Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Disember 23, 2008

Rantai Rasa Cinta 5

“Zi, biarpun kita terpisah berbatu jauh sekalipun, Mi nak Zi tahu yang Mi sentiasa menyayangi Zi. Zi akan tunggu Mi kan?”

“Mi yakin ke dengan hubungan jarak jauh ni?”

“Asalkan Zi percayakan Mi dan Mi percayakan Zi, Mi yakin kita boleh hadapi semua ni. Lagipun zaman sekarang kan dah canggih? Kita boleh berhubung di telefon dan internet.”

“Macam mana kalau Mi jumpa orang lain kat sana?”

“Cuma Zi sorang di hati Mi.”

“Tapi ...”

“Zi tak percayakan Mi?”

“Bukan Zi tak percayakan Mi tapi Zi takut. Hubungan jarak jauh ni terlalu banyak dugaannya.”

“Dugaan itulah yang akan mengukuhkan lagi hubungan kita kan? Jangan risaulah. Mi tetap akan balik sini balik. Mi janji. Zi tunggu Mi ya?”

Nazili terbaring di katilnya. Janji-janji Hazami dulu bermain-main di ruang kotak fikirannya.

Beberapa bulan sebelum SPM, Hazami terpaksa mengikut ibu bapanya berpindah ke Kuching. Pada mulanya, Hazami mengotakan janji-janjinya. Hazami kerap menelefonnya dan kadang-kadang mereka bersembang di internet bagi melepaskan rindu. Namun ternyata itu semua hanya sementara.

Selepas tamat SPM, Hazami sudah jarang-jarang menghubunginya. Nazili pula bukanlah jenis perempuan yang hanya menunggu panggilan telefon daripada teman lelakinya. Baginya, tidak salah jika perempuan yang menelefon terlebih dulu. Lagipun, tidak adil rasanya jika Hazami sahaja yang berhabis wang ringgit menelefonnya.

Namun apabila dia menelefon, Hazami memberitahu yang dia sibuk membantu perniagaan bapanya di sana. Nazili langsung tidak berkecil hati dengan Hazami bahkan dia cuba memahami situasi yang dihadapi oleh lelaki itu. Walaupun ada kalanya kiriman S.M.S.nya tidak dibalas oleh Hazami, Nazili tidak mahu berfikir yang bukan-bukan. Mungkin Hazami tak ada kredit. Fikirnya.

Apabila melanjutkan pelajaran di UiTM Perak, Nazili tetap setia menjaga hatinya. Tidak pernah sekalipun dia memberikan ruang kepada lelaki lain untuk berkongsi tempat dengan Hazami di hatinya. Biar betapa istimewa dan baik sekalipun layanan lelaki itu kepadanya, Nazili sudah menetapkan hatinya hanya untuk Hazami. Nasihat teman-temannya supaya dia melupakan Hazami tidak diendahkan.

“Kau pasti ke dia pun setia macam kau? Entah-entah dia dah ada girlfriend lain kat sana,” ujar Ilyani, teman rapatnya ketika menuntut di UiTM Perak.

“Yalah, Zi. Perempuan Sarawak cantik-cantik tau,” Hayati pula menyampuk. “Kau lupakan ajalah si Hazami tu. Baik kau couple aja dengan Iznul. Aku tengok dia pun baik dengan kau sampai semua orang ingat kau orang couple tau.”

“A’ah, aku pun ingat kau orang couple masa mula-mula masuk sini dulu,” Ilyani menyokong usulan Hayati. Baginya, Iznul tak ada cacat celanya berbanding Hazami berdasarkan gambar yang ditunjukkan oleh Nazili. Orangnya baik dan pandai mengambil hati.

“Aku dengan Iznul kawan ajalah,” Nazili menekankan hubungannya dengan Iznul. Sudah berbuih mulutnya menerangkan status hubungan mereka berdua.

“Sebab Iznul kawan kaulah aku rasa tak salah kalau kau couple dengan dia pun. Lainlah kalau kau orang adik-beradik ke ataupun sepupu,” balas Hayati.

Aku dengan Iznul? No way! Tak mungkin terjadi. Itu ikrar Nazili setiap kali orang mengaitkannya dengan Iznul. Bagi yang tidak tahu akan kewujudan Hazami, pasti mereka tertanya-tanya kenapa dia tidak menerima Iznul sedangkan ramai pelajar perempuan yang tergila-gilakan teman baiknya itu.

Bukan Iznul sahaja malah lelaki lain yang cuba mendampinginya juga tidak dilayannya. Nama Hazami tetap terpahat kukuh di sanubarinya. Selama mana pun dia sanggup menunggu lelaki itu namun pertemuan siang tadi benar-benar meranapkan semua harapannya. Ternyata penantiannya selama tiga tahun ini hanya sia-sia.

Betapa hancurnya hati dan jiwanya apabila mendapat tahu Hazami sudah ada kekasih lain. Lebih memedihkan lagi apabila perempuan itu adalah teman baiknya sendiri.

Jadi, selama ini Laily bercerita tentang Hazami? Hazami yang aku nantikan selama tiga tahun ini? Kenapa aku percaya dengan janji-janjinya? Kenapa aku masih setia kepadanya? Patutlah tiba-tiba dia menyepi. Rupa-rupanya dia sudah ada perempuan lain. Bodohnya aku.

Nazili menangis semahu-mahunya. Hatinya terasa sakit. Jiwanya seakan dipijak.

Dalam dia melayan perasaan, tiba-tiba telefon bimbitnya mengalunkan lagu Hantu dendangan kumpulan rap dari Sarawak, M.I.X. menandakan nombor yang memanggil tidak ada dalam phone booknya.

Nazili mengesat air matanya yang bersisa. Mujur teman sebiliknya tidak pulang lagi. Jika tidak, pasti bermacam-macam soalan yang diajukan oleh teman sebiliknya itu apabila melihat keadaannya begitu. Hubungannya dengan Wawa tidaklah serapat mana memandangkan Wawa jarang-jarang berada di bilik. Namun itu tidak bermaksud mereka langsung tidak mengambil tahu antara satu sama lain.

“Hello…” Nazili menjawab panggilan itu dengan seribu satu persoalan di kepalanya. Siapakah yang menelefon? Nazili terkejut apabila suara di hujung talian memperkenalkan diri, “Mi?”

Ni bukan nombor lama dia dulu. Dia dah tukar nombor ke? Tak bagi tahu aku pun. Nampak sangat dia dah lupakan aku. Tapi dia telefon aku ni mesti dia simpan nombor aku lagi kan? Tapi tak mustahil dia boleh mintak daripada Laily ataupun Iznul.

“Zi tengah buat apa? Mi nak jumpa Zi boleh? Ada banyak perkara Mi nak bagi tahu Zi,” ujar Hazami. Dia harus menjelaskan semuanya kepada Nazili. Dia akan berasa lebih bersalah jika membiarkan Nazili termangu sendiri tanpa jawapan.

Nazili membisu. Patut ke aku jumpa dia? Kuatkah aku untuk berhadapan dengannya? Macam mana pulak dengan Laily?

“Zi, are you still there?”

Nazili tersentak.

“Sorry. Bila?”

“Sekarang boleh?”

“Sekarang?” Nazili mencari jam tangannya di dalam laci meja. Jarum pendek jam itu berhenti di angka lapan manakala jarum panjang di angka tiga. Pukul lapan suku. Bolehlah kut. “Nak jumpa kat mana?”

“Zi tinggal kat mana?”

“Kat kolej.”

“Kolej apa? Mi ambil Zi kat kolej k?”

“Eh, tak apalah. Zi naik bas aja,” Nazili menolak. Sejak mengetahui Hazami sudah ada teman wanita lain, dia sedar namanya sudah lama mati di hati lelaki itu. Hazami teman lelaki Laily sekarang. Dia harus ingat itu.

“It’s ok. Mi ambil Zi. Zi tinggal kat kolej mana?”

“Seroja.”

“Ok, Mi datang sekarang. Zi tunggu tahu,” Hazami mematikan talian. Telefon bimbit itu direnung. Nombor telefon Nazili tidak berubah. Nazili masih menggunakan nombor telefon yang sama.

Selepas berjumpa dengan Nazili siang tadi, dia langsung tak senang duduk. Setiap saat dia asyik memikirkan tentang gadis itu. Gadis itu semakin cantik. Sangat berbeza ketika di bangku sekolah dulu. Tambahan pula apabila dia teringatkan kata-kata Iznul yang Nazili masih menunggunya.

Selepas puas berfikir, akhirnya dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Nazili. Namun dia sudah kehilangan nombor telefon Nazili selepas dia menukar nombor telefon ketika berpindah ke Shah Alam bagi melanjutkan pengajian dalam Diploma Komunikasi dan Media di UiTM Puncak Perdana. Di sanalah dia berkenalan dengan Laily. Mujur Laily ada menyimpan nombor telefon Nazili.

Jangka masa tiga tahun sudah cukup untuk membuatkan dia melupakan Nazili dengan adanya Laily di sampingnya. Dia rasa tidak salah sekiranya dia menjalin hubungan intim dengan Laily memandangkan mereka saling menyukai.

Nazili pula jauh dan pasti Nazili juga sudah menemui orang lain selepas tiga tahun mereka tidak berhubung. Mustahil Nazili masih berpegang teguh dengan janji yang pernah terukir di antara mereka ketika di bangku sekolah dahulu. Ada kalanya dia tertawa sendiri apabila mengenangkan janji bodoh yang pernah dilafazkan itu.

Apalah yang pelajar sekolah sebayanya tahu tentang janji untuk sehidup semati? Mereka hanya tahu bercakap tanpa berfikir. Lawak betul apabila perkara itu diingat semula. Namun sekarang, siapa sangka dia berjumpa dengan Nazili lagi. Wajarkah janji itu ditunaikan ataupun biar sahaja ditelan waktu?


***


“Hello, Zi. Zi kat mana? Mi dah ada kat depan kolej Seroja,” Hazami menghubungi Nazili selepas memberhentikan motornya di hadapan kolej Seroja. “Ok, Mi tunggu.”

Tidak sampai lima minit kemudian, Nazili muncul. Dari jauh, Nazili sudah dapat mengenali Hazami. Berdebar-debar jantungnya tatkala langkahnya semakin hampir dengan lelaki itu namun dia cuba berlagak tenang.

“Mi,” sapanya.

Hazami berpaling. Dia menghadiahkan senyuman kepada Nazili kemudian menghulurkan helmet.

“Zi dah makan?”

“Dah,” Nazili menyambut helmet itu. Betapa dia merindui senyuman itu. Senyuman yang memberinya semangat pada suatu ketika dulu. Senyuman yang menyerikan hari-harinya.

“Kalau macam tu, kita minum ajalah. Kita minum kat DC nak?” cadang Hazami.

“Zi tak kisah. Mana-mana pun boleh,” balas Nazili.

Itulah salah satu sikap Nazili yang disenangi oleh Hazami. Nazili seorang gadis yang tidak banyak kerenah dan mudah dibawa berbincang. Nazili tidak mudah melenting jika hubungan mereka dilanda badai malah Nazili bijak menangani masalah. Nazili juga tidak akan mempercayai cakap-cakap orang tentang Hazami sebelum dia mengetahui cerita sebenar daripada mulut Hazami sendiri.

Pernah suatu ketika, satu tingkatan heboh memperkatakan tentang dirinya dengan seorang pelajar perempuan tingkatan empat. Pelajar perempuan itu sudah lama meminatinya dan sanggup berbuat apa-apa sahaja bagi meraih perhatiannya. Perkara itu mendatangkan kemarahan Nazili namun Nazili tidak pula menyerang pelajar perempuan itu seperti yang dilakukan oleh perempuan lain.

Semestinya dia berasa bertuah dan beruntung mendapat teman wanita yang cukup memahami seperti Nazili. Atas kepercayaan dan kesetiaan Nazili, hubungan mereka berpanjangan sehinggalah dia berpindah ke Kuching kerana mengikut orang tuanya.

Bulan pertama di sana, dia selalu merindui Nazili dan kerap menghubungi gadis itu. Bil telefon yang melambung langsung tidak dihiraukannya. Yang dia tahu, dia mahu mendengar suara itu setiap hari. Selepas tamat SPM, dia pula sibuk menolong bapanya menguruskan perniagaan sementara menunggu keputusan peperiksaan.

Apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Shah Alam, dia menerimanya dengan senang hati. Dapatlah dia kembali ke semenanjung dan berjumpa dengan Nazili semula. Kepulangannya ke semenanjung dirahsiakan daripada pengetahuan Nazili. Konon nak bagi kejutan. Malangnya telefon bimbitnya hilang ketika sesi pendaftaran pelajar baru. Justeru, dia tidak dapat menghubungi sesiapa selain ayahnya berdasarkan kad bisnes ayahnya.

Lama-kelamaan dia mula melupakan Nazili. Mungkin kejadian telefon hilang itu petanda yang dia dan Nazili sudah tiada jodoh. Oleh sebab itu, dia nekad melupakan Nazili dan mula berkawan dengan Laily. Melihat Laily seolah-olah melihat Nazili. Ada Nazili dalam diri Laily. Mungkin disebabkan itu hatinya terpaut kepada Laily.

“Mi…”

Hazami tersentak. Asyik benar dia memikirkan kenangan mereka dahulu apabila terlihatkan kemesraan pasangan kekasih yang sedang bermadu asrama di Dataran Cendekiawan itu. Lokasinya yang terletak di antara Kolej Melati dan Kolej Mawar menjadikannya tempat tumpuan pelajar terutamanya pada waktu malam.

“Sorry. Zi cakap apa tadi?”

“Laily tahu ke kita jumpa ni?” Nazili tidak mahu hubungan Laily dan Hazami menjadi keruh gara-gara dirinya. Dia tahu macam mana sakitnya apabila teman lelaki sendiri diganggu oleh perempuan lain. Dia juga pernah melaluinya.

“Kenapa pulak Laily kena tahu?” ujar Hazami selamba. Takkan semua nak kena bagi tahu kut?

“Mi, untuk pengetahuan Mi, Laily tu kawan baik Zi dan Zi tak nak Mi mainkan perasaan dia macam Mi mainkan perasaan Zi,” tegas Nazili. Sakit di hatinya masih berbekas. Kalaulah dia beroleh kekuatan, mahu sahaja dia membelasah Hazami secukup-cukupnya bagi melepaskan geram.

“Zi, Mi tak pernah mainkan perasaan sesiapa. Baik Zi mahupun Laily. Mi betul-betul sayangkan Zi dan Laily,” terang Hazami.

“Sayang? Kalau Mi betul-betul sayangkan Zi, Mi takkan biarkan Zi menunggu tanpa berita! Sebelum Mi pergi, Mi janji akan terus menghubungi Zi tapi…? Mi bagi Zi harapan. Mi suruh Zi tunggu Mi. Zi percayakan Mi. Zi tunggu Mi walaupun Zi sendiri tak tahu apa kesudahan hubungan kita. Bila Zi telefon, Mi tak jawab. Bila Zi hantar mesej kat YM, Mi tak balas. Apa salah Zi? Kenapa Mi mendiamkan diri? Mi tahu tak sikap Mi telah menyiksa jiwa Zi?” Nazili mencurahkan segala perasaan yang dipendamnya sekian lama. Bukankah pertemuan mereka malam ini bagi meleraikan segala kekusutan di antara mereka?

“Mi minta maaf. Mi tahu Mi salah. Selepas tiga tahun, Mi tak sangka yang kita akan jumpa lagi. Lagipun Mi kat Sarawak, Zi kat semenanjung. Macam-macam boleh jadi.”

“Sekarang baru Mi rasa macam tu? Kenapa dulu Mi suruh Zi tunggu Mi? Kenapa Mi suruh Zi percayakan Mi?” Nazili sudah mula sebak namun air matanya ditahan daripada mengalir. Dia tidak mahu dilihat lemah di mata Hazami. Pasti Hazami mentertawakannya kerana kebodohannya. Menunggu tanpa kepastian.

“Bukan macam tu. Mi…”

“Kalau bukan macam tu, macam mana pulak?” Nazili pantas mencantas kata-kata Hazami. Kata-kata Hazami akan hanya menambah rasa sakit di hatinya. Mungkin antara dia dan Hazami memang sudah tiada jodoh. Mungkin Tuhan menemukan dia dengan Hazami hanya untuk menamatkan segala penantiannya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

uhh..sodapp jer hazami bgtaw syg zi n laily..ingt ank ptg ke nk share2 dhla bestfrnz lagi tue..

nsb baik la zi "cuci" skit otak die..hawhaw..pdn muko..


want more aa ilmia..

*swit hanna*