Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Mei 22, 2012

Mini Novella: Orang Kedua ~2~

“AUH!” Jeritan Ariana menarik perhatian pelajar di situ.
“Kenapa Ria?” Badrul segera mendapatkan Ariana. “Kenapa ni, Ria? Ya, Allah! Jun, ambilkan ubat cepat!” Badrul meneliti luka di tangan Ariana. Darah yang mengalir disapu dengan berhati-hati.
Ariana tergamam tatkala Badrul memegang tangannya. Tiba-tiba jantungnya berdegup pantas.
“Aku tak ada apa-apalah,” Ariana menarik tangannya daripada pegangan Badrul apabila menyedari semua mata memerhati ke arah mereka.
“Tak ada apa-apa kau kata? Sampai berdarah ni kau kata tak ada apa-apa?”
“Alah, sikit saja ni,” Ariana cuba berlagak selamba di hadapan Badrul walaupun luka di tangannya seakan mencengkam.
“Masa dia sikitlah kena rawat cepat. Kalau melarat nanti kan susah.”
“Nah, Bad,” Jun menghulurkan sebotol minyak gamat.
Badrul mengambilnya lalu menyapu ke tangan Ariana.
“Tak apalah, Bad. Aku boleh buat sendiri,” Ariana menarik botol tersebut daripada tangan Badrul.
“Biar aku buat. Kau duduk diam-diam.”
“Tapi…” Ariana serba salah.
“Aku kata biar aku buat.”
Ariana terdiam mendengar ketegasan Badrul lalu dia membiarkan saja Badrul merawat luka di tangannya meskipun di hatinya berasa tidak selesa melihat beberapa orang pelajar berbisik-bisik sesama sendiri.
“Dah.”
“Pandai juga kau balut ya,” Ariana membelek-belek balutan di tangannya.
“Mestilah. Kalau tak, sia-sia saja aku masuk Badan Pertolongan Cemas tau!”
“Terima kasih.”
“Ha, nak pergi mana pula tu?”
“Nak sambung kerjalah.”
“Dah, tak payah. Kau duduk saja di situ. Biar orang lain buat.”
“Habis tu aku nak buat apa? Takkan nak duduk saja? Boringlah!”
“Kau nak kerja ya?” Badrul berfikir-fikir. “Ha, apa kata kau pergi belikan aku air. Aku dahaga sangat ni.”
“Kau ingat aku ni orang gaji kau ke?” Ariana sedikit berang.
“Cakap banyak pula dia. Orang dah tolong dia.”
“Nampak sangat tak ikhlas! Lagipun bukan aku yang minta kau tolong.”
“Kau nak pergi tak nak ni?”
“Duitnya?”
“Dengan aku pun kau nak berkira ke?”
“Mestilah!”
“Gunalah duit kau dulu.”
“Ini aku tak suka ni.”
“Dah, pergi cepat.”
Ariana menghilang ke kafeteria berhampiran. Dia yang beria-ria nak tolong kita, macamlah kita nak sangat dia tolong. Eleh, boleh jalanlah! Rungut Ariana sendirian.
Ariana kembali semula ke tempat itu selepas memesan dua bungkus air. Sesampai saja di sana, Ariana sedikit geram apabila melihat kehadiran Elly di samping Badrul. Gadis tersebut membawa air untuk Badrul. Ariana melihat air di tangannya.
“Ria!”
Ariana tersentak dengan panggilan itu.
“Wah, air siapa ni?” soal Rizal.
“Tak ada siapa. Kau nak?”
“Boleh juga. Thanks.” Rizal mengambil air tersebut daripada tangan Ariana. “Kenapa dengan tangan kau, Ria?”
“Tak ada apa. Aku terkena paku tadi.”
“Ha? Serius ke?”
“Sikit saja. Banyak lagi ke kerja nak buat?”
“Entah. Aku baru sampai. Jom kita pergi kat Naqiah.”
Ariana mengekori langkah Rizal. Matanya masih sempat menjeling Badrul dan Elly. Ariana sakit hati melihat kemesraan mereka.
“Ria!”
Lamunan Ariana mati dek sapaan teman sebiliknya itu.
“Berangan saja kerjanya,” perli Ilyani.
“Apa pula berangan. Aku tengah cari idea ni,” ujar Ariana berbohong.
“Cari idea sampai macam ni sekali? Kau tak payahlah nak tipu aku. Aku tahu,” Ilyani cuba membuat andaian.
“Apa yang kau tahu?” Ariana berdebar-debar menantikan kata-kata daripada temannya itu.
“Kau rindukan boyfriend ya? Ha, baik kau bagi tau aku siapa budak tu?”
Boyfriend apanya? Aku mana ada boyfriend!” Ariana cuba mengelak.
“Eleh, nak tipu aku. Habis tu yang tadi tu siapa?”
“Yang tadi? Yang mana? Siapa?”
“Buat-buat tak tahu pula. Yang duduk dengan kau siang tadi kat gerai!”
Ariana menggaru kepalanya yang tidak gatal. Siapa pula?
            “Oo… yang itu budak kelas akulah si Khair.”
Ariana mula dapat mengagak siapa yang dimaksudkan oleh temannya itu.
“Kenapa, nak kenal?”
            “Minta maaflah, aku dah ada yang bertakhta di hati.”
            “Aku cuma tanya nak kenal ke? Bukannya nak suruh kau mengurat dia.”
“Kenal pun aku tak nak. Ria, jom pergi makan.”
“Dining dah buka ke?”
“Itulah petang-petang tidur. Dah nak pukul 7 dah pun,” ujar Ilyani.
Ariana terkejut.
“Ha? Dah pukul 7 ke?”
“Kenapa?”
“Hari ni episod akhir cerita Korea tu.”
“Aku ingat apa tadi. Dahlah, siap cepat. Kau dah sembahyang Asar belum?” soal Ilyani.
“Belum.”
“Ha itulah. Cerita Korea ingat, sembahyang tak ingat.”
Ariana cuma tersengih mendengar kata-kata temannya itu.
“Dahlah. Jom makan.”
“Biarlah aku mandi dulu.”
“Tak payah. Kau mandi lama. Balik makan karang baru mandi.”
“Yalah, aku pergi basuh muka dulu. Yanie, lepas tu kita pergi library kejap ya. Aku nak cari bahan sikit,” ujar Ariana.
“Yalah.”


ARIANA leka menekan-nekan kekunci komputer itu apabila tiba-tiba muncul suatu wajah di hadapannya. Ariana tersentak.
            “Kau ni buat terkejut aku saja. Tak reti-reti nak bagi salam?” marah Ariana.
            Sorry…Buat apa?”    
            “Tak buat apa. Buat bodoh saja,” jawab Ariana selamba.
            Badrul menarik muka mendengar jawapan Ariana. Ariana yang perasan akan perubahan mimik Badrul berasa bersalah lalu bersuara.
            “Aku tengah cari bahan untuk projek Intro…” Ariana pantas meneliti monitor komputer tersebut. “Seorang saja ke?”
            “Taklah…” Badrul diam seketika kemudian menyambung. “Dengan Elly.”
            Ariana terkedu.
            “Mana dia?” Ariana cuba berlagak biasa.
            “Ada kat luar.”
            “Dah tu buat apa kau duduk sini? Nanti nampak dek Elly, apa pula kata dia?” Ariana sedikit memperli.
            “Alah, bukannya buat apa-apa. Dia okeylah.”
            “Itu kata kau.”
            “Yang kau risaukan sangat kenapa?”
            “Aku cuma fikirkan hubungan kau orang saja. Aku tak naklah nanti Elly fikir yang bukan-bukan. Nanti kalau apa-apa hal, aku juga yang dipersalahkan.”
            Tatkala itu Elly muncul.
            “Hai,” sapanya kepada Ariana.
            “Hai.” Ariana cuba mengukir senyuman.
            “Buat apa?” soal Elly.
            “Buat bodoh saja,” Badrul menjawab bagi pihak Ariana.
            “Kau perli aku ya?” Ariana berang.
            “Kau yang cakap tadi, kan?” Badrul membela diri lalu tersengih puas. Sekarang giliran Ariana pula menarik muka. Itulah, siapa suruh kenakan dia tadi?
            “Kau ni datang sini nak guna komputer ke atau nak kacau orang?” Ariana mula tidak selesa dengan situasi tersebut.
            “Yalah, aku pergi. Jom Elly…” Badrul dan Elly berlalu ke pintu.
            Ariana bertambah berang dengan sikap Badrul. Anak matanya mengekor langkah mereka berdua. Dalam pada itu, Badrul sempat menjeling ke arahnya. Ariana tersentak lalu segera melarikan pandangannya kembali pada monitor komputer dan berpura-pura sibuk.

Tiada ulasan: