Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Mac 15, 2012

CERPEN : Jika Kau Tak Datang




Happy birthday, Dayana!

Selamat hari ulang tahun, Dayana.



SATU per satu ucapan selamat hari lahir daripada kawan-kawannya di dinding Facebook dibaca. Sesekali bibirnya tersenyum apabila ada ucapan yang dirasakan melucukan. Hai, ada-ada sahaja kawan-kawannya ini.

Boleh dikatakan dalam setahun, hari itulah baru dinding Facebooknya akan dipenuhi dengan komen-komen. Tidak seperti selalu, sunyi sepi. Itu pun sebab Facebook yang ingatkan kawan-kawan mereka tentang hari lahirnya. Kalau tidak, dia berani jamin tiada sesiapa pun yang ingat akan tarikh lahirnya selain keluarganya.

Dalam tersenyum simpul membaca ucapan-ucapan itu, tiba-tiba matanya membulat apabila membaca ucapan daripada salah seorang temannya. Entah mengapa ucapan itu seakan-akan merentap tangkai jantungnya.


Sweet 27 :p


Sweet 27. Ya, tiada apa-apa yang salah tentang ucapan itu. Namun ucapan itu membuatkan dia sedar akan sesuatu. Dia kini sudah berumur 27 tahun! Hal ini bermakna yang dia akan berusia 30 tahun dalam tempoh tiga tahun lagi.

Aduh! Mengapalah temannya itu mengingatkannya akan usianya pada tahun itu? Tiba-tiba sahaja dia terasa seperti tua benar. Rasanya baru semalam dia menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-17. Tup, tup, sudah 27?

Ya, setiap orang pasti akan meningkat usia. Takkan selama-lamanya muda remaja, bukan? Namun jika dia seorang ibu yang membesarkan anak-anak atau seorang isteri yang menguruskan kebajikan suami di rumah atau sekurang-kurangnya seorang wanita yang mempunyai kerjaya bergaji RM2500 dan ke atas, pasti dia akan lebih gembira menyambut ulang tahun kelahiran pada usia begini. Namun hakikatnya, dia tidak memiliki ketiga-tiganya.

Sudahlah gaji ciput, suami tak ada, anak apatah lagi. Mana nak ada anak kalau suami pun tak ada. Mana nak ada suami kalau teman lelaki pun dia tak ada. Dan mana nak cecah gaji RM2500 kalau RM1500 pun tak sampai sedangkan dia sudah berkhidmat di situ selama tiga tahun. Dari mula bekerja hinggalah sekarang, gajinya tetap begitu.

Kadang-kadang dia berasa cemburu apabila melihat kawan-kawan yang sebaya dengannya sudah ada kereta sendiri, pakai telefon bimbit canggih, malah ada yang sudah mampu beli rumah sendiri. Dia pula masih menggunakan telefon bimbit yang cuma boleh buat panggilan dan menghantar mesej.

Namun dia tidaklah kisahkan sangat pasal itu. Yang paling dia risaukan, sampai saat ini dia masih belum mempunyai teman lelaki. Ibunya di kampung juga sudah bising-bising memandangkan kebanyakan sepupunya yang sebayanya sudah pun berkahwin, malah ada yang sudah beranak-pinak.

Salah seorang sepupunya yang tidak pernah bercinta pun sudah berkahwin. Manalah ibunya tidak bising. Aduh, ini yang buat dia nak nyanyi lagu Wali Band!


Apa salahku, apa salah ibuku?
Hidupku dirundung pilu
Tak ada yang mahu dan menginginkan aku
Untuk jadi pengubat pilu
Untuk jadi penawar rindu
Untuk jadi kekasih hatiku…




SEJURUS pintu rumah sewa itu dibuka, dia terus menghidupkan suis kipas siling lalu merebahkan diri di atas sofa. Barulah lega sedikit. Tak tahan betul dia dengan keadaan di kenduri kahwin tadi. Sudahlah cuaca panas terik, orang pula ramai. Dia yang hanya berbaju kurung biasa itu pun sudah berpeluh, entah macam manalah dengan pengantin yang berbaju songket tadi. Kerongsang pada tudung dicabut satu demi satu.

“Air.” Teman serumahnya, Wani meletakkan segelas minuman sejuk di atas meja kecil di situ lalu mengambil tempat di sebelahnya. Tangannya kemudian mencapai alat kawalan jauh dan menghidupkan televisyen.

Thanks.” Tanpa menunggu lama, minuman di dalam gelas itu diteguk sehingga tinggal separuh.

Suasana kembali hening. Kedua-dua teman serumah itu kelihatan khusyuk melihat ke arah televisyen. Namun sebenarnya fikirannya sudah ke lain. Kini mereka cuma tinggal berdua di rumah itu selepas Mai berkahwin. Beberapa bulan selepas itu pula, Wani pula akan berkahwin. Tinggallah dia seorang yang tak kahwin-kahwin.

Fikirannya teringat akan peristiwa di kenduri kahwin Mai tadi. Kesemua teman mereka yang datang ke kenduri tadi datang bersama pasangan masing-masing. Tak kiralah suami ke, isteri ke, tunang ke, teman lelaki atau teman wanita. Malah, ada yang sudah ada anak berderet. Dia sahaja yang datang sendirian jika ditolak Wani dan tunangnya walaupun mereka datang bersama.

Kalau ikutkan, dia memang malas nak datang tapi mengenangkan akan hubungan rapat mereka dengan Mai, dia gagahkan juga diri untuk datang meskipun dia sudah dapat menjangka soalan yang akan diajukan kepadanya. Tak ada perkara lain, pasti topik giliran siapa pula selepas Mai yang akan diungkit.

“Kau bila lagi?” Itulah soalan popular yang akan ditanya kepada mereka yang masih bujang ketika mereka berjumpa di kenduri kahwin kawan-kawan.

Disebabkan dia tidak ada jawapan untuk soalan itu, maka dia cuma tersenyum. Hanya Tuhan yang tahu perasaannya ketika itu. Entah mengapalah mereka suka bertanyakan soalan itu. Tak tahu ke soalan itu amat sensitif bagi orang yang masih solo sepertinya? Tunggu sahajalah kalau ada jemputan. Itu pun kalau ada.

Mungkinkah kerana sikapnya yang kurang bergaul dengan lelaki yang menyebabkan tiada lelaki yang berani mendekatinya? Jadi, adakah dia perlu membuka langkah pertama dahulu? Kalau tidak, sudah tentu dia akan membujang sampai ke tua. Oh, tidak! Dia tidak mahu.

Seketika kemudian, dia menoleh ke arah Wani. Tanpa dijangka, Wani turut memandangnya.

“Kenapa?” tanya Wani.

Dayana menggeleng. Perlukah dia meminta bantuan Wani? Tapi dia malu. Nanti apa pula kata Wani? Pasti Wani akan menyangka yang dia sudah terdesak. Tapi memang pun.

“Erm… Wani, aku ada benda nak tanya.” Akhirnya dia mengalah. Dalam waktu-waktu kecemasan begini, dia perlu mencuba apa-apa cara sekalipun.

“Apa?” Mata Wani masih melekat ke arah televisyen.

Dayana serba salah. Lambat-lambat dia bersuara. “Kau tak ada ke kawan-kawan lelaki yang masih bujang?”

“Ada,” jawab Wani pendek.

Dayana masih resah. Ternyata Wani tidak faham akan maksud soalannya itu. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan perkara itu kepada Wani tanpa menunjukkan yang dia terdesak untuk mencari pasangan hidup.

“Kau tak nak kenalkan pada aku ke?” tanyanya perlahan namun cukup jelas di telinga Wani.

Pantas Wani merenungnya. Mungkin temannya itu tidak menyangka gadis yang pendiam dan pemalu sepertinya bertanyakan soalan seperti gadis yang terdesak.
“Betul ke apa yang aku dengar ni?”

“Betullah,” jawab Dayana namun renungan tajam yang dihadiahkan oleh Wani menggugat pendiriannya. Betul ke? Soalan itu ditanyakan kepada dirinya sendiri pula. Namun kemudian, dia mengangguk. Ya, dia nekad.



EE, rimas betul dia dengan bunyi telefon bimbit itu. Dari tadi tumpuannya terhadap kerja-kerja pejabat asyik terganggu gara-gara telefon bimbitnya tidak berhenti berbunyi. Tak faham betul dia dengan mamat yang seorang ini. Apalah yang dimahukannya? Sudah banyak kali dia ingatkan lelaki itu supaya tidak menghubunginya ketika waktu pejabat. Tak faham bahasa Melayu agaknya!

Telefon bimbit yang disimpan di dalam laci meja diambil lalu ditutup. Baru puas hatinya. Mengacau orang aje kerjanya. Orang nak buat kerja pun tak senang. Omel Dayana dalam hati. Baginya, waktu pejabat adalah waktu untuk bekerja. Bukan waktu untuk bercinta. Masih ada banyak masa lagi selepas waktu pejabat. Takkan itu pun tak boleh sabar?

Lagipun, dia hanya pekerja makan gaji. Nanti apa pula kata rakan sepejabat yang lain apabila melihat dia asyik bergayut dan membalas pesanan ringkas ketika waktu pejabat. Nanti tidak pasal-pasal pula dia mendapat nama buruk jika ada rakan sepejabatnya yang mengadu kepada bos.

Dia sendiri pun naik rimas apabila ada rakan sepejabatnya yang berbalas pesanan ringkas ketika waktu pejabat. Dia tahu bukan urusannya untuk masuk campur hal peribadi mereka tetapi kalau telefon bimbit itu tidak berbunyi, tidak mengapalah juga. Ini setiap kali telefon bimbit rakan sepejabatnya itu berbunyi, tumpuannya juga turut terganggu.

Beginikah gelagat orang bercinta? Asyik mahu berhubung 24 jam? Macam dah tak ada kerja lain yang perlu dibuat. Tapi kenapa dia tak rasa macam tu?



“KAU tutup telefon ke?” Tiba-tiba Wani terpacul di muka pintu biliknya malam itu.

Tumpuan terhadap komputer riba kini beralih kepada Wani. Kemudian, baru dia teringat akan sesuatu.

“Haahlah. Aku terlupa nak on balik,” jawabnya lantas bangkit daripada katil dan melangkah ke arah meja. Dia mencari telefon bimbitnya yang masih disimpan di dalam beg tangan sejurus pulang dari pejabat petang tadi. Patutlah dia terasa dunianya aman sahaja. Kalau tidak, pasti ada sahaja pesanan ringkas yang masuk.

“Patutlah dia telefon aku. Kau bergaduh dengan dia ke?” Wani mula menjalankan soal siasat.

“Mana adalah,” nafi Dayana seraya menghidupkan telefon bimbitnya. Sejurus kemudian, bertalu-talu bunyi pesanan ringkas masuk.

“Habis tu, kenapa kau tutup telefon?” tanya Wani, ingin tahu.

Dayana menyua telefon bimbitnya kepada Wani. “Kau tengok ni.”

Wani memandang skrin telefon bimbit Dayana yang tertera jumlah pesanan ringkas dan beberapa panggilan yang tidak berjawab.

“Sebab tulah aku tutup telefon. Asyik telefon aje sampaikan aku nak buat kerja kat pejabat pun tak senang. Rimas betul,” rungut Dayana sambil membaca pesanan ringkas yang diterima satu demi satu. “Tengok ni, bila aku tak balas SMS dia aje, dia kata aku tak sayang dialah, tak ambil berat pasal dialah. Ee, baru aje kenal, dah nak sayang-sayang. Geli aku,” adu Dayana kepada Wani.

Wani cuma tergelak kecil mendengar cerita itu. “Habis tu, dulu kau juga yang nak. Sekarang, bila dah ada orang nak, kau pulak tak suka.”

“Manalah aku tahu perangai dia macam ni. Aku tengok kau dengan tunang kau pun jarang balas SMS atau telefon. Okey aje,” balas Dayana. Adakalanya dia berasa cemburu melihat hubungan Wani dengan tunangnya. Bukan kerana hubungan mereka ‘sweet’ bak kata orang tetapi kerana masing-masing tahu menjaga batas pergaulan dan tidak menunjukkan kemesraan baik di hadapan orang ramai mahupun dalam laman sosial Facebook selagi belum mempunyai ikatan yang sah. Dia juga mahukan lelaki sebegitu.

Wani tersenyum mendengar kata-kata temannya itu. “Kau tahu tak, dulu aku pun ingat semua pasangan tu sama. Asyik bergayut dan berdating setiap masa. Tapi bila aku kenal dengan tunang aku, baru aku tahu yang setiap pasangan tu berbeza. Kita yang tentukan hubungan macam mana yang kita nak. Kalau kita rasa nak seronok-seronok aje, yang seronok ajelah yang kita dapat. Kalau kita rasa kita nak hubungan tu berada pada landasan yang betul untuk sampai ke destinasi yang diimpikan, kitalah yang pandu supaya tak tergelincir dari landasan. Dan aku berasa bersyukur sangat aku dipertemukan dengan tunang aku.”

Wani diam sejenak sebelum menyambung, “Aku faham perasaan kau. Aku pun pernah melaluinya. Tapi siapa sangka, cinta pertama aku datang juga waktu umur aku 25 tahun, dua tahun lalu. Bila aku fikir-fikir balik, aku rasa pasti ada sebab kenapa Allah temukan kita dengan jodoh kita pada umur kita sekian sekian. Mungkin kita belum bersedia untuk sebarang komitmen, sebab tu Allah tak beri jodoh pada kita lagi. Lagipun, buat apa kau nak tergesa-gesa macam ni? Umur kau baru 27 tahun, bukannya 37 atau 47. Kau tahu, ada orang yang dah berumur 50 tahun pun masih belum kahwin tau.”

Dayana melepaskan keluhan. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh temannya itu. Dia belum bersedia untuk sebarang komitmen. Tetapi adakalanya dia tertekan juga dengan sikap ibunya yang semakin mendesak. “Entahlah, Wani. Kalau mak aku tak desak aku, aku pun tak adalah terdesak macam ni. Sekurang-kurangnya, kalau aku ada pakwe, tak adalah dia bising-bising lagi agaknya.”

“Kalau mak kau bising pun, bukannya jodoh kau boleh datang terus. Perkara ni kita tak dapat rancang. Apa yang perlu kau buat ialah bersabar dan berdoa. Insya-Allah, jodoh kau akan datang jugak nanti.”

Kalau jodoh aku tak datang jugak, macam mana? Pertanyaan itu tetap bermain dalam benaknya.



TAHNIAH!”

Ucapan itu disambut dengan senyuman lebar oleh wanita yang baru sahaja bergelar ibu di hadapannya ini. Jelas terpancar kegembiraan pada wajah temannya itu. Lengkap sudah kehidupannya bersama si suami. Dia tumpang gembira untuk Wani.

Sedar tidak sedar, sudah empat tahun berlalu. Kehidupan teman-temannya semakin bertambah bahagia sedangkan dia masih juga begini. Dia semakin cemburu melihat kebahagiaan teman-temannya. Mai yang mengikut suaminya menetap di Perlis semenjak mereka berkahwin kini khabarnya sedang mengandungkan anak kedua.

“Kau nak dukung?”

Pertanyaan Wani membantutkan fikirannya daripada terus memikirkan yang bukan-bukan.

“Tak apalah. Aku tak pandai.” Dia menolak dengan baik.

“Alah, tak ada apa.” Wani menghulurkan anaknya kepadanya.

Dia teragak-agak. Namun demi tidak menghampakan Wani, dia menyambut bayi lelaki itu dengan berhati-hati. “Siapa namanya ni?”

“Haris,” jawab Wani.

Tiba-tiba pintu wad itu dibuka. Serentak pandangan mereka tertumpu ke arah pintu. Seorang pemuda yang memakai baju-T dan jean muncul di muka pintu. Sejurus memberi salam, pemuda itu menghampiri katil yang diduduki oleh Wani.

Dayana menjawab salam dalam hati lalu kembali melayan Haris dalam dukungannya. Dia tidak berapa mengendahkan kehadiran pemuda itu lantaran dia tidak mengenali pemuda itu. Namun daripada perbualan pemuda itu dengan Wani, dia dapat mengandaikan yang pemuda itu mungkin kawan Wani atau mungkin juga kawan suami Wani kerana dia bertanyakan suami Wani.

“Ni Dayana ke?”

Selepas berbual beberapa ketika, tiba-tiba sahaja pemuda itu bertanyakan tentang dirinya. Dayana tersentak. Bagaimana pula lelaki itu tahu akan namanya? Seingatnya, lelaki itu tidak pernah ada dalam senarai kenalannya, apatah lagi teman.

“Haah. Yana, kau ingat Ezrie, kan?” tanya Wani.

Dayana memandang pemuda itu, kemudian cepat-cepat dia mengalihkan pandangan apabila dia merasakan renungan pemuda itu menghadirkan satu getaran dalam dadanya.

“Hai, pasangan pengapit sendiri pun tak ingat ke?” usik Wani apabila melihat wajahnya yang berkerut itu.

Apabila Wani menyebut ‘pengapit’, barulah dia teringat akan pemuda yang sama-sama menjadi pengapit dengannya ketika majlis perkahwinan Wani empat tahun lalu. Sudah empat tahun berlalu, manalah dia hendak ingat. Lagipun, waktu itu pun mereka cuma pandang-memandang. Mana sempat nak kenal-kenal. Yang dia tahu, Ezrie adalah teman rapat suami Wani. Itu saja. Tetapi kenapa pula pemuda itu tiba-tiba muncul semula selepas empat tahun?

“Bukan senang nak jumpa Ezrie ni, Yana. Selalu terbang sana sini. Maklumlah orang kerja bawa kapal terbang,” terang Wani tanpa dipinta.

Dia hanya mendengar acuh tak acuh. Tak kisahlah terbang ke, bawa kereta ke, jalan kaki ke, apa kena-mengena dengan dia?

“Pandai Yana pegang baby ya. Yana dah ada berapa orang anak?” tanya Ezrie.

Sekali lagi dia tersentak. Terkejut dengan pertanyaan itu. “Ha?”

Wani cuma tersenyum. “Yana ni mana ada anaklah. Kahwin pun belum,” Wani menjawab bagi pihak Dayana. Kemudian, dia menambah, “Pakwe pun tak ada.”

Spontan tangannya mencubit lengan Wani.

“Adoi!” Wani terjerit kecil.

Padan muka! Ada ke patut Wani berkata begitu di depan lelaki yang tidak dikenali? Malulah dia.

Tiba-tiba Haris yang berada dalam dukungannya menangis. Dia mula kalut. “Alamak, kenapa anak kau menangis pulak ni? Tadi elok aje.”

“Dia tak suka kau sebab kau cubit mak dia.” Wani mengambil Haris daripada dukungannya. “Dia lapar ni. Aku susukan dia sekejaplah.”

Seolah-olah mengerti, dia dan Ezrie meminta diri untuk ke kantin.



“KENAPA tak ada pakwe?” tanya Ezrie sejurus mereka keluar dari bilik wad Wani.

Rasanya telinganya masih belum pekak lagi. Tapi yang dia hairan, kenapa pula Ezrie bertanyakan soalan itu kepadanya? Adakah dia perlu menjawab soalan itu?

“Siapalah yang nak kat saya ni.” Akhirnya, hanya itu jawapan yang terluah.

“Saya nak.”

Dayana memandang Ezrie dengan mata tidak berkelip. Adakah dia sedang bermimpi? Ah, pasti Ezrie cuma bergurau.

“Tadi awak kata awak lapar, kan?” Dia cuba menutup rasa gugupnya.

“Saya serius. Sejak saya jumpa awak empat tahun lalu, saya dah suka kat awak.”

Tiba-tiba sahaja lidahnya terasa kelu. Kata-kata Ezrie itu dirasakan terlalu terus terang.

Melihatkannya masih membisu, Ezrie menerus, “Tapi waktu tu saya tak berani nak tegur awak, takut awak dah berpunya. Saya tahu nama awak pun daripada Wani. Tapi bila dah jumpa awak ni dan kalau betul awak masih belum berpunya, tak salahkan kalau saya mencuba?”

Dia menelan air liur. Adakah ini jodoh yang ditunggu selama ini?




*Sebuah cerpen yang diilhamkan ketika mendengar luahan seorang sahabat mengenai kebimbangannya kerana masih solo walaupun sudah berusia 27 tahun. Duhai sahabat, percayalah, jodohmu pasti datang...

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ha'ah, mcam pesan mak: "jodoh? tak perlu nak cari, nanti dia sendiri terhegeh-hegeh datang...masa tu, kita pun jenuh nak layan..."
:)

Tanpa Nama berkata...

Dah abis kew.......???

Tanpa Nama berkata...

adeh cerpen ni agak terkena batang hidung jugak la.. anyway nice story!

Tanpa Nama berkata...

Duhai sahabat, insyaAllah jodoh itu akan datang juga akhirnya. Kan dah dijanjikan Allah bahawa kita ini berpasang-pasangan. Cuma lambat atau cepat aje... Biar lambat, tapi bahagia.... Kalau bukan di sini, mungkin di syurga....

Tanpa Nama berkata...

me still x jumpa lagi jodoh tu ..always talk to my self " jodoh pasti akan datang ' wlapun ada yang sentiasa selalu menyakitkan bertanya why you not marry.