Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 06, 2008

Dia Milikku!

“Ah, aku tak kira! Aku takkan mengalah!” tegas Krisya.

“Kau kan dah ada boyfriend. Buat apa nak sibuk-sibuk lagi?” bantah Karina.

“Eh, aku punya sukalah! Aku yang lahir dulu.”

“Habis kalau kau lahir dulu, aku kena ikut cakap kaulah?”

“Tahu tak apa!”

Karina mendengus geram. Sakit hatinya dengan sikap kakaknya yang selalu hendak menang itu. Asyik-asyik dia yang kena mengalah. Sebagai kakak, sepatutnya Krisya lebih bertimbang rasa. Ini terbalik pulak.

Sejak kecik sampai sekarang, Krisya tidak pernah mahu beralah dengannya. Asyik dia aja yang nak menang.

Karina masih ingat ketika dia berusia lima tahun dan Krisya berusia enam tahun, Abah membelikan anak patung Barbie untuk mereka berdua. Namun Krisya yang membuat pilihan dulu. Sudah tentulah Krisya memilih patung yang lebih cantik.

Namun, Karina hanya menerima. Apa-apa pun pemberian Abah, dia tetap menganggapnya cantik dan berharga. Sehingga ke hari ini, patung Barbie itu masih disimpannya. Tapi patung kepunyaan Krisya sudah lama terperap di dalam stok rumah mereka!

Ketika Karina baru hendak masuk darjah satu, Krisya merengek hendakkan beg sekolah baru sedangkan beg sekolahnya masih elok. Baru setahun dipakainya. Memandangkan Abah tidak mahu membazir, Karina pulak yang terpaksa memakai beg sekolah lama Krisya sedangkan Krisya dibelikan beg sekolah baru oleh Abah.

Ketika hari pertama Karina masuk sekolah pula, dia terpaksa ke sekolah dengan menaiki van memandangkan Krisya demam dan Abah terpaksa menghantarnya ke klinik. Karina tahu Krisya sengaja berpura-pura demam sebab Krisya tak mahu Abah menemaninya ke sekolah pada hari pertama.

Ketika di sekolah menengah, Abah membelikan basikal sempena keputusan cemerlangnya dalam PMR. Krisya juga mahukan basikal sedangkan pelajarannya hampeh! Abah tak ada duit untuk beli basikal satu lagi jadi Abah suruh Krisya pinjam basikal Karina.

Tapi Krisya buat basikal tu macam harta dia. Setiap hari, Karina terpaksa berjalan kaki ke sekolah sedangkan Krisya enak berbasikal dengan basikalnya!

Bila masuk kolej pula, Krisya mendesak Abah membelikannya kereta dengan alasan senang dia hendak ke kuliah. Karina yang memerlukan laptop untuk kegunaan pengajiannya pula terpaksa memendamkan keinginannya itu.

Ada kalanya Karina berasa seperti dianaktirikan. Semua kemahuan Krisya dituruti oleh Abah sedangkan permintaannya sering kali diabaikan.

“Abah terus-terang ajalah dengan Karina. Sebenarnya Karina ni anak angkat kan?”

“Astafirullah… Kenapa Karina cakap macam tu?” terkejut Abah apabila Karina mempersoalkan statusnya sebagai anak kandung pada suatu hari.

“Yalah, Krisya selalu dapat apa yang dia nak tapi Karina nak dapat satu benda pun payah,” luah Karina.

“Karina, Karina. Karina memang anak kandung Abah dan Mama,” tegas Abah. Dia tidak mahu anak bongsunya itu berfikir yang bukan-bukan.

“Habis tu, kenapa Abah selalu lebihkan Krisya? Abah tak sayangkan Karina ke?”
Abah diam. Mencari ayat yang sesuai untuk dituturkan.

Krisya Norsabrina dan Karina Norsaerah memang berkongsi ibu bapa yang sama tetapi mewarisi sifat yang berbeza.

Krisya seorang anak yang keras kepala dan suka membantah namun Krisya tahu apa yang dimahukannya dalam hidup. Karina pula seorang anak yang menurut kata dan lembut hati namun sikapnya yang terlalu memikirkan perasaan orang lain ada kalanya melukai hatinya sendiri.

Namun baik buruk mereka, mereka tetap darah dagingnya. Mereka berdualah permata hati yang telah membawa seri dalam rumah tangga yang dibina sejak 25 tahun yang lalu. Kedua-duanya dia sayang namun mungkin dengan cara yang berbeza.

“Bukan Abah tak sayangkan Karina tapi Karina sendiri tahu kan perangai Krisya tu macam mana kalau dia tak dapat apa yang dia nak? Kalau Karina pun macam tu, susahlah Abah. Karina faham kan?” ujar Abah.

Karina hanya mengangguk.

“Abah tahu Karina anak yang baik dan Abah tak nak Karina fikir yang Abah ataupun Mama tak sayangkan Karina. Kami sayangkan Karina macam kami sayangkan Krisya.”

Karina sedar dia sering dibuli oleh Krisya mungkin kerana dia tidak pernah sekalipun membantah cakap Abah dan Mama. Bukan dia tidak mahu mempertahankan haknya tapi dia malas hendak bertekak dengan Krisya.

Pernah sekali dia melawan cakap Krisya, padahnya teruk dia ‘dikerjakan’ oleh Krisya. Habis barang-barangnya dirosakkan Krisya dan yang paling disayanginya adalah walkman pemberian Cikgu Fahtimi.

Cikgu Fahtimi merupakan guru bahasa Melayu Karina ketika di tingkatan dua. Karina memang rapat dengan Cikgu Fahtimi memandangkan Karina adalah pelajar cemerlang bahasa Melayu di sekolahnya.

Cikgu Fahtimi memberikan hadiah itu sebelum dia berkahwin dan mengikut suaminya menetap di Kota Belud, Sabah. Cikgu Fahtimi tahu Karina sangat sukakan muzik. Disebabkan Itulah dia menghadiahkan walkman itu kepada Karina.

Hancur luluh hati Karina apabila melihat walkmannya pecah. Karina tahu Krisya yang melakukannya kerana marahkannya yang enggan membuat kerja rumah Krisya. Ada kalanya Karina macam tidak percaya yang dia dan Krisya adik-beradik.

Selepas 21 tahun, Krisya masih dengan sikap keras kepalanya dan selalu nak menang. Karina sudah tidak tahan dengan perangai Krisya. Dia perlu melawan!

“Jangan ingat kau kakak, aku takut dengan kau!” Karina tekad. Kali ini dia tidak akan mengalah dengan Krisya. Cukuplah pengorbanannya selama bertahun-tahun ini. Dia juga berhak mendapat apa yang dimahukannya apatah lagi jika membabitkan soal kebahagiaannya. Lelaki itu miliknya!

“Ewah, ewah! Sedapnya mulut kau bercakap. Kau tahu tak dengan siapa kau bercakap ni? Sedar sikit ya. Kau tu adik,” herdik Krisya.

“Owh… tahu pun yang aku ni adik. Sebagai kakak, kaulah yang patut mengalah.”

“Jangan nak ajar aku ya!”

“Kenapa pulak aku tak boleh ajar kau? Kau ingat kau kakak, kau selalu betul? Belajar pun hampeh!”

“Belajar tinggi-tinggi pun tak guna kalau perangai kurang ajar macam ni.”

“Aku kurang ajar pun sebab kau tu yang kurang ajar!”

“Kau jaga sikit bahasa kau tu ya! Aku tampar nanti,” Krisya sudah mula hilang sabar. Kedudukannya sebagai kakak seakan tercabar dek kelancangan mulut Karina.

“Tamparlah kalau berani!”

“Apa yang kecoh-kecoh ni?”

Serentak Krisya dan Karina memandang pemilik suara itu.

“Kenapa dengan anak-anak Abah ni?” Encik Khalid yang baru pulang dari pejabat terkejut apabila mendapati keadaan rumahnya riuh-rendah seakan ada pendebatan di parlimen.

“Baguslah abang dah balik. Abang nasihatkan sikit budak-budak ni. Pasal seorang lelaki pun nak bergaduh,” Puan Nadira yang tadinya hanya memerhatikan peperangan antara dua beradik itu bersuara.

Dia sudah tidak tahu hendak berbuat apa. Kedua-duanya keras kepala. Degil! Sudahnya dia hanya membiarkan sahaja mereka bertikam lidah selagi tidak bertikam pisau.

“Hah? Siapa lelaki tu?” Encik Khalid tercengang. “Takkanlah kamu berdua bergaduh bagai nak rak hanya semata-mata berebutkan seorang lelaki? Hebat sangat ke lelaki tu sampai anak-anak Abah ni sanggup berperang saudara? Krisya, Karina, cuba bagi tahu Abah.”

Krisya dan Karina diam.

“Kalau setakat boyfriend tu, cari ajalah yang lain. Banyak lagi lelaki di Malaysia ni. Kumbang kan bukannya seekor,” Encik Khalid menggeleng kepala mengenang sikap anak-anaknya. Pasal perkara remeh pun nak bergaduh. Heran aku.

“Masalahnya lelaki tu tak boleh diganti dengan siapa-siapa pun,” Puan Nadira melirit ke arah Krisya dan Karina sambil tersenyum penuh makna.

“Kenapa pulak? Hebat sangat ke lelaki tu sampai tak ada galang gantinya?” Dahi Encik Khalid semakin berkerut memikirkan gerangan lelaki yang berjaya membuatkan hubungan antara kedua-dua anak gadisnya itu tegang.

“Yalah, sebab lelaki itu Abah dia orang sendiri. Dia orang bergaduh sebab berebutkan abanglah,” terang Puan Nadira sambil menguntum senyuman.

“Laa… Kenapa tak cakap dari tadi?” ujar Encik Khalid. Nasib baik berebutkan aku. “Tapi pasal apanya ni sampai gaduh-gaduh macam ni?”

“Abah dah janji kan nak datang majlis konvokesyen Krisya?” Krisya memaut lengan ayahnya manja.

“Tapi Bah, hari tu Abah cakap kat Karina Abah nak datang hari keluarga kolej Karina kan?”

“Ya, Abah ingat. Jangan risau. Dua-dua majlis anak Abah, Abah pergi. Ok?” Encik Khalid memberi jaminan.

“Tapi Bah, majlis kita orang tu diadakan pada hari yang sama,” ujar Krisya.

“Hari yang sama ke?” Encik Khalid terkedu tapi masih cuba berlagak biasa. “Tapi masa lain-lain kan?”

“Mana pulak? Hari keluarga Karina satu hari,” celah Karina.

“Konvo Krisya pagi tapi nak ambil gambar bukannya sekejap. Sekurang-kurangnya sampai petanglah jugak,” Krisya pula menyampuk.

“Macam mana pulak boleh jatuh pada hari yang sama?”

“Abah dah janji dengan Krisya dulu kan?” Krisya menarik tangan kanan ayahnya sementara Karina pula menarik tangan kirinya.

“Apa pulak? Aku dah chup Abah dulu.”

“Dira, tolong abang,” Encik Khalid memohon simpati isterinya. Dia sudah tersepit!

“Abang yang pandai berjanji. Abang selesaikanlah sendiri,” Puan Nadira berlalu ke dalam.

“Dira…”

“Abah pergi konvo Krisya eh?”

“Tak ada, tak ada. Abah pergi hari keluarga Karina!”

“Sibuklah kau!”

“Kaulah sibuk!”

2 ulasan:

misz nana berkata...

dah baca dalam penulisan2u..
hehehe..

hannie_luv_vespa berkata...

best2...
:)