Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 27, 2019

Kerana Dia... Kamu! (Bab 1)





“LIA!”
            Aulia yang baru melepasi pintu keluar bangunan tempat kerjanya terhenti melangkah apabila mendengar namanya dipanggil. Wajahnya yang ceria tadi berubah riak tatkala melihat pemuda itu menghampirinya.
            “Dee, kau balik dululah,” Aulia berkata kepada rakan sekerjanya, Dayana, yang juga merangkap teman baiknya.
            “Tak apa ke?” Dayana berasa ragu-ragu mahu meninggalkan Aulia bersama pemuda itu tetapi pada masa yang sama dia perlu pulang cepat.
            “Tak apa, aku boleh uruskan,” balas Aulia seakan-akan tahu perkara yang bermain dalam fikiran sahabatnya itu.
            “Kalau ada apa-apa, kau telefon aku tau!” pesan Dayana sebelum melangkah pergi dalam terpaksa. Sempat dia mengerling pemuda itu.
            “Abang Wan buat apa kat sini?” soal Aulia dingin. Dia malas mahu melayan Izwan yang tidak faham bahasa itu.
            “Abang nak jumpa Lialah,” ujar Izwan tanpa segan silu seraya tersenyum lebar.
            Namun, senyuman itu langsung tidak memberikan apa-apa kesan kepada Aulia. Sebaliknya, dia berasa menyampah pula.
            “Ada apa abang nak jumpa Lia? Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi, kan?” Aulia mengingatkan Izwan. Hidupnya kini lebih tenteram tanpa Izwan dan keluarga mentuanya.
            “Kita masih boleh sambung balik hubungan kekeluargaan kita. Lia dah pertimbangkan cadangan abang hari tu?” soal Izwan lembut. Sengaja mahu memancing hati Aulia.
            “Lia minta maaf, bang. Lia tak boleh terima abang,” jawab Aulia berterus-terang. Dia harap Izwan faham. Dia tidak mahu ada kaitan dengan keluarga Izwan lagi. Dia sudah tiada hati.
Namun, Izwan seakan-akan sengaja berbuat tidak faham. Dia tetap yakin Aulia akan menerimanya juga suatu hari nanti. 
“Okey, tak apa. Kalau Lia perlukan masa lagi, abang faham. Lia nak balik, kan? Jom abang hantarkan,” Izwan cuba memujuk.
“Tak apalah, bang. Lia pun tengah tunggu kawan Lia ni,” bohong Aulia. Dia berharap Izwan akan segera beredar dari situ. Dan kalau boleh, dia memang tidak mahu berjumpa dengan Izwan lagi.
“Betul ke atau Lia sengaja nak mengelak daripada abang?” tebak Izwan. Dia tidak percaya dengan alasan Aulia.
“Betullah!” Aulia cuba mengawal suaranya yang gemuruh seraya memandang ke arah pintu bangunan tempat kerjanya. Dia berharap ada seseorang yang dapat menyelamatkannya daripada Izwan.
Seolah-olah Tuhan memperkenankan doanya, bunyi kad akses disentuh pada thumbnail pintu utama bangunan tempat kerjanya menandakan ada orang yang mahu keluar.
“Ha, itu pun kawan Lia.” Dengan wajah selamba, Aulia merapati Sufian yang baru sahaja melepasi pintu utama bangunan tersebut.
“Awak, lama betul saya tunggu awak. Kenapa lama sangat?” Aulia sengaja melunakkan suaranya supaya Izwan percaya bahawa Sufian itu seorang yang istimewa kepadanya.
Sufian tercengang melihat sikap manja Aulia yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Aulia mengerlip-ngerlipkan matanya kepada Sufian beberapa kali dan berharap agar Sufian memahami yang dia sedang berada dalam keadaan terdesak. Mujurlah dia membelakangkan Izwan.
“O... ha, saya ada kerja sikit tadi. Sorry buat awak tunggu lama,” Sufian mula memainkan peranannya walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku.
“Abang, ini Sufian. Teman lelaki Lia,” Aulia memperkenalkan Sufian kepada Izwan.
Sufian menghulurkan tangan untuk bersalaman tetapi Izwan langsung tidak menyambut tangan Sufian. Sebaliknya, dia tayang muka sombong.
“Abang tak percayalah. Takkan cepat sangat Lia dah dapat pengganti?” Izwan senyum sinis. Seakan-akan tidak tertipu dengan helah Aulia.
“Terpulanglah pada abang. Tapi, Lia nak abang tahu yang Lia dah ada Sufian sekarang. Lia harap abang takkan kacau Lia lagi,” ujar Aulia dengan yakin. Kenalah nampak yakin supaya Izwan percaya dengan pembohongannya.
Izwan memandang Sufian.
Sufian pamer wajah selamba. Berpura-pura tidak terkejut dengan pengakuan Aulia tadi.
“Okey, tak apa. Tapi selagi Lia belum berkahwin, abang akan buat sampai Lia terima abang!” ugut Izwan lalu beredar dari situ.
Aulia melepaskan keluhan.
Kenapalah Izwan masih tak faham-faham?



“TERIMA kasih, Pian! Maaflah, terpaksa gunakan awak,” ucap Aulia lalu melangkah untuk pergi.
“Ehem! Takkan nak blah macam tu saja?” soal Sufian tak puas hati.
            Eh!
Langkah Aulia terhenti. Dia berpaling semula kepada Sufian.
            “Sekurang-kurangnya belanjalah saya makan,” gurau Sufian. 
            Mata Aulia membulat. Seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata Sufian.
“Amboi, baru tolong sikit dah minta belanja makan?” Aulia sedikit bengang. Bukannya besar mana pun pertolongan Sufian tadi.
            Sufian tersengih.
“Tak adalah. Main-main sajalah. Tapi, awak pasti ke dia dah balik? Buatnya dia tengah perhatikan kita lagi sebab nak tengok kita betul-betul bercinta ke tak, macam mana?” usik Sufian lagi.
Kata-kata Sufian itu membuatkan Aulia berasa tidak senang hati. Dia melihat sekeliling bagi memastikan Izwan benar-benar sudah pergi dari situ.
“Dia dah pergi kut,” balas Aulia. Lebih kepada menyedapkan hati sebenarnya. Tapi, harapnya begitulah.
“Awak yakin?” Sufian bertanya lagi.
Aulia memandang Sufian.
Eee... Si Pian ni sengaja nak buat dia tak tenteram!
“Jom saya hantar awak balik,” pelawa Sufian.
“Tak apalah. Rumah saya dekat saja,” Aulia menolak.
Dia tidak mahu terhutang budi lagi. Tadi baru tolong sikit Sufian sudah minta dia belanja makan, kalau hantar balik entah apa pula yang dimintanya.
“Lebih baik awak ikut saya. Saya rasa lelaki tu tengah perhatikan kita lagi,” kata Sufian serius.
“Betul ke?” Mata Aulia liar memerhati sekeliling.
“Jom!” Sufian mengisyaratkan supaya Aulia mengikut langkahnya.
Mahu tidak mahu, terpaksalah Aulia mengekori langkah Sufian ke tempat letak kereta. Namun, dia menjarakkan diri daripada Sufian dan hanya mengikut di belakang.
“Jalanlah dekat sikit. Barulah nampak macam kita ni betul-betul tengah bercinta,” giat Sufian.
“Bercinta saja, bukannya suami isteri!” bantah Aulia.
Sufian tergelak senang hati sedangkan Aulia sudah cuak separuh mati. Entah sampai bilalah Izwan akan mengganggunya.



“MASUKLAH,” pelawa Sufian apabila Aulia masih teragak-agak hendak masuk ke dalam kereta Persona miliknya.
            Ini pertama kali Aulia menumpang kereta Sufian. Pastilah dia berasa segan. Lagipun hubungan mereka bukannya rapat sangat pun. 
            “Err, saya jalan kaki sajalah,” putus Aulia. Takut pula dia mahu menaiki kereta Sufian.
            “Dah sampai sini, kan? Naik sajalah. Saya janji saya takkan minta apa-apa balasan, okey?” janji Sufian seakan-akan tahu perkara yang bermain dalam benak fikirannya.
            Mendengarkan itu, lambat-lambat Aulia membuka pintu di sebelah tempat duduk pemandu. Masih waswas dengan Sufian.
“Siapa lelaki tadi tu?” Sufian menyoal sejurus mereka berada di dalam kereta.
            “Izwan,” Aulia memberitahu tanpa menerangkan hubungan sebenarnya dengan Izwan secara lebih terperinci.
            “Kenapa dia cari awak tadi?” Sufian buat-buat bertanya. Melihatkan cara Izwan tadi pun dia sudah tahu yang Izwan ada hati pada Aulia. Tapi, sengaja dia mahu mendengar daripada mulut Aulia sendiri.
            “Entahlah. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba saja dia ajak saya kahwin.” Aulia membuka cerita. Dengan Sufian, dia tidak perlu hendak berahsia sangat memandangkan mereka sudah kenal lama dan Sufian sendiri pun sudah mengetahui tentang latar belakang dirinya.
            “Awak kenal tak dia?” soal Sufian ingin tahu.
            “Mestilah kenal, dia tu abang ipar saya...” Aulia melepaskan keluhan.
            “La, abang ipar awak?” Sufian sedikit terkejut. Namun kemudian, dia bertanya, “Dia dah kahwin ke?”
            “Dah, tapi dah bercerai.”
            “Oh, dudalah ya?” Sufian mengangguk. Namun kemudian, dia bertanya lagi, “Sejak bila dia selalu kacau awak?”
“Sejak akhir-akhir ni tapi selalunya dia mesej saja. Tak sangka pula dia berani cari saya dekat pejabat,” Aulia memberitahu.
Alang-alang Sufian bertanya, biarlah dia ceritakan semua. Dia juga perlukan seseorang untuk meluahkan perasaan. Mahu bercerita dengan Dayana, pastinya Dayana sedang sibuk dengan anak dan suaminya ketika ini.
            “Kalau dia kacau awak lagi, apa awak nak buat? Daripada gaya dia tadi, saya rasa dia takkan biarkan awak macam tu saja.” Sengaja Sufian menduga.
            “Entahlah. Mungkin saya kena kahwin dulu kut, baru dia berhenti kacau saya,” luah Aulia.
“Jadi maknanya, awak dah bersedia nak kahwin semula?”
Soalan Sufian itu membuatkan Aulia terkedu.


Tiada ulasan: