Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, September 19, 2014

Bukan Tak Suka - Bab 2


KERUSI itu ditarik kasar. Dia menghempaskan tubuhnya ke kerusi itu. Wajahnya jelas mempamerkan riak tidak puas hati. Tindakannya itu menimbulkan tanda tanya kepada Irwan dan Anzalna yang dari tadi memerhatikan dia dan Danish.

            “Hai, marah nampak. Apa cerita?” tanya Irwan.

            Elfira tidak menjawab pertanyaan Irwan, sebaliknya dia menyedut minuman yang ditinggalkan tadi sampai habis. Mudah-mudahan minuman itu dapat menyejukkan hatinya yang sedang mendidih tatkala itu. Hanya menunggu masa nak keluar asap saja.

            Irwan menghantar isyarat mata kepada Anzalna. Seolah-olah bertanya. Namun Anzalna hanya menjungkit bahu. Tanda tidak tahu.

“El, boleh tahan jugak si Danish tu, kan?” ujar Anzalna, sengaja ingin mengusik. Manalah tahu dapat menceriakan suasana.

            Elfira menolak gelas yang sudah kosong itu. Lega!

“Macam tu kau kata boleh tahan?” sahut Elfira geram.

“Relakslah wei.” Irwan cuba menenangkan Elfira. “Cuba kau cerita apa yang menyebabkan kau marah sangat ni.”

“Aku tak kisah sangat kalau muka dia tak hensem ke apa, tapi yang buat aku sakit hati, macam bercakap dengan tunggul aje!” Elfira melepaskan amarah.

            “Hah? Tunggul?” Anzalna kehairanan. Tidak mengerti dengan kata-kata Elfira. Bukankah tadi dia lihat elok saja Danish bercakap dengan Elfira?

“Kenapa? Dia tak okey ke?” tanya Irwan. Setahunya, Danish tidaklah seteruk mana. Dia kenal Danish.

            “Okey apa, sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Bosan aku,” adu Elfira.

Geram benar hatinya apabila mengingati pertemuan dia dengan Danish tadi. Danish lebih senang membiarkan dia mendominasi perbualan sedangkan pemuda itu lebih banyak mendiamkan diri hingga membuatkan dia bosan.

Nama pun kerja berpasangan, jadi dia mengharapkan Danish dapat memberikan idea atau pendapat. Jika Danish hanya mengikut idea dan pendapatnya, lebih baik dia tidak perlu ada pasangan. Buat sorang-sorang lagi baik!

            “Alah, dia memang pendiam. Tapi lama-lama nanti, okeylah tu. Bukan semua orang terus mesra waktu jumpa pertama kali. Kau bagilah dia masa.” Irwan cuba menyedapkan hati Elfira.

            “Entahlah...” keluh Elfira.

Sudahlah dia jenis manusia yang lambat mesra dengan orang, dapat pula partner yang pendiam macam Danish itu. Manalah nak ada keserasian. Entah macam manalah mereka berdua hendak bekerjasama dengan baik.

“Dahlah, tak payahlah cerita pasal dia,” ujar Elfira setelah diam seketika.

Buat apa bercakap pasal perkara yang tak menyenangkan? Buat menambah dosa saja.

“Kau orang punya projek macam mana? Okey?”

            “Mestilah okey, tengoklah partner aku siapa,” ujar Irwan seraya menjeling ke arah Anzalna. Bangga benar bunyinya.

Anzalna cuma tersenyum nipis. Bimbang Elfira tersinggung.

            “Eleh, berlagak.” Elfira mencebik.

Kalau tak disebabkan Dr. O yang tetapkan projek itu perlu dibuat secara berpasangan, mesti dia tak terkapai-kapai macam ni memandangkan dia sudah mempunyai kumpulan tetap iaitu Irwan dan Anzalna.

            Tapi kata Dr. O, tiga orang itu terlalu ramai. Justeru, salah seorang daripada mereka perlu berkorban dan orang itu adalah dia.

Dan memandangkan semua rakan sekelasnya sudah ada pasangan masing-masing, Dr. O membuat keputusan agar dia berpasangan dengan Danish lantaran Danish juga tidak mempunyai pasangan.

            Pada mulanya, dia juga tidak tahu siapa Danish yang dimaksudkan oleh Dr. O itu kerana setahunya, tiada pelajar di dalam kelas mereka yang bernama Danish. Apabila diberitahu yang Danish itu merupakan senior mereka yang mengulang subjek tersebut, dia mula berasa tidak sedap hati.

Yalah, siapalah yang nak bekerja dengan student repeater. Buatnya badi ‘repeater’ tu terkena pada diri sendiri, tak ke naya?

Elfira memandang Irwan dan Anzalna.

Tiba-tiba saja dia berasa cemburu melihat mereka berdua. Mereka berdua sudah saling mengenali, jadi pastilah tiada masalah untuk bekerjasama. Masing-masing sudah faham cara kerja masing-masing.

Tambahan pula, dia sememangnya tahu yang Irwan menaruh hati pada Anzalna dan Anzalna juga seolah-olah turut menyukai Irwan. Mereka berdua memang nampak macam pasangan yang serasi. Tapi dia tak faham kenapa Anzalna selalu menafikan yang mereka mempunyai hubungan istimewa dan menegaskan yang mereka berdua cuma berkawan baik.

Dia bukannya budak kecik yang tak pandai nak bezakan antara layanan yang biasa-biasa dengan layanan yang ada ‘sesuatu’. Bahkan mereka berdua selalu dilihat bersama dan adakalanya berpakaian warna sedondon. Tak tahulah sama ada kebetulan atau memang mereka sudah plan nak pakai baju sama warna.

Tapi setahu Elfira, Anzalna memang ramai peminat dek kerana wajahnya yang cantik. Ditambah pula dengan sifat ramah dan manjanya.

Mungkin Anzalna masih mahu membuat pilihan. Yalah, orang cantik, banyak sangat pilihan. Bukan macam dia. Langsung tidak diberi pilihan. Namun dia sebenarnya berasa kagum kerana mereka berdua masih boleh bekerjasama dengan baik, malah bergelak ketawa seperti sekarang.

Ah, cemburunya dia melihat mereka! Tidak seperti dia dengan Danish. Kaku dan sunyi.

Mungkin dia tidak patut menyalahkan Danish seratus peratus kerana dia sendiri pun bukanlah orang yang ramah. Tetapi sekurang-kurangnya dia sudah berusaha untuk mewujudkan perbualan dengan Danish, namun Danish masih tetap begitu. Hanya bercakap perkara-perkara yang penting.

Entah macam manalah dia harus melalui hari-harinya bersama Danish nanti.

Ah, stres!

Tiada ulasan: