Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Januari 13, 2012

Budak SMART (Bab Tiga)

KELAS di hujung bangunan tiga tingkat itu tenang. Para penghuninya kelihatan tekun mendengar penerangan Cik Mazleen tentang novel sastera 'Seteguh Karang'.

Novel yang mengisahkan perjuangan hidup seorang gadis yang bernama Awanis berusia 22 tahun dan sedang menuntut di ITM cawangan Arau, Perlis. Kehidupan Awanis atau Anis yang bahagia dan ceria bertukar corak setelah kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya yang mengerikan. Kematian ibu bapanya secara mendadak memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan Awanis, Maysarah dan Anita.

Semuanya kelihatan tekun. Namun ketekunan mereka bukan kerana penerangan Cik Mazleen, sebaliknya masing-masing tekun membuat aktiviti sendiri. Azrizal kelihatan khusyuk menghadap buku, namun bukan novel sastera itu yang dibacanya, sebaliknya dia sedang khusyuk membaca buku komik di mejanya. Nasib baiklah dia duduk di barisan belakang, jadi pasti Cik Mazleen tidak akan perasan.

Shafik yang duduk di sebelahnya pula hampir tertidur dek kerana kebosanan. Sememangnya dia paling tidak suka akan mata pelajaran Bahasa Melayu, apatah lagi subjek sastera. Tetapi hendak buat macam mana? Prestasi Peperiksaan Menengah Rendahnya tidak cukup kuat untuk dia melayakkan diri ke kelas sains.

Iqbal pula asyik melihat Cik Mazleen tanpa berkelip sambil menongkat dagu. Di matanya memang Cik Mazleen, namun di fikirannya dia membayangkan Cik Mazleen sebagai Yuna yang sedang mendendangkan lagu untuknya. Alangkah bagusnya kalau Yuna yang menjadi gurunya. Kalau hari-hari kena datang sekolah pun tidak mengapa asalkan dapat menatap wajah artis kesayangannya itu.

“Azrizal, cuba terangkan sinopsis bab satu.” Cik Mazleen sengaja ingin menguji pelajar itu. Dari tadi dia lihat Azrizal tunduk tanpa mengangkat muka. Khusyuk benar dia membaca. Namun Azrizal seolah-olah tidak mendengar panggilan gurunya itu.

“Riz,” Melissa yang duduk di belakang Azrizal memanggil namanya, namun Azrizal masih tidak mengalihkan pandangannya. Matanya masih melekat pada buku komik di hadapannya itu. Melissa mula berang kerana panggilannya tidak didengari. “Riz…” Melissa menggerak-gerakkan kerusi Azrizal dari belakang.

“Apa?” Azrizal berpaling ke belakang. Dia berasa sedikit berang kerana konsentrasinya diganggu.

“Cikgu panggil kaulah,” ujar Melissa separuh berbisik.

Azrizal tersentak lantas segera berdiri. “Ya, cikgu.”

“Boleh awak terangkan pada kelas apa sinopsis bab satu?” Cik Mazleen mengulangi pertanyaannya. Sahlah Azrizal sedang membuat benda lain sampaikan tidak dengar namanya dipanggil.

“Bab satu? Err... bab satu ni pasal... erm...” Azrizal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.. Apa aku nak jawab ni? Jangan kata hendak baca, novel itu pun dia tidak ada. Habislah dia kali ini. Dia dapat merasakan bahawa 36 pasang mata termasuk Cik Mazleen melihat ke arahnya menantikan jawapan.



BUNYI ketukan di pintu menyelamatkannya daripada terus menjadi tumpuan. Ketukan itu mengumpan perhatian mereka ke arah pintu. Di muka pintu, kelihatan seorang wanita yang berusia sekitar 40-an, bertubuh sederhana dan berkaca mata menggamit Cik Mazleen.

Di sisinya seorang pelajar lelaki yang agak tinggi dan kurus. Bajunya putih seperti baru dibeli. Kemas bertali leher. Sekali lihat sudah dapat agak mesti anak orang kaya.

Azrizal mengeluh lega apabila Cik Mazleen menghampiri wanita itu. Keriuhan mula melanda kelas tersebut. Kesemua mereka mula bercakap-cakap sesama sendiri.

“Pengetua dengan siapa tu?

“Pelajar baru ke?”

Handsome juga, bukan?”

“Mesti anak orang kaya,” salah seorang daripada mereka mengajuk sebuah iklan di televisyen.

Mereka terus bercakap-cakap sambil melihat Cik Mazleen dan pengetua. Kedua-duanya kelihatan seperti sedang membincangkan sesuatu. Sesekali pengetua menunjuk ke arah pelajar lelaki di sebelahnya itu.

“Syy…”

Mereka diam apabila Cik Mazleen melangkah masuk bersama pelajar baru itu. Semua mata tertumpu ke hadapan kelas. Tidak sabar ingin mengetahui tentang kawan baru mereka itu.

“Awak semua ni tak kiralah cikgu ada ke, cikgu tak ada ke, bercakap saja memanjang. Macam pasar,” Cik Mazleen menegur sikap pelajarnya yang tidak pernah hendak diam itu. “Baik, hari ni kita ada seorang kawan baru. Namanya Tengku Shamsul Baharin bin Tengku Sulaiman. Tengku Shamsul ni baru berpindah dari Kuala Lumpur.” Penerangan Cik Mazleen itu menjawab segala persoalan yang bersarang dalam kepala 35 orang anak didiknya.

“Orang KL tu,” suatu suara kedengaran.

Mereka mula berbisik-bisik sesama sendiri. Mungkin kagum apabila disebut Kuala Lumpur. Maklumlah Kuala Lumpur itu kan ibu negara Malaysia dan menjadi pusat segala kemewahan. Kuala Lumpur juga terkenal dengan tempat-tempat menarik seperti KLCC, Menara KL, Plaza Sungei Wang, Berjaya Times Square, Petaling Street dan banyak lagi.

Bagi yang tidak pernah ke Kuala Lumpur pasti membayangkan kehidupan di Kuala Lumpur yang serba mewah, maju dan glamor. Setiap orang pasti mengimpikan untuk hidup di Kuala Lumpur. Namun bukan semua orang mampu untuk tinggal di situ. Kata orang, Kuala Lumpur itu tempat orang-orang kaya. Rumah besar-besar dan kos hidup di sana juga tinggi.

“Untuk tahu lebih lanjut, awak semua boleh tanya dengan Tengku Shamsul sendiri nanti.” Cik Mazleen mencari bangku yang masih kosong. “Ada tempat kosong?”

“Sini, cikgu.” Zahid menunjuk meja di sebelahnya yang masih belum berpenghuni sejak hari pertama sekolah dibuka. Selepas ini pasti dia tidak akan keseorangan lagi.

“Shamsul, awak duduk di sebelah Zahid ya,” ujar Cik Mazleen.

Tanpa sepatah kata, Shamsul melangkah ke tempat duduk yang dimaksudkan. Dia mula berkenalan dengan Zahid. Namun jiwanya masih terasa asing. Dia memerhati sekeliling kelas. Tanpa sengaja, matanya bertaut dengan seorang pelajar perempuan yang duduk satu baris dengannya. Shamsul mengukir senyuman, namun senyumannya tidak berbalas. Shamsul menjungkitkan bahu melihat sikap pelajar perempuan itu, namun dia tidak mengambil serius akan hal itu.

“Sampai mana kita tadi?”

Mereka kembali menumpukan perhatian pada pengajaran Cik Mazleen yang tergendala sebentar tadi.

Minta-mintalah Cik Mazleen tak ingat nak tanya aku semula. Dahlah aku tak baca lagi novel ni. Novel apa entah. Bosanlah sastera sastera ni. Baik baca komik. Cik Mazleen ni pun satu. Baru buka sekolah dah suruh baca buku pelajaran. Azrizal mengomel sendirian dalam hati.

“Azrizal, saya tak habis lagi dengan awak. Awak belum jawab lagi soalan saya tadi, bukan?” soal Cik Mazleen. Jangan sangka dia lupa. Dia masih belum nyanyuk lagi.
Azrizal tersentak. Alamak! Macam mana Cik Mazleen boleh ingat?

“Sebenarnya cikgu, saya tak baca lagi novel ni,” ujar Azrizal berterus terang dengan harapan Cik Mazleen akan memaafkannya dan mengajukan soalan itu kepada pelajar lain.

“Kenapa awak tak baca lagi? Bukan ke kelmarin saya dah suruh awak semua baca bab satu novel ni?”

Azrizal terdiam. Macam mana dia hendak baca novel itu kalau dia tidak mempunyai novel itu, apatah lagi di depannya ada komik yang lebih seronok untuk dibaca? Bukan hobi akulah baca novel ni. Lagipun SPM bukannya esok. Ada 10 bulan lagi untuk berseronok. Baca sekarang pun belum tentu akan ingat isi ceritanya sampai SPM nanti. Kenapalah pelajar sekolah selalu disuruh mengulang kaji pelajaran? Satu hari kan hanya ada 24 jam. Takkan 24 jam itu perlu dihabiskan dengan menghadap buku saja? Bosannya hidup!

“Azrizal!”

Azrizal tersentak.

“Awak jangan duduk selagi awak tak dapat jawab soalan saya,” tegas Cik Mazleen.

Azrizal akur. Sah-sahlah aku takkan dapat duduk. Satu apa pun aku tak tahu pasal novel ni.

“Shafik…”

Giliran Shafik pula yang tersentak.

“Apa sinopsis bab satu?”

Shafik memandang Azrizal.

“Tak dapat jawab juga. Berdiri.” Cik Mazleen mula bertindak tegas. Bukan boleh bagi muka sangat mereka ini. Nanti kepala dia pula yang kena pijak. Biar mereka rasa sikit.

“Iqbal…”

Iqbal bangkit. Aku pula? Iqbal diam. Seperti Azrizal dan Shafik, dia juga tidak membaca novel itu semalam.

“Athira.” Seorang demi seorang daripada mereka disoal. Kalau tidak dibuat begini, pasti mereka ambil mudah.

“Bab satu ni pasal Anis yang keletihan kerana baru tiba dari Arau dengan menaiki rel bas walaupun perjalanannya tidak terlalu panjang. Dia keletihan kerana terpaksa berdiri sepanjang perjalanan dari Arau sampai ke Ipoh. Keletihannya semakin bertambah apabila dia terpaksa mengheret barang-barangnya ke stesen bas dalam keadaan cuaca yang panas terik,” jawab Athira.

“Bagus,” Cik Mazleen memuji Athira. Sekurang-kurangnya ada juga yang dapat menjawab soalannya. “Seterusnya apa yang berlaku, Fatin?”

“Setibanya di rumah, Anis disambut oleh kakaknya, Maysarah yang berwajah murung. Sikap kakaknya berubah selepas kematian ibu dan bapa mereka dalam kemalangan jalan raya. Perbualan Anis dan kakaknya tidak semesra dulu,” Fatin menjawab dengan yakin.

“Sebelah Fatin, sambung,” ujar Cik Mazleen. Seorang pelajar perempuan bangkit untuk menjawab soalan Cik Mazleen.

“Anis terlena sehingga jam 6.00 petang dan hanya terjaga apabila dikejutkan oleh Anita yang baru pulang dari kelas tuisyen. Hubungan antara Anis dan Anita sangat mesra sehingga Anis sering mengusik adiknya, Anita semasa menonton rancangan Kantonis di televisyen.”

“Ada sesiapa nak tambah?” tanya Cik Mazleen. Semua tunduk. Tidak berani memandang wajahnya. Takut dipanggil untuk menjawab soalannya. Macam hendak masuk dalam meja.

“Saya, cikgu.” Seorang pelajar lelaki mengangkat tangan untuk menjawab.
Cik Mazleen mengangguk, tanda membenarkan.

“Sesekali Anis terkenang akan abah dan mamanya yang telah meninggal akibat kemalangan yang penuh tragis. Antara kakaknya, Maysarah dan adiknya Anita, Anislah yang paling tabah menghadapi cabaran dan dugaan. Ketabahan Anis teruji apabila dia terpaksa ke ITM Indera Kayangan tanpa diiringi oleh keluarganya. Tugas dan tanggungjawab keluarga Anis diambil alih oleh Pak Oni. Semasa makan malam bersama-sama keluarganya, Anis memberitahu tentang latihan praktikalnya di Terengganu. Anita sangat sedih mendengar berita tersebut.”

Azrizal sempat mengerling pelajar itu. Dia geram apabila ternampak buku siri ulasan dan kajian tentang novel tersebut di tangan pelajar lelaki itu. Tak aci! Main tipu! Pelajar lelaki itu cuma tersengih.



“TYA, aku tengok budak baru tu asyik pandang kau saja masa di dalam kelas tadi. Aku rasa dia syok pada kaulah.” Fatin menjeling ke arah Shamsul yang sedang makan tidak jauh daripada mereka berdua ketika waktu rehat tengah hari itu.

“Isy, kau ni!” Athira tidak bersetuju dengan andaian teman baiknya itu. Dia turut memandang ke arah Shamsul. Boleh tahanlah. Smart. Tapi mana boleh lawan buah hati aku. “Handsome, tapi tetap tak boleh lawan pakwe aku.”

“Aku tak tahulah kau ni rabun ataupun tak nampak. Budak hantu macam tu pun kau boleh suka?” Fatin mempersoalkan perihal buah hati teman baiknya itu.

“Dia bukan sebarang hantu tau. Sehantu-hantu dia pun, dia tak pernah buat benda tak elok pada aku,” Athira membela buah hatinya. Biar apa pun kata orang, dia yakin dengan pilihannya. Baginya, biarlah nampak jahat pada pandangan mata orang. Yang penting, dia tahu siapa buah hatinya yang sebenar. Hubungan mereka sudah hampir dua tahun. Sudah saling mengenali hati budi.

“Hai, seorang saja ke?” sapanya.

Athira mendongak ke arah pemilik suara itu.

“Haah,” jawab Athira pendek.

“Kalau macam tu, jomlah kita pergi kantin sama-sama,” pelawa suara itu lagi.
Athira masih ingat hari pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah itu. Segala-galanya terasa asing baginya. Tercongak-cangit dia melihat pelajar-pelajar berpusu-pusu ke kantin. Semua sudah ada geng sendiri. Tidak ada seorang pun yang sudi berkawan dengannya.

Di sekolah lama dulu dia mempunyai ramai teman baik. Berat hatinya untuk berpisah dengan mereka, apatah lagi rata-rata temannya adalah teman sepermainannya sejak kecil. Namun kuasa bukan di tangannya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengikut orang tuanya berpindah ke bandar palma ini. Semuanya gara-gara ayahnya yang ditukarkan oleh majikannya ke sini.

Pada masa itu, Athira sangat marahkan ayahnya. Fikirnya, ayahnya tidak mempedulikan perasaannya. Kemarahannya semakin membara apabila ayahnya tidak dapat menghantarnya pada hari pertama dia di sekolah baru. Namun kemarahannya mula reda sebaik-baik saja dia mendapat kawan baru di sekolah itu. Keramahan pelajar lelaki itu telah menyelamatkan dirinya daripada terus diburu rasa asing di sekolah baru. Bahkan pelajar lelaki itu banyak membantunya menyesuaikan diri di bandar kelahiran ibunya ini.

Ekoran itu, Athira amat menyenangi kehadiran pelajar lelaki itu. Pelajar lelaki itu memang pandai mengambil hatinya. Dan memandangkan pelajar lelaki itu orang pertama yang dikenalinya sejak dia berpindah ke situ, pelajar lelaki itu sering didahulukan daripada kawan-kawannya yang lain. Tanpa disedari pelajar lelaki itu mendapat tempat yang istimewa di hatinya. Hubungan mereka bertambah rapat dari sehari ke sehari hingga membibitkan perasaan sayang.

Athira tersenyum apabila mengingati detik awal perkenalannya dengan teman lelakinya. Pada masa itu, perangai teman lelakinya tidaklah seteruk sekarang. Orangnya baik dan rajin menolong. Berbeza dengan dirinya yang sekarang. Mungkin pengaruh rakan.
Maklumlah dulu teman lelakinya berkawan baik dengan Fakhrul, anak inspektor polis. Orangnya boleh tahan. Tinggi, kurus. Olahragawan sekolah pula tu. Memandangkan Fakhrul kawan teman lelakinya, Athira juga rapat dengan Fakhrul.Namun tanpa Athira ketahui, keintimannya dengan Fakhrul mengundang cemburu di hati teman lelakinya.

Hampir seminggu teman lelakinya tidak menegurnya dan Fakhrul. Berbagai-bagai persoalan bermain di benaknya ketika itu. Hubungan teman lelakinya dan Fakhrul juga tidak semesra dulu. Seakan terbentang jurang yang besar antara mereka.

“Awak pergi mana? Puas saya cari.” Lantaran tidak tahan dengan sikap dingin lelaki itu, akhirnya dia bertanya demi mendapatkan kepastian. Entah mengapa sejak kebelakangan ini terasa payah benar hendak bercakap dengan lelaki itu memandangkan lelaki itu sering mengelakkan diri daripadanya.

“Buat apa cari saya? Fakhrul kan ada,” balas lelaki itu dingin.

“Lain macam saja bunyinya. Awak cemburu ya saya baik dengan Fakhrul?” ujar Athira sekadar mengusik.

“Memang saya cemburu.”

Athira tergamam. Dia turut terkedu. Tidak menyangka ayat itu boleh terpacul daripada mulutnya.

Suasana hening seketika. Masing-masing kehilangan kata-kata.

“Awak sukakan saya?”

Dia tunduk. Perlahan dia mengangguk.

Athira tersenyum mendengar pengakuan lelaki itu. Rupa-rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan. “Awak...”

“Dahlah, Tya. Saya ada hal ni. Lain kali sajalah kita cakap.” Seperti biasa, lelaki itu akan mengelak daripadanya.

“Awak tak nak dengar jawapan saya ke?”

“Tak apalah, Tya. Saya dah tahu jawapannya.”

“Macam mana awak tahu?” soal Athira. Tidak mungkin lelaki itu tahu apa yang ada dalam hatinya.

“Dahlah. Tak payahlah awak nak berdolak-dalih lagi. Saya tahu pasal awak dengan Fakhrul. Satu tingkatan dah heboh.”

“Awak percaya? Kenapa awak tak tanya saya sendiri?” Sakit benar hatinya apabila lelaki itu turut mempercayai khabar angin itu. Orang ramai memang suka membuat spekulasi sendiri tanpa bertanya kepada tuan empunya badan.

“Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang?”

“Kalau tak ada angin pun, pokok boleh bergoyang kalau ada orang yang goyangkannya,” balas Athira geram. “Sekarang, biar saya pula yang berterus terang. Sebenarnya saya dengan Fakhrul tak ada apa-apa. Kita orang kawan saja,” tegas Athira.

“Tapi, dia orang kata awak dengan Fakhrul...”

“Tu kata dia orang. Bukan saya. Lagipun hati saya dah dicuri oleh seseorang,” ujar Athira malu-malu.

Lelaki itu terdiam. Jika boleh, mahu sahaja dia bertanya siapakah orang itu, namun mulutnya seakan -akan terkunci. Takut kalau jawapan itu akan menambah luka di hatinya.

“Awak nak tahu siapa orangnya?”

Dia diam.

“Siapa?” soalnya berbasa-basi. Jantungnya berdegup kencang menantikan jawapan daripada Athira.

“Takkan awak tak tahu?” Athira cuba menduga.

Dia menggeleng.

“Ni orang di depan saya ni, Ahmad Azrizal Hafiz Ariffin.”

Dia terkejut, namun gembira mendengar pengakuan Athira. “Nama tu macam nama saya saja.” Dia berlagak tidak mengerti, namun di hatinya sudah berbunga keriangan.
“Ada orang lain nama macam awak ke di sekolah ni?”

Pengakuan Athira itu menjernihkan kembali hubungan Azrizal dan Fakhrul. Hubungan mereka bertiga kembali bertaut, malah semakin tersimpul rapi. Namun ‘jodoh’ mereka tidak panjang. Beberapa minggu selepas PMR, Fakhrul terpaksa berpindah ke Ipoh lantaran bapanya ditugaskan ke sana.

Perangai Azrizal mula berubah semenjak dia berkawan dengan Shafik dan Iqbal ketika di tingkatan empat. Bukanlah hendak mengata, tetapi itulah kenyataan. Shafik dan Iqbal banyak memberi pengaruh tidak baik kepada Azrizal. Kalaulah Fakhrul masih berada di sini. Tiba-tiba wajah manis lelaki itu bermain di fikiran Athira.



“HI, girls!” Pemilik suara yang menyapa itu tersengih lalu menarik kerusi menyertai dua gadis itu.

Muka ni lagi. Menyibuk saja! Getus hati kecil Fatin.

“Buah hati kau dah muncul.” Fatin seolah-olah tidak senang dengan kehadiran bebudak tiga orang itu.

“Tak makan ke?” soal Athira lembut. Bercakap dengan buah hati, haruslah lembut!

"Riz nak tunggu Tya suapkan,” ujar Azrizal manja. Dengan buah hatilah tempat nak bermanja.

Athira cuma tersenyum mendengar kata-kata Azrizal.

Fatin hanya menjeling. Meluat.

“Hai, takkan tanya Riz saja?” Shafik mencelah. Dia yang terpacak di situ tiada siapa yang hendak mengambil tahu.

“Kau orang pun tak makan lagi ke?” tanya Athira lagi.

Shafik dan Iqbal saling berpandangan.

“Kita orang pun nak tunggu Tya suapkan,” seloroh Shafik. Mana aci kalau Riz seorang sahaja yang disuap oleh awek? Aci di Indialah. Lagi mahu tanya.

“Banyak cantik? Kau ingat Tya ni siapa? Ada hati nak suruh awek aku suapkan. Kau suruhlah Fatin suapkan.” Azrizal menuding ke arah Fatin.

Excuse me. Aku tak terlibat, okey?” Fatin naik angin apabila namanya dikaitkan. Tak ingin aku! Ada tangan, suaplah sendiri.

“Aku pun tak ingin kau suaplah. Daripada kau, baik aku suruh mak aku yang suapkan.” Shafik dan Fatin saling menjeling.

“Dahlah. Kau orang ni asyik bergaduh saja,” tegur Athira. “Gaduh-gaduh nanti boleh jadi suka tau.”

“Haah. Tahu-tahu nanti kita orang dapat kad jemputan saja. Tengok, tengok, nama pengantinnya, Mohd Shafik Nazmi dengan Fatin Farhana Zulkifli,” tambah Azrizal.

“Ah, tak ingin aku nak kahwin dengan dia!” bantah Fatin. Tolonglah. Bukan taste aku.

“Jangan risaulah. Aku pun tak ingin hantar rombongan meminang pada kau,” balas Shafik.

Mereka saling menjeling, kemudian serentak kedua-duanya berpaling ke arah bertentangan.

“Ha, tengok perwatakan pun sama. Kau orang ni memang ada jodohlah.” Iqbal sengaja melaga-lagakan mereka.

“Kalau kau cakap lagi, aku curah air sirap ni pada muka kau.” Fatin semakin berang. Geramnya aku. Ya Allah, janganlah aku ada jodoh dengan mamat ni. Dahlah tak handsome, keputusan peperiksaan pun selalu dapat nombor corot.

“Amboi, garangnya!” Iqbal masih tidak puas mengusik.

“Ball, kau jangan kacau hal rumah tangga orang. Rumah tangga dia orang, biar dia orang selesaikan sendiri,” Azrizal turut menambah kemarahan Fatin.

“Tya, kau marah sikit pakwe kau ni,” marah Fatin.

Azrizal, Iqbal dan Athira berpandangan lalu tertawa sesama sendiri.



“ZAHID, siapa nama budak perempuan tu?”

Zahid melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Shamsul. Kelihatan Athira sedang berbual-bual mesra dengan Azrizal. “O… Tu? Athira also known as Tya. Kenapa? Kau syok pada dia ke? Lupakan sajalah. Dia dah ada pakwe,” jelas Zahid. Dia tidak mahu Shamsul menaruh harapan. Lagipun hubungan Azrizal dan Athira sudah hendak masuk dua tahun. Walaupun Azrizal suka main-main tetapi dalam bab awek, dialah yang paling setia.

“Siapa pakwe dia?” soal Shamsul, ingin tahu.

“Siapa lagi? Budak yang duduk di sebelah dia tulah.”

“Budak tu?” Shamsul seakan-akan tidak percaya. Athira itu sudahlah cantik. Berkulit cerah. Lembut sahaja. Tetapi pakwe dia? “Selekeh saja aku tengok.”

“Hoi kawan, orang kalau dah suka, yang hitam pun dikatakan putih.”

Shamsul berkerut mendengar kata-kata Zahid. Dia memandang ke arah Athira semula. Pada pandangan matanya, Athira seorang gadis yang comel. Mukanya bersih. Pakaiannya kemas. Jelas menunjukkan ciri-ciri seorang ketua kelas. Kata Zahid lagi, Athira merupakan pelajar paling cemerlang kelas sastera. Dahlah cantik, pandai pula tu.
Shamsul kemudian mengalihkan pandangannya kepada Azrizal. Tali leher tidak ada. Lencana tidak ada. Rambut pun tidak terurus. Berbeza sungguh dengan aweknya. Macam manalah Athira boleh terpikat kepadanya?



Dapatkan novel ini di Kinokuniya (KLCC) dan MPH

Tiada ulasan: