Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 25, 2008

Pemuja Rahsia

Pintu masuk One Top Roof yang terletak di tingkat atas pusat beli-belah One Utama itu kupandang lagi namun orang yang kutunggu masih belum menampakkan diri.

Mataku beralih pula ke jam yang tersarung kemas di tangan kiriku. Sudah hampir satu jam aku menunggu.

Jadi ke tak ni? Jangan-jangan dia ada hal lain. Tak pun dia terlupa ke. Hatiku mula memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang mungkin terjadi. Mungkin jalan sesak agaknya. Aku cuba menyedapkan hati sendiri.

Sudah tujuh tahun aku menantikan saat ini. Bertemu pujaan hati yang berada jauh nun di seberang. Tak dapat aku nak gambarkan perasaanku apabila menerima khabar pujaan hatiku akan kembali ke Malaysia.

Aku bermimpi ke ataupun mata aku yang tak betul? SMS yang kuterima beberapa hari yang lalu kubaca berulang kali.

Hampir melompat aku dibuatnya tatkala menerima SMS itu. Tapi kenapa dia ajak jumpa kat gelanggang futsal? Nak main futsal ke? Manalah aku reti main.

Walaupun pelbagai persoalan bermain di kepala, namun SMS itu kubalas juga bagi menyatakan persetujuanku untuk berjumpa dengannya di gelanggang futsal One Utama pada hari yang dicadangkan.

Wah, bestnya! Inilah peluang aku bertemu pujaan hati yang aku rindui itu. Tapi dapat ke aku jumpa dia? Aku takut bila aku terlalu berharap sangat, aku akan kecewa bila apa yang aku harapkan tu tak menjadi kenyataan.

Tujuh tahun bukanlah suatu jangka masa yang singkat. Dalam jangka masa tujuh tahun, sudah berpuluh-puluh kali dia balik Malaysia tapi tak ada satu waktu pun yang kita orang dapat jumpa. Ada-ada sahaja halangannya.

Bila aku di Kuantan, dia di KL. Bila aku di KL pula, dia di Penang. Masa tu aku fikir mungkin kita orang tak ada jodoh agaknya.

Kali ini dia akan berada di KL untuk tiga hari sahaja tapi aku pula cuma dapat jumpa dia malam ini sahaja sebab esok pagi-pagi lagi aku dah kena berangkat ke Kangar, Perlis bagi menghadiri majlis perkahwinan salah seorang kawan aku masa belajar di UiTM dulu.

Mujur dia sudi meluangkan sedikit masanya malam ini demi aku walaupun aku tahu dia mesti penat lantaran baru sampai dari Jakarta siang tadi. Tapi itulah yang membuatkan aku tambah sayang pada dia. Dia sanggup berkorban waktu demi orang yang menyayanginya (aku tak pastilah samada dia sayangkan aku ke tidak).

Sebab itulah aku tak nak lepaskan peluang ini untuk bertemu dengannya memandangkan pejabat aku tidak jauh dari One Utama. Jalan kaki sepuluh minit aja sudah sampai.

Sejak pagi tadi, sepanjang hari bibirku tidak henti mengukir senyuman apabila mengenangkan detik pertemuan aku dan dia pada malam nanti sehingga menimbulkan kehairanan di kalangan teman pejabatku. Namun, aku tetap tersenyum. Aku tak peduli dia orang nak kata aku gila ataupun apalah sebab aku rasa bahagia sangat waktu itu.

Sebaik-baik sahaja habis waktu kerja (walaupun lambat sikit dari biasa memandangkan aku cuti esok jadi aku kena sudahkan beberapa kerja), aku bergegas ke One Utama. Aku tiba di One Utama dalam pukul enam lebih. Janji dengan dia pukul lapan. Awal lagi jadi aku buat keputusan untuk isi perut dulu.

Kepalaku terbayangkan Root Beer Float maka kakiku melangkah ke A&W. Selepas membeli makanan, aku menikmati waffle aku dengan lahap sekali memandangkan seharian aku tidak menjamah makanan selepas bersarapan pagi tadi.

Hidup di KL banyak pakai duit jadi aku menetapkan waktu makan aku hanya pada waktu pagi dan malam. Gara-gara aku selalu tak keluar waktu makan tengahari, teman pejabatku fikir aku diet. Tak ada maknanya aku nak diet!

Aku cuma berjimat. Lagipun makanan di KL ni semuanya mahal-mahal. Sarapan aja sudah mencecah hampir lima ringgit. Kalau aku makan tiga kali sehari, alamatnya sehari aku akan berhabis lima belas ringgit untuk makan sahaja. Sebulan dah empat ratus lima puluh ringgit.

Itu belum termasuk tambang bas, sewa rumah, bil air, bil elektrik, top up dan belanja untuk keperluan lain lagi. Nanti nak kena bayar hutang PTPTN lagi. Orang selalu fikir orang yang sudah bekerja mesti banyak duit tapi aku rasa orang yang bekerja lagi perlukan duit. Dulu masa belajar sibuk nak kerja tapi bila dah kerja rasa nak belajar semula pula. Huhu...

Apa yang aku melalut ni? Kembali pada cerita pujaan hati aku tadi. Tak sabar betul aku nak jumpa dia. Macam manalah rupanya sekarang ya? Sepanjang tujuh tahun aku hanya melihat gambarnya di internet. Tidak puas rasanya. Aku ingin menatap wajahnya dengan lebih dekat dan merasai kewujudannya di sisi aku.

Apakah dia masih seperti dulu? Walaupun aku dan dia terpisah oleh lautan, namun itu tidak menjadi penghalang untuk aku mengetahui perkembangan dirinya. Internet adalah medium utama bagi aku berhubung dengannya.

Aku tahu kesibukan membataskannya untuk selalu membalas emelku. Dalam puluhan emel aku, hanya satu ataupun dua yang dibalasnya tapi aku tak marah. Bagi aku, dia sudi membalas emel aku itu pun aku dah puas hati.

“Itu dia!”

Serentak itu, kedengaran teriakan dan sorakan daripada puluhan manusia yang turut menantikan tetamu dari seberang itu bersama aku. Hatiku semakin berdebar-debar apabila melihat dia melangkah ke arahku.

Itukah dia? Betulkah itu dia? Diakah yang berdiri di hadapanku ini? Aku tidak bermimpi kan?

Tanggal 14 Ogos 2008 mencatat memori indah dalam diari hidupku di mana aku berpeluang bertentang mata, berdiri sebelah dan bertegur mesra dengan band pujaan aku iaitu Sheila on 7. Penantian tujuh tahun aku akhirnya berlabuh di One Utama. Tempat itu menjadi saksi pertemuan aku dan mereka.

Akhirnya aku dapat jugak jumpa band pujaan aku face to face! Walaupun agak lewat dari masa yang sepatutnya, namun keramahan dan kemesraan dia orang melayan kerenah peminat yang bermacam ragam berjaya mengubat hati aku yang resah menunggu sejak satu jam yang lalu. Mujur dia orang tak sombong.

Sebelum perlawanan futsal bermula, mereka sempat ditemubual oleh beberapa wakil media yang dijemput khas bagi mengadakan liputan tentang majlis itu. Ternyata mereka bijak menjawab soalan-soalan daripada wartawan itu walaupun ada di antara soalan-soalan itu kedengaran pedas.

Memang sejak bertukar anggota dan mendirikan rumah tangga, nama Sheila on 7 seakan-akan kurang meniti di bibir peminat muzik Malaysia. Lagu-lagu dia orang pun kurang mendapat tempat berbanding band-band Indonesia yang baru sekarang.

Aku sendiri mengakui kenyataan itu namun hati aku tetap setia pada Sheila on 7. Bagi aku, tiada sesiapa pun yang dapat menandingi kehebatan suara Duta dan kehebatan mereka ketika beraksi di pentas. Tidak seperti kebanyakan band yang hanya berdiri tegak menyanyi ataupun bermain alat muzik walaupun lagu yang dipersembahkan adalah lagu rancak.

Baik Duta sebagai vokalis mahupun ahli Sheila on 7 yang lain, mereka sentiasa beraksi lincah dan aktif ketika di pentas. Dan itulah yang membuatkan aku terpegun selain lagu-lagunya yang bermotivasi Untuk Perempuan dan Jalan Terus. Sheila on 7 lah band pertama yang berjaya menambat hati aku.

Peminat Sheila on 7 yang berpaling tadah dengan alasan Sheila on 7 sudah tua, dah kahwin dan dah ada anak, mereka bukan peminat yang sejati. Jelas sekali dia orang hanya minat pada orangnya, bukan muziknya. Dia orang yang hanya minat ikut-ikutan juga bukan penyokong yang setia.

Bila sesuatu band itu popular, dia orang pun ikut minat. Tapi bila band itu dah tak popular, dia orang pun beralih kepada band yang lebih popular. Adakah dia orang ini layak digelar peminat ataupun penyokong? Lu pikirlah sendiri!

Aku tak kisah kalau dia orang tak kenal aku sebab akulah pemuja rahsia yang akan selalu memuja dia orang bak lirik lagu itu, selamanya ku hanya bisa memujamu… selamanya ku hanya bisa merindukanmu...

2 ulasan:

misz nana berkata...

ingat nak jumpa sape..
sekali SO7 daa..
daku tertipu jap.. uhuk3..

fndrocka berkata...

Dewa lagi genius.huu