Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Mei 20, 2011

Budak SMART (Bab Satu)

KELAS Tingkatan 5 Kemanusiaan Harmoni yang terletak di hujung bangunan itu riuh-rendah dengan suara dan gelagat para penghuninya. Maklumlah sudah agak lama mereka tidak berjumpa. Masing-masing sibuk bercerita tentang pengalaman percutian yang dilalui sepanjang dua bulan yang lepas.

Di belakang kelas, tiga orang pelajar lelaki sedang rancak berbual. Namun bukan perihal percutian yang menjadi topik perbualan mereka sebaliknya perihal guru kelas mereka pada tahun itu.

“Geng, siapa guru kelas kita tahun ni, ha?” tanya Azrizal kepada dua teman baiknya itu.

“Cik Mazleen,” jawab Shafik.

“Hah? Cik Mazleen? Habislah kita.” Azrizal cuak.

“Kenapa?” soal Iqbal, tidak mengerti.

“Takkan kau tak kenal Cik Mazleen tu? Satu sekolah tahu pasal sikap kejam dia tau!” cerita Azrizal.

Memang seluruh sekolah telah sedia maklum tentang sikap dan perangai guru mereka yang seorang itu. Siapa yang tidak kenal Cik Mazleen? Cikgu yang paling kejam di sekolah itu. Pendek kata, siapa yang dapat Cik Mazleen sebagai guru kelas memang malang.

“Kejam sangat ke Cik Mazleen tu?” Iqbal masih tidak mempercayainya. Selama ini mereka hanya mendengar cerita daripada mulut pelajar lain dan sekarang mereka akan merasai sendiri berada di bawah pengawasan Cik Mazleen. Mudah-mudahan semua cerita itu hanyalah sekadar khabar angin.

“Aku tak tahulah cerita tu betul ke tak. Tapi kata budak tingkatan lima tahun lepas, Cik Mazleen tu boleh tahan juga barannya. Pantang silap sikit, nahaslah. Alamatnya bersedialah untuk terima habuan. Kalau tak siap kerja rumah pula, biasanya dia akan gandakan kerja tu,” tambah Azrizal lagi.

“Kalau macam tu, teruklah kita tahun ni,” Shafik meluahkan kekesalannya. “Tak seronoklah kalau tak buat kerja jahat,” tambahnya lagi.

“Lupakan saja semua tu. Bukannya kita tak biasa kena marah. Yang syoknya aku dengar, cikgu kita yang seorang ni belum kahwin lagi tau,” ujar Azrizal sambil mengangkat kening.

“Betul ke, Riz? Tapi setahu aku, umur cikgu kita tu dah nak masuk 30 tahun, bukan?” Shafik mencuba mencongak-congak usia Cik Mazleen yang sebenar.

“Itulah pasal!” Azrizal mencelah. “Nak kata tak cantik, cantik. Ala-ala Wardina gitu.”

“Agaknya sebab dia garang sangat, sebab tu tak ada orang nakkan dia,” tebak Iqbal.

“Kiranya cikgu kita tu andartulah, bukan?” Kata-kata Shafik disahut dengan tawa Azrizal dan Iqbal.

Kelas itu bertambah gamat. Masing-masing tidak putus-putus bercerita sehingga tidak menyedari kedatangan guru mereka.



KETIKA melangkah ke kelas itu, dia sudah dapat mendengar suara riuh-rendah. Dan apabila kakinya menapak di kelas itu, darahnya seakan-akan naik ke kepala apabila melihat keadaan kelas itu.

Papan putih dipenuhi lukisan tangan orang yang tidak bertauliah. Di belakang kelas, bakul sampah tumbang. Sampah di dalamnya bertaburan di lantai. Meja dan kerusi tunggang-langgang. Lebih teruk daripada kapal karam!

Bunyi buku yang dihempas kuat menghentikan kekecohan yang melanda kelas itu. Serta-merta kelas itu menjadi sunyi. Pandangan mereka tertumpu ke hadapan kelas. Pelajar yang bukan penghuni tetap di kelas itu bergegas ke kelas mereka apabila terlihat guru wanita itu. Guru wanita itu kelihatan marah.

“Bangun… Selamat pagi, cikgu,” arah Athira yang pernah menyandang jawatan ketua kelas pada tahun lepas dan diikuti oleh pelajar lain.

“Selamat pagi,” dengan nada marah, dia masih menjawab ucapan selamat itu. Matanya meliar memerhatikan setiap raut wajah anak didik barunya pada tahun itu.

Tanpa menunggu lama, para pelajar melabuhkan punggung di kerusi. Namun suara lantang guru wanita itu membuatkan mereka tidak jadi duduk. Yang sudah duduk pula berdiri semula. Masing-masing tunduk membisu. Tidak ada sesiapa pun yang berani bersuara ketika itu. Guru wanita itu telah mula menunjukkan kuasanya.

“Dahlah lambat turun perhimpunan, bising lagi! Dah lima tahun di sekolah ini pun tak reti-reti lagi! Bukannya kanak-kanak. Dah besar panjang pun. Takkan awak semua tak tahu, setiap hari Isnin ada perhimpunan?” tempik guru wanita itu. Dia malu dengan sikap pelajar-pelajarnya. Baru hari pertama sudah buat hal. Beginikah sikap pelajar tingkatan lima? Pelajar yang menjadi contoh kepada pelajar yang lebih muda.

Pagi-pagi lagi dia sudah ditegur oleh pengetua kerana sikap pelajar kelasnya yang tidak turun ke tapak perhimpunan pada waktu yang telah ditetapkan. Pelajar kelasnya juga mencatatkan rekod tertinggi yang tidak mematuhi sahsiah rupa diri sebagai seorang pelajar sekolah. Tidak memakai lencana sekolah, tidak mengenakan tali leher dan berambut panjang bagi yang lelaki. Yang perempuan pula suka melipat lengan baju kurung hingga ke paras siku dan tidak memakai anak tudung.

Nasib baiklah sekolah itu mewajibkan pelajar perempuan yang beragama Islam memakai tudung. Kalau tidak, alamatnya ramailah yang rambut berkarat seperti mat salleh. Namun di sebalik penampilan mereka itu, dia tahu mereka tidaklah seteruk seperti yang digembar-gemburkan.

Berdasarkan rekod akademik mereka, rata-ratanya meraih lima A dan lebih ketika Penilaian Menengah Rendah dulu. Itulah syarat yang melayakkan mereka untuk mendapat tempat di sekolah ini. Oleh itu, dia sanggup menerima cabaran pengetua untuk memikul tanggungjawab sebagai guru kelas 5 Kemanusiaan Harmoni pada tahun ini. Dia tahu jika kena dengan gayanya, mereka pasti akan menjadi orang yang berjaya kelak.

“Kita orang lupalah, cikgu,” ada suara menjawab.

“Lupa?” Dia tidak dapat menerima alasan itu. Sudah bertahun-tahun bersekolah di sini pun boleh lupa ke? Setahun ada 52 minggu. Setiap tahun, tidak kurang 40 kali mereka mengadakan perhimpunan. Malah adakalanya dua kali seminggu. Takkan itu pun boleh lupa? “Ada berapa orang anak yang awak jaga di rumah tu? Cikgu lain yang dah ada lima orang anak pun tak pelupa macam awak. Belum tua lagi dah nyanyuk!”

Agaknya sebab itulah pelajar-pelajar di sekolah ini gerun dengan guru yang seorang ini. Pekikannya dapat didengari hingga ke bilik guru yang terletak di tingkat bawah. Memang garang sungguh. Segarang baju yang dipakainya. Merah darah! Kalau diamati, guru wanita ini tidaklah tua sangat, namun sikapnya yang kuat melenting itu membuatkannya kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar.

Suasana hening. Dia cuba bertenang. Sabar, Mazleen. Ini semua dugaan. Aku harus kuat. Ini pilihan aku. Mendidik anak bangsa menjadi orang berguna.

“Saya nak awak semua bersihkan kelas ini sekarang juga. Selagi tak bersih, jangan harap awak semua boleh duduk,” guru wanita itu memberi arahan.



TANPA berlengah, 35 orang pelajar itu segera bergerak membersihkan kelas itu. Menyapu, menyusun meja dan memadam papan putih.

“Ni sampah ni,” Azrizal mengarah seorang pelajar perempuan yang sedang menyapu. “Tu, tu. Macam mana kau menyapu ni? Ni tak bersih.”

“Ni ada lagi.” Shafik mengeluarkan sampah-sampah yang ada di dalam laci mejanya ke lantai. Pelajar perempuan itu mula berang. Dia berasa dipermainkan. “Tengok apa? Sapulah cepat.” Shafik tergelak dalam hati.

Mahu tidak mahu, pelajar perempuan itu terpaksa menyapu sampah-sampah itu. Tak guna! Kau sengaja nak mainkan aku, ya. Dia memaki Shafik dalam hatinya seraya tangannya ligat menjalankan kerja.

Tiba-tiba timbul suatu idea di kepalanya untuk mengenakan Shafik. Dia akur dengan kata-kata Shafik lalu berpura-pura sedang menyapu, namun kemudian dia sengaja memukul kaki Shafik dengan penyapu itu.

“Adoi!” Shafik memegang kakinya. Pasti Fatin sengaja mahu membalas dendam kepadanya.

Ops... maaf.” Fatin tersenyum puas hati. Padan muka kau! Nak buli aku? Jangan mimpilah!



SETELAH kelas itu agak bersih, mereka berdiri di tempat masing-masing. Tidak berani untuk duduk. Takut kalau-kalau guru wanita itu mengamuk lagi.

“Baik, awak semua boleh duduk,” ujar guru wanita itu setelah berpuas hati dengan keadaan kelas tersebut.

Sebaik-baik saja mendapat pelawaan, mereka terus duduk. Guru wanita itu menunggu kesemua mereka mengambil tempat di kerusi masing-masing sebelum dia meneruskan bicara.

“Baik, nama saya, Mazleen binti Kamarul. Guru kelas awak semua pada tahun ini,” ujar guru wanita itu sambil berjalan-jalan di sekitar kelas merenung wajah-wajah baru yang dipertanggungjawabkan kepadanya sepanjang tahun itu.

“Dah banyak cerita yang saya dengar tentang kelas awak ni. Ponteng kelaslah, merokoklah dan macam-macam kes disiplin yang lain. Memandangkan awak semua berada di dalam kelas saya, saya tak nak perkara-perkara begini berlaku lagi. Selagi awak semua berada dalam kelas saya, segala tingkah laku awak semua adalah di bawah pengawasan saya. Kalau awak nak cabar saya, silalah. Tahulah saya nak buat apa. Awak semua belum kenal lagi siapa saya.”

“Teruklah macam ni. Kau rasa Cik Mazleen betul-betul kotakan kata-kata dia ke?” Shafik dan Azrizal berbisik-bisik sesama sendiri.

“Entah. Dia gertak kita saja tu. Takkan dia berani?”Azrizal langsung tidak gentar dengan kata-kata Cik Mazleen tadi.

“Nak bertaruh?”

“Berapa?”

“Belanja main game sebulan?”

“Okey.”

“Satu lagi peraturan di dalam kelas saya, saya tak nak orang bercakap masa saya bercakap.” Cik Mazleen telah pun berada di hadapan Azrizal dan Shafik. Kecut perut mereka berdua melihat renungan tajam guru wanita itu. “Siapa nama awak?”

“Ahmad Azrizal Hafiz bin Ariffin, cikgu.” Azrizal memberanikan diri menentang pandangan mata Cik Mazleen. Cantik juga cikgu ni. Kalau tak garang, mesti sudah ramai yang masuk meminang.

“Kenapa tak pakai tali leher?” Cik Mazleen melihat Azrizal dari hujung rambut hingga ke hujung kasut. Tali leher tidak ada, lencana tidak ada, rambut pun sudah hampir menutupi telinga. Selekeh betul.

“Tertinggal, cikgu,” Azrizal memberi alasan. Sememangnya dia tidak gemar memakai tali leher. Lehernya akan terasa terjerut jika memakai tali leher. Pagi tadi pun seorang pengawas sudah menegurnya kerana hal itu.



DIA selamba melangkah ke dalam pagar sekolah apabila namanya dipanggil oleh seorang pengawas yang bertugas.

“Azrizal,” lembut saja suara itu memanggil. Dek kerana kelembutan itu, Azrizal semakin galak mengusik gadis itu.

“Ya, sayang?” Azrizal berpatah semula mendapatkan gadis itu.

Gadis itu berlagak biasa apabila mendengar Azrizal memanggilnya dengan nama itu. Dia telah masak dengan perangai pelajar lelaki itu yang gemar mengusik pelajar perempuan di sekolah itu.

“Kenapa tak pakai lencana?” soal gadis itu.

“Tak ada orang nak tolong jahitkan,” ujar Azrizal manja. Dia suka melihat wajah gadis itu apabila diusik begitu. Comel!

“Tali leher awak mana? Takkan tali leher pun nak tunggu orang pakaikan juga?”

“Kalau awak nak tolong pakaikan, apa salahnya?”

“Kali ini saya maafkan awak. Tapi esok, jangan lupa pakai lencana dan tali leher,” gadis itu mengingatkannya.

“Yalah, sayang.”

“Saya bagi awak semua tempoh seminggu.” Suara Cik Mazleen membawa fikiran Azrizal ke kelas semula. “Mulai minggu depan, siapa yang tidak mengikut sahsiah rupa diri, akan didenda. Faham?”

“Faham…” Hanya beberapa orang pelajar yang menyahut.

“Hai, tadi bising bukan main kuat lagi.” Cik Mazleen tidak berpuas hati dengan sambutan pelajar-pelajarnya itu lalu mengulang kembali soalannya dengan nada yang lebih kuat. “Faham tak, semua?”

“Faham…!!!” Mereka turut menguatkan suara menyamai nada suara Cik Mazleen.

“Bagus. Sekarang, kita akan melantik seorang ketua kelas dan penolong ketua kelas untuk tahun ini.” Cik Mazleen melangkah ke arah papan putih.


Dapatkan novel ini di Kinokuniya (KLCC) dan MPH

Tiada ulasan: