JULIA memandang Afia yang duduk di sebelahnya. Dia menggeleng-geleng melihat Afia yang tersengguk-sengguk sejak kelas bermula tadi. Hairan juga dia. Sebelum ini, Afia tidak pernah begini. Entah apalah yang dia buat tengah-tengah malam. Setahunya, Afia jarang-jarang tidur lambat jika bukan kerana menyiapkan tugasan pada saat-saat akhir.
“Afia,” Julia menyiku Afia yang hampir sahaja menyembam ke atas meja.
Afia tersentak.
“Pergilah cuci muka.”
Afia menggeleng. Dia masih cuba menahan matanya daripada terkatuk. Digagahinya juga matanya untuk celik walaupun dia tahu dia sudah tidak berdaya melawan rasa mengantuk yang semakin mencengkam dirinya. Siapa yang mampu bertahan jika sudah semalaman tidak tidur? Walaupun dia sudah tahu dia ada kelas pagi pada keesokannya, namun dia langsung tidak pernah memikirkan akibatnya.
“Kau buat apa malam tadi sampai mengantuk macam ni?” soal Julia, separuh berbisik kerana bimbang perbualan mereka didengari oleh pensyarah mereka yang sedang mengajar di hadapan kelas.
“Tak ada apa. Aku cuma tak boleh tidur aje,” bohong Afia. Kalaulah Julia tahu yang dia sering bermain mesej dengan Asyraf sampaikan tidak tidur malam, mahu kecoh satu kolej ini agaknya. Dia sendiri tidak percaya dengan dirinya sekarang. Seolah-olah bukan dia yang mengawal dirinya tatkala itu.
Jika dahulu, dia sering membebel kepada Julia kerana Julia sering bergayut dengan teman lelakinya tanpa mengira masa sampaikan dia terfikir apakah yang dibualkan oleh mereka. Hari-hari teman lelaki Julia akan menelefon padahal teman lelaki Julia cuma tinggal di Kuala Lumpur. Itu baru tinggal di Kuala Lumpur. Kalau teman lelaki Julia itu masih tinggal di Johor, mahunya 24 jam dia menelefon.
Menurut Julia, teman lelakinya itu sanggup bekerja di Kuala Lumpur semata-mata hendak menemaninya yang menuntut di Shah Alam. Baiknya teman lelaki Julia itu. Tetapi apa yang membuatkannya rimas, Julia tidak pernah berenggang dengan telefon bimbitnya. Malah, teman baiknya itu selalu sangat bermain mesej pada setiap ketika. Seolah-olah dia tidak boleh berpisah dengan teman lelakinya walaupun seminit.
Kalau setakat bertanya “Dah makan?”, “Di mana?”, “Buat apa?”, “Saya rindu awak” ataupun soalan-soalan yang remeh-temeh dna klise sebegitu setiap hari, tak ke membazir kredit? Tidak jemu ke bertanya soalan yang sama hari-hari? Pada waktu itu, dia memang tidak faham. Namun, sejak akhir-akhir ini dia dapat merasakan sedikit sebanyak ‘penyakit’ itu telah menjangkiti dirinya.
Namun, mujurlah penyakitnya itu masih dapat dikawal memandangkan dia dan Asyraf cuma berhubung pada waktu malam. Ya, waktu malam sehinggalah ke pagi. Sehingga salah seorang tertidur dahulu. Kalau kedua-duanya tidak tidur, alamatnya memang tidak tidurlah mereka hingga ke pagi. Seperti pagi ini.
“Kenapa pulak kau tak boleh tidur?” tanya Julia lagi. Kemudian, dia membeliakkan mata. “Jangan kata kau bergayut dengan Sukry tiap-tiap malam?”
“Tolong sikit. Memanglah dia ada missed call missed call aku tapi aku tak layan,” bangkang Afia. Sejujurnya dia amat mengagumi sikap Sukry yang tidak pernah berputus asa itu. Walaupun tidak dilayan, namun Sukry masih tetap menelefon dan adakalanya mengirimkan pesanan ringkas kepadanya. Macam manalah dia hendak buat Sukry faham?
“Jadi, kau tak boleh tidur sebab dia selalu kacau kau ke?” Julia menebak.
“Kadang-kadanglah,” Afia terpaksa berbohong demi merahsiakan hubungannya dengan Asyraf. Tidak mungkin dia memberitahu Julia tentang hubungannya dengan Asyraf kepada Julia. Sekurang-kurangnya buat masa inilah. Mujur juga Julia tidak tinggal satu rumah dengannya.
“Aku rasa dia betul-betul serius dengan kau kut. Kesian dia. Kau kan single lagi. Kenapa kau susah sangat nak terima dia? Kenapa kau tak bagi peluang pada dia dan diri kau untuk kenal sesama sendiri?” Julia tidak mengerti dengan sikap Afia. Jika Afia mempunyai teman lelaki, mungkin dia boleh faham sebab apa Afia tidak dapat menerima Sukry. Tetapi, Afia masih single. Jadi, apa masalahnya?
Afia tersenyum tawar. Kalaulah Julia tahu yang dia sedang menjalinkan hubungan dengan Asyraf, apakah reaksi Julia? Marah ke dia? Dia sendiri tidak sedar bagaimana segalanya bermula. Sedar-sedar sahaja mereka sudah mesra dan rapat.
Walaupun Asyraf tidak pernah mengucapkan kata cinta, namun masing-masing seolah-olah mengetahui apa yang dirasai antara satu sama lain. Kalau tidak, masakan setiap hari mereka saling berbalas mesej walaupun bukan perkara yang penting. Mujurlah mereka berdua sama-sama menggunakan talian telefon Celcom. Dengan adanya 8pax, dapatlah kredit mereka dijimatkan.
Namun apabila difikirkan kembali, dia dapat rasakan yang semua ini tidak sepatutnya seperti ini. Bukankah cinta itu seharusnya indah? Bukankah cinta itu seharusnya membawanya ke arah kebaikan? Bukannya membuatkannya tidak cukup tidur dan mengantuk ketika di dalam kelas. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil prestasi pelajarannya boleh terjejas. Tidak, dia harus membetulkan keadaan. Nekadnya dalam hati.
“ACAP! Oh, Acap!”
Telinganya menangkap suara yang memanggil namanya tetapi entah mengapa matanya sukar untuk dibuka. Seolah-olah digam oleh gam kapal. Tidak lama kemudian, bahunya pula digoncang kuat. Perlahan-lahan dia membuka mata.
“Kenapa tidur petang-petang ni?” ibu saudara menggeleng melihat anak saudaranya itu tertidur di meja tulis di dalam biliknya. “Kalau tak larat, janganlah dipaksa diri tu. Yang penting, kesihatan kena jaga,” nasihat ibu saudara. Risau juga dia melihat keadaan Asyraf yang tidur tidak menentu itu. Sudahlah di pejabat sudah bekerja, pulang ke rumah juga hendak bekerja. Namun, dia tidak mahu menghalang minat anak saudaranya itu.
“Tak ada apalah, mak lang. Acap okey aje. Dah pukul berapa ni?” soalnya seraya menguap. Pantas dia menutup mulut.
“Dekat nak pukul 7.00 dah. Dah, bangun,” ujar ibu saudaranya sebelum beredar meninggalkannya yang masih termangu di situ.
Asyraf menggosok-gosok matanya. Telefon bimbit yang diletakkan di sebelahnya tadi dilihat. Tiada sebarang pesanan ringkas. Mungkin Afia juga sepertinya, dilanda rasa mengantuk.
Sejurus kemudian, dia bingkas dari kerusi dan menuju ke bilik air. Bersiap sedia untuk solat maghrib.
SEUSAI solat, dia kembali ke meja tulisnya. Niatnya untuk menyambung kerja samnbilannya di rumah petang tadi tergendala apabila matanya terkatup dengan sendiri tanpa disedari. Malam itu dia bertekad untuk menyudahkannya. Pensel dan kertas di atas meja dicapai lantas jari-jemarinya mula melakar sesuatu pada kertas putih bersaiz A4 itu.
Namun, hatinya berasa tidak tenteram. Seperti ada sesuatu yang kurang. Pandangan matanya dialih ke arah telefon bimbit. Dia berkira-kira sama ada ingin menghubungi seseorang ataupun tidak. Ah, dia tidak mampu melawan keinginan hatinya! Pensel di tangannya dilepaskan dan telefon bimbit itu digenggam. Pantas jari-jemarinya menaip sebaris ayat lalu menekan punat ‘hantar’.
Sementara menunggu pesanan ringkasnya dibalas, dia termenung sendiri. Apa sudah jadi pada aku ni? Tak pernah-pernah aku macam ni. Apalah yang si Afia ni dah buat pada aku…
Tidak lama kemudian, pesanan ringkasnya mendapat balasan. Pantas dia membaca pesanan ringkas itu. Namun, ayat yang tertera pada skrin telefon bimbitnya itu membuatkannya tersentak.
Maafkan saya, Asyraf. Saya dah buat keputusan. Saya rasa ni tak betul.
Saya nak kehidupan saya yang dulu.
Pantas jemarinya menekan-nekan punat telefon bimbitnya mencari nama Afia dalam senarai ‘contacts’ lantas nombor telefon Afia didail apabila menyedari menaip pesanan ringkas hanya akan melambatkan komunikasi antara mereka. Selepas dua deringan, panggilannya bersambut.
“Afia…” suaranya terhenti seketika. Dia cuba mencari kekuatan untuk menyuarakan isi hatinya. “Saya sayangkan awak, Afia. Saya tak nak berpisah dengan awak.” Dengan susah payah, dia memberanikan diri meluahkan apa yang terbuku di hatinya tatkala itu.
“La, bila masa pulak saya cakap saya nak berpisah?” soal Afia.
“Habis tadi tu awak hantar SMS dan cakap awak nak kehidupan awak yang dulu.”
“Maksud saya, saya tak nak kita main mesej sampai tak tidur macam ni,” terang Afia. Dalam hati, dia tersenyum bahagia apabila mendengar luahan perasaan Asyraf sebentar tadi.
“Ow…” Mulutnya terkunci. Tidak tahu hendak berkata apa.
“Awak boleh benarkan saya tidur pada waktu malam, kan?” usik Afia apabila Asyraf mendiamkan diri.
“Boleh,” jawab Asyraf lambat-lambat. Setakat permintaan yang sekecil itu apalah sangat. Lagipun, dia juga tidak mahu pelajaran Afia terjejas gara-gara hubungan mereka. Sepatutnya hubungan mereka membawa kehidupan yang positif dalam hidup masing-masing, bukannya memudaratkan.
“Jadi, lepas ni kita mesej siang-siang aje ya?”
“Okey. Awak nak tidur dah ke?”
“Haah. Saya mengantuk sangat ni. Esok saya ada kelas.”
“Okey, saya tak kacau awak. Awak tidurlah. Good night.”
“Good night.”
“Saya sayang awak…”
Afia tersenyum mendengar bait kata itu. Namun, tidak pula dia membalasnya. Bukan tidak mahu, tetapi dia malu.
“Awak tidur ya,” ucap Asyraf. Walaupun dia tahu Afia tidak akan membalas ucapannya, tetapi dia tidak berkecil hati kerana dia tahu Afia membalasnya dalam hati.
“Awak pun.”
1 ulasan:
alahai comeynye part asyraf salah faham tu...
skali termengaku plak...hahaha...
ske2...
Catat Ulasan