“AFIA ada balik?” Pertanyaan Ariffin kepada isterinya itu memecahkan tembok kebisuan yang melanda di ruang makan rumah itu. Sudah lama rasanya dia tidak berjumpa dengan anak keduanya itu. Walaupun hubungan mereka tidak rapat, tetapi hatinya juga akan berasa tidak tenteram jika Afia tiada di rumah. Biarlah Afia berkurung di dalam biliknya sekalipun, asalkan dia tahu anaknya itu selamat.
“Tak ada. Rasanya dah nak dekat sebulan Afia tak balik. Kenapa, bang?” Syafira menyoal suaminya kembali. Jarang-jarang suaminya bertanyakan perihal anak kedua mereka itu. Mungkin kerana dia menganggap Afia pandai menjaga diri. Jika dibandingkan ketiga-tiga anak mereka, Afialah yang paling berdikari dan tidak banyak menimbulkan masalah.
“Tak ada apa. Cuma saya rasa macam dah lama saya tak jumpa dia,” luah Ariffin. Mungkin janggal kerana selalunya Afia akan balik ke rumah pada setiap hujung minggu tetapi tidak untuk beberapa minggu ini. Terbit rasa rindu di hatinya. Entah apa khabar anaknya yang seorang itu. Satu-satunya yang tidak tinggal sebumbung dengan mereka.
“Mungkin dia sibuk dengan pelajaran agaknya,” balas Syafira. Dia juga hairan apabila Afia tidak pulang ke rumah pada setiap hari minggu seperti selalu sejak akhir-akhir ini. Hendak telefon, jangan haraplah.
“Alah, pa, ma, Afia tu bukannya sibuk dengan pelajaran tapi sibuk bercinta,” Afni yang dari tadi hanya mendengar perbualan ibu dan ayahnya mencelah.
Ariffin dan Shafira saling berpandangan, kemudian serentak mereka memandang Afni.
“Mana Afni tahu?” tanya Ariffin.
“Alah, Afni pernah nampak dia jalan dengan seorang lelaki di Kompleks PKNS,” cerita Afni.
“Kawan kolej dia kut,” ujar Syafira.
“Tak mungkinlah. Afni tengok dia orang tu macam ada apa-apa saja,” tegas Afni. Takkanlah kawan mesra macam tu? Walaupun mereka tidak berjalan berpegangan tangan seperti lazimnya pasangan yang lain, tetapi daripada gaya mereka dia sudah dapat menganggap akan hubungan mereka.
“Siapa budak tu?” soal Ariffin ingin tahu. Seperti tidak percaya sahaja Afia bercinta. Dia tahu Afia belum cukup matang untuk bercinta walaupun umurnya sudah 21 tahun. Sebelum ini pun dia tahu Afia tidak pernah menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki walaupun cinta monyet di bangku sekolah sekalipun. Sebab itulah dia tidak berapa bimbangkan Afia kerana dia tahu Afia tidak mudah dipengaruhi.
“Itu papa dan mama kena tanya Afia sendirilah,” balas Afni. Jika diceritakan lebih-lebih nanti, pasti Afia menuduhnya yang membawa mulut. Maklum sahaja, hubungan mereka kan tidak begitu baik.
“Afni, telefon Afia suruh dia balik minggu ni juga,” ujar Ariffin. Bunyinya seakan arahan.
AFIA melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu. Tanpa sedar, dia mengeluh. Isy, malasnya nak jawab.
“Kenapa tak jawab?” tanya Asyraf yang duduk bertentangan dengannya di medan selera itu.
“Orang yang membosankan,” balas Afia. Tanpa menghiraukan telefon bimbit yang diletakkan di atas meja itu, dia menyambung menikmati hidangan kuetiau Bandung yang terhenti gara-gara panggilan telefon itu tadi.
“Siapa tu? Peminat ya? Meh, biar saya jawab,” Asyraf mencapai telefon bimbit Afia, melihat nama yang tertera sebelum menjawab. “Helo… Assalamualaikum… Siapa ni? Nak cakap dengan Afia ya? Afia tak adalah. Dia pergi tandas. Saya? Saya tunang dia…”
Afia hanya memerhati gelagat Asyraf menjawab panggilan telefon itu. Tenang sahaja Asyraf berbicara. Sangka Afia, dia akan memaki orang itu tetapi tidak. Inilah yang membuatkan hatinya semakin tertawan dengan Asyraf. Sikapnya sentiasa sahaja tenang. Malah, adakalanya dia pula yang terlebih emosional.
“Dah, selesai,” Asyraf memulangkan kembali telefon bimbit Afia.
“Dia cakap apa?”
“Dia kata dia tak tahu pula yang awak ni dah bertunang. Dia minta maaf dan janji takkan kacau awak lagi.”
“Ni semua salah Julia. Kalau dia tak bagi nombor telefon saya pada dia, mesti hidup saya aman saja.”
“Kenapa awak tak suka dia?”
“Bukan tak suka, cuma kadang-kadang saya rasa rimas. Asyik telefon saja.”
Tiba-tiba telefon bimbit Afia berbunyi lagi.
“Dia lagi ke?” tanya Asyraf.
Afia menggeleng. Namun, wajahnya jelas menunjukkan yang dia kurang senang dengan panggilan itu. Lambat-lambat dia menjawab panggilan itu.
“Ha, kenapa?”
“Kau ingat aku nak sangat ke telefon kau? Mama dan abah suruh kau balik hujung minggu ni,” ujar suara di hujung talian.
“Kenapa?”
“Hai, nak suruh balik pun kena ada sebab ke? Yalah sebab dah ada yang istimewa di sana sampai rumah ni pun kau dah lupa, kan? Kalau nak tahu, balik sajalah.”
Talian dimatikan.
“Kakak saya. Dia kata mak dan ayah saya suruh balik rumah hujung minggu ni,” beritahu Afia tanpa ditanya.
“Emm… ingatkan apalah tadi. Serius saja muka.”
“Saya rasa macam pelik. Selama ni jangan kata nak suruh balik, telefon pun tak pernah.”
“Bukan ke anak yang patut telefon mak dan ayah dia orang?”
“Yalah, maksud saya benda ni memang menghairankan. Macam ada benda penting saja,” luah Afia. Ada apa ya? Tak pernah-pernah pun mama dan abah suruh aku balik. Rasanya dah hampir sebulan aku tak balik. Ya Allah, lamanya! Patutlah aku rindu pada Donna. “Jangan-jangan, ada orang masuk meminang saya tak?” Afia sengaja ingin menduga Asyraf. Ingin melihat reaksi jejaka itu.
“Kalau ya pun, awak jangan terima ya?” Asyraf sedaya cuba menyembunyikan gelora di hatinya. Sungguh, dia tidak mahu kehilangan gadis itu.
“Kenapa pula?” Afia masih ingin mengusik.
“Sebab saya sayangkan awak. Saya nak kahwin dengan awak,” terang Asyraf, jujur.
“Apa cakap pasal kahwin ni? Lambat lagilah,” Afia sudah tersipu malu. Namun, dia bahagia dengan ucapan itu. Ternyata perasaan Asyraf kepadanya bukanlah sekadar main-main. Sampai sejauh itu Asyraf memikirkan hubungan mereka.
“Saya serius. Saya memang nak kahwin dengan awak.”
“Tapi bukan sekarang, kan?”
“Yalah, sekurang-kurangnya kenalah tunggu awak habis belajar dulu.”
“Tapi lepas belajar, saya nak kerja dulu.”
“Ya, saya akan tunggu awak.”
“Betul?”
“Betul.”
“Janji?”
“Saya janji.”
1 ulasan:
Good brief and this enter helped me alot in my college assignement. Gratefulness you on your information.
Catat Ulasan