juga tercipta dalam hidupnya apabila dia kehabisan kredit sebelum tempohnya. Semuanya gara-gara Irwan.

Tapi pelik jugak. Kenapa Irwan sibuk SMS aku yang pakai Celcom ni? Tak sayang kredit ke? Danish yang pakai Celcom tu pun langsung tak contact aku. Eh, buat apa pulak dia nak contact aku. Dia kan dah ada Syella? Ah, lantak kaulah! Aku ada Saufi. Eisya tersenyum sendiri apabila mengingati pemilik nama itu.

Sejak Saufi menyapanya di blog, hubungan mereka semakin rapat walaupun hanya sekadar di internet. Setelah berfikir lama, akhirnya Eisya membuat keputusan untuk merahsiakan identiti sebenarnya. Biarlah Saufi tidak mengenalinya asalkan dia dapat tetap berhubung dengan lelaki itu. Mungkin ini lebih baik.

Gara-gara Saufi, Eisya semakin kerap online semata-mata mahu berbual-bual dengannya. Ada kalanya sampai satu hari suntuk dia di hadapan laptop menunggu Saufi online. Satu hari tidak berbual dengan Saufi terasa seakan harinya tidak lengkap. Gara-gara Saufi juga, dia lupa pada Danish dan Irwan namun mujur Irwan kerap menghubunginya.

“Za, kau pernah tak suka lebih daripada sorang laki dalam satu masa?” tanya Eisya kepada adiknya, Fariza. Fariza termenung seketika.

“Selalu. Boyfriend aku kan ramai. Won Bin, Roger Kwok, Takuya Kimura…”

“Seriuslah. Maksud aku, orang yang kenal kita. Kalau setakat artis tu, tak heranlah,” balas Eisya.

“Ala…suka aja kan? Bukannya ada apa-apa makna.”

“Tapi tak pelik ke? Yang sorang selalu contact aku kat blog, yang sorang lagi contact aku kat SMS.”

So kau nak cakap yang kau ni playgirl lah?”

“Bukanlah macam tu. Maksud aku, normal ke kalau macam tu?”

“Pada aku, benda ni tak mustahil kut. Kalau tak, tak adalah orang yang dah ada boyfriend ataupun girlfriend, tunang ataupun dah kahwin sekalipun boleh jatuh cinta dengan orang lain. Sebab selagi kita tak jumpa orang yang betul-betul kita suka, selagi tu hati kita selalu berbelah bagi. Kalau kita dah jumpa orang yang tepat, gerenti kita tak pandang orang lain dah kan?” terang Fariza panjang lebar.

Walaupun Fariza adik, Eisya tidak pernah segan silu bertanya pendapat Fariza tentang sesuatu perkara kerana ada kalanya dia berasakan Fariza lebih matang daripadanya. Lagipun dengan siapa lagi dia mahu berkongsi cerita jika bukan dengan Fariza.

“Tapi macam mana kita nak tahu orang tu betul-betul suka kat kita ataupun tak?”

“Itu aku tak tahu tapi kalau betul dia suka kat kita, mestilah dia selalu ambil berat pasal kita. Kadang-kadang benda tu nampak remeh tapi dia still nak tahu macam hari ni kita buat apa ataupun pagi tadi kita makan apa. Kiriman SMS pun salah satu cara dia tunjuk perhatian dia kat dia macam SMS good morning ke, sweet dream ke…”

“Tapi macam mana kalau dia dah ada awek?”

“Ala…orang yang ada awek pun tak semestinya dia suka awek dia.”

“Hah?”

“Kau ingat semua couple tu bercinta ke? Dia orang tu kadang nama aja couple tapi bukan semuanya couple dalam istilah sebenar. Ada yang couple untuk dapat kesenangan, nama ataupun saja-saja couple sebab tengok orang lain ada boyfriend ataupun girlfriend.”

“Kau ni macam banyak pengalaman aja. Kalah aku.”

“Aku kan ramai kawan. Aku tahulah. Kau tu, cuba bercampur dengan orang. Jangan dengan kawan yang sama aja. Luaskan pergaulan. Barulah kau tahu yang manusia ni ada macam-macam ragam dan gelagat.”

“Nak buat macam mana? Dah orang tu aja yang nak kawan dengan aku. Aku ni tak pandai nak mulakan. Kena ada orang yang mulakan.”

“Itulah pasal. Kalau kau pun nak tunggu orang tu yang mula, orang tu pun tunggu kau mula, bila nak ada interaksinya?”

“Ewah, ewah, kau ni bercakap mengalahkan pakar motivasilah pulak.”

“Salah ke apa aku cakap?”

“Tak salah.”

“Tahu tak apa. Lagipun kau kan ambil Komunikasi dan Media so mestilah kau lagi tahu daripada aku kan?”

“Entahlah. Aku ambil course ni dulu pun sebab course ni yang aku dapat."

"Mesti ada sebab kenapa kau dapat course ni. Mungkin kau ditakdirkan masuk course ni supaya kau boleh perbaiki skill komunikasi kau."

"Ya ke? Aku rasa sama aja."

"Yalah, dah kau tak praktik. Setakat baca buku sebab nak exam memanglah tak mendatangkan apa-apa."

"Tapi kadang-kadang aku rasa aku tak sesuailah ambil course ni. Kau tahu budak-budak yang ambil course ni semua vogue-vogue tau. Mana ada yang selekeh macam aku ni. Pulak tu semua suka bercakap tak kira kat mana. Mana ada yang pendiam macam aku. Ada kalanya aku rasa macam nak tukar course aja tapi sayang pulak dah tiga semester."

“Masa kau masuk course tu, dia ada cakap tak syarat nak masuk course tu kena ramah ataupun kena pandai bergaya?”

“Tak ada.”

“Dah tu yang kau risau sangat kenapa? Lantak dia oranglah nak cakap apapun. Sekali-sekala kita kena berani jadi lain daripada yang lain. Minoriti tu tak semestinya salah dan majoriti tu tak semestinya betul.”

"Yalah, yalah. Dahlah. Aku nak pergi mandi,” Eisya bangkit dari katil.

“Eh, awal pulak kau bangun hari ni ya? Biasa pukul 1 baru kau bangun,” Fariza melihat jam di atas meja. Baru pukul sembilan lebih.

“Dah ada orang kejut, awallah aku bangun,” Eisya tersenyum apabila mengingati SMS daripada Irwan tadi.

Walaupun semalaman dia tidak tidur gara-gara chatting dengan Saufi namun matanya tak terasa mengantuk selepas membaca SMS Irwan tadi. SMS itulah yang mengejutkannya dari tidur. Benarkah cinta mampu mengubah seseorang?

Tiada ulasan: