Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Julai 29, 2009

Cinta Yang Aku Mahu 38

Dia tersenyum menatap skrin komputer yang memaparkan blog berwarna biru langit itu. Entah kenapa hatinya terhibur setiap kali membaca entri di blog itu. Seolah-olah dia berasa dekat dengan penulisnya. Perkenalan di blog berlanjutan ke Yahoo Messenger. Seboleh-bolehnya dia mahu hubungan itu berlanjutan ke telefon dan seterusnya ke alam realiti.

Namun, penulisnya seakan-akan mengelak apabila perihal itu disentuh. Mungkin penulis tidak mahu identiti dirinya diketahui. Dia akur dengan keputusan penulis asalkan mereka tetap saling berhubung di internet. Sejak pertama kali membaca blog yang diberi nama Budak Psiko itu, nalurinya kuat mengatakan yang dia sudah menemui gadis impiannya.

Bodoh ke dia jika jatuh cinta dengan orang yang tidak dikenalinya? Yang hanya diketahui nama dan kisah hidupnya melalui blog? Betulkah ini cinta ataupun hanya sekadar perasaan suka? Tapi hatinya selalu saja ternanti-nantikan cerita baru daripada penulisnya. Sehari tidak membaca blog itu, dia berasa seakan ada sesuatu yang kurang di dalam hidupnya.

Balik dari berjumpa teman lamanya tadi, blog itu dulu yang menjadi santapan mata sebaik-baik saja kakinya menapak di kamar tidur yang menempatkan komputer peribadinya. Nasibnya baik kerana penulisnya ada berstatus online dan dia tidak melepaskan peluang itu untuk bersembang dengan gadis yang telah menawan hatinya itu. Mungkin namanya saja Budak Psiko tapi entri-entrinya tak adalah psiko pun.

Apabila mereka berbual-bual di Yahoo Messenger pun, dia dapat berasakan gadis yang dikenali sebagai Eisya itu seorang yang mudah mesra, kelakar, suka bergurau dan sangat menyenangkan. Semua masalahnya seakan hilang apabila dia 'bersama' gadis itu. Inilah gadis impiannya...

Baru sahaja dia hendak memasang angan-angan, pintu biliknya diketuk. Dia terus mengecilkan skrin Yahoo Messenger dan membesarkan skrin microsoft word.
“Saufi...” seorang wanita berusia hampir 50 tahun menjenguk di muka pintu. Saufi berpaling dari komputernya.

“Ya, ma?”dia cuba berlagak tenang.

“Saufi dah makan?”

“Belum lagi.”

“Tak lapar ke?”

“Tak.”

“Saufi ada masalah ke?”

“Tak adalah, ma. Saufi okey aja. Kenapa mama tanya macam tu?”

“Habis tu, kenapa dua tiga menjak ni mama tengok Saufi asyik berkurung kat dalam bilik aja?”

“Tak ada apalah, ma. Saufi banyak kerja nak buat,” bohong Saufi. Takkan aku nak bagi tahu mama yang aku dah jatuh cinta dengan gadis dalam internet ni dan aku berkurung di dalam bilik semata-mata nak habiskan masa dengan dia di alam maya?

“Betul?”

“Betul... mama janganlah risau,” Saufi meyakinkan mamanya.

“Kalau macam tu, kejap lagi Saufi turun makan tahu. Mama dah simpan lauk untuk Saufi,” pesan si ibu.

Thanks, ma...”

Si ibu sempat menghadiahkan senyuman buat si anak sebelum menutup pintu. Sebaik-baik sahaja pintu itu ditutup, Saufi segera membesarkan skrin Yahoo Messenger tadi kembali. Namun sayangnya, Eisya sudah pun offline. Ayat terakhirnya, 'Sorry Saufi. Saya ada kerja sikit.' Saufi mengeluh hampa kerana tidak sempat mengucapkan kata perpisahan. Perpisahan sementara semestinya!


**********


Eisya tersenyum senang hati menonton rancangan televisyen kegemarannya di ruang tamu. Dia terpaksa 'meninggalkan' Saufi demi Shaheizy Sam, seorang pelakon muda yang sudah menambat hatinya. Semua kerja akan ditinggalkannya semata-mata mahu menatap wajah itu di kaca televisyen. Sampaikan dia pernah berangan-angan Shaheizy Sam itu teman lelakinya. Oh, macam manalah kehidupannya jika teman lelakinya seorang pelakon terkenal?

Mesti ramai perempuan yang cemburu dengannya ataupun tidak mustahil juga dia sendiri yang diserang rasa cemburu apabila teman lelakinya dikerumun oleh ramai perempuan. Tak pasal-pasal hubungan mereka dihiasi dengan pergaduhan yang disebabkan oleh rasa cemburu. Biasa dalam drama macam itulah apabila salah seorangnya adalah selebriti ataupun orang terkenal.

Memang best apabila menjadi tumpuan ramai di mana-mana sahaja tapi dalam waktu yang sama hak privasi sendiri pasti diceroboh. Itu belum lagi masuk bab gosip dan khabar-khabar angin. Kalau tak kuat dari segi mental dan fizikal, jangan mimpilah nak masuk bidang ni walaupun hanya sekadar teman wanita artis. Hisy... Tak naklah!

“Kau ni tengok TV ke berangan?” sergah Fariza yang baru muncul dari dalam.

“Dua-dua,” balas Eisya selamba.

“Kalau tak nak tengok, bagi akulah remote tu,” Fariza baru saja mahu mencapai remote control TV di atas meja namun pantas dihalang oleh Eisya.

“Aku nak tengoklah!”

“Tengok apa macam tu?”

“Tengoklah ni. Tak nampak ke?” Eisya menghala pandangannya ke televisyen. Namun, tidak sampai beberapa saat, konsentrasinya terganggu apabila telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada SMS yang masuk. Eisya pantas membaca SMS itu. Siapa pulak ni?

1 ulasan:

Nur_Wa berkata...

salam,
adess saufi dh tgkap cintan ngn eisya
abisla ko eisya..
buaya darat malaya dh tgkap leleh ngn ko
x nak la saufi ngn eisya
prefer irwan ngn eisya
suka sgt wan ngn eisya..sweet