Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Januari 02, 2009

Ampunilah ...

“Ari Ahmad!”

Lamunan Ari tersentak. Pintu bilik itu dibuka. Seorang pegawai masuk dan menyuruhnya mengemas barang-barangnya. Dia kemudian dibawa berjumpa dengan seseorang. Setelah berurusan dengan pihak berkenaan, dia dibawa pula ke pintu utama tempat tersebut.

“Jaga diri kamu baik-baik. Jangan datang lagi ke mari,” pesan pegawai itu.

Ari memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana akhirnya dia dapat juga keluar dari tempat yang dianggap seperti penjara itu.

Ari kemudian mengambil keputusan untuk bersiar-siar di bandar. Tempat yang sudah lama tidak dikunjunginya. Setelah penat melangkah, Ari melabuhkan punggung di perhentian bas. Suasana perskitaran sudah banyak berubah. Sebuah bas berhenti di hadapannya. Namun Ari hanya membiarkan bas tersebut berlalu. Niatnya untuk pulang melawat syurga yang telah lama ditinggalkannya dibatalkan.

Dia kemudian mengambil salah satu teksi di situ dan singgah di suatu tanah perkuburan Islam. Ari menyedekahkan Al-Fatihah kepada si mati. Tanpa disedari, mutiara jernih bergenang di kelopak matanya. Tiba-tiba Ari terkenang akan ibunya. Seribu penyesalan bersarang di lubuk hatinya.


***


“Selamat pagi, ma…”

“Haa… Ari, dah bangun? Mari sarapan.”

“Ayah mana, ma?” tanya Ari apabila ayahnya tidak kelihatan.

“Hmm… ayah kau tu, tahu ajalah. Awal-awal pagi lagi dah ke pejabat. Orang gila kerja, macam tulah. Tak kira siang ke, malam ke… yang dia tahu kerja, kerja, kerja… Sampai nak makan pun tak ada masa. Mama bukan apa Ari. Mama sunyilah.”

“Ala… mama ni, Ari kan ada!” Ari memeluk pundak ibunya.

“Kalau nak harapkan Ari temankan mama, hmm… jangan haraplah! Panas betul punggung tu nak lekat kat rumah …” Puan Hana mencuit hidung anaknya manja.

“Apalah mama ni ...” Ari menggosok-gosok hidungnya. “Ari boringlah, ma. Kalau Ari duduk rumah pun, bukannya ada apa-apa yang Ari nak buat. Lebih baik Ari keluar jalan-jalan dengan kawan-kawan Ari.”

“Yelah… mama tahulah yang mama ni dah tua. Bila-bila masa saja akan dipanggil mengadap Allah,” Puan Hana seakan merajuk dengan kata-kata anaknya.

“Mama janganlah cakap macam tu. Ok, ok. Ari minta maaf. Nanti Ari bawa mama pergi bersiar-siar ok? Mmm… ma, mama ada duit tak?”

“Ari nak duit lagi? Bukan ke hari tu mama dah beri?”

“Sikit sangatlah, ma. Mana cukup.”

“Ari, Ari. Apa nak jadi dengan kau ni? Keputusan SPM dah lama keluar tapi kau masih terperuk dalam rumah ni. Mama suruh sambung belajar, kau tak minat. Ayah kau suruh kerja, kau tak nak. Apa yang kau nak sebenarnya Ari? Umur kau dah 19. Tak lama lagi nak masuk 20. Takkan kau nak harapkan duit ayah kau seumur hidup? Kalau kami dah tak ada nanti, kau nak minta dengan siapa?”

“Mama ni, kalau tak nak bagi cakaplah tak nak bagi. Panjang pula kuliahnya.”

“Haa… nak ke mana pula tu?”

Langkah Ari terhenti.

“Mana lagi, keluarlah.”

“Tulah Ari, cakap sikit merajuk. Tegur sikit, merajuk. Tunggu Kejap. Mama pergi ambil duit.”

Tatkala Ari sedang mengikat tali kasutnya, Puan Hana tiba dengan duit di tangannya.

“Nah, ambil duit ni.”

“Ala…ma, takkan banyak ni aja?”

“Cukuplah tu RM50.”

“Ala…ma, tambahlah sikit lagi.”

“Cubalah berjimat sikit, Ari. Penat ayah kau cari duit.”

“RM50 pun RM50 lah,” Ari memotong cakap ibunya. Takut-takut ibunya memberi kuliah lagi. Gegendang telinganya telah panas dek syarahan ibunya pagi ini. “Ari pergi dulu, ma…” Ari mencium tangan ibunya.

“Baik-baik bawa motor tu, Ari…”

“Baiklah, mama.”


***


“Hei, Ari! Ingat tak datang tadi,” sapa Danny apabila Ari muncul di restoran tempat mereka selalu berkumpul.

“Sorrylah, geng. Aku ada kelas kaunseling tadi. Kau faham-faham ajalah mak aku tu,” Ari melepaskan keluhannya.

“Ok, sekarang kau jangan fikir benda-benda lain. Aku nak tanya kau. Malam ni macam mana? Jadi?” Danny menepuk bahu Ari.

“Tengoklah dulu.”

“Nak tengok apa lagi? Mereka semua dah setuju. Cuma tunggu jawapan daripada mulut kau aja. Come onlah, Ari. Takkan kau nak biar si Faizal dan geng-gengnya ketawakan kita?”

“Kalau macam tu, oklah. Aku datang,” Ari terpaksa akur memandangkan raut wajah Danny yang bersungguh-sungguh.

“Haa… macam tulah kawan! Jom kita pekena teh tarik. Aku belanja.”

“Betul ke ni? Macam tak percaya ja kau nak belanja aku.”

“Betullah. Apa pula yang tak betulnya? Tapi dengan syarat, malam ni kau mesti menang!”

“Itu kau tak usah risaulah. Ini Arilah.”


***


Deruman motosikal memecah keheningan malam itu. Bunyinya pasti membingitkan telinga sesiapa saja yang tidak suka akan kemeriahan malam. Jalan raya yang sunyi itu dihiasi gelak tawa warga kota yang masih belum puas menikmati keseronokan di siang hari.

“Ari, macam mana? Kau dah bersedia untuk kalah di tangan aku?” sindir Faizal ketika Ari tiba dengan motosikalnya.

“Hmm… kita tengok siapa yang kalah!” Ari dan Faizal saling berpandangan. Masing-masing sudah bersedia dengan motosikal masing-masing.

Faizal merasakan inilah masanya untuk menebus kekalahannya tempoh hari. Brooom! Broommm!

“Sedia… mula!”

Ari dan Faizal memecut motosikal masing-masing apabila kata-kata tersebut dilaungkan. Jalan raya yang lengang itu menyaksikan kehebatan mereka berdua yang tidak kenal erti bahaya semata-mata untuk bergelar juara. Sekejap Ari di depan, sekejap Faizal di depan. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah.

Melihatkan dirinya jauh ketinggalan, Faizal menambah kelajuan motosikalnya. Ari yang menyedari akan tindakan Faizal itu turut berbuat demikian. Faizal tersenyum menyindir apabila dia berjaya memotong motosikal Ari tetapi malangnya Faizal tidak sempat menekan brek apabila tiba-tiba sebuah lori balak lalu di hadapannya. Boom!!!


***


“Ari… Ari tak apa-apa?” Puan Hana menerpa Ari yang sedang disoal siasat oleh seorang pegawai polis. “Apa yang dah berlaku, Ari? Kenapa dengan tangan kau?” Puan Hana memegang tangan Ari yang berbalut itu.

“Ari tak apa-apalah, ma. Luka sikit ja.”

“Sikit kau kata? Sampai berbalut-balut ni kau kata sikit?”

“Maafkan saya, puan,” pegawai polis itu menyapa Puan Hana. “Puan ni ibu budak ni ke?”

“Ya, saya ibunya. Apa kesalahan anak saya, Tuan?”

“Anak puan didapati bersalah kerana menyertai perlumbaan haram.”

“Apa? Betul ke, Ari?”
Ari tunduk. Tidak sanggup memandang muka ibunya lebih-lebih lagi wajah garang ayahnya yang sejak tadi tidak lepas memandangnya seakan-akan hendak menelannya hidup-hidup.

“Maafkan saya, Tuan. Saya ayahnya,” Encik Ahmad mula berurusan dengan pegawai polis tersebut. Sesekali dia menjerling tajam ke arah Ari.


***


“Ari…”

Langkah Ari terhenti.

“Mari sini. Ayah nak cakap sikit.”

Ari melangkah longlai menuruni anak tangga.

“Duduk.”

Ari akur.

“Apa nak jadi dengan kau ni, Ari? Belajar malas, kerja tak nak. Merayau saja kerjanya. Kalau buat benda berfaedah, tak apa. Ini tidak. Kerja haram tu juga yang kau pilih! Kau tengok apa dah jadi dengan budak Faizal tu! Dia meninggal dunia gara-gara kebodohannya! Sia-sia mak bapaknya menyaranya hampir 20 tahun. Ari, cubalah kau kasihankan ayah. Ayah penat tau cari duit. Ari pula buat perangai. Kalau Arri tak kasihankan ayah pun, kasihanilah mama Ari. Siang malam dia berdoa agar Ari jadi anak yang berguna. Kau satu-satunya anak kami. Kami harap kau dapat membantu meringankan beban kami tapi tak! Kau menambahkan beban ke atas bahu kami. Sudah! Mulai saat ini, kau tak boleh keluar tanpa izin ayah. Ayah akan jual motosikal kau tu esok!”

“Tapi yah…” Ari cuba membantah.

“Tak ada tapi tapi lagi! Keputusan ayah muktamad!”

Ari mengetap bibir lalu berlari naik ke biliknya.

“Tengoklah anak awak tu. Pantang ditegur. Dia ajalah yang betul.”

“Anak saya, anak awak juga.”

Mereka saling berpandangan.


***


“Kenapa ni, Ari? Sejak kebelakangan ni, mama tengok Ari macam tak bermaya aja. Makan tak nak, tengok TV tak nak. Ari sakit ke?” Puan Hana menegur anak tunggalnya yang terbaring di atas katil di kamarnya itu. “Macam mana mama nak gembirakan hati anak mama yang seorang ni?”

Ari bingkas bangun.

“Ma, kalau betul mama sayangkan Ari, mama bagilah Ari keluar. Ari dah tak tahan lagi terkurung dalam rumah ni. Rasa macam dalam penjara aja.”

“Ari, Ari kan tahu ayah Ari tak bagi Ari keluar. Kalau ayah Ari tahu nanti, apa mama nak jawab dengan ayah Ari nanti?”

“Ala…ma, takkan mama nak tengok Ari mati dalam rumah ni? Ari boleh jadi gila kalau tinggal lagi lama kat sini.”

Puan Hana serba salah.

“Please ma… Ari merayu pada mama. Tolonglah Ari.”

Akhirnya Puan Hana terpedaya juga dengan rayuan Ari.

“Baiklah tapi Ari kena janji dengan mama. Ari kena balik sebelum ayah Ari balik.”

“Thanks, ma,” Ari memeluk ibunya dengan gembira.

“Ari ingat, balik sebelum ayah kau balik!”


***


Tuk! Tuk! Tuk!

“Eh, Ari! Masuklah,” Danny sedikit terkejut melihat Ari. “Dah lama tak Nampak kau. Kau ke mana?” Danny membuka pintu peti ais lalu menghulurkan satu tin minuman ringan kepada Ari.

“Aku kena kurung dengan ayah aku.”

“Kena kurung? Macam budak kecik. Habis tu, macam mana kau boleh keluar?”

“Mak aku kan sayangkan aku. Takkan dia nak biarkan aku bersedih sepanjang hari. Aku kan satu-satunya anak dia.”

Sedang mereka rancak berbual, tiba-tiba terdengar bunyi barang jatuh di bilik belakang rumah tersebut.

“Apa tu?” Ari hairan.

“Syy… ikut aku.”

Ari mengekori Danny ke bilik tersebut. Alangkah terperanjatnya Ari apabila melihat keadaan di bilik tersebut.

“Ari, kalau kau nak lupakan masalah kau, kau ambil benda ni.”

“Benda apa ni?” Ari membelek-belek benda tersebut.

“Jangan banyak tanya. Kau ambil ajalah. Aku jamin kalau kau ambil benda ni, nescaya kau lupa semua masalah kau.”

“Betul ke?” Ari masih ragu-ragu.

“Cubalah.”

Akhirnya Ari juga khayal bersama-sama mereka yang lain.


***


“Ari, mana kau pergi? Ayah kau dah lama balik,” kata Puan Hana separuh berbisik.

“Kenapa mama ni? Ari letihlah. Nak tidur,” Ari terhuyung-hayang ke biliknya.

“Ari! Ari!” Panggilan ibunya tidak diendahkannya. Di pertengahan jalan, Ari bertembung dengan ayahnya.

“Ari…”

Ari berjalan ke biliknya tanpa mengendahkan ayahnya. Encik Ahmad berasa pelik dengan kelakuan Ari.


***


“Ma, Ari nak duit ma,” Badan Ari menggigil-gigil.

“Kenapa dengan kau ni, Ari?” Puan Hana cemas melihat keadaan anaknya.

“Ma, Ari kata Ari nak duit! Mana mama simpan duit tu?” Ari mula bertindak agresif.

“Ari, mama mana ada duit,” Puan Hana cuba menenangkan Ari.

Ari berlari ke bilik ibu bapanya lalu menyelongkar almari bilik tersebut. Puas dicarinya. Namun apa yang dicarinya tidak ditemuinya. Akhirnya Ari menjumpai beberapa keping wang kertas di dalam laci almari mekap ibunya.

“Mama tipu! Ni apa?”

“Ari, jangan tinggalkan mama sayang…”

Ari berlari ke luar rumah.

“Ari!” Puan Hana tidak berdaya menghilang Ari. Dia lantas segera menghubungi suaminya.


***


“Bang, macam mana? Ada jumpa Ari?” Puan Hana segera menerpa ke arah suaminya di muka pintu.

“Tak ada. Sudah puas saya cari dia. Di tempat dia selalu pergi pun tak ada,” Encik Ahmad melabuhkan punggung di sofa. Penat.

“Habis, apa kita nak buat bang?”

Encik Ahmad cuba menenangkan isterinya.

“Sabarlah, Hana. Kita tunggu sekejap lagi. Kalau dia tak balik juga, kita laporkan saja pada polis. Dah, biar saya teman awak berehat di bilik,” Encik Ahmad memapah isterinya.

Kehilangan Ari benar-benar memberi tamparan hebat kepada mereka berdua. Puan Hana tidak dapat melelapkan mata apabila terdengar bunyi bising di dapur lalu bangkit dari katilnya.

Encik Ahmad terkejut apabila melihat isterinya.

“Maafkan saya kalau saya mengejutkan awak.”

“Apa yang awak buat tu?”

“Saya rasa dahaga. Ingat nak basahkan tekak. Tak sangka terpecahkan gelas,” Encik Ahmad mengutip kaca-kaca di lantai.

“Mari saya tolong.”

“Tak apalah. Biar saya buat. Awak pergilah tidur. Awak kan sakit.”

“Saya tak boleh tidur.”

“Saya tahu awak risaukan Ari.”

“Awak pun risaukan dia kan?”

“Ibu bapa mana yang tak risau kalau anaknya hilang?”

“Hmm… saya tahu awak sayangkan dia. Cuma dia yang tak tahu. Semua salah saya. Kalaulah saya halang dia, tentu tak jadi begini,” Puan Hana mula teresak-esak.

“Sudahlah. Mungkin ini ujian daripada Allah agar kita lebih tabah mengharungi hidup. Sama-samalah kita berdoa agar Ari selamat.


***


Sementara itu di rumah Danny, Ari dan beberapa remaja lain sedang seronok meniti dunia khayalan. Masing-masing antara sedar dan tidak sedar. Mereka lupa di mana mereka berpijak.

Malangnya nasib tidak menyebelahi mereka pada malam itu apabila sepasukan polis menyerbu rumah tersebut dan berjaya memberkas kelima-lima mereka. Akhirnya kelima-lima mereka dihantar ke pusat pemulihan.

Sesungguhnya apa yang paling dikesali oleh Ari adalah kerana ibunya tidak dapat melihatnya pulih dan berjaya pada hari ini kerana ibunya telah pergi buat selama-lamanya sebelum dia sempat sujud memohon ampun daripada orang yang paling banyak berkorban untuknya.

Namun Ari tetap bersyukur kerana ayahnya masih menerimanya walaupun dia telah menconteng arang ke muka ayahnya. Malah ayahnyalah yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk dia kembali berdiri teguh dalam meniti hari yang penuh misteri.

Tolonglah Tuhan… berilah petunjuk-Mu agar aku tidak tersesat di persimpangan jalan… amin. Bisik hati kecil Ari.



*Cerpen ni aku tulis masa aku form 4 atau form 5 sekitar tahun 2001/2002. Aku pun tak ingat. Kertas pun dah kuning...ahak

1 ulasan:

keSENGALan teserlah.. berkata...

waaaaa...
best cite nieh...
akhirnye insaf gak,,tp da terlmbt coz xdpt nk jmpe mk dye 4 the last time...
isk2...