Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, September 06, 2014

Bukan Tak Suka - Bab 1


“AHMAD DANISH HAIKAL.”

Nama itu meniti di bibirnya seraya pandangan matanya tertancap pada wajah di hadapannya itu.

Wajah itu diamati.

Tak adalah hensem mana pun. Kulit pun gelap tapi masih dalam kategori sedap mata memandang. Rambutnya pula ditutupi dengan snow cap yang dipakainya.

Dia masih teragak-agak untuk menghampiri pelajar lelaki itu.

Ketika dia mendapat tahu bahawa tuan punya nama alias student repeater itu akan menjadi pasangannya untuk subjek Multimedia Production sepanjang semester itu, dia berkeras tidak mahu. Bermacam-macam alasan yang diberikan agar Dr. Othman atau lebih mesra dipanggil Dr. O membenarkan dia memilih pasangannya sendiri. Namun siapalah dia untuk membantah pensyarah yang amat dikenali dengan sikap tegasnya itu.

Kata Dr. O, dia dikira bertuah dapat bekerjasama dengan orang yang dia tidak kenal atau rapat kerana dia dapat mengenali orang lain dan tidak terikat dengan kawan-kawan yang sama saja setiap semester.

Menurut Dr. O lagi, hal ini dapat melatih dirinya bekerja dengan orang yang tidak dikenali kerana apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan nanti, mereka tidak boleh memilih dengan siapa mereka mahu bekerja.

Sebenarnya, dia tidak kisah sangat bekerja dengan siapa-siapa pun asalkan orang itu okey dan boleh buat kerja. Tapi apa yang dia dengar tentang manusia yang bernama Ahmad Danish Haikal ini adalah sebaliknya.  

Menurut cerita yang dia dengar daripada Irwan, pelajar lelaki itu kerap tidak hadir ke kelas. Atas sebab apa, tiada sesiapa pun yang tahu. Menurut Irwan lagi, dahulunya Danish tidak begitu. Namun sejak semester lepas, sikapnya berubah menjadi pendiam dan suka mengasingkan diri. Mungkin disebabkan kematian ayahnya.

Memandangkan pelajar lelaki itu sering tidak hadir, ramai yang tidak mahu sekumpulan dengannya. Ada atau tiada, sama saja. Akhirnya, dia terpaksa mengulang subjek tersebut pada semester ini.

Jika bukan kerana tugasan, Elfira juga tidak pernah terfikir untuk mencari pelajar lelaki itu. Tambahan pula, dia bukanlah orang yang suka mengambil tahu akan perihal orang. Habis kelas saja, dia terus balik ke asrama. Mungkin disebabkan itulah dia tidak berapa mengenali senior-seniornya walaupun sudah lima semester dia belajar di situ.

Mujur salah seorang rakan sekelasnya, Irwan, mengenali Danish. Apabila Irwan memberitahu bahawa Danish berada di kafeteria itu, dia membuat keputusan untuk bersemuka dengan Danish.

Yalah, jika dia tidak mengambil kesempatan itu, entah bila pula dia dapat berjumpa dengan Danish sedangkan tarikh akhir untuk menghantar projek mereka semakin hampir.

Dia tidak tahu sama ada Danish mengetahui atau tidak yang mereka adalah pasangan untuk tugasan itu kerana hingga ke hari itu, Danish tidak pernah mencarinya. Tapi kalau difikir secara logik, macam mana Danish tu nak tahu yang mereka perlu bekerja berpasangan jika dia selalu tak datang kelas? Jadi, nak tak nak, terpaksalah dia menebalkan muka untuk menjejaki Danish.

Pandangan matanya masih tertancap pada Danish yang sedang menjamah makanan seorang diri. Dia berkira-kira sama ada dia patut menegur Danish waktu itu atau menunggu sehingga Danish selesai makan.

Macam mana kalau Danish memarahinya kerana mengganggunya makan?

Tapi kalau dia lepaskan peluang ini, takut dia terlepas peluang untuk berjumpa dengan Danish lagi.

Dalam keadaan tertanya-tanya itu, kakinya melangkah juga menghampiri pelajar lelaki itu.

Dia tercegat di hadapan pelajar lelaki itu tetapi pelajar lelaki itu seolah-olah tidak menyedari kehadirannya. Dia berasa seperti tunggul pula apabila pelajar lelaki itu langsung tidak mengangkat muka. Nampak gayanya, terpaksalah dia bersuara.

“Awak ni Danish, kan?”

Mahu tidak mahu, terpaksalah Elfira mengenepikan perasaan malunya dan memulakan langkah dahulu. Jika tidak, sampai sudahlah tugasan mereka tidak siap. Jika tugasan mereka tidak siap, dia juga yang susah. Tidak pasal-pasal, dia harus mengulang subjek pada semester depan pula nanti.

Ops!

Mintak dijauhkan!

Pelajar lelaki yang dikenali sebagai Danish itu mengangkat muka. Entah mengapa tiba-tiba sahaja hatinya berdebar-debar sejurus pandangan mata milik wajah tenang itu memanah tepat ke matanya.

Pandangan mereka bertaut seketika sebelum Danish menjawab, “Ya, saya.”

Tiba-tiba lidahnya jadi kelu untuk berkata-kata. Dia terpesona mendengar suara itu. Namun, pantas rasa itu dibuang jauh-jauh. Dia tidak mahu terleka.

“Saya Elfira. Err... Dr. O ada beritahu awak apa-apa tak pasal saya?” Elfira memberitahu namanya. Sedikit gagap. Mungkin gemuruh.

Gelengan Danish membuatkan Elfira menarik nafas lalu dilepas kuat. Nampak gayanya, terpaksalah dia menerangkan dari mula.

“Boleh saya duduk sini?” Elfira meminta izin seraya menunjuk kerusi di hadapan Danish.

Takkan dia nak bercakap sambil berdiri saja? Masaklah! Nak tunggu Danish pelawa, macam tak saja gayanya.

Danish cuma mengangguk sebagai isyarat memberi izin.

Melihatkan itu, Elfira menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Haish. Tak pernah-pernah dia buat muka tak malu macam ni dengan mana-mana lelaki. Kalau tahu dek mak dan abah di kampung, boleh cair tahi telinganya mendengar tazkirah mereka.

Maafkan, El, mak, abah. El buat ni pun sebab terpaksa!

“Awak tahu tak yang projek akhir subjek Mutimedia Production tu kena buat secara berpasangan?” Elfira membuka mukadimah.

Danish menggeleng.

Isy, asyik angguk dan geleng aje! Dah tak boleh bercakap ke? Elfira mengomel dalam hati.

Geram pula dia melihat sikap Danish yang berat mulut itu. Macamlah soalan yang ditanya tadi merupakan soalan yang sulit dan tidak boleh didengari oleh orang lain. Itu pun susah nak jawab ke?

Elfira menerus, “Memandangkan semua budak kelas kita dah ada partner, jadi Dr. O suruh saya jadi partner awak untuk projek tu.”

Elfira cuba membaca riak wajah Danish. Entah Danish suka atau tak berpasangan dengannya.

Ah, kalau Danish tak suka, dia berkali-kali ganda lagi tak suka!

“Ooo...” Danish tetap beku seperti tadi. Langsung tiada senyuman pada wajahnya. Namun, tidak pula bermasam muka. Biasa-biasa saja.

Oooo? Itu saja?

Elfira menunggu kata-kata balasan daripada Danish. Mungkin Danish ada sesuatu yang nak dicakapkan namun setelah dua minit berlalu, Danish masih tidak bersuara dan hanya memandangnya.

Memang cuma ‘ooo’ saja.

“Kita kena bincang pasal projek tu,” kata Elfira sebaik-baik saja dia teringat akan tujuan dia menemui Danish di situ.

Kalau nak harapkan Danish, entah sampai bila mereka akan duduk berdiam diri seperti itu. Dari tadi Danish asyik memandangnya sampai dia naik segan.

“Okey,” jawab Danish sepatah.

Seperti tadi, hanya sepatah perkataan yang keluar daripada mulut Danish. Elfira mengeluh. Dia sudah nampak tanda-tanda tak best apabila bekerjasama dengan Danish nanti.

Dr. O, saya nak tukar partner! Teriak Elfira dalam hati.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Bleh x akak komen bab 2 nanti..
sbb bab 1 tu bab pengenalan...
t.q..

Ilmar Imia berkata...

Eh, boleh saja!

Tak ada masalah :)